Oleh : Dr Sharifah Hayaati Syed Ismail
Era globalisasi, perkembangan
dunia semakin pesat, dinamik dan penuh persaingan ini, kemungkinan pekerja
untuk berdepan pelbagai bentuk kesukaran serta kemungkinan risiko sama ada yang
boleh diduga mahupun tidak adalah tinggi.
Justeru, selain merancang dan
berusaha untuk mencapai sasaran atau matlamat, pekerja perlu menyiapkan diri
dengan persediaan serta kekuatan mengurus risiko. Risiko bermaksud perkara yang
tidak dijangka dan ketidakpastian yang memberi kesan buruk atau negatif kepada
kita.
Contoh risiko ialah penyakit,
bencana, kemalangan dan sebagainya. Risiko boleh berlaku disebabkan faktor
manusia sama ada disebabkan kekurangan, kecuaian atau kelalaian, proses kerja,
kewangan, sistem dan peralatan.
Persediaan hadapi risiko
Oleh itu, mengurus risiko berkait
rapat dengan persediaan menghadapinya, pemantauan dan penilaian yang berterusan
untuk mengurangkan kemungkinan berlaku kejadian tak diingini. Ia adalah suatu
aspek dalam mengurus kerja yang kadangkala terlepas pandang kecuali apabila ia
sudah berlaku.
Jika bidang kerja memang terdedah
dengan risiko seperti keselamatan dan pencemaran bak pepatah Melayu mengatakan
sudah terhantuk baru tengadah.
Usaha persediaan bagi mengelakkan
daripada risiko adalah suatu tuntutan dalam Islam. Sesuai dengan matlamat
syariah untuk memelihara umat dan mengembangkan kebaikan serta menghindarkan
keburukan.
Tawakal selepas berusaha
Satu hari Rasulullah SAW melihat
seorang Arab Badwi meninggalkan untanya tanpa ditambat. Baginda bertanya kepada
Badwi itu: “Mengapa kamu tidak menambat untamu? Badwi itu menjawab: “Aku
bertawakal kepada Allah SWT.” Kemudian Rasulullah SAW bersabda: “Tambat unta
kamu kemudian bertawakallah kepada Allah.” (Riwayat al-Tirmizi)
Selain menunjukkan maksud tawakal
adalah dengan berusaha terlebih dulu kemudian barulah berserah kepada Allah
SWT, nasihat Rasulullah SAW juga membuktikan persediaan perlu dalam mengurus
risiko.
Dalam konteks ini, risikonya
ialah kehilangan unta. Malah, dalam sabda Baginda yang masyhur mengenai merebut
lima perkara nikmat juga membuktikan ajaran Islam menggalakkan kita
bersiapsiaga sebelum datangnya lima risiko keadaan atau keburukan.
Sabda Rasulullah SAW: “Rebutlah
lima perkara sebelum datang lima perkara. (Iaitu) muda sebelum tua, sihat
sebelum sakit, kaya sebelum miskin, masa lapang sebelum sempit dan hidup
sebelum mati.” (Riwayat al-Hakim dan al-Baihaqi)
Sikap hadapi risiko
Justeru, antara pelbagai
pendekatan Islam yang boleh diaplikasikan ialah pertama, persiapan sebelum
berdepan risiko dan kedua, sikap ketika berdepan risiko.
Persiapan untuk mengurangkan
risiko bermula dengan kesedaran dan kefahaman bahawa risiko adalah ujian.
Manakala sikap yang perlu ada apabila mendepani risiko ialah tabah dan tidak
mudah putus asa atau berpantang mati sebelum ajal.
Pekerja yang faham mengenai ujian
dalam kehidupan akan lebih mudah menerima hakikat risiko dan berdepan dengannya
secara tenang, tidak mudah berputus asa serta bersikap terburu-buru dalam tindakan
atau dengan mudah pula menuding jari kepada yang lain.
Ujian sekadar mendidik
Pemikiran positif yang ditanamkan
mengenai ujian ialah ia untuk mendidik bukannya menghukum. Menurut Sheikh
al-Imam Ibn ‘Ataillah al-Sakandari dalam al-Hikam, ujian mendidik kita supaya
menilai kelemahan diri, tindakan, amalan, mendidik jiwa sabar, taubat supaya
bertakwa kepada Allah SWT.
Apabila manusia terdidik melalui
ujian ini, Allah SWT akan memberikan pertolongan serta meninggikan pula
kedudukannya.
Iktibar boleh diambil dalam
peristiwa Perang Badar seperti pertolongan Allah SWT dalam firmanNya:
“(Ingatlah) ketika kamu memohon pertolongan daripada Tuhan kamu, lalu
diperkenankan oleh-Nya bagi kamu: Sesungguhnya Aku akan mendatangkan bantuan
kepada kamu dengan seribu malaikat yang datang berturut-turut.” (Surah
al-Anfal, ayat 9)
Peluang capai matlamat
Begitu juga dalam konteks risiko.
Kejayaan mengurus risiko bererti pekerja berjaya membuka lebih banyak peluang
untuk mencapai matlamat disasarkan yang akan membawa kepada peningkatan
pencapaian organisasi.
Manakala ketika berdepan dengan
sebarang ujian atau risiko pula kita perlu tabah dan tidak mudah berputus asa.
Kita diingatkan bahawa berputus asa adalah sikap orang yang sesat lagi dibenci
Allah SWT.
Penulis ialah Prof Madya di
Jabatan Siasah Syariyyah, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya (UM)
Sumber : http : //www.bharian.com.my/