Selasa, 5 Jun 2012

Transit Venus Mengelilingi Matahari Boleh Dilihat Secara Online


Puebla, Mexico
Quito, Equador
New York, USA
Kunming, China
Seoul, Korea selatan
Pulau Mabul, Sabah

KUALA LUMPUR : Rakyat Malaysia berpeluang menyaksikan planet Zuhrah melintasi matahari.

Fenomena yang dikenali sebagai Transit Zuhrah merupakan fenomena yang hanya boleh dilihat 100 tahun akan datang.

Agensi Angkasa Negara (Angkasa) menyediakan perkhidmatan melihat Transit Venus tersebut secara online di laman web mereka sehingga pukul 12.50 tengah hari Rabu.

Transit Zuhrah kali ini bermula jam 6.09 pagi tadi, ia berada di fasa maksimum pada jam 9.29 pagi dan berakhir jam 12.49 tengah hari.

Fenomena ini juga disaksikan di seluruh dunia.

Angkasa turut bekerjasama dengan Unit Falak Pahang dan Falak Online dengan mengambil imej fasa-fasa Transit Zuhrah dari tempat masing-masing dan memuat naik secara langsung ke laman Facebook Malaysia Lunar Eclipse.

Bersempena dengan itu, Planetarium Negara menyediakan sembilan teleskop dan sebuah solarskop bagi kegunaan orang ramai melihat keajaiban alam ini.

Kali terakhir transfit Venus ini berlaku adalah pada 8 Jun 2004, dan ia dijangka akan berlaku lagi pada 10 Disember 2117.

Sumber : http : //www.mstar.com.my/

ISU SOSIAL : Perkahwinan campur wadah sebar Islam



Oleh Musa Awang
sekretariatpgsm@yahoo.com

Semangat perpaduan, tolak ansur antara kaum dapat di pupuk menerusi ikatan dua hati

TERMA perkahwinan campur sebenarnya diperkenalkan pihak Gereja Katholik untuk menggambarkan perkahwinan antara penganut Katholik dan bukan Katholik. Dalam konteks Malaysia, perkahwinan campur membabitkan pasangan berbeza kaum, seperti Melayu dengan Cina atau Cina dengan India.

Islam menggalakkan umatnya bernikah dengan pasangan yang sesuai, tetapi syaratnya pasangan itu juga beragama Islam.

Firman Allah SWT bermaksud: “Maka berkahwinlah dengan sesiapa yang kamu berkenan dari perempuan lain dua, tiga atau empat. Kemudian jika kamu bimbang tidak akan berlaku adil (di antara isteri-isteri kamu) maka berkahwinlah dengan seorang saja.” (Surah An-Nisaa’, ayat 3)

Berkahwin boleh menjadi antara faktor mendekatkan hubungan antara dua pihak, bahkan antara kaum. Malaysia yang rakyatnya terdiri daripada pelbagai bangsa dan agama, perkahwinan campur wajar digalakkan kerana ia boleh mengeratkan lagi hubungan sesama rakyat.

Allah SWT berfirman bermaksud: “Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu pelbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain).

Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih takwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam PengetahuanNya (akan keadaan dan amalan kamu).” (Surah al-Hujurat, ayat 13)

Namun, orang Islam yang memilih berkahwin campur perlu memastikan keislamannya terpelihara. Sebagai orang Islam, dialah sepatutnya menunjukkan contoh pegangan dan akhlak yang baik kepada pasangannya, bukan berperangai lebih buruk atau terikut dengan gaya hidup pasangan.

Ini bagi mengelak salah faham terhadap Islam. Perkahwinan campur juga bukan bermakna menghapuskan budaya, identiti atau nilai positif asal sesuatu kaum. Hanya agama saja yang berubah, bukan bangsa atau kaumnya.

Fahaman agama sempit seperti menghalang pasangan yang menganut Islam berhubung dan berbuat baik kepada keluarga asalnya, atau menziarahi mereka adalah sesuatu yang tidak diajar Islam.

Perkahwinan campur adalah antara cara dakwah menyebarkan ajaran Islam. Menerusi perkahwinan campur, semangat perpaduan antara bangsa dapat dipupuk, meningkatkan semangat tolak ansur, saling memahami serta penyesuaian diri dengan budaya asing kaum lain.

Anak hasil perkahwinan campur antara dua pihak yang mempunyai latar belakang budaya berbeza dapat mendedahkan mereka kekayaan adat budaya dimiliki ibu bapa, sekali gus meningkatkan tahap komunikasi serta semangat bermasyarakat.

Selain itu, anak juga dilatih untuk tidak bersifat perkauman dan berfikiran terbuka terhadap budaya orang lain.

Perkahwinan campur boleh menemui jalan buntu apabila pihak terbabit tidak dapat menangani pertembungan budaya dan adat resam antara dua kaum berbeza. Ini ditambah sikap tidak mahu bertolak-ansur menyebabkan berlaku kes perkahwinan campur berakhir dengan perceraian.

Mutakhir ini, pendukung fahaman liberalisme dan pluralisme memperjuangkan terma perkahwinan campur membawa maksud perkahwinan antara dua pihak berlainan agama, bangsa dan warga negara tanpa perlu menukar agama kepada agama pasangan ingin dikahwini.

Perkahwinan campur berlainan agama tidak dibenarkan oleh Islam. Firman Allah SWT bermaksud: “Dan janganlah kamu berkahwin dengan perempuan kafir musyrik sebelum mereka beriman (memeluk agama Islam); dan sesungguhnya seorang hamba perempuan yang beriman itu lebih baik daripada perempuan kafir musyrik sekalipun keadaannya menarik hati kamu. Dan janganlah kamu (kahwinkan perempuan Islam) dengan lelaki kafir musyrik sebelum mereka beriman (memeluk agama Islam) dan sesungguhnya seorang hamba lelaki yang beriman lebih baik daripada seorang lelaki musyrik, sekalipun keadaannya menarik hati kamu. (Yang demikian ialah kerana orang kafir itu mengajak ke neraka sedang Allah mengajak ke syurga dan memberi keampunan dengan izin-Nya. Dan Allah menjelaskan ayat-Nya (keterangan-keterangan hukum-Nya) kepada umat manusia, supaya mereka dapat mengambil pelajaran (daripadanya).” (Surah al-Baqarah, ayat 221)

Seksyen 10, Akta Undang-undang Keluarga Islam Wilayah Persekutuan 1984 memperuntukkan, (1) tiada seseorang lelaki boleh berkahwin dengan seseorang bukan Islam kecuali seorang Kitabiyah dan (2) tiada seseorang perempuan boleh berkahwin dengan seseorang bukan Islam.

Penulis ialah Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM)

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

ISU SOSIAL : Kemahiran bapa mendidik anak elak gejala sosial




Cabaran dalaman paling mendesak dihadapi Amerika Syarikat pada akhir abad ke-20 adalah penciptaan semula institusi kebapaan sebagai peranan penting kaum lelaki dalam masyarakat. Itulah yang diungkapkan David Blackenhorn yang dicatatkan dalam buku ‘Fatherless America : Confronting Our Most Severe Social Problem’.

Pendapat ini disokong oleh 72 peratus rakyat Amerika dalam satu pungutan suara yang menamakan ketiadaan bapa dalam rumah sebagai masalah sosial atau keluarga paling serius yang dihadapi oleh negara itu. Dianggarkan, 24.7 juta kanak-kanak hidup tanpa bapa kandung di sisi mereka. Sememangnya peranan bapa dalam pembinaan keluarga dan pembesaran anak-anak adalah kritikal, terutama pada zaman serba mencabar ini.

Jika dulu, kebolehan bapa memimpin dan mengurus keluarga adalah sesuatu yang bersifat ‘instinct’ atau semula jadi, namun dalam dunia serba berubah ini, kita merasakan perkara ini adalah suatu kemahiran yang perlu dipelajari, dikuasai dan dikongsi bersama dengan seramai mungkin golongan bapa.

Hari ini, kita dapati semakin ramai anak-anak membesar tanpa bapa di sisi mereka. Bilangan keluarga yang diketuai oleh ibu tunggal terus bertambah. Pada 2000 saja, lebih 620,000 ibu tunggal terpaksa membesarkan anak-anak tanpa suami.

Untuk sebahagian besar keluarga lain, walaupun bapa ada, namun hakikatnya seolah-olah bapa itu tidak wujud. Hal ini kerana bapa-bapa ini tidak berfungsi dan memainkan peranannya yang sebenar dalam keluarga. Ada banyak faktor yang menyebabkan keadaan ini berlaku.

Selain faktor bapa yang tidak berkemahiran dan tidak bertanggungjawab, wujudnya fenomena ‘overfunctioning mum’ (ibu bekerja yang tidak terlalu bergantung kepada orang lain, serba boleh dan mengambil alih semua tugas bapa) lebih merumitkan keadaan.

Keadaan ini memberikan kesan jangka panjang yang bukan sedikit. Sebahagian besar anak-anak yang lahir daripada keluarga tanpa bapa ini mudah terbabit oleh gejala sosial yang semakin hari semakin parah.

Mari kita lihat statistik berikut:
  • Kanak-kanak yang membesar tanpa bapa mempunyai risiko dua hingga tiga kali ganda untuk menghadapi masalah emosi dan perilaku. Mereka juga berisiko tinggi untuk terbabit dalam penagihan dadah dan alkohol.
  • Kanak-kanak yang membesar tanpa bapa mempunyai risiko tiga hingga empat kali ganda untuk merokok berbanding remaja yang mempunyai bapa di sisi mereka.
  • Dalam satu kajian membabitkan 25,000 kanak-kanak, kanak-kanak tanpa bapa memperoleh purata gred yang rendah. Mereka juga mempunyai aspirasi kolej yang rendah, rekod kehadiran persekolahan yang merosot dan kadar keciciran sekolah yang tinggi berbanding mereka yang tinggal dengan kedua-dua ibu bapa.
  • Sebanyak 71 peratus remaja yang mengandung luar nikah adalah remaja yang membesar tanpa bapa.
Semua fakta yang menggerunkan ini sebenarnya cukup untuk membangkitkan semangat kita, terutama golongan bapa untuk memainkan peranan yang aktif dalam pembinaan keluarga dan pendidikan anak-anak.

Tidak seperti aspek keibuan, kebapaan jarang mendapat huraian dan perhatian sewajarnya.

Namun, kemuliaan status kebapaan dalam Islam itu dirakamkan melalui hadis daripada Abdullah Ibn Amr, katanya Rasulullah saw bersabda yang bermaksud: “Keredaan Allah terletak kepada keredaan bapa dan kemurkaan Allah juga terletak kepada kemurkaan bapa.”(Hadis riwayat at-Tirmizi).

Kebapaan sering dibincangkan dalam konteks ketegasan, tanggungjawab kepemimpinan dan saraan hidup, juga pelaksanaan disiplin di kalangan anak-anak. Dalam masyarakat kita, perbincangan mengenai kebapaan tidak sering diwarnai oleh aspek kasih sayang, komunikasi berhikmah dan kemesraan sepontan.

Dalam al-Quran, ada banyak saranan yang ditujukan kepada golongan bapa. Ayat ini bukan saja menyentuh perintah agar bapa menjaga dan memelihara keluarga seperti ayat mengenai ‘Peliharalah dirimu dan ahli keluargamu dari api neraka.’ Ia juga merangkumi ayat yang menganjurkan bapa agar melengkapi diri dengan kemahiran tertentu dalam mendidik dan membangunkan anak-anak.

Nasihat Luqman al-Hakim kepada anaknya seperti yang dicatatkan dalam ayat 13 hingga 19, surah Luqman adalah contoh jelas bagaimana seorang bapa harus berkemahiran dalam menyusun strategi dalam mendidik anak-anaknya.

Antara kemahiran yang diperlukan oleh seorang bapa boleh diringkaskan seperti berikut :
  • Kemahiran menjadi suami yang disayangi, dihormati dan disanjungi oleh pasangan masing-masing. Perkara ini merangkumi kemahiran memahami perasaan isteri, menghormati perbezaan pandangan yang mungkin berlaku dan seterusnya kebolehan menyusun strategi bersama pasangan dalam mendidik dan membangunkan keluarga. Pepatah ada mengatakan bahawa ‘hadiah terbaik daripada seorang bapa kepada anak-anaknya adalah menyayangi ibu mereka’.
  • Kemahiran menjadi ayah yang disayangi, dihormati dan diteladani oleh anak-anak. Antaranya, meliputi aspek kemahiran berkomunikasi, kemahiran memahami perbezaan tingkah laku anak lelaki dan perempuan; keseimbangan penggunaan teknik pemberian hadiah dan hukuman serta terbabit secara langsung dalam urusan harian anak-anak.
Pelbagai strategi lain yang harus digunakan dalam membesarkan anak-anak dalam dunia yang begitu mencabar ini. Anak-anak akan membesar dengan cepat dan terdedah dengan pelbagai rangsangan positif dan negatif melalui persekitaran mereka.

Benarlah sabda Rasulullah yang memberikan kefahaman bahawa anak itu dilahirkan dengan fitrah yang bersih. Ibu bapalah yang akan mencorakkan mereka sama ada menjadi Majusi, Nasrani atau Muslim yang patuh.

ISU SOSIAL : Dengarkan suara hati ayah


DR. JESSICA ONG HAI LIAW

TIBANYA bulan Jun ini, kita akan menyambut Hari Bapa setelah kita menyambut Hari Ibu pada bulan Mei. Hari Bapa tahun ini ialah pada 17 Jun, iaitu jatuh pada hari yang sama dengan Hari Israk Mikraj. Selari dengan tagline Hari Belia,"Jadikan hari esok lebih baik dari hari ini" yang baru lepas, maka kita mengharapkan sesuatu yang lebih baik dilakukan oleh kaum bapa kepada keluarganya sebagaimana harapan kita sebelum ini terhadap peranan belia kepada keamanan negara.

Mengapa Hari Bapa kurang diberi keutamaan berbanding dengan Hari Ibu? Kita harus duduk merenung sejenak memikirkan peranan bapa yang sama pentingnya dengan peranan ibu, kerana bapalah nakhoda kapal dan penentu keharmoniaan dan kebahagiaan keluarga. Ayah, abah, papa, babah, dad, father, loutau (bahasa kantonis) malah apa panggilan sekalipun perlu kita dengar suara hati mereka.

Kalau ibu kita panggil Ratu Hati maka bapa tentu kita sematkan gelarannya sebagai Raja Hati. Peranan bapa pada hari ini berbeza dengan dulu kerana menggalas tanggungjawab yang lebih berat apabila ibu-ibu juga bekerja mencari rezeki. Kesepakatan bapa dan ibu amat perlu demi memastikan kapal dapat berlabuh dengan tenang dan harmoni di pelabuhannya.

Kos dan taraf hidup yang tinggi pada hari ini menuntut bapa di luar sana mencari rezeki siang dan malam demi menaikkan taraf ekonomi dan menjamin hidup keluarga masing-masing. Bapa perlu memberikan anak-anak kehidupan yang terbaik. Rumah yang besar, makanan yang baik, pakaian yang cantik dan semuanya yang terbaik dalam bentuk material. Betulkah itu yang anak-anak kita mahukan?

Adakah remaja di luar sana setuju tentang bentuk material yang diperlukan atau perhatian dan kasih sayang? Limpahan kasih sayang dan perhatian amat penting untuk santapan jiwa anak-anak kita.

Saya berminat berbincang tentang suara hati ayah sempena Hari Bapa, maka saya juruskan kepada luahan isi hati mereka. Suara hati anak-anak akan saya kongsi pada lain lembaran.

Tiga suara hati akan saya kongsikan bersama anda. Remaja di luar sana, saya ingin anda mendengar seruan dan rintihan ayah-ayah yang tidak tahu apa yang sepatutnya mereka lakukan untuk membahagiakan anak-anak.

Seorang ayah yang bekerja sebagai tukang kebun di sebuah sekolah memberitahu "Saya tak mahu anak saya dipandang rendah oleh kawan-kawannya, saya akan belikan baju-baju berjenama dan yang penting anak-anak saya gembira. Memang saya penat tapi berbaloi tengok senyuman anak-anak dengan hadiah yang saya beli. Kalau saya tak belikan, anak saya kata dia akan lari dari rumah, tunjuk tanda protes".

Protes? Adakah itu sikap anak-anak kita yang dipengaruhi oleh media massa untuk lari dari rumah? Adakah wang mengaburi remaja hari ini dan wang adalah segala-galanya?

Hati saya terusik dan terharu apabila terbaca berita kematian anak doktor pakar, Dr. Ko Chung Beng iaitu Steven Ko Yiu Hing pada 24 Mei 2012. Apabila saya memandang wajah mendiang di surat khabar, saya membayangkan Steven seorang yang ceria, baik dan bijak kerana mendiang adalah bakal doktor yang sedang menuntut di Penang Medical Centre.

Mengapa Steven sanggup terjun dari sebuah bangunan plaza di Pulau Pinang? Kisah cinta segi tiga sahabat baik yang belajar bersama-sama di luar negara dua tahun lepas. Cinta yang tidak melibatkan pergaduhan tetapi Steven menarik diri daripada percintaan tiga segi dan memberitahu teman wanitanya bahawa dia sanggup mengundur diri dan tidak mahu menyusahkan gadis itu membuat pilihan kembali kepada bekas teman lelaki yang juga merupakan kawan baik Steven.

Steven sempat menghantar SMS kepada teman wanitanya dengan berharap dia dapat menonton filem Casablanca dan memahami segalanya.

Bolehkah kita melihat seorang anak yang terlalu baik dan memiliki segalanya tetapi sunyi dan tidak cukup sokongan moral daripada keluarganya? Petikan daripada akhbar tempatan yang menyampaikan suara hati Dr. Chung Beng yang beliau benar-benar kesal kerana tidak bersama-sama anaknya mengharungi saat-saat gangguan emosi, dilema dan putus harap dalam percintaan.

Dr. Chung Beng menyeru semua ibu bapa jangan terlalu menyuguhkan material kerana apabila berlakunya situasi penolakan maka mungkin si anak tidak dapat menerima kekecewaan. Meluangkan masa bersama anak-anak amat penting kerana wang tidak dapat membeli segalanya dan ia bukanlah segalanya. Saya tidak nafikan pentingnya wang dan material pada hari ini tapi kadang-kadang kita lupa dan alpa dengan tugas harian mengejar kejayaan kita.

Mungkinkah pengaruh filem boleh melayangkan nyawa anak itu atau puncanya adalah kurang perhatian daripada ibu bapa? Pengaruh media massa pada hari ini begitu kuat sehingga menyebabkan remaja pada hari ini sanggup bunuh diri seperti dalam drama Korea dan sanggup melarikan diri dari rumah?

Sebelum itu, Steven sempat meminta teman wanitanya menonton filem Casablanca untuk memahami tindakannya. Pada tahun 2003, kita pernah dikejutkan dengan peristiwa seorang ayah yang menemui anak lelakinya membunuh diri di dalam bilik dan skrin komputernya tertera cara terperinci bagaimana membunuh diri yang dimuat turun dan ditiru.

Bagaimana kita dapat menghalang remaja pada hari ini daripada melayari internet dan terpengaruh dengan gejala sosial?

Suara hati ayah yang ketiga melahirkan kesyukuran dengan apa yang dikecapinya pada hari ini, Walaupun beliau bukan golongan berada tetapi beliau cuba memberi apa yang seadanya kepada anak-anak dan mengelak daripada berlebih-lebihan. Apa yang penting bagi beliau ialah menghadiahkan ilmu yang penuh di dada dan pahatkan tiang agama yang kukuh supaya anak-anak beliau dapat mencari erti kehidupan dan nilai-nilai kemanusiaan apabila dewasa kelak.

Bajailah dengan kasih sayang dan sentiasa mendoakan anak-anak beroleh kesejahteraan dan kebahagiaan. Itu sahaja harapan beliau kerana beliau tidak berharta dan hanya mampu memberikan ilmu serta didikan agama.

Marilah, ayah-ayah di luar sana, kita berhijrah sempena Israk Mikraj dan Hari Bapa. Kita menjadikan diri kita ikon terbaik kepada anak-anak kita seperti bak kata pepatah "Bapa borek anak rintik" dan kenapa kita tak kata "Ibu borek anak rintik". Fikirkan bersama. Salam 1Hati.

Penulis ialah Timbalan Pengarah Bahagian Kepimpinan, Korporat dan Perhubungan Antarabangsa dan Pensyarah Kanan di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/