Oleh : NUR AMALINA ZAHARI
SETIAP manusia mempunyai keinginan memiliki kereta, keluarga
dan rumah sendiri apabila bekerja kelak. Rumah atau tempat berteduh merupakan
keperluan utama dalam kehidupan. Namun, dengan kos sara hidup yang saban hari
kian meningkat, adakah memiliki kediaman sendiri hanya sekadar menjadi impian?
Ini ekoran kenyataan membimbangkan dengan skala harga rumah
yang terpaksa dihadapi oleh semua rakyat Malaysia pada 2020 apabila pendapatan
rakyat Malaysia mesti mencapai RM12,000 sebulan untuk memiliki hanya sebuah
rumah teres.
Tidakkah ini amat menakutkan untuk ditempuhi oleh golongan
yang baru menapak dalam pekerjaan atau generasi akan datang? Atau mungkin
tatkala negara sudah di ambang negara maju, mata kita akan melihat longgokan
penempatan di kaki lima jalan atau hanya di bawah jambatan dek kerana tidak
mampu mempunyai kediaman sendiri.
Tambahan pula, kenaikan harga barangan keperluan yang
menyebabkan wang semakin hilang nilainya. RM50 hanya sekelip mata habis
dibelanjakan waima dengan hanya membeli rencah dan bahan-bahan untuk dibuat
hidangan makan tengah hari sahaja.
Bayangkan bagaimana golongan berpendapatan rendah dan
sederhana terpaksa mencatu gaji bulanan untuk meneruskan hidup, lebih-lebih
lagi di era yang segalanya perlu dibayar dengan wang.
Namun isu kenaikan harga segala barang ini jika ditulis
hingga kiamat pun tiada sudahnya, terus-menerus menuding jari pada sesetengah
pihak sehingga berbuih mulut pun masih tiada nokhtahnya. Mengapa tidak di
tuding jari di muka sendiri? Bukan menempelak sikap sesetengah pihak, tetapi
jika dinilai gaji bulanan hanya cukup makan, namun berbelanja seperti mereka
manusia paling kaya di dunia.
Anak-anak pula ditabur dengan segala kemewahan, dari
permintaan telefon pintar, komputer tablet, pakaian berjenama, dan segalanya
wajib tercanggih. Tidak kurang juga pelajar di institusi pengajian tinggi awam
mahupun swasta, wang pinjaman dijadikan tiket berbelanja sakan mengalahkan ahli
perniagaan lagaknya, hujungnya mi segera menjadi santapan harian dek kekeringan
wang.
Jika senario perbelanjaan rakyat Malaysia berterusan begini,
tidak keterlaluan dikatakan impian untuk memiliki rumah sendiri akan hanya
menjadi angan-angan. Dihitung secara kasar, ada logiknya rakyat harus mempunyai
pendapatan RM12,000 sebulan untuk membeli sebuah rumah waima rumah teres pada
2020. Pada masa kini sahaja harga rumah di Malaysia sudah mencecah nilai jutaan
ringgit, inikan pula di zaman maju 2020.
Senario kenaikan harga rumah untuk lima tahun kebelakangan
ini, bukan sahaja setakat berlegar di kawasan Lembah Klang malah sudah mula
berjangkit di sekitar Kajang, Bangi, Sungai Buloh, Rawang dan di sekitar
Semenyih. Contohnya, beberapa lokasi harga rumah teres baru di Semenyih dengan
keluasan 24×70 kaki (7×21 meter) kini sudah mencecah harga RM460,000. Harga
rumah bersaiz 22×70 kaki pula sudah mencapai RM510,000.
Harga rumah di Rawang untuk keluasan rumah 20×65 kaki dijual
pada harga sekitar RM288,000. Dan harga rumah di Sungai Buloh bermain-main pada
harga RM398,000 untuk keluasan 22×75 kaki.
Senarai ini tidak termasuk lagi jenis rumah seperti Kondominium
One Menerung di Bangsar yang seluas 2,000 kaki (185 meter) persegi dijual pada
harga RM2.4 juta seunit. Sementara, sebuah rumah semi-D di Sri Hartamas
berharga RM1.5 juta manakala rumah teres dua tingkat di Cheras bermula dari
harga RM500,000. Tidakkah ini amat memeritkan?
Jawapannya, tidak lain tidak bukan, mula berjimat dan
menabung sedikit demi sedikit. Bukankah lama-lama akan menjadi bukit? Bercakap
memang mudah berbanding mengamalkannya, tetapi jika dibajai dengan kesabaran,
hasilnya pasti lumayan.
Kepada pelajar, jangan sia-siakan peluang belajar dengan
tekun bagi mendapatkan kelas pertama demi menjadikan pinjaman bertukar kepada
biasiswa. Kepada yang tidak mampu mendapatkan kelas pertama, belajarlah untuk
berjimat mudah-mudahan dengan baki pinjaman masih di simpanan dapat meringankan
beban untuk pembayaran kelak.
Bagi mereka yang sudah mula bekerja, janganlah terburu-buru
membeli kereta, jika masih mempunyai pilihan, gunakan kemudahan kenderaan awam
seperti LRT, Monorail, Bas Rapid dan sebagainya. Dahulukan membeli aset seperti
rumah dijadikan agenda utama di dalam hidup, kenderaan menjadi impian kedua.
Jangan lupa, langsaikan dahulu bayaran balik hutang pinjaman anda.
Peranan ibu bapa pula, didik anak-anak berbelanja dengan
berhemah, juga amalkan sikap suka menabung demi masa hadapan. Untuk lebih
jimat, wujudkan walau sedikit ruang untuk menanam sendiri jenis sayuran yang
sering digunakan untuk masakan, misalnya daun kunyit, cili, sawi, serai dan
sebagainya. Hasilnya bukan sahaja jimat malah menyihatkan tubuh badan dengan
dapat mengurangkan bahan-bahan kimia yang selalunya digunakan ke atas bahan
mentah yang terdapat di pasaran kini.
Penjimatan kos air dan elektrik juga perlu diambil kira.
Hadkan penggunaan keduanya dengan sentiasa memastikan penggunaan air dengan
kadar yang perlu sahaja, dan sentiasa pastikan tutup suis-suis elektrik yang
tidak digunakan.
Kesimpulannya, kita tidak akan dapat menyekat kenaikan harga
setiap inci benda yang semakin meningkat saban waktu, berhenti menuding jari.
Setiap permasalahan ada penyelesaiannya.
PENULIS ialah pelajar Fakulti Komunikasi dan Pengajian
Media, UiTM Shah Alam
Sumber : http : //www.utusan.com.my/