KUALA LUMPUR : Kajian
polis mendapati kanak-kanak yang mempunyai paras rupa kurang menarik antara
yang mudah menjadi mangsa dera.
Ketua Penolong Pengarah Bahagian
Siasatan Seksual, Penderaan dan Kanak-kanak(D11), Jabatan Siasatan Jenayah
Polis Diraja Malaysia (PDRM), Asisten Komisioner Hamidah Yunos, berkata paras
rupa tidak menarik dilihat menjadi faktor pendorong perasaan marah ibu bapa
atau penjaga dan seterusnya bertindak untuk memukul.
"Kalau kita tengok dalam
kalangan adik beradik pun biasanya yang tidak menarik parasnya akan
dipinggirkan, begitu juga dengan kes dera, ibu bapanya terdorong untuk
memukul," katanya kepada Bernama.
Hamidah berkata kajian juga
mendapati ibu bapa yang pernah didera semasa zaman kanak-kanak sebenarnya turut
mempengaruhi psikologi mereka melakukan perkara yang sama terhadap anak-anak
mereka.
Beliau berkata tekanan kerja
kekal menjadi faktor utama berlaku penderaan terutama apabila kebanyakan ibu
bapa masa kini mempunyai kerjaya.
"Mereka tidak lagi mempunyai
pertimbangan untuk tahan dengan sikap anak-anak dan sasarannya anak-anak yang
banyak ragam atau nakal.
"Begitu juga dengan
kanak-kanak yang berada di bawah jagaan pengasuh, apabila mereka ditekan oleh
ibu bapa agar memastikan penjagaan anak-anak mereka berada pada tahap terbaik,
ia seakan menjadi bebanan kepada pengasuh sehingga berlakunya kes penderaan,"
katanya.
Hamidah turut mendedahkan trend
ibu bapa dan pengasuh masa kini mudah mereka-reka cerita kononnya anak atau
kanak-kanak di bawah jagaan mereka mengalami kecederaan akibat terjatuh atau
sebagainya bagi mengaburi perbuatan dera yang telah dilakukan.
"Apabila hari-hari didera,
kanak-kanak itu tadi mengalami kecederaan kritikal, pelaku mula risau dan
membawa kanak-kanak berkenaan ke hospital untuk mendapatkan rawatan dengan
melaporkan kanak-kanak itu terjatuh atau sebagainya.
"Tapi apabila pemeriksaan
dijalankan, doktor mendapati kecederaan yang dialami kanak-kanak itu sebenarnya
kesan luka lama dipercayai didera.
"Ia juga sama sekali tidak
konsisten dengan laporan yang dibuat pelaku semata-mata untuk melindungi diri
mereka daripada perbuatan mendera," katanya.
Beliau berkata sekiranya doktor
yang memeriksa berhadapan dengan kes seperti itu, mereka mempunyai kuasa untuk
melaporkan kes kepada pihak polis dan pelaku itu tadi tidak mempunyai peluang
untuk melepaskan diri di atas perbuatan yang telah mereka lakukan.
"Apabila kita terima
laporan, kita akan hubungi Jabatan Kebajikan Masyarakat untuk beri sesi
kaunseling atau tempat perlindungan kepada mangsa. Kita juga akan jalankan
siasatan dan mangsa yang berumur di bawah 16 tahun akan dihantar ke Pusat
Sokongan dan Temuduga Forensik Kanak-kanak (PSTFK) untuk rakaman keterangan
melalui video," katanya.
Katanya ibu bapa dan pengasuh
menjadi penyumbang utama dalam kes penderaan kanak-kanak dengan statistik
terkini merekodkan sebanyak 285 kes penderaan kanak-kanak pada tahun lalu
berbanding 2010 sebanyak 242 kes.
“Statistik itu juga menunjukkan
peningkatan kira-kira 17.8 peratus. Ia menunjukkan orang ramai termasuk doktor
yang merawat mangsa dera semakin peka dan mempunyai kesedaran untuk melaporkan
kes penderaan kepada pihak polis.
“Ini bermakna masyarakat telah
sedar bahawa penderaan kanak-kanak adalah jenayah berbanding dulu,"
katanya.
Berdasarkan statistik,
kanak-kanak berusia satu hingga tujuh tahun menjadi mangsa penderaan tertinggi
dalam tempoh dua tahun berturut-turut iaitu pada tahun lalu sebanyak 136 orang
berbanding 117 pada 2011, diikuti kanak-kanak berusia tujuh tahun ke atas
sebanyak 99 orang berbanding 82 orang dan kanak-kanak berusia kurang satu tahun
sebanyak 50 orang berbanding 43 orang,katanya.
“Majoriti penderaan berlaku ke
atas kanak-kanak lelaki yang dianggap lebih lasak berbanding kanak-kanak
perempuan,” katanya.
Statistik turut merekodkan kes
penderaan tertinggi mengikut negeri adalah Selangor dan Johor, masing-masing 67
kes diikuti Pulau Pinang (25), Negeri Sembilan (24), Kuala Lumpur (18), Sarawak
(15), Melaka (13), Perak (12), Kelantan (10), Sabah (10), Pahang (9), Kedah
(8), Terengganu (4) dan Perlis (3).
Individu didapati bersalah
melakukan penderaan boleh didakwa mengikut Seksyen 31 Akta Kanak-kanak (AKK)
iaitu kesalahan penganiayaan, pengabaian, pembuangan atau pendedahan
kanak-kanak yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM20,000 atau penjara
tidak melebihi 10 tahun atau kedua-duanya, katanya. - BERNAMA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan