DEWASA ini terdapat banyak peluang dan ruang untuk guru-guru kita melanjutkan pelajaran bagi mendapatkan ijazah pertama, ijazah sarjana dan ijazah kedoktoran. Peluang ini seharusnya digunakan oleh guru yang terbabit tanpa menoleh ke belakang lagi.
Hal yang demikian kerana terdapat
banyak kemudahan dan insentif bagi guru terbabit untuk menggapai cita-cita
tersebut.
Cara untuk membayar yuran kolej
dan pengajian telah menjadi begitu mudah dan toleran mengikut tempoh yang
ditetapkan.
Perundingan dan perbincangan
untuk ke arah berkenaan menjadi teras pengajian ini berjalan lancar walaupun
ada segelintir guru terbabit mengalami masalah kewangan, penjagaan anak, suami
atau isteri yang berjauhan.
Menuntut ilmu hukumnya wajib.
Guru-guru yang masih berkhidmat dan layak untuk menyambung pelajaran ini
sebenarnya adalah kumpulan guru yang bertuah.
Mereka dapat menghabiskan tempoh
pengajian dan dapat menikmati hasil peningkatan kelayakan mereka pada ketika mereka
masih berkhidmat lagi.
Tentu mereka akan diangkat ke
tahap yang lebih tinggi atau naik pangkat berpandukan kelayakan dan kebolehan
mereka.
Lambat laun mereka akan
memperoleh banyak lagi kemudahan hasil usaha penambahbaikan dasar-dasar
kerajaan yang sentiasa mengangkat darjat para penjawat awam seperti guru.
Yang bulat tidak datang
bergolek dan yang pipih tidak datang melayang. Apa sahaja yang ingin kita
peroleh memerlukan usaha dan pengorbanan yang berterusan.
Bagi mereka yang sudah
berkeluarga perkara ini amat dirasakan.
Meninggalkan anak, suami atau
isteri mewujudkan sedikit ketidakselesaan kepada mereka dalam sepanjang tempoh
kuliah itu berlangsung semenangnya menjadi kebiasaan.
Berkat kesabaran kedua-dua belah
pihak, guru yang terbabit dapat menamatkan pengajian dan menggenggam segulung
ijazah yang diidam-idamkan. Tahniah para guru dan rakan-rakan yang memperoleh
kejayaan ini.
Memang benarlah kata-kata
bijaksana hendak seribu daya dan tak nak seribu dalih.
Dengan niat yang telah ada hendak
menyambung pelajaran, usaha keras para guru dan doa yang khusyuk lambat laun
apa yang kalian perjuangkan akan berhasil.
Ini sunnatullah, hukum Tuhan. Bak
kata pepatah Arab Man Jadda, Wajada - Sesiapa yang bersungguh-sungguh,
dia berjaya.
Bagi sekelumit guru yang tidak
berpeluang dan ruang untuk sama-sama merebut kemudahan dan keistimewaan tetapi
berkeinginan, itu semenangnya terasa sedikit termengkelan.
Apa yang diharapkan kini ialah
kalau-kalau mereka ini dapat diangkat ke tahap yang lebih tinggi daripada
kedudukan sekarang sejajar dengan pengalaman yang ada.
Kalau diselidiki sesetengah
daripada mereka ini mempunyai kebolehan dan kemahiran yang masih bersangkutan
dengan dunia pendidikan.
Didapati ada guru yang menjadi
penulis, mendapat tempat di akhbar dan majalah dan telah menghasilkan buku,
novel, cerpen, puisi atau lain-lain genre penulisan dalam koleksi mereka.
Selain itu ada juga antara mereka
yang mendapat kemenangan dalam pertandingan penulisan yang dianjurkan pada
peringkat negeri dan kebangsaan. Rekod yang baik dan penampilan yang berkesan
juga wajar diperhatikan.
Ada juga antara mereka yang
memiliki kursus lanjutan dengan pengkhususan tertentu contohnya selama setahun
di institut pendidikan, wajar juga diambil
kira untuk kenaikan pangkat.
Kalau tidak golongan ini akan
hanya melihat seorang demi seorang rakan
mereka meniti anak tangga demi anak tangga. Bohong kalau dikatakan
golongan ini tidak berhasrat untuk menggapai jawatan nombor satu di sekolah
pada ketika ini.
Yang bersinar bukan semuanya
bercahaya. Kelulusan penting tetapi pengalaman juga tidak wajar ditolak
sama sekali.
ABDULLAH ABDUL RAHMAN
SK Serting 3 (Felda), Negeri
Sembilan
Sumber : http : //www.utusan.com.my/