Khamis, 8 September 2011

ISU ANTARABANGSA : Senario pasca 9/11 masih malap

oleh MASHITAH IBRAHIM

Lusa genap satu dekad berlakunya tragedi 9/11. Sebagai respons, Presiden George W Bush melancarkan perang (disebutnya ‘crusade’) menentang keganasan sejagat. Walaupun hanya sebilangan kecil sahaja orang Islam terbabit atau ada kaitan dengan kumpulan seperti al-Qaeda, satu dunia Islam menjadi sasaran Amerika Syarikat dan negara Barat. Kata tokoh pemikir Dr Chandra Muzaffar: “The Muslims, to put it in graphic terms, is now on the psychiatric couch, subjected to countless examinations and re-examinations.” (“Muslims Today: Challenges Within, Challenges Without:, Islamabad, 2011).

Sepuluh tahun berlalu, namun suasana geo-politik global, terutama dunia Islam, tidak banyak beza. Palestin dan Lubnan masih dicengkam manakala Iran menjadi sasaran sabotaj. Tentera Amerika masih berkuasa di Iraq dan Afghanistan. Hubungan Amerika-Pakistan dan Turki-Israel semakin meruncing. Negara-negara Islam di Afrika Utara dan Timur Tengah masih porak-peranda ekoran Revolusi Musim Bunga yang disokong Amerika dan Barat. Walaupun Osama Laden dibunuh, al-Qaeda masih berpengaruh. Pengeboman seperti di Bali (2002), Mumbai (2004) dan London (2005) mungkin berlaku lagi.

Prejudis Barat terhadap Islam dan Muslim masih tebal. Penghinaan terhadap agama dan penganut Islam terus berlaku, baik di media mahupun di medan. Punca prejudis ini ialah kepercayaan bahawa ajaran Islam menganjurkan keganasan, istilah ‘jihad’ disalahertikan. Apabila Pope Benedict XVI pun mempercayai begitu seperti dalam ceramahnya di sebuah universiti, nyatalah persepsi ini berleluasa.

Keadaan ini diburukkan lagi oleh tindakan beberapa pelampau Islam, termasuk pengebom berani mati - membabitkan kematian orang awam yang tidak berdosa. Majoriti orang Islam sendiri tidak menyokong tindakan keganasan kerana ia bertentangan dengan ajaran dan semangat Islam, namun ini jarang diberi penekanan oleh media atau penganalisis dan ahli politik Barat.

Bagaimanakah keadaan ini boleh diperbaiki? Dr Chandra memberi lima cadangan. Pertama, gerakan Muslim perlu bijak mempamerkan nilai Islam sebenar secara rasional dan meyakinkan melalui media antarabangsa atau dialog antara agama dan tamadun. Kedua, menekankan keunikan dan kecantikan budaya Islam serta nilai, sikap dan citarasa sejagat melalui pelbagai medium (radio, TV, lagu, seni, tarian dan filem). Ketiga, menguatkan komitmen untuk menguasai dan meningkatkan pengupayaan sains, teknologi, inovasi dan reka cipta demi kemajuan masyarakat Islam. Keempat, mewujudkan sistem ekonomi yang kuat dan stabil melalui perancangan pengindustrian yang teratur dan pelaburan di negara-negara Islam. Kelima, menguatkan demokrasi dengan meningkatkan pembabitan masyarakat awam dalam sistem politik dan kerajaan di negara-negara Islam, justeru menghalang dominasi asing.

Pandangan ini disokong Feisal Abdul Rauf, imam masjid yang dibina hanya enam blok dari Ground Zero. Dalam bukunya What’s Right With Islam (New York, 2005), Imam Feisal menekankan perlunya dialog terbuka dan berterusan dengan pemimpin agama lain sebagai prasyarat kepada perubahan bermakna antara Barat dengan dunia Islam. Ahli intelek Muslim dan pemimpin agama Islam di Amerika punya peranan utama menjalinkan hubungan dengan rakan sejawat daripada agama lain. Begitu juga guru-guru, media dan golongan Kristian serta Yahudi moderat yang bersikap munasabah. Wolfgang Goethe dan Karen Amstrong, antara tokoh bukan Islam yang berpengaruh dan berupaya menjadi ‘pembina jambatan’ meningkatkan kefahaman antara agama.

Dalam kalangan pemimpin dunia Islam, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak ialah antara pelopor utama gerakan sejagat yang menganjurkan kesederhanaan. Di pelbagai forum antarabangsa, termasuk diPertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dan Dialog Antarabangsa Langkawi, beliau sarankan jalan tengah dan pentingnya golongan moderat menentukan agenda agar tidak diambil alih atau disabotaj oleh golongan pelampau.

Imam Feisal, yang pernah tinggal di Simpang Lima, Kelang selama enam tahun dan belajar di Victoria Institution Kuala Lumpur, ialah anak kepada mantan Rektor Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) yang pertama. Antara lain, beliau mencadangkan perlunya dasar luar Amerika dilihat membantu negara-negara Islam, khususnya bidang ekonomi, perundangan dan amalan demokrasi.

Dalam pada itu, Amerika harus mencipta a weapon of mass peace dan memberi komitmen untuk menyelesaikan tiga konflik yang boleh meningkatkan kepercayaan dunia Islam terhadap kuasa besar itu dan Barat umumnya, yakni Perang Arab-Israel dan masalah di Kashmir dan Chechnya.

Mungkin ada yang berpendapat cadangan ini retorik atau mengambil masa yang lama untuk menjadi kenyataan, khususnya perubahan sikap dan dasar Amerika dan Barat, termasuk Israel. Tapi seperti kata tokoh pemikir Kanada, Wilfred Cantwell Smith, Islam yang elok dan berfungsi adalah asas keamanan sejagat. Untuk berabad-abad lamanya, Islam menjadi penyinar kepada Eropah sehingga Barat mampu membina tamadun sendiri. Kerana itulah, dunia Barat dan dunia Islam harus saling menghormati.

Sumber : http : //www.sinarharian.com.my/