Jumaat, 3 Ogos 2012

ISU SOSIAL : Kerjasama banteras jualan mercun

KOMANDER Unit Pencegah Penyeludupan (UPP) Kelantan, Rusli Karim (empat dari kiri) bersama anggota memeriksa mercun bernilai RM180,000 yang berjaya dirampas UPP di Rantau Panjang, Kelantan baru-baru ini.


Oleh : NURUL ANUAR KARI
anuar.kari@utusan.com.my

BARU minggu kedua Ramadan, berita tentang kecederaan berkaitan mercun semakin banyak dilaporkan media cetak dan elektronik.

Walaupun menyayat hati terutama jika menyebabkan kecederaan terhadap kanak-kanak, namun rakyat Malaysia seolah-olah sudah lali dengan berita sebegini dan tidak lagi merasakan kemalangan sedemikian sesuatu yang mengejutkan.

Tambahan pula, sebilangan remaja bermasalah kini sudah mula bermain mercun dengan membaling kepada orang, kenderaan mahupun rumah sebagai satu bahan jenaka.

Mercun ada fungsinya dalam upacara kaum dan kepercayaan tertentu tetapi langsung tiada tempat dalam budaya Melayu mahupun agama Islam.

Walaupun ada budaya bermain meriam buluh di kampung-kampung sejak beberapa dekad lalu, tetapi ia bukan sebahagian daripada amalan umat Islam pada bulan Ramadan dan Syawal.

Umum dan media sendiri sudah muak menceritakan tragedi yang berulang setiap kali ketibaan Ramadan dan Syawal ini, tetapi sebenarnya ramai yang tidak sedar punca masalah adalah sikap anggota masyarakat itu sendiri.

Rata-rata masyarakat menyalahkan kanak-kanak atau mereka yang cedera kerana bermain mercun, ibu bapa mahupun pihak berkuasa yang dianggap tidak menjalankan tanggungjawab dengan baik.

Semua orang mengetahui bermain mercun adalah satu aktiviti yang sia-sia dan lebih membazir daripada merokok. Lebih teruk, ia mampu mencederakan dan membunuh dengan lebih dahsyat daripada asap tembakau.

Namun, jika bertanya kepada diri sendiri, berapa ramaikah di antara rakyat negara ini yang pernah menghalang mahupun melaporkan aktiviti penyeludupan dan penjualan mercun haram kepada pihak berkuasa atau sekurang-kurangnya kepada Rukun Tetangga?

Realitinya, penjualan mercun amat mudah dilihat di pasar malam, bazar Ramadan, gerai mahupun premis kedai terutama pada musim perayaan. Dalam menangani masalah itu pula, masyarakat seolah-olah lepas tangan dengan mengharapkan pihak berkuasa datang menyiasat sendiri serta menangkap penjenayah terbabit.

Dengan itu, tidaklah pelik apabila ramai di kalangan generasi muda kudung anggota, buta, pekak dan melecur teruk. Jika tidak maut sekalipun, mereka akan menjadi pewaris negara yang cacat kekal selama-lamanya.

Terbaru, kes seorang pemuda dan anak jirannya di Kedah sudah berada dalam statistik mangsa mercun. Mangsa dilaporkan membeli mercun di bazar Ramadan berhampiran rumahnya.

Yang bermain mercun itu mungkin akan kehilangan deria penglihatan tetapi ramai terlepas pandang, terutama anggota masyarakat setempat di negara ini tentang aktiviti jualan mercun yang dibiar berleluasa.

Sikap kejiranan kini yang lebih suka mengata dan mengutuk jika terkena kepada orang lain memburukkan lagi keadaan. Hanya apabila terkena pada keluarga sendiri barulah mereka tersentak.

Jika ditanya, klise biasa adalah penguat kuasa tidak buat kerja, kerajaan gagal kawal penyeludup dan peniaga mercun, mahupun 'Perdana Menteri' perlu selesaikan masalah ini.

Sedangkan terdapat beribu-ribu mata yang sekadar memandang kegiatan menjual mercun haram itu setiap hari. Agak menyedihkan apabila tiada yang melaporkannya dan sekadar menjeling dengan tanggapan 'biarlah...asal tidak menyusahkan aku'.

Ramai yang mungkin terlupa tragedi letupan kilang dan gudang mercun sebelum ini, di dalam dan luar negara. Seperti tragedi pada Ogos 2010 di Terengganu yang sepatutnya sudah cukup untuk menyedarkan semua pihak apabila seorang kanak-kanak berumur enam tahun maut dengan tragis akibat letupan mercun yang disimpan bapanya sendiri.

Dengan jumlah mercun yang begitu besar, mustahil tiada langsung tetangga, saudara mahupun penduduk sekitar mengetahui atau sekurang-kurangnya mengesyaki sesuatu tidak kena sedang berlaku.

Sama juga di mana-mana sekalipun, jika orang ramai masih tidak endah dan mengabaikan tanggungjawab bersama dalam menghalang aktiviti haram ini, usahlah terkejut jika suatu hari nanti, mercun akan meragut nyawa keluarga atau kenalan anda.

Hakikatnya, penguat kuasa tidak boleh berada di semua tempat sepanjang masa, justeru penduduk setempat yang mengetahui aktiviti haram yang dijalankan itu wajarlah melaporkannya kepada pihak berkuasa.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

ISU SOSIAL : Pencuri masa peroleh rezeki tidak halal


Oleh : Anur Inani Ismail
 
Mencuri masa termasuk dalam kategori mencuri kerana menggunakan sebahagian masa diperuntukkan untuk sesuatu kerja yang diamanahkan dengan melakukan perkara lain.

Si pencuri masa pula biasanya dikaitkan dengan sikap suka ‘bertangguh’ kerana disebabkan bertangguh, banyak perkara perlu disiapkan akan tergendala. Akibatnya, masa yang lain pula diperlukan untuk melakukan kerja sepatutnya telah diselesaikan tidak lama dulu.

Selain itu, konteks ‘mencuri masa’ bukan saja terhad kepada sikap suka bertangguh, malah ia juga merujuk kepada pekerja yang membuat perkara tidak berkaitan dengan pekerjaannya semasa waktu bekerja.

Contohnya, pekerja yang sengaja melambat-lambatkan kerja; sibuk melayari laman sesawang yang tiada kaitan dengan kerja; masuk lewat daripada waktu sepatutnya dan pulang sebelum tiba waktu ditetapkan.

Dengan adanya sikap sebegini, tidak mungkin kita akan mendapat rezeki diberkati Allah SWT. Keberkatan adalah satu nikmat ketenangan dan kecukupan daripada Allah SWT kepada hamba-Nya yang beriman, bersyukur dan sentiasa mencari rezeki halal untuk kehidupan serta keluarganya.

Dalam hal ini, mencuri juga boleh dilihat sebagai aspek mendapat rezeki secara tidak halal. Rezeki tidak halal yang diperoleh itu apabila dibuat membeli barang keperluan dan makanan akan menjadi haram.

Apabila seseorang memakan hasil haram, maka gelaplah hatinya, susah untuk menerima ilmu dan jauh diri daripada Allah SWT. Kesannya pula bukan terasa kepada diri sendiri saja, malah isteri atau suami dan anak turut merasai perkara sama jika amanah diberikan tidak dijalankan sebaiknya.

Amanah adalah satu tanggungjawab berat daripada Allah SWT. Jika Allah SWT telah takdirkan kita dengan sesuatu pekerjaan, ini bermakna Allah SWT mengilhamkan kepada majikan untuk memberikan kepercayaan itu dan mengharapkan kita menggalas amanah diberikan sebaiknya.

Oleh itu, elakkan daripada tergolong dalam kalangan pencuri masa. Contohilah sikap Umar Ibn Aziz yang memadamkan lampu dan sanggup bergelap apabila ada ahli keluarganya datang sewaktu dia berada di ruangan pejabat untuk melakukan urusan kerja kerajaan.

Betapa amanahnya beliau dalam menggunakan harta negara bukan untuk kepentingan sendiri. Inilah yang perlu dicontohi. Berusaha sehabis daya untuk mendapatkan keberkatan dan seterusnya keredaan Allah SWT atas apa saja pekerjaan dilakukan.

Oleh itu, jadilah si pencuri masa yang diberkati. Maksudnya di sini bukan pencurian yang membawa kepada kemurkaan Allah SWT, tetapi sebaliknya. Curilah masa yang ada untuk melakukan sesuatu perkara dengan lebih berkesan.

Contohnya, apabila ada masa terluang atau semua kerja diamanahkan telah selesai, curilah masa yang masih berbaki untuk melakukan perkara yang  memberi manfaat kepada organisasi tempat kita berkhidmat.

Penulis ialah Pegawai penyelidik Pusat Kajian Pengurusan Pembangunan Islam (ISDEV), Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan Universiti Sains Malaysia (USM)

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

ISU GLOBAL : Kurang sokongan punca Annan letak jawatan


GENEVA - Bekas wakil khas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB)-Liga Arab, Kofi Annan menjelaskan peletakan jawatannya kelmarin sebagai duta antarabangsa Syria disebabkan pelan damai yang dibuat pada April lalu, tidak mendapat sokongan kuasa-kuasa besar.

Beliau turut menyatakan kekesalan terhadap tindakan tentera Syria melakukan provokasi dengan menggunakan jet pejuang terhadap pemberontak bersenjata di ibu negara Aleppo.

Beliau juga mengecam kalangan kuasa-kuasa besar yang menuduhnya gagal memberhentikan pertumpahan darah dan ketegangan yang hampir berlarutan sehingga 17 bulan.

“Saya tidak menerima sokongan yang diperlukan dan sebagai duta, saya perlukan keadilan daripada semua pihak dalam mencorakkan keamanan terutama daripada Majlis Keselamatan dan masyarakat antarabangsa,“ katanya sejurus peletakan jawatannya diumumkan oleh Setiausaha Agung PBB, Ban Ki-moon di ibu pejabat PBB di New York, kelmarin.

Menurutnya, tindakan berterusan menuding jari terhadap Majlis Keselamatan membantutkan usahanya untuk melaksanakan pelan damai yang sepatutnya bermula dengan gencatan senjata pada 12 April lalu.

Justeru, beliau turut meramalkan, bahawa lambat laun Presiden Bashar al-Assad akan melepaskan jawatan dan penggantinya bakal berhadapan konflik yang lebih dahsyat.

Sumber : http : //www.sinarharian.com.my/

ISU EKONOMI : Mengurang beban sektor kesihatan



Oleh Nurul Anuar Kari

KINI satu dunia sudah tahu Malaysia adalah pemain utama penjagaan kesihatan global. Dua penyenaraian awam IHH Healthcare Bhd, yang muncul julung-julung kali di bursa saham Malaysia dan Singapura minggu lalu memberikan petunjuk kukuh bahawa Malaysia bersungguh-sungguh terhadap industri perkhidmatan ini.

Menurut bekas Ketua Pengarah Kesihatan Prof. Tan Sri Dr. Ismail Merican, kita sepatutnya berbangga apabila Khazanah Nasional Bhd. telah menerokai satu cabaran yang besar dalam menyediakan khidmat penjagaan kesihatan, bukan sahaja untuk rakyat Malaysia malah masyarakat di rantau ini.

IHH adalah cabang penjagaan kesihatan Khazanah. Asetnya termasuk Hospital group Acibadem AS di Turki, Parkway Holdings di Singapura, Apollo Hospital Enterprise Ltd di India dan Pantai Hospital dan International Medical University (IMU) di Malaysia.

IHH mengurus 83 hospital di negara-negara tersebut yang menjadikannya pengendali hospital kedua terbesar di dunia selepas Hospital Corporation of America (HCA) yang mengendalikan 163 hospital.

Bekas Ketua Pengarah Kesihatan itu berkata beliau secara khususnya menyambut baik penyenaraian IHH kerana berharap usaha itu akan menyedarkan Kementerian Kesihatan untuk mempercepatkan proses memperkenalkan pembaharuan penjagaan kesihatan.

Pembentukan IHH akan meningkatkan lagi prospek pelancongan perubatan dan ia baik untuk ekonomi negara. Ini kerana ramai pesakit asing datang ke Malaysia kerana mereka mengetahui negara ini menyediakan khidmat penjagaan kesihatan yang berkualiti, selamat dan pada harga mampu.

Penjagaan kesihatan adalah satu industri yang besar namun hidangan perkhidmatan yang selesa dan terbaik dikatakan dapat dinikmati oleh kumpulan rakyat terpilih sahaja kerana ia disediakan oleh sektor swasta.

Sebaliknya, ramai yang kaya dan berkemampuan turut mendapatkan rawatan di hospital kerajaan. Sudah tentu situasi ini menambah sedikit bebanan hospital awam.

Kini, mereka yang sebelum ini tidak begitu yakin perkhidmatan hospital swasta mempunyai pilihan. Dengan adanya pemain yang mempunyai kepakaran klinikal seperti IHH, rakyat berkemampuan mempunyai pilihan dan boleh mengunjungi hospital berkenaan. Usaha ini kemungkinan akan mengurangkan bebanan kerja hospital kerajaan.

Dr. Ismail, yang kini Pro-Canselor dan Pengerusi MAHSA University College berpendapat satu opsyen yang besar akan diwujudkan sebagai pilihan pesakit untuk mendapatkan rawatan apabila pemain besar memasuki pasaran ini.

Apabila rakyat Malaysia mempunyai pilihan untuk mendapat khidmat kesihatan, sudah tentu mereka akan memilih pemain yang sesuai dengan kemampuan dan keperluan masing-masing dari segi penjagaan yang baik, selamat dan berkualiti.

IHH mempunyai rangkaian global, oleh itu ia boleh menjadi penanda aras kepada perkhidmatan di hospital kerajaan bagi menawarkan perkhidmatan yang bertaraf global juga.

Sesetengah doktor pakar kita bertaraf dunia. Sebab itu ada pesakit dari Indonesia atau India datang ke negara ini untuk mendapatkan khidmat kepakaran mereka.

Mahu atau tidak akan wujud persaingan antara petugas dan doktor di hospital awam dengan swasta. Sudah tentu persaingan itu akan menaikkan tahap kemahiran dan pengetahuan mereka yang terlibat dalam perkhidmatan penjagaan kesihatan ini. Kelebihannya ialah ia akan menyediakan keterujaan yang sama bagi meningkatkan khidmat di sektor awam.

Malaysia hanya membelanjakan 4.6 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) untuk penjagaan kesihatan. Itu tidak mencukupi. Itu adalah apa yang akan dibelanjakan oleh negara berpendapatan rendah.

Bagi negara berpendapatan pertengahan seperti Malaysia, kita perlu berbelanja sekurang-kirangnya 6.4 peratus daripada KDNK.

Harga penjagaan kesihatan pula sentiasa meningkat, terutama kesan pengenalan teknologi baharu. Kos penjagaan kesihatan akan ditentukan oleh kuasa pasaran dan akhirnya, bukan sahaja rakyat Malaysia tidak mampu mendapatkan khidmat penjagaan kesihatan berkualiti, malah kerajaan juga tidak akan berupaya menyediakannya.

Oleh itu IHH diharap memainkan peranan bagi membantu meringankan beban Kementerian Kesihatan dan Kementerian Pengajian Tinggi dalam menyediakan pendidikan perubatan melalui IMU yang berada di bawahnya.

Perancangan rapi Khazanah meletakkan perkhidmatan penjagaan kesihatan di mata dunia selaras dengan MBE untuk memacu swasta sebagai teraju ekonomi negara berpendapatan tinggi. Melalui pendekatan yang dipelopori Khazanah ini juga Pelan Transformasi Ekonomi dapat direalisasikan.

Kerajaan tidak perlu lagi terlalu banyak campur tangan dalam perniagaan. Kerajaan sudah boleh berundur beransur-ansur daripada terbabit dalam perniagaan dan sektor swasta mengambil peranan sebenarnya dalam perniagaan dan pembangunan ekonomi.

Sebagaimana kata Ketua Pegawai Eksekutif Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (PEMANDU) Datuk Seri Idris Jala, untuk membentuk sebuah negara membangun berpendapatan tinggi strateginya adalah mendorong kerajaan mengurangkan peranannya dalam banyak perkara dan menyerahkan peranan itu kepada sektor swasta.

Kerajaan Pusat memang serius mahu mengurangkan pembabitannya dalam perniagaan. Namun begitu harus ditekankan ketiadaan langsung pembabitan kerajaan dalam perniagaan adalah tidak wajar. Kita perlukan kerajaan dalam beberapa keadaan.

Misalnya apabila modal pertumbuhan besar, teknologi baru yang canggih dan pemangkinnya diperlukan, tidak mungkin ia dapat digerakkan tanpa pembabitan awal bersama dengan kerajaan. Namun apabila tiba masanya, kerajaan perlu menarik diri.

Penyenaraian atau pelupusan syarikat milik kerajaan dan kementerian dapat mengurangkan bilangan syarikat kerajaan yang bersaing dengan sektor swasta untuk mendapatkan kontrak.

Ini bagi mengelak penyingkiran atau penyisihan sektor swasta. Sementara itu, kita tidak patut memberi keutamaan kepada syarikat milik kerajaan untuk penganugerahan kontrak.

Manfaat utama daripada keseluruhan proses ini ialah kerajaan akan memperoleh hasil daripada projek pembangunannya dan sektor swasta pula dapat menerajui semua projek perniagaan ini dengan lebih baik daripada kerajaan sendiri. Dengan ini, kita boleh menjangka pendapatan yang lebih banyak daripada hasil cukai pada masa akan datang.

Pengurangan peranan kerajaan dalam perniagaan adalah ciri penting dalam matlamat menjadikan negara kita sebuah negara berpendapatan tinggi. Teras kepada perubahan ini ialah matlamat menjadikan Malaysia sebuah ekonomi yang lebih berorientasikan pasaran kerana itulah satu-satunya cara memastikan kita berdaya saing relatif kepada seluruh dunia .

Profesor Ekonomi, Fakulti Ekonomi, Kewangan dan Perbankan, Universiti Utara Malaysia (UUM), Profesor Datuk Dr. Amir Baharuddin pula berpendapat langkah penyenaraian itu memang tepat dari sudut mengurangkan beban kewangan kerajaan dalam sektor kesihatan.

"Asas mengurangkan beban awam adalah mengalihkan kepada kumpulan yang lebih meluas. Bila lebih ramai yang menyokong, maka semakin berkuranglah beban itu.

"Dengan penyertaan ramai itu juga, akan meningkatkan keupayaan kewangan dan kepakaran yang mampu dibawa masuk ke dalam sektor terbabit," katanya.

Tambahnya, agak sukar mengharapkan bajet daripada kerajaan sahaja untuk membangunkan sektor kesihatan kerana kewangan negara terikat dengan bermacam perkara lain.

Namun, beliau berharap kerajaan akan memantau sudut pengurusan walaupun bahagian perniagaan telah diuruskan sektor swasta.

"Kerajaan tetap perlu pantau kerana kita mahu sektor kesihatan negara semakin cekap, menurunkan kos kepada pesakit serta mengurangkan beban kewangan awam," ujarnya.

Tegasnya, sinergi antara pengurusan kerajaan dan perniagaan swasta itu yang dikehendaki daripada penyenaraian IHH tersebut agar kedua-dua belah pihak mendapat manfaatnya.

Jelas beliau lagi, kerajaan juga bukan sahaja mengurangkan beban kos malahan dapat berkongsi pengalaman sektor swasta untuk meningkatkan mutu perkhidmatan kepada rakyat.

"Perniagaan perubatan sentiasa berkembang tetapi jika kita tidak berkembang, maka kesihatan rakyat yang akan 'menguncup' apabila perkhidmatan menjadi tidak elok.

"Modal hasil penyenaraian boleh digunakan untuk membangunkan sektor kesihatan sementara dana kerajaan yang dijimatkan dapat dialih kepada perkara lain seperti kajian untuk penyakit yang dihidapi ramai rakyat Malaysia," tegasnya.

Amir juga percaya peningkatan kemampuan kewangan dan kepakaran di hospital swasta di bawah IHH, khususnya di negara ini, akan mengurangkan beban di hospital kerajaan.

"Bila yang berkemampuan beralih ke hospital swasta yang kini boleh menawarkan harga lebih berpatutan untuk perkhidmatan mereka, rakyat yang kurang mampu pula lebih mudah mendapatkan perkhidmatan di hospital kerajaan.

"Dengan adanya sinergi awam dan swasta ini, semua pihak akan mendapat manfaatnya terutama sekali rakyat yang dapat menikmati perkhidmatan kesihatan lebih baik," jelasnya.

Sumber : http : //www.bharian ,com,my/

ISU PENGAJIAN TINGGI : Betulkan perspektif terhadap pengajian tinggi


Oleh : MOHAMAD ABDULLAH

SEORANG pemimpin politik yang dilaporkan oleh sebuah akhbar berbahasa Inggeris berkata, kerajaan pimpinannya menyokong penubuhan sebuah universiti di negeri yang dipimpinnya yang dikatakan akan jauh lebih baik dari Universiti Sains Malaysia (USM). Apatah lagi katanya, universiti tersebut akan diterajui dan ditubuhkan oleh tokoh hebat dari Amerika Syarikat yang tentunya akan menjadikan universiti itu lebih masyhur dan terkenal.

Pandangan ini tentunya bukan asing bagi kita kerana dalam perspektif banyak pihak, termasuklah mereka yang selalu mengkritik pengajian tinggi negara sering berkiblatkan Barat dan melihat segala nilai yang ditentukan oleh orang lain itulah sebagai kayu ukur utama untuk meletakkan pengajian tinggi negara sebagai hebat dan dianggap terkemuka. Apa sahaja pujian dan penarafan yang dibuat, walaupun kayu ukurnya dan kaedahnya tidak diperhalusi, dianggap baik malah sempurna untuk diikuti.

Persoalan asas yang harus difikirkan adalah pengajian tinggi itu untuk apa dan untuk siapa. Apakah maknanya memiliki segulung ijazah sama ada di peringkat ijazah pertama mahu pun ijazah Ph.D malah gelar profesor sebagai mahaguru yang boleh dianggap hebat penguasaan ilmunya.

Malah, kebelakangan ini timbul pula cerita pihak yang menghasilkan ijazah palsu yang boleh diperolehi dengan harga tertentu, hingga ke peringkat doktor falsafah. Ada pula orang yang ingin membelinya dengan harga yang tinggi walau pun tahu ia perbuatan tidak bermoral dan menyalahi undang-undang dan tidak pula memberikan gambaran sebenar nilai ilmu yang ada pada ijazah berkenaan.

Cerita memiliki ijazah palsu ini pula bukanlah baru. Di luar negara, ada yang menggunakan ijazah palsu hingga penghujung hayat tanpa ada sesiapa yang mengetahuinya. Malah ada juga kisah-kisah orang yang mengaku berkelulusan sebegitu tinggi hingga menghasilkan buku sebagai pakar dalam sesuatu bidang tetapi akhirnya ternyata menipu.

Agak malang, kita semakin lupa tentang peranan ilmu dan kepentingannya dalam pembangunan negara bangsa. Kita mengejar wang ringgit, nama dan kemasyhuran sehingga tanpa sedar kita memperjudikan nasib bangsa dan agama, nilai-nilai dan kearifan yang kita ada serta budaya yang kita junjung sebagai asas dan teras untuk memajukan negara dalam acuan kita sendiri.

Sebahagian besar sekadar melihatnya sebagai tiket untuk bekerja dan mendapat pulangan ekonomi yang besar apatah lagi jika datangnya dari nama-nama besar, maka semakin tinggilah nilai ekonominya. Yang dilihat bukan pemikiran dan kemampuan untuk menjadi manusia yang kreatif dan inovatif dalam meningkatkan kualiti hidup masyarakat, tetapi ijazah dan dari mana datangnya ijazah berkenaan.

Alangkah baiknya, jika dapat kembali melihat makna pengajian tinggi dan peranan mereka yang memiliki sekeping ijazah dalam pembangunan sebuah negara seperti Malaysia yang bukan sahaja perlu melihat dalam konteks ekonomi tetapi keseluruhan struktur masyarakat, sejarah dan pembangunan jati diri sebagai teras pembangunan masa hadapan dalam menghadapi persaingan.

Ijazah dan ilmu pengetahuan membolehkan kita berfikir dengan kreatif dan inovatif dalam kerangka pembangunan holistik yang sesuai dengan masyarakat seperti Malaysia. Jika kita berterusan menjadikan ekonomi dan teknologi semata-mata sebagai tujuan akhirnya, maka kita akan mula melupakan bagaimana isu-isu asas seperti perpaduan masyarakat, kesaksamaan sosial, nilai dan moral, kesejahteraan dan keharmonian masyarakat dan nasib golongan marhaen yang ada di sekeliling kita perlu terus menjadi agenda utama.

Dalam konteks dan perspektif sesetengah pihak pengajian tinggi seolah-olah tidak lagi menjadi asas dalam pemikiran untuk kelangsungan masa hadapan negara, kelestarian alam yang dapat dikembalikan kepada generasi akan datang dan isu-isu "KIP" (Key Intangible Performance) yang tidak boleh diukur dengan angka. Pengajian tinggi hanya untuk bersaing dan menjadi terkenal.

Kerana itu kita masih lagi berhadapan dengan sikap-sikap yang mempersoalkan pelbagai perkara yang telah dipersetujui bersama, persamaan yang sebenarnya secara realiti tidak pernah wujud dan keberanian menimbulkan isu-isu yang boleh mencemar kedamaian dan keharmonian yang sedia ada.

Malah, hari ini sesetengah pihak sudah tidak malu lagi untuk membangkitkan isu-isu yang menggugat nilai-nilai yang telah diterima bersama sekian lama untuk dipertahankan termasuklah kebebasan seks dan isu-isu moral lain yang mengancam kesejahteraan kita. Akibatnya juga kita melihatnya adanya mereka yang berpendidikan tinggi dan ijazah berjela, tetapi sanggup gadaikan maruah bangsa, agama malah negaranya untuk mencapai matlamat peribadinya mahu pun mereka yang bersekongkol dengannya.

Pengajian tinggi dalam perspektif ini gagal mengungkapkan tangisan jiwa mereka yang sayangkan bangsa, agama dan tanah airnya pada masa hadapan apatah lagi apabila nilai yang diketengahkan bukan lagi berteraskan jiwa kebangsaan. Ia bukan lagi bernadikan erti pembangunan sebuah negara, tetapi lebih kepada kebebasan yang hakiki dan nilai yang berkiblatkan mereka yang menaja dan membangunkannya.

Roh pengajian tinggi dalam konteks pembangunan insani harus dipertahankan. Pengajian tinggi bukan sekadar sekeping ijazah, tetapi nilai akal budi yang terkandung di dalamnya, nilai ilmu dan pemikiran besar serta natijah yang diharapkan untuk pembangunan manusia harus diberikan keutamaan.

Pengajian tinggi perlu berupaya melahirkan mereka yang mampu berfikir dan mempunyai wisdom dan kebijaksanaan dalam melakukan tindakan, berasaskan pertimbangan-pertimbangan rasional untuk faedah rakyat, masyarakat dan negara serta dapat pula menyeimbang antara keperluan dan penggunaan teknologi dan pembangunan insani dan manusiawi.

Kita boleh membina dan tentunya tidak salah memiliki gedung ilmu yang hebat, dengan modal besar dari mereka yang sedia melakukan pelaburan atas nama apa pun jua, malah untuk pembangunan ilmu sekali pun, tetapi niat dan natijahnya mestilah betul. Kita tidak perlu membandingkan dengan apa yang kita ada, jauh sekali memperlekehkan kerana apa yang kita miliki inilah sebenarnya melahirkan kita sehingga kita berada pada landasan sekarang ini.

Malangnya, pengajian tinggi dalam perspektif sesetengah kita termasuk pemimpin politik tertentu hanya berlandaskan keinginan yang dangkal sifatnya, tidak menyokong usaha melahirkan mereka yang kritikal tetapi rasional, berilmu dan bijaksana dengan wisdom yang tinggi dan menjadikan ilmu sebagai alat untuk memastikan kelangsungan masa depan masyarakat dan negara dan penyelesaian segala kemelut yang ada.

PENULIS ialah Timbalan Pendaftar Pejabat Naib Canselor Universiti Sains Malaysia

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

ISU SOSIAL : 'Borak buku' strategi pupuk minat membaca



Oleh : Muhamad Razak Idris
 
Dorong kecintaan pada ilmu pengetahuan dalam masyarakat

Pembudayaan nilai kecintaan pada ilmu pengetahuan memerlukan strategi pemupukan yang berterusan dan pelbagai. Antara strategi penting tentunya mendorong minat masyarakat terhadap buku dan budaya membaca.

Penulis amat tertarik dengan penganjuran siri ‘Borak Buku’ oleh sekumpulan anak muda baru-baru ini. Mereka bernaung di bawah Biro Penulis Muda PENA dengan kerjasama Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM), Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) cawangan Wilayah Tengah dan Alumni Minggu Penulis Muda DBP.

Kegiatan bersifat begini penting terutama bagi mengundang penyertaan anak muda yang berada dalam kategori yang dikenali kini sebagai Generasi Y yang didapati kurang memberi minat pada acara bersifat rasmi atau formal sejak akhir-akhir ini”

Acaranya mudah dan ringkas saja. Suasananya pula santai. Selepas mengenal pasti pembicara buku dan menentukan pilihan buku yang bakal ‘diborak’ atau dibicarakan, anak-anak muda ini menghebahkan program menerusi laman sosial Facebook.

Urusan penganjuran ini hanya dikendalikan oleh seorang saja. Pada acara baru-baru ini, seorang remaja perempuan, Nisa Yusof menjadi pengendali penganjuran. Pada hari dan waktu yang ditentukan, seramai lebih kurang 10 hingga 15 orang anak muda berkumpul di sebuah kedai  kopi di pusat hentian KL Sentral bagi berborak tentang buku sambil menikmati minuman kopi pilihan.

Pada siri ‘Borak Buku’ itu, selaku pembicara, saya mengulas karya sarjana Muslim dari India iaitu Sayyid Abu Hassan Ali Al-Nadwi yang diterjemahkan dan diterbitkan dalam sekitar 1950-an bertajuk Apakah Derita Yang Dihadapi Dunia Akibat Kemunduran Kaum Muslimin.

Selepas mengulas latar dan kandungan buku itu dalam tempoh 40 minit, kami saling berbincang dan bertanyakan pelbagai persoalan berkaitan buku dan kesesuaian pemikirannya dalam konteks kehidupan hari ini.
Setelah azan Asar, acara berakhir dan semua berjanji untuk bertemu lagi pada pertemuan seterusnya sebelum bersurai menuju haluan masing-masing. Begitulah acara ‘Borak Buku’ yang berlangsung dengan penuh santai, ringkas dan mudah.

Acara ini dikongsi kerana ia boleh dianggap satu bentuk kegiatan yang menarik dalam rangka strategi memupuk minat membaca dan mendorong kecintaan pada buku dan ilmu pengetahuan dalam masyarakat terutama di kalangan generasi muda.

Kita beranggapan acara sebegini wajar dikembangkan dan dibudayakan dengan lebih meluas lagi. Ia dilihat satu pendekatan yang berkesan terutama bagi membuka ruang baru bagi kegiatan serius yang membabitkan penyertaan generasi muda.

Kegiatan berborak mengenai buku ini tidak semestinya dilaksanakan di kedai kopi. Ia juga boleh dikembangkan di tempat umum lain seperti di taman rekreasi, di sudut bangunan tertentu malah di ruang tertentu di masjid dan surau selagi ia tidak mengganggu ketenteraman awam.

Unsur utama yang perlu dikekalkan ialah sifat acaranya yang bercorak santai, mudah dan ringkas. Kegiatan bersifat begini penting terutama bagi mengundang penyertaan anak-anak muda yang berada dalam kategori yang dikenali kini sebagai Generasi Y yang didapati kurang memberi minat pada acara bersifat rasmi atau formal sejak akhir-akhir ini.

Ketika penulis bergiat dalam sebuah pergerakan Islam di negara ini, salah satu strategi bagi pemupukan budaya ilmu di kalangan anggotanya ialah menerusi penganjuran acara yang dikenali sebagai ‘usrah’.

Ia berbeza sedikit bentuknya dengan Borak Buku. Usrah dilaksanakan secara mingguan. Ia menggunakan konsep perkumpulan keluarga di mana ahli-ahli usrah yang berada dalam lokasi berdekatan berkumpul pada masa tertentu secara bergilir di kediaman masing-masing.

Kebiasaannya, usrah bermula selepas bersolat Maghrib bersama. Jamuan malam ringkas disediakan oleh tuan rumah. Acara utama usrah dikendalikan oleh seorang moderator yang dikenali sebagai Naqib. Dalam acara ini, ahli-ahli akan berbincang secara ilmiah tentang pelbagai persoalan. Kegiatan tetap ialah berdiskusi tentang buku-buku terpilih karya ilmuwan Muslim semasa.

Acara usrah ini juga bersifat santai, mudah dan ringkas namun dalam masa yang sama menekankan nilai persahabatan dan semangat kekeluargaan. Ahli-ahli akan berdiskusi sehinggalah ke waktu yang tidak akan mencecah larut malam kerana mereka harus mendapat istirahat untuk menjalankan kewajipan pekerjaan pada keesokan harinya.

Penulis ialah pensyarah di Fakulti Pengajian Islam, UKM

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

ISU SUKAN : Chong Wei Mara Ke Final Sukan Olimpik



LONDON : Pencarian pingat emas pertama Malaysia dari temasya sukan terbesar dunia, Sukan Olimpik, mungkin berakhir esok selepas Datuk Lee Chong Wei menempah tiket ke acara akhir badminton perseorangan lelaki.

Chong Wei akan menghadapi musuh tradisi, Lin Dan dari China selepas pemain Malaysia itu menundukkan seorang lagi pemain dari Tembok Besar, Chen Long 21-12, 21-10 dalam masa 54 minit pada pertemuan separuh akhir malam tadi.

Sementara Lin Dan yang akan mempertahankan pingat emas dari edisi Beijing 2008, menjinakkan pemain Korea Selatan Lee Hyun Il, 21-12, 21-10 dalam masa 39 minit dalam satu lagi persaingan separuh akhir.

Pertemuan epik kedua-dua pemain handalan dunia pada final Ahad ini yang akan berlangsung di Arena Wembley pastinya mengulangi persaingan mereka di final di Beijing, empat tahun lalu.

Pada pertemuan berkenaan, Chong Wei tewas 12-21, 8-21 kepada Lin Dan yang ketika itu bermain di laman sendiri.

Sumber : http : //www.bharian.com.my/