Penyalahgunaan bahan terlarang
boleh hancur masa depan
Bersempena sambutan Hari
Antidadah Peringkat Kebangsaan pada 19 Februari setiap tahun, marilah kita
membanteras dadah yang menjadi punca utama berlakunya jenayah, maksiat serta
menjadi ancaman kepada kesejahteraan masyarakat dan negara.
Percayalah, gejala dadah sama
bahaya dengan penagihan arak atau khamar, ibu segala kejahatan. Lihat apa yang
berlaku seperti jenayah mencuri, merompak, rogol, bunuh, merempit dan lain-lain
kebanyakan berpunca daripada penagihan dadah.
Punca kemungkaran
Yakin dan ketahuilah bahawa
setiap perkara yang boleh memabukkan, melemahkan anggota badan, merosakkan akal
fikiran adalah punca berlakunya kemungkaran dan jenayah.
Firman Allah SWT: “Wahai orang
yang beriman! Bahawa sesungguhnya arak, judi, pemujaan berhala dan mengundi
nasib dengan batang-batang anak panah, adalah perbuatan keji daripada perbuatan
syaitan. Oleh itu hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya.” (Surah
al-Maidah, ayat 90)
Mereka yang terbabit dengan dadah
telah merosakkan nama baiknya dan menimbulkan kegelisahan dalam masyarakat.
Ingatlah, perbuatan ini sebenarnya semakin menjauhkan diri daripada Allah SWT.
Kadangkala dengan hanya satu
perbuatan jenayah saja boleh menghancurkan nilai kehidupan kita dan keluarga
tersayang serta menyebabkan kerugian sepanjang hayat. Usaha membanteras,
memerangi jenayah dan perbuatan berdosa tidak boleh dibuat secara perseorangan
atau agensi tertentu, sebaliknya hendaklah dibuat secara menyeluruh oleh
masyarakat sebagai satu tanggungjawab ke arah pencapaian matlamat yang baik.
Firman Allah SWT: “Dan hendaklah
kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertakwa, dan janganlah
kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan. Dan
bertakwalah kepada Allah, kerana sesungguhnya Allah Maha Berat azab seksa- Nya
(bagi sesiapa yang melanggar perintah-Nya.” (Surah al-Maidah, ayat 2)
Sabda Rasulullah SAW: “Kaitan
antara seseorang beriman dengan yang lainnya adalah sama seperti sebuah binaan
yang menguatkan antara satu sama lain.” (Hadith Muttafaqun ‘Alaih)
Kerosakan akibat dadah
Kerosakan yang dibawa oleh gejala
dadah sangatlah besar. Ancamannya bukan hanya kepada diri penagih, bahkan
seluruh ahli keluarga kerana gejala ini akan menghilangkan kewarasan,
keseronokan dan kegembiraan serta diwarnai dengan tangisan yang berpanjangan.
Bayangkanlah, pasti ranap harapan
ibu bapa, pasti musnah impian saudara mara serta pasti hancur masa depan
anak-anak dan isteri di bawah tanggungannya. Malah, kesan yang lebih dahsyat
lagi ialah musnahnya sesebuah bangsa dan negara.
Inilah masanya semua umat Islam
mesti bersatu untuk memerangi jenayah dadah dan mendokong segala usaha serta
komitmen pemerintah demi memastikan jenayah dadah dapat dibasmi hingga ke akar
umbi. Umat Islam perlu insaf semasa masih sihat, berkuasa dan bertenaga,
marilah kita bekerjasama memerangi jenayah dadah dan menutup segala ruang
gejalanya.
Luang masa bersama anak
Ibu bapa perlu meluangkan masa
dengan memberi perhatian kepada anak supaya tidak terjebak dengan perkara tidak
sihat yang pastinya sangat merugikan. Disiplinkan hidup mereka, ajaklah mereka
untuk berkongsi pandangan dan masalah. Jadikanlah usaha menangani gejala dadah
sebagai satu tanggungjawab demi agama dan umat Islam.
Marilah bersama kita renung
firman Allah SWT: “Jika kamu berbuat kebaikan, maka faedahnya adalah untukmu;
dan jika kamu berbuat kejahatan, maka berbalik kepada diri kamu juga. Oleh itu,
apabila sampai masa janji kali kedua, Kami datangkan musuh-musuh kamu untuk
memuramkan muka kamu; dan untuk memasuki masjid sebagaimana mereka telah
memasukinya pada kali pertama; dan untuk menghancurkan apa saja yang mereka
telah kuasai, dengan sehancur-hancurnya.” (Surah al-Isra’, ayat 7)
Sumber : http : //www.bharian.com.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan