Oleh : Khaled Nordin
Jana kemahiran, kualiti
mahasiswa
Setiap tahun dianggar hampir
180,000 graduan berkelulusan sarjana muda dan diploma menamatkan pengajian
daripada institusi pengajian tinggi dalam negara. Secara tradisinya, semua
graduan ini akan diraikan pada satu majlis bersejarah iaitu konvokesyen. Kejayaan
menamatkan pengajian tidak bermakna berakhirnya segala usaha keras dan
kegigihan dalam kehidupan graduan. Ini kerana majlis konvokesyen bukanlah satu
acara yang diraikan semata-mata, tetapi peristiwa yang akan membawa mereka ke
satu lagi fasa dalam kehidupan sebenar yang lebih mencabar.
Aktiviti sukarela membantu
mahasiswa dalam pembentukan pemikiran positif, kematangan mental dan emosi dan
pembangunan personaliti dan kemahiran yang amat berguna kepada mereka"
Ketika belajar di kampus, mereka
dianggap sebagai golongan elit yang berada dalam kelompok tersendiri dan
golongan cerdik pandai menguasai ilmu dan kemahiran, kini mereka perlu
bersama-sama menjadi sebahagian daripada masyarakat di luar.
Membuat pilihan tepat
Di sinilah pentingnya graduan
membuat refleksi diri dengan melihat persekitaran dan akhirnya membuat pilihan
tepat untuk meneruskan fasa baru dalam kehidupan mereka. Apa yang pasti, fasa
baru ini adalah satu bentuk pengembaraan yang akan menambah pengalaman mereka
sehingga menjadi modal insan yang benar-benar menyumbang kepada pembangunan,
kemajuan dan transformasi negara.
Jika kita perhatikan, ada
sebahagian graduan yang memilih untuk bekerja dan makan gaji. Ada juga yang
mahu menyambung pengajian pada peringkat yang lebih tinggi dan tidak kurang
juga yang bekerja sendiri, menjadi usahawan yang mencipta pekerjaan untuk orang
lain.
Persoalannya, apakah masa depan
graduan kita sebenarnya? Walau apapun tugas dan peranan yang mereka pilih,
cabaran utama mereka ialah bagaimana dengan kekuatan ilmu, nilai dan kemahiran
yang diperoleh sepanjang pengajian, dapat dimanfaatkan bukan saja untuk
kepentingan diri, tetapi jauh lebih penting demi kesejahteraan rakyat dan
negara.
Jika ketika di kampus,
tanggungjawab mereka hanya menumpukan pengajian untuk mendapatkan keputusan
cemerlang, kini sudah tiba masanya bagi mereka ‘memulangkan’ semula kepada
masyarakat dan negara atas apa yang mereka peroleh selama ini.
Inilah cabaran sebenar seorang
graduan. Kehidupan baru mereka bukan semata-mata soal pekerjaan serta berkisar
ringgit dan sen, tetapi sumbangan berkualiti sebagai warga Malaysia yang
mempunyai tanggungjawab besar kepada kesejahteraan rakyat dan negara.
Selain memenuhi tuntutan
peribadi, graduan kita mempunyai peranan penting untuk memakmurkan
kesejahteraan masyarakat kita dan ini termasuk kesanggupan melakukan aktiviti
sukarela yang ditanam dengan nilai kesukarelawanan sejak di kampus lagi.
Bentuk pemikiran positif
Tidak dinafikan, aktiviti
sukarela membantu mahasiswa dalam pembentukan pemikiran positif, kematangan
mental dan emosi dan pembangunan personaliti dan kemahiran yang amat berguna
kepada mahasiswa. Melalui kerja sukarela, proses pembelajaran akan dapat
ditransformasikan secara terus kepada pelajar melalui nilai murni dan
pembangunan diri yang positif.
Lebih penting, melalui kerja
sukarela, mahasiswa akan dapat meningkatkan keyakinan diri mereka sendiri,
merasakan diri lebih berguna, lebih menghargai, merasa lebih produktif dan
dapat meningkatkan kemahiran insaniah.
Selain itu, kesukarelawanan juga
penting dalam proses sosialisasi apabila setiap mahasiswa yang terbabit akan
mengenali antara satu dengan yang lain dan mendekatkan mereka dengan masyarakat
setempat. Pendek kata melalui kesukarelawanan, proses sosialisasi boleh
dibentuk dengan mudah. Tidak dinafikan, kesukalerawanan adalah aktiviti yang
boleh menjadi pilihan kepada graduan untuk menyumbang melampaui kepentingan
diri mereka.
Bagi merancakkan lagi aktiviti
sukarela di kalangan belia termasuk graduan, pelbagai inisiatif dan insentif
baru telah diperkenalkan. Baru-baru ini, kerajaan mengambil langkah menubuhkan
satu entiti kesukarelawan yang dikenali sebagai 1Malaysia For Youth
(1M4U).
Istimewanya melalui 1M4U, semua
pihak boleh mencurah khidmat bakti kepada masyarakat tanpa perlu berdaftar atau
menjadi ahli kepada sebarang pertubuhan, persatuan, kelab atau mana-mana badan
beruniform. Kita percaya, dalam kesibukan mengejar cita-cita, ia tidak
menghalang mereka prihatin kepada nasib dan juga masa depan orang lain melalui
aktiviti sukarela.
Soalnya, membabitkan diri dalam
aktiviti sukarela akan memberi nilai tambah kepada graduan kita menjadi warga
negara berjiwa besar, memimpin masyarakat dan memikirkan soal ummah. Tiada
untungnya negara yang mempunyai jumlah generasi muda yang ramai, tetapi sekadar
mengira untung nasib diri sendiri. Bukankah slogan rakyat didahulukan itu juga
perlu diajukan kepada graduan, bukan saja kerajaan.
Penulis ialah Menteri
Pengajian Tinggi Malaysia
Sumber : http : //www.bharian.com.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan