Oleh : DATUK SERI MOHAMED KHALED NORDIN
Pengajian tinggi adalah sebahagian proses pendidikan
yang bermula daripada peringkat rendah dan menengah. Sistem pendidikan negara
pada masa ini mewajibkan pendidikan rendah dan menengah dan kerajaan membiayai
sepenuhnya kos pendidikan di peringkat tersebut.
Pengajian tinggi juga adalah bersifat pilihan apabila individu boleh
memilih untuk melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi atau memasuki
alam pekerjaan. Ia adalah pelaburan yang boleh meningkatkan keupayaan seseorang
individu untuk bersaing merebut peluang kerjaya dan pendapatan yang lebih baik.
George Psacharopoulos yang
merupakan pakar Bank Dunia melalui kajian bertajuk "Returns To
Investment In Higher Education: A European Survey" menyatakan
keputusan untuk memilih pengajian tinggi merupakan satu pelaburan kepada individu
dan pulangan yang diperoleh individu hasil daripada pengajian tinggi juga
adalah lebih besar iaitu 10.2 peratus (%) berbanding 7.9% oleh masyarakat.
Maka, adalah wajar individu
membiayai sebahagian pelaburan itu daripada ditanggung keseluruhannya oleh
pembayar cukai (orang awam). Kos pengajian tinggi harus
dikongsi bersama oleh pembayar cukai dengan individu kerana pengajian tinggi
mempunyai ciri quasi public goods.
Walaupun begitu, di negara kita
ketika ini di peringkat pengajian tinggi, kerajaan memberi subsidi bagi yuran
yang dikenakan kepada pelajar. Umpamanya, kos program pengajian perubatan di
institusi pengajian tinggi awam (IPTA) sebelum subsidi adalah sebanyak
RM166,000 tetapi pelajar hanya membayar yuran sebanyak RM9,000 sahaja, yang
mana 94.6 peratus diberikan subsidi oleh kerajaan.
Bagi program kejuruteraan pula,
kadar yuran yang sepatutnya adalah RM61,200, manakala yuran yang dibayar
pelajar hanya RM5,600 iaitu 90 peratus diberi subsidi oleh kerajaan. Bagi
program farmasi pula kos sebenar adalah dalam lingkungan RM51,000 dan pelajar
hanya perlu membayar yuran RM6,800. Malah, yuran yang dikenakan oleh IPTA ini
juga tidak pernah dinaikkan sejak 1990-an lagi.
Secara keseluruhannya, lebih 90%
pembiayaan IPTA adalah bersumberkan dana awam (cukai).
Pokoknya, falsafah di sebalik
pembayaran yuran pengajian tinggi sebenarnya sebagai tanda penghargaan kepada
nilai ilmu dan keilmuan. Ia sangat penting dalam meletakkan kepentingan dan
nilai pengajian tinggi pada tempatnya.
Bagi negara maju, mereka juga
mula mengenakan yuran pengajian di institusi pengajian tinggi awam
masing-masing, antaranya United Kingdom bermula 1998. Namun bagi meringankan
beban pelajar, kerajaan Britain memperkenalkan skim pinjaman pelajar. Langkah
ini juga diikuti beberapa negara Eropah lain seperti Austria, Perancis,
Ireland, Sepanyol, Belgium, dan Belanda.
Kadar yuran yang dikenakan juga
berbeza mengikut negara dari serendah 50 Euro sehinggalah 1,302 Euro. Begitu
juga dengan Maghribi di mana Menteri Pengajian Tinggi dalam laman sesawang Morocco
World News pada 23 Julai 2012 mengumumkan keputusan kerajaannya untuk
menghentikan pengajian tinggi percuma.
Sungguhpun terdapat negara
seperti Finland, Denmark dan Norway, yang dikatakan menawar pendidikan tinggi
secara percuma, namun negara-negara ini mempunyai struktur cukai pendapatan
yang paling tinggi di dunia. Kadar cukai pendapatan individu di negara itu
adalah antara 6.5 hingga 55.4% dan mereka juga melaksanakan cukai perkhidmatan
dan barangan (goods and services tax - GST) dan Value-added Tax
(VAT) sekitar 23 hingga 25% yang belum lagi diamalkan di Malaysia.
Pendapatan perkapita setahun
negara-negara itu juga adalah jauh lebih tinggi berbanding Malaysia yang mana
Finland mempunyai pendapatan perkapita setahun sebanyak AS$48,420, Denmark
AS$60,390, dan Norway sebanyak AS$88,890, manakala pendapatan perkapita
Malaysia hanya AS$8,420.
Pendapatan perkapita hasil
daripada cukai yang tinggi ini digunakan untuk membiayai pengajian tinggi. Ini
menunjukkan sebenarnya tidak wujud istilah pendidikan percuma di mana-mana
negara kerana pasti akan ada pihak yang membiayainya.
Dalam erti kata lain, pendidikan
percuma di Finland, Denmark dan Norway dibiayai oleh dana awam sepenuhnya
melalui kadar cukai yang tinggi tetapi Malaysia dengan kadar cukai 0-26% masih
mampu memberikan subsidi yuran sehingga 95% kepada lebih 500,000 pelajar IPTA
setahun.
Hujah yang menjadikan Turki
sebagai contoh negara yang memberi pendidikan percuma adalah tidak tepat sama
sekali. Turki sebenarnya turut mengenakan yuran pengajian di peringkat tertiari
dan pasca siswazah, dan keadaannya sama seperti Malaysia.
Turki hanya menawarkan pendidikan
percuma di peringkat sekolah rendah, sekolah menengah dan sekolah tinggi dari
gred 1 hingga 12 (dari umur 6 - 18 tahun). Gred 1-4 adalah sekolah rendah; gred
5-8 adalah sekolah menengah; dan gred 9-12 adalah sekolah tinggi).
Malaysia juga menawarkan
pendidikan percuma di peringkat sekolah rendah dan menengah dari darjah 1
hingga tingkatan 6 atas (dari umur 7-18 tahun) sama seperti Turki.
Pada masa sama, sebahagian besar
pelajar Turki terpaksa memohon pinjaman menerusi Higher Education Credit and
Dormitories Institution yang ditubuhkan pada 1961 dan kadar faedah yang
dikenakan berdasarkan Indeks Harga Pengguna (CPI) yang mengikut kadar inflasi
semasa.
Kadar purata CPI untuk 2010 ialah
8.58% dan tahun 2011 ialah 6.46%. Kadar faedah tambahan sebanyak 2.5% daripada
kadar asas CPI akan dikenakan kepada pelajar yang gagal membuat bayaran dalam
tempoh yang ditetapkan.
Sebagai rumusan, pelaksanaan
pengajian tinggi percuma akan melibatkan implikasi-implikasi yang memerlukan
pertimbangan rasional agar tindakan tersebut tidak menjejaskan hala tuju negara
dalam mencapai status negara maju menjelang 2020. Di samping itu, pengajian
tinggi percuma tidak boleh dilaksanakan ke atas IPTS kerana ia adalah entiti
perniagaan yang berasaskan keuntungan.
Situasi ini, akan menyebabkan
tumpuan masyarakat akan beralih kepada IPTA. Kualiti pengajian tinggi negara
juga boleh jatuh kerana faktor percuma akan menghilang nilai sebenar ilmu dan
sikap kebertanggungjawaban pelajar.
Sehubungan itu, pada masa ini,
kerajaan belum bersedia memberi pengajian tinggi percuma kerana jika
dilaksanakan kerajaan terpaksa mengenakan bebanan cukai yang tinggi terhadap
rakyat. Maka di sinilah letaknya kepentingan Perbadanan Tabung Pendidikan
Tinggi Nasional (PTPTN). Sebelum penubuhan PTPTN, kerajaan hanya mampu
menyediakan biasiswa untuk sekitar 26,000 orang pelajar sahaja setahun. Ini
bermaksud, ramai pelajar yang layak ke IPT tidak mendapat penajaan khususnya
dalam kalangan mereka yang miskin dan berpendapatan sederhana.
Namun, hari ini, PTPTN berjaya
meningkatkan akses kepada pengajian tinggi di mana pada 2011 sahaja, sejumlah
227,209 orang berjaya melanjutkan pengajian di peringkat pengajian tinggi
dengan bersumberkan pembiayaan PTPTN.
Kerajaan melihat cadangan untuk
memberikan pendidikan percuma dan menghapuskan PTPTN adalah satu lagi janji
yang populis tanpa mengkaji implikasinya. Tindakan pemansuhan PTPTN sebenarnya
akan memberi kesan amat besar kepada pelajar dan negara kerana ia akan:
i. Mengehadkan akses
kepada pengajian tinggi dalam kalangan pelajar miskin;
ii. Menyebabkan
ketiadaan sumber untuk membiayai yuran pengajian pelajar IPTS;
iii. Menyebabkan
ketiadaan sumber untuk membiayai kos sara hidup pelajar IPTA/IPTS, yang mana
bagi pelajar IPTA hanya sekitar 15 - 30% pinjaman PTPTN digunakan untuk
membayar yuran, manakala 70 - 85 % digunakan bagi menanggung kos sara hidup.
Bagi pelajar IPTS pula, 70% digunakan untuk yuran dan 30% untuk sara hidup; dan
iv. Merencatkan usaha
bagi merealisasikan hasrat untuk menjadikan Malaysia sebagai pusat pengajian
tinggi negara menjelang tahun 2020
Oleh itu, kerajaan akan
mengekalkan pembiayaan PTPTN. Sehingga 31 Ogos 2012, PTPTN meluluskan
pembiayaan pendidikan kepada 2,031,259 pelajar yang layak dengan komitmen
sehingga pelajar tamat pengajian berjumlah RM45.4 bilion. Jumlah ini amat
tinggi tetapi komitmen ini adalah pelaburan besar negara untuk manfaat rakyat
dan pembangunannya.
Penulis ialah Menteri Pengajian Tinggi Malaysia
Sumber : http : //www.utusan.com.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan