KITA sebenarnya tidak mempunyai banyak pilihan untuk melangkah sebagai sebuah negara maju dalam acuan sendiri pada masa depan. Kita menyedari perjalanan untuk mencapai kejayaan bertaraf dunia masih jauh dan bukanlah mudah; namun saya yakin kita boleh melakukannya dengan izin Allah SWT dan jika kita terus bersikap positif, ikhlas dan gigih untuk menjayakannya. Kerana itulah, saya amat percaya bahawa perubahan minda itu menjadi satu perkara yang sangat dituntut untuk mencapai kejayaan.
Semasa saya diberi kepercayaan untuk memimpin negara, perubahan-perubahan dalam sektor pendidikan memang sentiasa menjadi agenda utama saya dalam konteks melahirkan modal insan untuk memajukan negara. Pada masa itu saya percaya bahawa kita memerlukan tidak kurang dari suatu 'revolusi pendidikan' demi memastikan aspirasi kita untuk menerapkan pencapaian baru kesemua sektor tidak terbantut oleh ketidakmampuan kita membangun modal insan yang sepadan dengan tanggungjawab serta cabaran masa mendatang.
Dua lagi perkara penting telah kita lakukan dalam tempoh berkenaan dalam usaha memacu sektor pendidikan ke arah yang lebih cemerlang. Pertamanya kita berfokus dalam melonjakkan pencapaian dengan menubuhkan kementerian yang berasingan iaitu Kementerian Pelajaran dan Kementerian Pengajian Tinggi.
Keperluan untuk mendapat tenaga kerja bagi pembangunan negara telah membanyakkan lagi bilangan sekolah-sekolah di bandar dan di luar bandar. Institusi-institusi latihan perguruan juga telah melahirkan ramai guru. Dari awal lagi dan khususnya semasa saya menjadi Perdana Menteri, saya telah menekankan betapa pentingnya pembangunan modal insan yang berkualiti tinggi dan mempunyai 'minda kelas pertama'.
Globalisasi dan liberalisasi ekonomi telah mengubah landskap serta ekosistem pengajian tinggi secara drastik. Cabaran dalam pengajian tinggi menuntut perubahan secara dinamik bagi pembentukan kurikulum, kaedah pengajaran, perluasan akses dan mobiliti pengetahuan, memenuhi keperluan kualiti dan piawaian antarabangsa serta pencapaian hasil penyelidikan dan inovasi. Maka untuk menjayakan 'revolusi pendidikan', beberapa langkah berikut perlu diambil:
Pertama, menerap nilai-nilai luhur melalui pendidikan. Sebuah masyarakat yang memiliki minda kelas pertama adalah masyarakat yang berilmu pengetahuan dan berdaya saing, dan mempunyai budaya pencapaian tinggi (high performance), berintegriti dan mempunyai nilai-nilai moral yang tinggi.
Institusi pendidikan kita mesti membangunkan minda kelas pertama di kalangan generasi muda supaya mereka boleh membawa negara ini bergerak maju dengan jayanya dalam abad ke-21. Institusi-institusi pendidikan perlu menerapkan nilai-nilai integriti, jujur, semangat untuk berkongsi dan prihatin di kalangan pelajar.
Kedua, universiti berfungsi sebagai pusat untuk pembangunan 'jiwa dan minda'. Mahatma Gandhi pernah berkata, "education means all-round drawing out the best in child and man - body, mind and spirit". Sebenarnya, pendidikan perlu membangunkan kesemua yang terbaik dari aspek moral, mental dan emosi bagi seseorang manusia. Disebabkan pendidikanlah asas-asas untuk keamanan dan kemakmuran dapat dibina.
Selain mengajar ilmu pengetahuan dalam pelbagai bidang akademik, sistem pendidikan kita juga perlu menekankan kepada pembangunan moral dan sifat-sifat beretika bagi pelajar-pelajar. Mana-mana sistem pendidikan yang kekurangan pembangunan moral dan etika tidak boleh dianggap lengkap.
Pengajian tinggi kita harus berupaya mengubah persepsi yang ada, iaitu melihat universiti sebagai alat dan mekanisme untuk mengeluarkan sumber manusia yang mempunyai segulung ijazah dan berpuas hati dengan menjadi teknokrat dan ahli industri yang berjaya; sebaliknya jiwanya kosong, hanya mementingkan diri sendiri, dan melihat keuntungan jangka pendek sedang kecintaannya kepada negara dan bangsa amat kurang, malah ada yang langsung tidak ambil peduli.
Ketiga, mengukuhkan dan memajukan perpaduan dan integrasi dalam pendidikan. Jikalau kita benar-benar serius untuk menjadi lebih kompetitif, dan jika kita benar-benar ingin membina masyarakat yang stabil dan aman, maka kita perlu bukan sekadar meningkatkan mutu pendidikan di institusi pengajian tinggi tetapi kita harus juga meningkatkan tahap integrasi nasional. Keadaan integrasi antara kaum dan persefahaman di institusi pendidikan kita pada hari ini adalah suatu yang membimbangkan.
Institusi pendidikan kita pada hari ini makin menjadi mono-racial. Walaupun sesuatu institusi itu dianggap multi-racial atau berpelbagai kaum, apa yang kita lihat adalah wujudnya "klik klik" perkauman.
Saya percaya bahawa untuk mewujudkan negara Malaysia yang benar-benar kuat, kita perlu teguhkan ikatan dan kerjasama di antara kita serta mengeratkan lagi persefahaman sesama kita. Kita harus sedar serta menerima perbezaan di antara kita dan membina atas kekuatan serta persamaan antara kita.
Keempat, membina keupayaan berasaskan kelebihan yang negara miliki. Kita bukan hanya perlu fokus dan mengikuti bidang-bidang yang telah dibangunkan di negara-negara Barat tetapi kita perlu mencipta dan meningkatkan kemahiran dalam bidang-bidang yang boleh dipelopori Malaysia dan boleh mendahului dunia. Kita perlu membina berasaskan kekuatan kita.
Saya percaya bahawa menerusi ekosistem pra-sekolah, sekolah dan seterusnya pengajian tinggi yang terancang dengan kemas dan menyeluruh, kita akan berupaya menterjemahkan objektif untuk melahirkan modal insan minda kelas pertama yang mampu menggunakan pengetahuan secara kreatif, inovatif selaras dengan model ekonomi baru yang diperkenalkan pada masa kini.
Saya percaya kita sudah mempunyai cukup ramai para cendekiawan yang berupaya bergerak pantas seiring dengan keperluan masa depan negara, agama dan bangsa. Setelah 52 tahun merdeka dengan lebih 20 buah universiti awam dan begitu banyak institusi pengajian tinggi swasta, seharusnya kita telah mampu menjadi pemimpin ilmu yang dapat memberikan sumbangan utama kepada negara.
Malah ahli-ahli akademik seharusnya berupaya untuk menjadi pemimpin dalam pelbagai disiplin ilmu dan mampu pula menarik ahli-ahli akademik luar untuk berkunjung dan merujuk kepada kita. inilah yang harus kita fikirkan bersama, tentang sejauh mana keupayaan kita sehingga kini dan apakah pula kekangan yang ada bagi melonjakkan pengajian tinggi kita ke tahap yang jauh lebih bermakna.
Begitu juga dengan keupayaan kita dalam melakukan penyelidikan-penyelidikan bertaraf dunia bagi menyelesaikan masalah semasa, terutamanya yang boleh pula dikongsi dengan rakan-rakan di negara lain di seluruh dunia.
Kejayaan yang kita inginkan perlu diusahakan dengan serius. Dengan itu kita perlu mengukur pencapaian kita dari semasa ke semasa. Saya yakin kepada kemampuan dan kebolehan kita, dan percaya bahawa kita mampu untuk berbuat demikian selagi kita mahu bekerja keras dan bersikap ikhlas. Ini adalah satu perjuangan panjang dan jihad besar dalam memastikan kejayaan kita pada masa depan.
Hari ini, saya bersyukur dan menjunjung tinggi penganugerahan ijazah kehormat ini. Bagi saya USM amat istimewa, dengan motonya 'kami memimpin' yang harus membolehkannya untuk membawa masyarakat dan negara ke hadapan dengan memartabatkan ilmu pengetahuan serta mengubah paradigma yang ada. Saya ingin mengucapkan syabas dan tahniah kepada universiti atas ulang tahun ke-40nya dan mendoakan agar USM akan terus berjaya menjadi antara yang tersohor di dunia.
Sumber: http://www.utusan.com.my