Isnin, 5 Oktober 2009

Martabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa 1Malaysia

PERJUANGAN untuk memartabatkan kedudukan bahasa Melayu di negara ini tidak pernah terhenti mahupun diabaikan. Pelbagai pihak sentiasa dilihat menyuarakan kebimbangan terhadap penghakisan penghormatan terhadap bahasa yang sepatutnya menjadi tunjang penduduk Malaysia ini.

Kita seolah-olah semakin lupa apa yang tercatat dalam Perlembagaan negara ini walaupun jelas bahasa Melayu sudahpun diiktiraf dan diletakkan di suatu kedudukan yang tinggi martabatnya apabila ia diisytihar sebagai bahasa kebangsaan.

Kita juga perlu ingat bahawa bukan mudah status bahasa kebangsaan ini diberikan. Ia telah dibincang, dibahas dan akhirnya telahpun dipersetujui oleh semua pihak terutamanya semua pemimpin politik yang mewakili semua kaum utama di negara ini semasa perlembagaan itu digubal dan diluluskan.

Maka sewajarnya tidak patut timbul soal bahasa Melayu dipinggirkan ataupun dikesampingkan dalam semua urusan baik yang rasmi mahupun tidak rasmi.

Sepatutnya juga tidak perlu timbul isu keperluan untuk memperjuangkan bahasa ini kerana secara hakikinya dan juga secara automatiknya bahasa ini wajib didaulat dan dimuliakan oleh semua pihak terutamanya setiap warga negara ini.

Namun kelekaan sesetengah pihak dalam menjalankan tugas dan amanah yang dipertanggungjawabkan menyebabkan kita semakin terjerumus ke kancah 'keperluan' untuk memperjuangkan sesuatu yang sepatutnya tidak perlu diperjuangkan lagi secara paksa.

Rasanya tidak perlu lagilah kita menuding jari menyalahkan orang politik mahupun Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP). Kesedaran perlu berputik dengan sendirinya di jiwa setiap daripada kita jika mahu bahasa ini terus mekar dan subur.

Bahasa kebangsaan ini besar peranannya jika kita mahu merealisasikan misi 1Malaysia yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri kita. Malah boleh dikatakan inilah jambatan penghubung utama antara kaum yang boleh menjayakan misi tersebut.

Kita perlu bersatu dalam satu bahasa supaya komunikasi dan perhubungan antara kaum dapat dipererat serta dimantapkan dan seterusnya boleh mengelakkan segala prasangka buruk sesama kita.

Ini kerana masyarakat kita sememangya sudahpun terpisah di antara satu sama lain dengan pelbagai budaya yang diamalkan oleh kaum masing-masing.

Budaya ini adalah tradisi dan adat masing-masing yang telah menjadi amalan turun- temurun yang tidak boleh dipadam begitu sahaja. Maka dalam aspek apa lagi kita boleh bersatu jika bukan melalui bahasa perantaraan yang satu ini, iaitu bahasa Melayu.

Walaupun sudah 52 tahun kita merdeka namun masih terdapat rakyat yang tidak fasih berkomunikasi dalam bahasa Melayu.

Ia sesuatu yang cukup menyedihkan. Keadaan ini dapat dielakkan jika kita memberi penekanan sewajarnya dalam aspek pemahaman dan pembelajaran bahasa Melayu di peringkat sekolah.

Ternyata pengajaran dan pembelajaran bahasa Melayu di sekolah Tamil dan Cina tidak begitu membantu anak-anak untuk berkomunikasi dan bertutur dengan baik dalam bahasa Melayu.

Bahasa rojak terus menjadi amalan. Jika ini dibiarkan maka seluruh generasi akan terbawa-bawa dengan bahasa rojak tersebut.

Dalam hal ini orang Melayu juga perlu memainkan peranan sewajarnya. Misalnya apabila mereka berkomunikasi dengan orang Cina ataupun India maka mereka sepatutnya menggunakan bahasa yang betul dan bukannya bahasa rojak dengan mengikut rentak pertuturan orang Cina ataupun India.

Ini banyak berlaku di kalangan masyarakat kita dalam perbualan dan urusan seharian. Perkara ini perlu dihentikan dan dibendung dengan segera kerana ini menunjukkan seolah-olah orang Melayu sendiri menggalakkan penggunaan bahasa Melayu yang tidak betul ataupun bahasa rojak.

Sepatutnya orang Melayu menjadi contoh dan teladan kepada orang lain dengan bertutur dalam bahasa Melayu yang betul di samping membantu mendidik ataupun memperbetulkan bahasa rojak yang digunakan oleh orang lain. Ini jelas tidak berlaku malah lebih merumitkan keadaan yang sedia ada.

Justeru satu permintaan dan harapan kita kepada semua pihak yang berkenaan terutamanya orang Melayu serta pihak yang mempunyai kuasa, patuhi dan kuat kuasakan apa yang tertera dalam Perlembagaan kita supaya bahasa ini didaulat dan digunakan dengan betul.

Sempena pelancaran Bulan Bahasa Kebangsaan peringkat kebangsaan ini, marilah kita bersama-sama bertekad untuk menghayati dan seterusnya membudayakan penggunaan bahasa Melayu di kalangan seluruh rakyat negara ini.

Percayalah bahawa hanya melalui penyatuan bahasa sahaja kita boleh menjayakan misi 1Malaysia.

NOOR MOHAMAD SHAKIL HAMEED

Serdang, Selangor

Sumber : http: //www.utusan.com.my/

Kempen saban tahun gagal perkasa bahasa Melayu

Oleh Jami'ah Shukri
jamiah@bharian.com.my

BAHASA Jiwa Bangsa, slogan yang diguna pakai dalam program dan kempen bulan bahasa sejak lima dekad lalu, tetapi masih gagal meletakkan bahasa Melayu ke tahap tertinggi. Kekaguman terhadap bahasa Melayu yang diperjuangkan oleh sekumpulan tertentu di negara ini hanya dilihat sebagai mitos dan tidak mendapat sokongan penuh daripada yang sepatutnya.

Sebilangan besar korporat Melayu pula dilihat lebih menebal dan terlalu taksub dengan kehebatan bahasa Inggeris serta menganggap tidak mahir berbahasa global itu, akan menyebabkan sesuatu bangsa itu tidak boleh maju dan berada di puncak kecemerlangan.

Ketua Eksekutif Yayasan Karyawan, Datuk Dr Hassan Ahmad, berkata kerajaan tidak perlu mengadakan kempen Bulan Bahasa kerana bahasa Melayu sudah menempa nama yang besar dari segi sejarahnya sejak beratus tahun lamanya.

"Saya menganggap kempen seumpama itu sebagai budaya kalangan masyarakat di negara ini. Saya lihat, hanya Malaysia satu-satunya negara di dunia menganjurkannya," katanya yang juga Pengerusi Gerakan Mansuhkan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI).

Beliau berkata, sepatutnya dasar berkaitan bahasa itu perlu diperkukuhkan dan pelaksanaan dilakukan dengan bersungguh-sungguh. Ramai yang masih mencampuradukkan penggunaan bahasa Melayu dan Inggeris terutama ketika berkomunikasi. Lebih malang, ramai kalangan pemimpin, ahli korporat dan perniagaan yang menjadikan bahasa Inggeris sebagai bahasa utama

"Saya tidak fikir dengan berbahasa Melayu kita tidak maju dalam perniagaan atau pekerjaan. Lihat saja, senarai jutawan di Malaysia, ada antaranya tidak tahu berbahasa Inggeris tetapi mampu menunjukkan kemampuan dari segi pencapaian hidupnya.

"Rakyat di Jepun dan Perancis tidak menggunakan bahasa Inggeris dalam pelbagai urusan, tetapi tetap menjadi sebuah bangsa yang maju. Bagi saya, kita tidak mempunyai masalah atau berdepan dengan isu bahasa, sebaliknya hanya sekumpulan masyarakat tertentu yang sudah merosakkannya," katanya.

Justeru, Yayasan Karyawan tidak menjalankan sebarang kempen untuk memperkukuhkan penggunaan bahasa Melayu kerana menganggap bahasa Melayu tidak ada sebarang masalah, sebaliknya, Yayasan Karyawan lebih aktif menerbitkan semula karya agung pada abad ke-14.

Mengenai fungsi bahasa Malaysia sebagai bahasa perpaduan, Hassan berpendapat matlamat ke arah itu masih belum tercapai kerana orang Melayu sendiri tidak bersungguh-sungguh dan lebih ghairah mengagungkan bahasa Inggeris. Ini menyebabkan kaum lain juga melihat, orang Melayu sendiri tidak serius ke arah itu.

"Lihat saja papan tanda, mengapa perlu ada bahasa lain. Mengapa tidak digunakan bahasa Melayu saja. Kita sudah ada konsep 1Malaysia, jadi mengapa perlu ada banyak bahasa pada papan tanda itu," katanya.

Sementara itu, Presiden Persatuan Penulis Nasional Malaysia (Pena), Datuk Baharuddin Zainal atau Baha Zain, berkata DBP seharusnya membuat bedah siasat terhadap program Bulan Bahasa yang dilancarkan selama ini kerana ia dianggap sebagai program rutin setiap tahun sedangkan ia dilihat seakan gagal mencapai matlamat memartabatkan bahasa Malaysia.

Katanya, DBP perlu mengupas secara holistik program itu di samping mendapatkan pandangan daripada pakar serta pejuang bahasa supaya ia mampu memenuhi konteks baru dan situasi semasa, dengan melihat semula status bahasa kebangsaan dalam keseluruhan sistem pentadbiran, pendidikan serta sektor swasta.

"Kita berharap supaya bulan bahasa kebangsaan dilaksanakan pada masa depan mampu menjadi pelengkap ke arah memperkasakan bahasa itu. Tidak banyak kesan dicapai selama ini," katanya.

Pada masa sama, kerajaan perlu menanamkan keazaman untuk memulihkan bahasa Melayu yang semakin terpinggir terutama ketika pelaksanaan PPSMI dan seterusnya dijadikan asas pembangunan moden negara ini.

Katanya, kerajaan sewajar-nya memulihkan keazaman dan mengembalikan semula kecemerlangan bahasa Malaysia sama seperti pada zaman pentadbiran Perdana Menteri, Tun Abdul Razak Hussein.

"Apa yang dilihat penggunaan bahasa Melayu tidak menyeluruh termasuk dalam sektor awam. Lihat sajalah pengurusan tertinggi syarikat berkaitan kerajaan (GLC), lebih suka bercakap bahasa Inggeris. Kepemimpinan melalui teladan tidak diterap di situ, bagaimana orang bawahan akan mengikut.

"Pengurusan tertinggi GLC ini melahirkan kelas elit yang tidur, rasa diri terpisah daripada budaya bahasa. Isu bahasa Melayu juga masih pincang pada peringkat pengajian tinggi. Ketika ini, pendirian mengenai pengajaran dalam bahasa Melayu sudah dicapai di sekolah rendah dan menengah, tetapi tidak di institusi akademi itu," katanya.

Apa yang penting, pandangan pejuang bahasa berkaitan isu ini tidak seharusnya dikesampingkan kerana mereka adalah sekumpulan entiti elit yang mewakili sebahagian suara rakyat di peringkat akar umbi.

Sumber : http://www.bharian.com.my/

Kaji beri lebih kuasa DBP martabat bahasa

LARUT 4 Okt. - Kerajaan sedia mengkaji untuk memberi lebih kuasa kepada Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dalam usaha memartabatkan bahasa Melayu, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Timbalan Perdana Menteri berkata, beliau sedar ada pihak tertentu menuntut agar pihak terbabit memainkan peranan yang lebih besar dalam menjamin kedudukan dan masa depan bahasa kebangsaan itu.

''Ini (beri kuasa) kita akan mengkaji lagi, tetapi pastinya yang penting, Akta Bahasa Kebangsaan hendaklah dipinda dan usaha pindaan sudah dilakukan.

''Ia perlu dibawa ke Kabinet dulu sebelum Parlimen," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Larut di sini hari ini.

Muhyiddin diminta mengulas pandangan Awang Selamat dalam Mingguan Malaysia hari ini mengenai perlunya DBP diberi kuasa penguatkuasaan bagi memartabatkan bahasa Melayu.

Cadangan itu merupakan hasil Persidangan Antarabangsa Bahasa Melayu Bahasa Dunia yang berlangsung di Johor Bahru, baru-baru ini.

Menurut Awang Selamat, selagi DBP tidak mempunyai kuasa tersebut, agensi itu dilihat umpama 'harimau tidak bertaring.'

Mengulas lanjut, Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata, draf pindaan Akta Bahasa Kebangsaan tersebut telah pun siap dan diserahkan kepada Peguam Negara untuk disemak sebelum di bawa ke Kabinet.

''Sudah ada draf pindaan kepada Akta Bahasa Kebangsaan yang telah siap dan diserahkan kepada Peguam Negara tetapi belum dibawa ke Kabinet.

''Dalam perkara itu juga ada perakuan yang dibuat pada pindaan akta (untuk) memberi kuasa (kepada DBP), tetapi kita hendak tengok bagaimana perkara itu boleh dilaksanakan, masa yang sesuai walaupun tuntutan sekarang ini. Kalau ikut suara-suara tertentu, (mereka) minta kuasa lebih," katanya.

Mengulas mengenai pelajar Malaysia yang berhadapan dengan risiko bencana alam di negara seperti Indonesia, jelas Muhyiddin, kerajaan tidak bercadang menghentikan penajaan pelajar ke negara-negara berkenaan.

Beliau berkata, kerajaan juga tidak menghalang ibu bapa yang mahu menghantar anak-anak mereka ke negara tersebut sekiranya mereka berminat berbuat begitu.

''Saya tak fikir ini jadi fenomena berpanjangan, sebab berlaku (gempa bumi) maka tak ada minat lagi hendak ke sana kerana peluang belajar ada di mana-mana.

''Itu langkah yang kurang bijak. Tetapi dalam situasi sekarang, tentulah yang penting kita nak membantu pelajar yang ditimpa musibah ini," jelasnya.

Sumber : http://www.utusan.com.my/

Kita penentu hala tuju bahasa Melayu


Oleh ARIF ATAN


RUANGAN Bisik-bisik Awang Selamat dalam Mingguan Malaysia semalam mengemukakan isu ke manakah hala tuju bahasa Melayu.

Pelbagai forum, seminar dan persidangan mengenai bahasa Melayu telah diadakan bagi membincangkan untung rugi bahasa ini.

Terbaharu, Persidangan Antarabangsa Bahasa Melayu Bahasa Dunia di Johor Bahru minggu lalu.

Namun, nasib bahasa Melayu yang juga bahasa kebangsaan negara ini masih begitu juga. Malah, dilihat semakin goyah.

Meskipun dipanggil bahasa Malaysia tetapi sebahagian besar rakyat negara ini masih menganggap bahasa itu milik orang Melayu sahaja.

Buktinya, apabila perbualan melibatkan orang Melayu dengan bukan Melayu atau sesama orang bukan Melayu, ia kerap berlaku dalam bahasa Inggeris.

Mengapa hal ini terjadi walhal bahasa Inggeris bukan milik kaum Cina atau India di negara ini?

Dalam masa yang sama, lihatlah juga kain rentang mengenai kegiatan anjuran pertubuhan atau badan bukan kerajaan termasuklah di universiti-universiti serta sesetengah parti komponen Barisan Nasional sendiri.

Jarang benar sekarang kita lihat iklan atau kenyataan dalam bahasa Mandarin atau Tamil memiliki terjemahan bahasa kebangsaan di atasnya. Lihat sahaja logo parti Makkal Sakhti.

Hakikatnya, kita sendiri iaitu 27 juta rakyat Malaysia sebenarnya yang menentukan hala tuju bahasa Melayu pada masa depan.

Kita harus rasa 'berdosa' jika sewenang-wenangnya mengabaikan penggunaan bahasa kebangsaan dalam urusan kehidupan sehari- hari.

Hanya dengan itulah kerisauan mengenai masa depan bahasa Melayu dapat diatasi.

Selagi wujud rasa rendah diri apabila menggunakan bahasa Melayu selagi itulah pemikiran kita masih belum merdeka sepenuhnya.

Ini kerana sikap, tindakan atau keputusan yang meminggirkan bahasa kebangsaan samalah seperti kita 'memenggal kepala' bangsa Malaysia kita sendiri.

Sebaliknya, segenap lapisan kaum negara ini perlu memiliki jiwa besar dalam mengutamakan bahasa kebangsaan sebagai bahasa ilmu, komunikasi, pentadbiran, penyiaran, percetakan dan dalam urusan berkaitan hubungan diplomatik.

Semua pihak harus berusaha memperkasakan bahasa Melayu sebagai bahasa jiwa bangsa bagi merealisasikan hasrat murni Satu Malaysia.

Sumber : http://www.utusan.com.my/