Ibu bapa
untung berlipat ganda jika tidak abai pendidikan dunia, akhirat
Menurut laporan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), ketika ini dianggarkan
9.8 juta (36 peratus) penduduk negara terdiri daripada golongan kanak-kanak
berumur bawah 18 tahun. Golongan ini adalah anugerah dan nikmat terbesar
daripada Allah SWT. Mereka adalah aset pembangunan negara pada masa depan. Bagi
pasangan ibu bapa, ini akan menjadi saham dan membawa keuntungan berlipat ganda
jika mereka dididik dan dibentuk dengan baik serta menjadi anak yang soleh.
Sebaliknya, jika diabaikan dari segi didikan, tidak mustahil akan menjadi
anak derhaka, terbiar dan pada masa akan datang menjadi sampah kepada
masyarakat serta negara. Justeru memiliki anak soleh serta baik budi pekerti
menjadi impian setiap ibu bapa dan keluarga.
Doa mohon anak soleh
Nabi Zakaria memohon dengan berdoa kepada Allah SWT dikurniakan anak yang
soleh. Firman Allah SWT: “Ketika itu Nabi Zakaria berdoa kepada Tuhan-Nya,
katanya: Wahai Tuhanku! Kurniakanlah kepadaku dari sisi-Mu zuriat keturunan
yang baik; sesungguhnya Engkau sentiasa Mendengar (menerima) doa permohonan.”
(Surah Ali-Imran, ayat 38)
Anak-anak sebenarnya dilahirkan dalam keadaan fitrah, ibarat sehelai kain
putih yang suci lagi bersih daripada sebarang kekotoran sama ada zahir atau
batin. Maka menjadi tanggungjawab ibu bapa untuk membentuk mereka menjadi insan
berjaya.
Anak yang soleh akan memberi manfaat besar kepada kedua-dua ibu bapa. Sabda
Rasulullah SAW: “Apabila mati seseorang anak Adam, maka terputuslah segala
amalannya kecuali tiga perkara: sedekah jariah, ilmu yang bermanfaat dan anak
soleh yang mendoakan.” (Riwayat Imam Muslim)
Bina potensi melalui pendidikan
Pendidikan dapat membina potensi anak. Oleh itu, ia hendaklah dimulakan
sejak awal lagi kerana pada usia itu segala nilai yang ditanamkan akan tersemat
dalam sanubari mereka.
Ibnu Sina berpesan: “Ketika anak telah mendapat asuhan ibunya, maka
ajarkanlah ia adab-adab Islam sebelum ia diserang oleh nilai-nilai yang buruk.”
Sebagai ibu bapa, kita tidak boleh mengambil sikap lepas tangan. Jangan
kita beranggapan kita telah menunaikan kewajipan dan hak anak-anak apabila
mereka dihantar ke sekolah. Tanggungjawab kita bukan hanya memastikan anak
hidup selesa pada masa akan datang.
Tanggungjawab kita juga memastikan mereka mempunyai prinsip yang teguh dan
jati diri yang kuat. Oleh itu, penting pendidikan agama serta menyemai akhlak
mulia kerana dengan pendidikan agama, prinsip iman mereka akan teguh.
Ini akan membantu mereka menghadapi masalah sosial serta membantu mendepani
cabaran masa akan datang. Tanpa prinsip ini ditakuti anak-anak kita akan mudah
terpengaruh dengan pelbagai pemikiran hingga ada yang sanggup menggadai prinsip
kehidupan.
Kegelojohan nafsu syahwat di peringkat remaja sangat kuat. Jika punca dan
tempat menaikkan nafsu tidak ditutup dan kelemahan iman serta kedangkalan akal
menjadi sifat mereka, maka selagi itulah anak-anak kita terdedah kepada gejala
keruntuhan akhlak yang menghancurkan kehidupan.
Kehendak nafsu berunsur syahwat sentiasa mencabar setiap peringkat
kehidupan, ia boleh menjejaskan kualiti akhlak manusia setaraf binatang.
Jauhi keluarga daripada neraka
Ibnu Abbas meriwayatkan, Rasulullah SAW bersabda: “Rebutlah lima perkara
sebelum kamu didatangi oleh lima perkara. Masa mudamu sebelum tua, masa sihatmu
sebelum sakit, masa kayamu sebelum miskin, masa lapangmu sebelum sempit, dan
masa hidupmu sebelum mati.” (Riwayat al-Hakim dan Ibnu Majah)
Memelihara keluarga daripada ancaman neraka tidak bererti kita bersikap
pasif dengan mencegah mereka daripada pelbagai perbuatan maksiat. Kita juga
mesti aktif mendidik dan menerapkan nilai murni dalam diri mereka agar memiliki
daya tahan yang dapat menepis pengaruh persekitaran.
Ingatlah pepatah orang Melayu, ‘ampuh bak ikan di laut walaupun dikelilingi
air yang masin, sepanjang hayat badannya tetap tidak masin’. Peranan ibu bapa
bukan saja menjadi ‘tuan’ di rumah, tetapi mereka adalah pengurus, pembimbing
dan pengasuh.
Bersempena sambutan Hari Kanak-kanak Sedunia bertemakan Karisma
Kanak-kanak, Serlahkan Potensi Dirimu, marilah kita menjaga dan mendidik anak
yang diamanahkan oleh Allah SWT. Didiklah mereka dengan kehidupan beragama
supaya dapat berbakti kepada keluarga, masyarakat dan negara.
Khutbah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM)
Sumber : http : //www.bharian.com.my/