Oleh : A.RAZAK MUTHALIB
Hedonisme ialah satu pola
pemikiran dan budaya hidup yang terlalu suka kepada hiburan semata-mata.
Menurut kamus dewan, hedonisme ialah pegangan atau pandangan hidup yang
mementingkan keseronokan atau kesenangan hidup.
Sedar atau pun tidak, budaya
hedonisme in mula menular masuk sekian lama dalam kehidupan masyarakat Islam di
Malaysia terutamanya dalam kalangan muda mudi. Salah satu faktor penting
menyumbang kepada berlakunya fenomena ini ialah realiti media massa sama ada
media cetak atau media elektronik yang memberikan peruntukan sangat banyak
kepada aspek hiburan. Tidak kurang juga sokongan yang padu dari pihak pemerintah.
Hiburan pada dasarnya bukanlah suatu yang dilarang
Islam, asalkan ia dihidangkan berlandaskan
syariat. Fitrah manusia secara umumnya memang perlukan kepada hiburan. Tuntutan fitrah ini seharusnya
diberikan haknya dan ditunaikan dengan adil. Adil dalam erti kata memilih
hiburan yang betul dan mengikut kadar yang diperlukan sahaja tanpa melampaui
batas.
Hadis Rasulullah dilaporkan Aisyah, bahawa pada hari raya
Fitri atau Adha, Abu Bakr masuk ke rumahnya (rumah ‘Aishah) dan Rasulullah
berada di sisinya. Ketika itu ada dua penyanyi wanita sedang menyanyi mengenai
kebanggaan Ansar pada Hari Bu‘ath (peperangan antara Aus dan Khazraj). Abu Bakr
berkata: “Suara syaitan” (sebanyak dua kali).
Nabi bersabda: “Biarkan mereka
wahai Abu Bakr! Setiap kaum ada hari raya dan sesungguh hari ini adalah hari
raya kita”. (Riwayat al-Bukhari dan
Muslim). Dalam riwayat Muslim
menyatakan mereka memukul gendang sebagai alatan muzik iringan nyanyian mereka.
Hadis ini menunjukkan sikap lunak
Nabi yang tidak melarang hiburan dalam
bentuk nyanyian sekalipun berlaku dalam rumah Baginda. Nabi tidak bersikap
keras mengenai hiburan seperti sesetengah mereka yang menggunakan nama agama
untuk membanteras hiburan. Bantahan Abu Bakr ditolak Nabi secara berhikmah.
Dalam riwayat al-Bukhari, juga
dari ‘Aisyah bahawa:“Seorang wanita
berkahwin dengan lelaki Ansar, maka Baginda bersabda: Wahai ‘Aisyah! Mengapakah tiada bersama kamu hiburan? Orang Ansar sukakan hiburan”.
Dalam hadis ini menunjukkan Nabi
prihatin dengan kecenderungan hiburan sesuatu kaum dalam majlis yang bertujuan
untuk kegembiraan seperti majlis perkahwinan. Mungkin hal ini boleh diluaskan
kepada majlis sambutan kesukaan yang lain seperti majlis keluarga atau
seumpamanya. Bahkan mengenai majlis perkahwinan Nabi pernah bersabda: “Perbezaan antara yang haram dan yang halal
adalah kompang dan suara dalam perkahwinan”. (Riwayat al-Nasai dan al-Tirmizi, hadis ini bernilai ‘hasan’).
Maksudnya perkahwinan yang halal
dilakukan secara terbuka dan diisytiharkan. Berbeza dengan perzinaan yang
dilakukan secara senyap. Kegembiraan pada hari perkahwinan dizahirkan secara
nyata dengan hiburan kompang atau alatan yang lain dan suara. Suara
di sini ada yang
mentafsirkannya sebagai iklan pernikahan. Juga boleh ditafsirkan sebagai nyanyian.
Namun, fenomena pada hari ini
adalah sebaliknya. Program hiburan sama ada di televisyen, radio atau pun atas
pentas terbuka dilambakkan kepada masyarakat dengan begitu banyak mengatasi
program lain. Berita hiburan juga memonopoli sebahagian akhbar tabloid dan juga
majalah. Kisah kehidupan artis dalam dan
luar negara, diberikan liputan
yang berleluasa.
Terdapat sesetengah pihak dengan
bersungguh menghidangkan hiburan ini secara langsung kepada masyarakat. Bahkan
sanggup diperuntukkan jumlah yang banyak untuk membawa masuk artis dari luar
negara. Ada yang menjelajah dari satu
negeri ke satu negeri yang lain sambil mengajak masyarakat untuk berhibur
bersama artis itu.
Apabila program hiburan
dilambakkan, kesannya minda masyarakat
dibentuk dengan hiburan. Generasi muda diharap menjadi bari-san pelapis
menerajui pembangunan ummah dan negara, disibukkan dengan hiburan melampau.
Ghairah dan bersemangat berbicara tentang gosip sensasi artis, filem terbaru,
lagu popular dan pelbagai topik lain.
Penyakit ini bukan sahaja menimpa
golongan muda-mudi kurang berpendidikan, malah dukacita apabila ia turut
berjangkit kepada penuntut di institut pengajian tinggi. Lebih parah jika ia
disuburkan pemimpin sendiri. Fenomena ini dapat dibuktikan melalui pengaruh
penampilan fizikal, tutur kata, tindakan dan amalan majoriti remaja zaman ini.
Demi menghasilkan imej dan
identiti urban-kontemporari, remaja zaman ini sanggup menggadai jati diri dan
sosok peribadi mereka demi kelihatan
cool dan up to date. Tiada lagi jati diri seorang bangsa Melayu
yang terkenal dengan budaya
ketimurannya. Lebih penting lagi, tidak nampak pada peribadi dan tingkah laku
mereka watak seorang Muslim sejati, yang diutuskan seorang Nabi, sebagai contoh
ikutan yang hakiki.
Terlalu banyak contoh pemikiran
hedonisme ini menular dalam pemikiran masyarakat terutama generasi muda. Salah
satu bukti ketara ialah keghairahan dan kegilaan generasi muda akhir-akhir ini
terhadap bidang nyanyian.
Apabila pemikiran ini meresap
mengakibatkan generasi muda melihat bidang nyanyian sebagai satu prospek
menguntungkan. Apabila lambakan program realiti televisyen untuk mencungkil
penyanyi baru. Program realiti ini kebanyakannya dicedok bulat-bulat dari
negara Barat tanpa ditimbang mana buruk mana bermanfaat.
Lebih malang lagi program
sebegini mendapat tajaan daripada syarikat korporat, termasuk syarikat korporat
diterajui orang Islam. Dalam masa yang sama rancangan bersifat ilmiah dan
meningkatkan tahap pemikiran masyarakat tidak mendapat sambutan.
Program realiti hiburan ditiru
daripada Barat bagi menambah program hiburan di Malaysia, tujuannya untuk
melahirkan penyanyi "pasang siap". Persoalan timbul apabila produk
media keluaran orang Islam di Malaysia yang tidak jauh bezanya dengan produk
media acuan Barat berteraskan budaya
hedonisme.
Hal ini adalah akibat pemikiran
yang membentuk tanggapan bahawa media hanyalah alat hiburan dan medium menjual
produk semata. Peningkatan jumlah peserta yang menghadiri sesi uji bakat
realiti televisyen ini dari tahun ke tahun merupakan kejayaan pola pemikiran
hedonisme sehingga mengagungkan populariti dan kemewahan.
Pemikiran hedonisme ini menular
cuba menyeleweng tujuan hidup Muslim sehingga berkiblatkan hiburan dan
keseronokan semata. Dukacita apabila generasi muda hari ini lebih mengenali
keperibadian artis pujaan daripada keperibadian para nabi. Kehidupan
artismengikut kayu ukur Barat dijadikan garis panduan dan ikutan, hatta tingkah
laku artis itu menentang budaya ketimuran apatah lagi syariat Islam.
Hiburan menjadi agenda utama
media massa apabila kebanyakan promosi diberikan media kepada artis melebihi
ilmuwan. Tokoh akademik, ulama, negarawan kurang ditonjolkan pencapaian dan
yang mereka lakukan untuk pembangunan umat, agama, bangsa dan negara.
Sebaliknya, artis diberi anugerah dan
dijulang nama.
Pencapaian artis lebih mendapat
liputan pihak media. Realiti ini membuktikan betapa budaya hedonisme ini
meresap masuk dan sedikit demi sedikit menjadi darah daging masyarakat.
Penularan budaya ini sebenarnya berkait rapat dengan pihak pengamal media yang
memberikan ruang yang sangat banyak kepada program dan bahan berita berbentuk
hiburan.
Lebih menyedihkan apabila pihak
atasan juga sanggup mengimport artis luar untuk menghiburkan masyarakat. Tidak
pasti, adakah ia dilakukan demi memenuhi tuntutan rakyat atau pun
mempertahankan pangkat.
Bukan salah untuk berhibur. Namun
biarlah berhibur yang ada kadarnya. Jangan sampai hiburan ini melalaikan kita
daripada tujuan kehidupan dan tanggungjawab Muslim yang sebenar. Akhirnya Islam
hanya kekal pada nama!.
Penulis ialah pensyarah Kolej Islam Antarabangsa dan
perunding latihan dan motivasi.
Sumber : http : //www.sinarharian.com.my/