KUALA LUMPUR : Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) menawarkan 12
tempat untuk mengikuti pengajian ijazah lanjutan di bawah program penajaan
Biasiswa Yang di-Pertuan Agong pada tahun ini.
Program penajaan itu adalah khusus kepada calon yang
mempunyai prestasi akademik dan bukan akademik (kokurikulum) yang amat
cemerlang untuk melanjutkan pengajian di peringkat sarjana dan kedoktoran
(Ph.D) di dalam atau di luar negara.
Dalam kenyataan JPA di sini Isnin, menyatakan bahawa 12
tempat itu terbahagi kepada enam untuk peringkat sarjana dan enam lagi bagi
peringkat Ph.D untuk mengikuti pengajian dalam bidang Sains dan Teknologi,
Ekonomi dan Undang-undang.
Tawaran itu dibuka kepada warganegara Malaysia yang berumur
tidak lebih 30 tahun semasa memulakan pengajian, dengan keutamaan diberi kepada
calon mendapat keputusan akademik amat cemerlang di peringkat ijazah sarjana
muda atau sarjana.
Keupayaan luar biasa seperti boleh menguasai pelbagai
bahasa, kebolehan yang istimewa, aktif dalam aktiviti kemasyarakatan atau
menghasilkan kerja-kerja kreatif dan inovatif serta mendapat tempat di
universiti ulung tempatan atau universiti terkemuka dunia.
"Penerima biasiswa ini adalah terikat untuk berkhidmat
di Malaysia bagi tempoh tidak kurang dari lima tahun. Oleh itu, penerima
biasiswa yang telah menamatkan pengajian di luar negara diwajibkan pulang ke
tanah air selepas tamat tempoh tajaan," kata JPA.
JPA berkata pakej tawaran Biasiswa Yang di-Pertuan Agong
menawarkan kadar pembiayaan yang lebih tinggi berbanding Biasiswa Persekutuan sedia
ada, di samping menerima elaun-elaun lain yang berkaitan.
Yuran pengajian akan dibayar secara terus kepada universiti,
menurut JPA.
Borang permohonan biasiswa itu boleh dimuat turun melalui
portal www.jpa.gov.my atau http://esila.jpa.gov.my mulai 27 Jun ini dan tarikh
tutup permohonan adalah pada 13 Julai depan.
Calon-calon yang layak dan berjaya disenarai pendek akan
melalui proses pemilihan termasuk temu duga.
Maklumat lanjut boleh diperoleh dengan menghubungi talian
03-88853436/3546/3573 atau mengunjungi kaunter Bahagian Pembangunan Modal Insan
di Aras 5, Block C1, Parcel C, Jabatan Perkhidmatan Awam, Putrajaya. - BERNAMA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan