Sabtu, 21 April 2012
ISU BAHASA : Fasih bahasa Inggeris bukan jaminan dapat kerja
Susunan Ruhaiza Rusmin
ruhaizarusmin@hmetro.com.my
ANTARA isu yang hangat dan masih terus diperkatakan ialah keupayaan pelajar menguasai bahasa Inggeris yang dianggap berada di takuk lama dan tidak memberangsangkan.
Kegagalan menguasai bahasa itu dianggap bukan saja merencatkan masa depan, malah meletakkan mereka dalam kelompok kelas kedua yang bakal ketinggalan dalam persaingan dunia global.
Tidak mahu terus dibelenggu kecaman, pelbagai usaha dilakukan semata-mata mahu memastikan golongan terbabit berjaya menguasai bahasa antarabangsa itu biarpun secara asasnya, penguasaan bahasa Inggeris yang baik bukan jaminan total memperoleh pekerjaan.
Bagaimanapun, di tengah kerancakan itu, masyarakat seolah-olah terlupa kepentingan menguasai bahasa Melayu yang turut sama berperanan dalam pembangunan akademik, sahsiah serta profesionalisme bangsa.
Meskipun mendapat pengiktirafan dunia, hakikatnya masih ramai malu mahu menuturkannya dengan alasan ‘takut jatuh standard’ sehingga bahasa itu seolah-olah menjadi asing di kalangan masyarakat.
Persoalannya, apakah bahasa Melayu tidak berperanan besar membantu pelajar memasarkan diri dalam arena pekerjaan, sekali gus gagal menawan hati majikan?
Atau sebenarnya, pelajar sendiri malu menutur dan memartabatkannya hingga ia menjadi ‘bahasa diskriminasi’ serta dianggap bahasa kelas bawahan bagi mereka yang mampu menguasai bahasa Inggeris dengan baik?
Ketua Jabatan Bahasa dan Kesusasteraan Melayu Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Prof Madya Datuk Paduka Dr Mohd Rosli Saludin berkata, tanggapan mengaitkan bahasa Melayu sebagai bahasa picisan lahir daripada ketaksuban mengagungkan bahasa asing.
Beliau berkata, keadaan bertambah kritikal apabila wujud tanggapan dangkal mengenai kepentingan bahasa Inggeris di pasaran semasa hingga mengakibatkan kelestarian bahasa Melayu sebagai bahasa ibunda semakin terpinggir.
“Hakikatnya, fungsi bahasa bukan saja mencerminkan perpaduan atau konsep jati diri secara individu, malah mengimbangi semua keperluan semasa. Ia medium interaksi menyampaikan maksud dan melaksanakan tanggungjawab.
“Peranan bahasa sama ada Melayu atau Inggeris bukan fokus utama namun bertukar menjadi kepentingan apabila dipraktikkan dalam sudut tertentu hingga akhirnya menjejaskan fungsi bahasa lain.
“Keperluan dan kehendak persekitaran menjadikan bahasa Inggeris lebih mendominasi kerana masyarakat sendiri mengiktirafnya sebagai bahasa global hingga menenggelamkan bahasa lain termasuk bahasa Melayu,” katanya.
Tidak menolak kepentingan menguasai bahasa Inggeris sebagai bahasa komunikasi dunia, namun meminggirkan bahasa Melayu dalam konteks pendidikan atau sebagai bahasa picisan tidak boleh dilakukan terutama di kalangan warga berpendidikan institusi pengajian tinggi.
Menurutnya, ia bukan saja menimbulkan ketaksuban terhadap bahasa luar, malah memecah-belahkan pelajar kepada dua kelompok iaitu mereka yang fasih dianggap terbaik manakala tidak sebagai golongan bertaraf kelas kedua.
“Ini sekali gus mewujudkan jurang dan ketidakadilan dalam penilaian pelajar. Bayangkan, hanya kerana tidak fasih berbahasa Inggeris, mereka dianggap tidak layak atau kurang berkemampuan.
“Walaupun diakui, pelajar yang fasih berbahasa Inggeris lebih menonjol, tiada siapa dapat memberi jaminan mereka boleh melaksanakan tanggungjawab dengan baik.
“Ini bukan prejudis namun sebagai contoh perbandingan, bahasa tidak boleh dijadikan penilaian untuk memberi kredit kepada pelajar,” katanya mengakui pelajar yang cemerlang menguasai bahasa Melayu boleh melakukannya untuk bahasa Inggeris namun belum tentu sebaliknya.
“Bahasa Melayu sangat kompleks kerana mempunyai banyak keindahan bahasa yang tersembunyi, berbentuk kiasan, puitis dan indah. Berbanding bahasa Inggeris, ia lebih mudah dan tidak memerlukan penghayatan mendalam.
“Pelajar yang boleh menguasai bahasa Melayu, selalunya boleh menguasai bahasa Inggeris namun keadaan sebaliknya menjadi sukar,” katanya.
Tambah memburukkan keadaan, keengganan sebahagian majikan yang terlalu mementingkan kefasihan bahasa asing menyebabkan pelajar terpaksa berhempas-pulas mempelajari bahasa lain sehingga menyebabkan bahasa Melayu terpinggir.
“Bayangkan ada majikan langsung tidak memandang keperluan bahasa Melayu sewaktu menemu duga calon.
“Kita faham, bidang kerjaya memang mementingkan bahasa Inggeris, namun biarlah berpada dan mengikut kesesuaian.
“Apa salahnya menggunakan bahasa Melayu, adakah jatuh standard atau lekeh?
“Seharusnya bahasa Melayu mendapat tempat utama dan istimewa dalam kalangan semua dan perlu dimartabatkan tanpa mengira bangsa, latar belakang dan sebagainya,” katanya.
Beliau juga menafikan bahasa Melayu tidak boleh memberi impak hebat seperti bahasa lain kerana masyarakat antarabangsa sudah berlumba-lumba mempelajarinya.
“Jika bangsa luar menyokong, mengapa tidak kita sedangkan ia sudah dimartabatkan sebagai bahasa dunia,” katanya.
INFO:
SEBAGAI usaha memartabatkan bahasa Melayu, Sambutan Bulan Bahasa Kebangsaan diadakan pada Oktober setiap tahun. Sambutan yang mula diperkenalkan pada 2009 ini juga antara lain bertujuan memantapkan, memperkukuh dan mempamerkan jati diri dan citra bangsa Malaysia dengan menguatkan rasa megah terhadap bahasa kebangsaan.
Sumber : http : //www.hmetro.com.my/
ISU BAHASA : Bahasa jadikan kita warga global berjaya
Rakyat digalak kuasai Mandarin, Arab
SANDAKAN: Rakyat, terutama pelajar digalakkan menguasai lebih daripada bahasa Melayu dan Inggeris bagi memastikan mereka berdaya saing ketika memohon pekerjaan atau memulakan perniagaan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, berkata antara bahasa yang perlu dikuasai termasuk Mandarin dan Arab kerana ia bukan saja digunakan komuniti antarabangsa, malah memudahkan persaingan mendapatkan pekerjaan dan menceburi perniagaan.
“Saya menggalakkan pelajar menguasai pelbagai bahasa, terutama sejak di bangku sekolah kerana ia memberi kelebihan kepada kita untuk menjadi warga global yang berjaya seantero dunia.
“Sekarang bahasa Mandarin sudah jadi bahasa pertuturan antarabangsa. Jika kita menguasai bahasa Melayu, Inggeris dan Mandarin, ia menjadikan kita hebat untuk bersaing pada peringkat antarabangsa,” katanya pada majlis pecah tanah Bangunan Serba Guna Sekolah Menengah Yu Yuan di sini, semalam.
Hadir bersama 2,000 hadirin adalah Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman; Timbalannya, Tan Sri Joseph Pairin Kitingan; Ahli Parlimen Sandakan, Datuk VK Liew; dan Pengerusi Lembaga Pengelola sekolah berkenaan, Ramona Lai Ai Fong serta kira-kira 2,000 hadirin.
Ditubuhkan pada 1963, ia adalah sekolah persendirian pertama di bandar ini dan menyediakan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC), iaitu peperiksaan khas untuk pelajar aliran Cina, selain Penilaian Menengah Rendah (PMR) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Mengambil contoh dua anaknya mempelajari bahasa Mandarin dan Arab, Najib berkata, seorang daripada mereka yang menuntut di sebuah universiti di Amerika Syarikat turut mengambil satu kertas pilihan, bahasa Mandarin.
Pada cuti semester musim panas lalu, anak Perdana Menteri dihantar ke Beijing University of Foreign Studies di China untuk mendalami bahasa Mandarin, manakala seorang lagi mengambil kertas bahasa Arab.
Sambil memuji dua pelajar perempuan fasih berbahasa Melayu, Inggeris dan Mandarin yang mengacara majlis pecah tanah itu, Perdana Menteri berkata, penguasaan bahasa ketiga selain bahasa Melayu dan Inggeris membolehkan pelajar bersaing dengan lebih yakin ketika memasuki alam pekerjaan.
Najib turut mengumumkan peruntukan RM1 juta bagi membantu membina bangunan serba guna bernilai RM5 juta di sekolah itu kerana percaya sekolah sedemikian mampu menyumbang kepada pembangunan masyarakat dan komuniti setempat.
Sumber : http : //www.bharian.com.my/
SANDAKAN: Rakyat, terutama pelajar digalakkan menguasai lebih daripada bahasa Melayu dan Inggeris bagi memastikan mereka berdaya saing ketika memohon pekerjaan atau memulakan perniagaan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, berkata antara bahasa yang perlu dikuasai termasuk Mandarin dan Arab kerana ia bukan saja digunakan komuniti antarabangsa, malah memudahkan persaingan mendapatkan pekerjaan dan menceburi perniagaan.
“Saya menggalakkan pelajar menguasai pelbagai bahasa, terutama sejak di bangku sekolah kerana ia memberi kelebihan kepada kita untuk menjadi warga global yang berjaya seantero dunia.
“Sekarang bahasa Mandarin sudah jadi bahasa pertuturan antarabangsa. Jika kita menguasai bahasa Melayu, Inggeris dan Mandarin, ia menjadikan kita hebat untuk bersaing pada peringkat antarabangsa,” katanya pada majlis pecah tanah Bangunan Serba Guna Sekolah Menengah Yu Yuan di sini, semalam.
Hadir bersama 2,000 hadirin adalah Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman; Timbalannya, Tan Sri Joseph Pairin Kitingan; Ahli Parlimen Sandakan, Datuk VK Liew; dan Pengerusi Lembaga Pengelola sekolah berkenaan, Ramona Lai Ai Fong serta kira-kira 2,000 hadirin.
Ditubuhkan pada 1963, ia adalah sekolah persendirian pertama di bandar ini dan menyediakan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC), iaitu peperiksaan khas untuk pelajar aliran Cina, selain Penilaian Menengah Rendah (PMR) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Mengambil contoh dua anaknya mempelajari bahasa Mandarin dan Arab, Najib berkata, seorang daripada mereka yang menuntut di sebuah universiti di Amerika Syarikat turut mengambil satu kertas pilihan, bahasa Mandarin.
Pada cuti semester musim panas lalu, anak Perdana Menteri dihantar ke Beijing University of Foreign Studies di China untuk mendalami bahasa Mandarin, manakala seorang lagi mengambil kertas bahasa Arab.
Sambil memuji dua pelajar perempuan fasih berbahasa Melayu, Inggeris dan Mandarin yang mengacara majlis pecah tanah itu, Perdana Menteri berkata, penguasaan bahasa ketiga selain bahasa Melayu dan Inggeris membolehkan pelajar bersaing dengan lebih yakin ketika memasuki alam pekerjaan.
Najib turut mengumumkan peruntukan RM1 juta bagi membantu membina bangunan serba guna bernilai RM5 juta di sekolah itu kerana percaya sekolah sedemikian mampu menyumbang kepada pembangunan masyarakat dan komuniti setempat.
Sumber : http : //www.bharian.com.my/
ISU SOSIAL : Politik Malaysia semakin 'tidak ikut musim'
Oleh Abdul Latif Abu Bakar
Hampir semua isu jadi modal perbualan, kegemaran rakyat pada masa lapang
BANYAK isu di Malaysia menjadi isu bermusim. Isu 'mat rempit' atau kini dikenali sebagai 'samseng jalan raya' sudah tidak menjadi bahan perbualan utama, musim isu ini sudah berlalu. Apabila berlaku kemalangan jalan raya membabitkan bas ekspres, isu keselamatan dan kecekapan pemandu bas ekspres akan diperbahaskan setiap hari, termasuk oleh pihak berkuasa yang mengeluarkan pelbagai kenyataan, kemudian semuanya diam. Isu dera pembantu rumah pun sudah reda, begitu juga kes buang bayi. Bagaimanapun satu isu yang tidak pernah mengenal musim ialah politik.
Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) kini semakin hangat diperkatakan dan persediaan ke arah itu nampak sangat rancak. Walaupun tarikh sebenar pilihan raya belum diumumkan, tukang ramal sudah membuat telahan masing-masing dan parti politik pula semakin rancak mengadakan ceramah di sana-sini. Bendera parti politik pula ada di merata-rata. Ketika dalam perjalanan ke Kuala Terengganu hujung minggu lalu, puncak pokok kelapa mati dipanah petir menjadi tempat memacakkan bendera parti. Tinggi sungguh, dan mereka yang memacak bendera parti di puncak pokok kelapa itu sangat taksub walaupun yang paling tinggi belum tentu akan menang.
Isu politik ini akan berterusan selagi pilihan raya belum selesai, tetapi isu politik ini bukannya isu bermusim. Selepas pilihan raya nanti isu politik akan berterusan dan kita semua akan bercakap dan mendengar mengenai politik. Nampaknya benar kata seorang teman: “Politik adalah kegemaran masa lapang rakyat Malaysia!”
Rasanya sepanjang lima tahun akan datang, selepas PRU-13 nanti, kita akan masih berpolitik dan apa yang berlaku sekarang akan berterusan untuk lima tahun lagi.
Politik bertukar seakan-akan menjadi ‘darah daging’ kita terutama selepas PRU-12 apabila buat kali pertama dalam sejarah negara, parti memerintah Barisan Nasional (BN sebelum ini Perikatan) gagal mengawal majoriti dua pertiga dalam Parlimen. Beberapa negeri pula jatuh ke tangan pembangkang dan menjadi sejarah sangat pahit bagi BN.
Sejak itu permainan politik Malaysia menjadi sangat ‘tidak terkawal.’ Hampir semua isu dikaitkan dengan politik daripada kes bunuh kepada kes beli kondo; daripada pemberian baucar bantuan murid sekolah kepada bantuan mangsa banjir; daripada bantuan ihsan kepada rakyat Somalia kepada janji mempertahankan keselamatan negara Israel. Hampir tiada isu yang tidak akan dikaitkan dengan politik. Kenyataan oleh parti politik – sama ada mereka menang atau kalah – pada pilihan raya akan datang juga sebenarnya sudah ada. Sama seperti kes mahkamah, jika menang, mahkamah berwibawa, kalau kalah, kerajaan didakwa kawal mahkamah!
‘Undang-undang dan peraturan’ berpolitik nampaknya sudah tidak ada. Fatwa boleh berubah, hukum boleh bertukar, teras perjuangan parti boleh diketepikan gara-gara permainan politik. Dasar luar negara boleh berubah kerana kita (ahli politik) terlalu berpolitik dan mempolitikkan mengenai apa saja isu.
Bagi mereka yang bermain politik, walaupun mendapat setengah peluang sekali pun, mereka akan tetap menendang ke pintu gol. Oleh kerana itulah isu kilang Lynas menjadi bertambah panas, tiba-tiba mahu menolak PTPTN selepas memohon dan mengambil wang termasuk untuk membeli telefon bimbit model terbaru, manakala kontrak sosial diketepikan begitu saja.
Bayangkan, ketika Bill Clinton menjadi Presiden, Amerika Syarikat (AS) mengebom Benghazi, Libya, pada zaman George Bush, AS menyerang Iraq dan menjatuhkan Saddam Hussein yang hukuman mati ke atasnya diterima seada-adanya oleh Bush, zaman Barack Obama menyaksikan AS merestui serangan ke atas Libya dan sedang mempersiapkan kemungkinan menyerang Iran. Mereka berpolitik habis-habisan ketika memilih presiden tetapi presiden mana juga yang dipilih, dasar dan prinsip mereka tidak berubah, malah diperkukuhkan.
Bagaimana politik kita agaknya? Tanda-tanda sudah menunjukkan perubahan akan berlaku kerana ramai ahli politik kita seakan-akan sesumpah yang berubah warna apabila keadaan memerlukan. Mereka melihat khalayak terlebih dulu dan mula menggunakan nada yang mahu didengar oleh khalayak berkenaan. Khalayak berubah dan nada ucapan berubah sama.
Semoga permainan politik kita akan berhemah kerana kita tidak mahu melihat berlaku perubahan semata-mata atas dasar permainan politik. Memang wayang politik ini sedang hebat dipersembahkan misalnya, bantahan terhadap PTPTN dan Bantah Duduk yang akan diadakan nanti. Permainan politik ini ada di mana-mana saja daripada tadika sehingga di universiti. Hairannya yang ramai mengambil bahagian dalam permainan ini ialah orang Melayu, termasuk pelajar universiti. Terpinggir sangatkah mereka?
Penulis ialah pensyarah Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media UiTM Melaka
Sumber : http : //www.bharian.com.my/
ISU SAINS DAN TEKNOLOGI : 7 pesaing iPad
KEHADIRAN iPad baru mencetus fenomena malah mendapat sambutan luar dugaan di seluruh dunia. Sehingga hari ini, dilaporkan lebih tiga juta unit iPad dikatakan sudah dijual di seluruh dunia.
Layar teknologi Retina serta sambungan 4G LTE (Long Term Evolution) menjadi fungsi utama dalam tablet pintar ini.
Walaupun mendapat sambutan dan ramai yang bermimpi-mimpi memilikinya, ada beberapa tablet lain yang dianggap ancaman 'serius' dan pesaing rapat iPad terbaru ini.
Berikut disenaraikan tablet yang menjadi saingan iPad dari segi harga dan kebolehan teknologi yang dipaparkan:
ASUS PADFONE
GAJET hebat ini adalah gabungan tablet dan telefon pintar. Tablet ini beroperasi dengan OS Android 4.0, layar Super Amoled qHD serta prosesor dual core Snapdragon S4.
SAMSUNG GALAXY NOTE 10.1
TABLET ini juga mempunyai stylus S Pen untuk melakukan pelbagai fungsi menarik seperti mencatat atau mengedit gambar.
Spesifikasi Galaxy Note 10.1 seperti layar resolusi 1280 x 800; prosesor dual core Exynos 1,2 GHz; kamera belakang 3MP; kamera depan 2MP; sistem operasi Android 4.0 atau Ice Cream Sandwich; Wi Fi serta HSPA+.
TOSHIBA EXCITE X10
TOSHIBA Excite X10 memiliki ketebalan 0.76 cm dengan berat 0.5 kilogram. Beratnya ini hanya lebih beberapa gram daripada Lenovo IdeaTab S2. Tablet ini dilengkapi dengan prosesor TI OMAP 4330 dual core 1.2 Ghz, RAM 1GB, kamera belakang 5MP dan kamera depan 1.3 MP.
LENOVO IDEAPAD S2
TABLET ini memiliki keyboard dock yang boleh disatukan dengan senang ke rangka utamanya seperti Asus Transformer. Tablet ini dibekal dengan kamera 5MP, OS Android 4.0 serta prosesor dual core.
ASUS TRANSFORMER PAD INFINITY 700A
TABLET ini termasuk Android paling laris di pasaran ketika ini, dibekalkan dengan prosesor quad core Nvidia Tegra 3 1.6 GHz dan memori dalamannya tersedia dalam dua pilihan, 32GB atau 64GB. Masih boleh ditambah slot microSD sehingga kapasiti 32GB.
LG OPTIMUS PAD LTE
TABLET ini menawarkan layar True HD IPS berukuran 8.9 inci dibekali dengan prosesor dual core Qualcomm 1.5GHz dan kamera 8MP.
SONY TABLET P
TABLET ini memiliki dua skrin masing-masing berukuran 5.5 inci dan tablet ini boleh dilipat. Seperti buku, ukurannya cukup kompak dan boleh diletakkan dalam saku.
Sony P boleh menampilkan dua halaman berbeza di kedua skrin seperti ketika dipakai membaca e-book. Sony P diperhebatkan dengan prosesor Nvidia Tegra 2, kamera depan dan belakang serta sambungan WiFi dan LTE.
Sumber : http : //www.bharian.com.my/
ISU PENDIDIKAN : Hapuskan pakaian seragam di tingkatan enam
KEMENTERIAN Pelajaran Malaysia (KPM) melalui Majlis Peperiksaan Malaysia (MPM) telah mengambil suatu inisiatif yang positif pada tahun ini, iaitu memperkenalkan Sistem Pentaksiran Baharu peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia bagi pengajian pelajar tingkatan enam.
Melihat kepada pembaharuan yang dibuat oleh KPM melalui agensi yang bertanggungjawab dalam hal menyediakan kurikulum dan sistem peperiksaannya, iaitu MPM rata-rata masyarakat menerimanya dengan hati terbuka.
Pengajian dipermudah kepada pelajar, iaitu kurikulum dibahagikan kepada tiga penggal pengajian dengan setiap penggal mempunyai peperiksaan yang sendiri. Ini bermakna pelajar tidak perlu lagi mempelajari kurikulum itu untuk tiga penggal dan menghadapi peperiksaan STPM pada akhir penggal pengajian. Bentuk pengajian ini selari dengan amalan dalam kolej matrikulasi dan pengajian pada peringkat diploma. Bebanan pelajar menjadi kurang dan lebih mesra pelajar.
Diharapkan dengan transformasi seumpama ini pengajian tingkatan enam akan kembali mendapat sambutan daripada pelajar.
Pengajian tingkatan enam merupakan pengajian yang paling murah sebenarnya. Ibu bapa tidak perlu mengeluarkan wang yang banyak untuk membayar yuran pengajian kerana yurannya ditanggung oleh kerajaan.
Tempat tinggal juga tidak menjadi bebanan kepada ibu bapa untuk menyediakan bajetnya kerana rata-rata pelajar boleh tinggal di rumah lantaran sekolah bertingkatan enam ada dalam daerah masing-masing.
Bagaimanapun, satu perkara yang mengekang kemasukan pelajar yang ramai ke pengajian tingkatan enam ialah isu pemakaian pakaian sekolah oleh pelajar tingkatan enam.
Isu inilah sebenarnya yang menghalang ramai pelajar untuk meneruskan pengajian ke tingkatan enam.
Walaupun kurikulumnya mesra pelajar, sistem peperiksaan dirombak, kos pengajiannya murah, yurannya ditanggung oleh kerajaan, dan sebagainya soal berpakaian seragam sekolah kepada pelajar yang sudah memasuki usia 18 hingga 20 tahun dilihat sudah tidak relevan dengan perkembangan semasa.
Remaja dalam usia sedemikian dari segi psikologinya merasa malu untuk memakai pakaian sekolah sama seperti adik-adiknya yang berusia 17 tahun ke bawah.
Zaman ini bukan lagi seperti zaman dahulu. Dalam usia 18 hingga 20 tahun mereka merasa malu untuk dilihat seperti murid berusia 17 tahun ke bawah.
Rata-rata rakan seusianya yang belajar di tempat lain, seperti di kolej matrikulasi, politeknik dan universiti sudah tidak memakai pakaian seragam.
Hal ini boleh menimbulkan rasa rendah diri dalam kalangan mereka. Jika pihak KPM berjaya mengubah dasar ini, diyakini ramai ibu bapa akan menyokongnya kerana mereka sedar pengajian tingkatan enam ialah pengajian yang paling murah sebenarnya berbanding dengan pengajian lain.
Oleh yang demikian, pihak kerajaan khususnya Kementerian Pelajaran Malaysia sama ada melalui Bahagian Pengurusan Sekolah Harian atau Bahagian Kurikulum (jika bahagian ini bertanggungjawab dalam menetapkan dasar pakaian sekolah) harus memahami aspek psikologi pelajar jika ingin melihat lebih ramai pelajar mengikuti pengajian di tingkatan enam.
Ubahlah dasar ini kepada dasar yang membolehkan pelajar tingkatan enam tidak lagi berpakaian seragam sekolah seperti sekarang tetapi memadailah jika mereka dibenarkan memakai seluar panjang berwarna gelap sama ada berwarna hitam atau hitam biru, berbaju kemeja tanpa mengira warna, berstoking gelap, dan berkasut kulit hitam. Seluar jeans dan baju T tidak dibenarkan sama sekali. Dengan perubahan yang sedemikian diyakini lebih ramai pelajar akan mengikuti pengajian di tingkatan enam.
PENYOKONG RAKYAT DIDAHULUKAN PENCAPAIAN DIUTAMAKAN
Sumber : http : //www.utusan.com.my/
ISU SOSIAL : Daya tahan diri perisai hadapi dugaan kesenangan
Oleh Sharifah Hayaati
bhagama@bharian.com.my
Solat peneguh amali, sederhana perkasa naluri
TIADA manusia yang tidak inginkan kesenangan dalam hidupnya malah, kedatangan Islam membawa rahmat yang antaranya adalah kesenangan supaya manusia dapat memenuhi keperluan hidup, membantu sesama manusia, beribadat dan meningkatkan keimanan serta ketakwaan.
Namun, dalam mencari kesenangan, kita juga perlu memperkuatkan diri dengan daya tahan dalaman. Jika sebelum ini kita membincangkan cara memperoleh ketahanan diri menghadapi dugaan, kali ini saya ingin mengetengahkan bagaimana usaha memperkasakan diri apabila berada dalam kesenangan dan peluang mencapai kesenangan.
Diingatkan, kesenangan juga adalah dugaan untuk melihat sejauh mana kita mensyukurinya. Malah dugaan kesenangan itu lebih berat daripada dugaan kesengsaraan kerana semasa dalam kesenangan kita lebih mudah alpa, leka, lalai dan lupa diri.
Begitu juga kerana ingin mendapatkan kesenangan, kita sering kalah dengan tarikannya yang menyalahi syarak seperti sogokan dalam pelbagai bentuk ganjaran dan habuan kesenangan serta penipuan.
Penjawat awam, dikawal dan dipandu pelbagai sistem pengawasan serta pencegahan seperti Akta Pencegahan Rasuah, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Pekeliling Kemajuan Pentadbiran Awam dan Panduan Tatakelakuan Penjawat Awam.
Namun, semua sistem ini hanya sebagai sokongan luaran saja. Apa yang lebih utama ialah sistem daya tahan dalaman diri seseorang membina kekuatan untuk tidak memberikan walaupun pertimbangan kepada tarikan itu.
Ketahanan diri penting apabila kita sudah berada dalam kesenangan untuk menahan daripada menyalahgunakan harta kesenangan dengan bersifat boros, tamak, monopoli dan lokek.
Kesenangan menyebabkan kita leka, lupa diri, malas, sombong dan lalai melaksanakan tanggungjawab sesama manusia dan kepada Allah serta menyalahgunakan kuasa untuk kepentingan peribadi.
Semua adalah kesan daripada kelemahan daya tahan diri. Justeru, ketika berada dalam kesenangan dan berhadapan peluang kesenangan, daya tahan diri mampu menjadi perisainya untuk mengelak manusia hilang nilai insani dan mengelak kesenangan itu nilainya bersifat zahiriah saja.
Hakikatnya, kesenangan dan peluang mendapat kesenangan boleh menjadi musuh di hari akhirat sekali gus menyebabkan sumber rezeki tidak diberkati.
Peringatan Rasulullah SAW dalam sabda yang bermaksud: “Sesungguhnya kelak pada hari kiamat, ada yang datang dengan tubuh perkasa tetapi nilai dirinya di sisi Allah lebih kecil dari seekor nyamuk.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)
Sebenarnya kita tidaklah dianggap berkuasa kerana jawatan, dianggap kaya kerana harta yang melimpah ruah dan dianggap perkasa hanya kerana fizikal yang kuat. Hakikat kaya, kuasa dan kuat ialah apabila kita berjaya menahan semua daripada disalah guna.
Allah SWT memerintahkan dalam firman yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah menyuruh (kamu) berlaku adil dan berbuat kebajikan, memberi kepada kaum kerabat dan Allah melarang daripada perbuatan keji, kemungkaran dan permusuhan. Dia memberi pengajaran kepadamu agar kamu mengambil peringatan.” – (Surah al-Nahl, ayat 90)
Ketahanan diri boleh diperkasa melalui pelbagai cara antaranya solat dan bersederhana. Solat menjadi perisai daripada pelbagai kemungkaran dan kesederhanaan sebagai perisai mengawal naluri keinginan kesenangan yang berlebih-lebihan.
Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Bermegah-megahan telah melalaikan kamu sampai kamu masuk ke dalam kubur. Janganlah begitu kelak kamu akan mengetahui (akibat perbuatanmu itu), dan janganlah begitu (kelak kamu akan mengetahui). Janganlah begitu, jika kamu mengetahui dengan yakin, nescaya kamu akan melihat neraka jahim. Dan sesungguhnya kamu akan benar-benar melihat dengan ainul yaqin, kemudian kamu akan pasti ditanya pada hari itu kenikmatan (yang kamu negah-megahkan di dunia).” (Surah al-Takatsur, ayat 1-8)
Bagi penjawat awam khasnya marilah kita memperkasakan solat sebagai peneguh amali dan menjadikan sederhana peneguh naluri dalam memperoleh kesenangan yang halal lagi diberkati.
Implikasinya disebut dalam sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Barang siapa mencari dunia dengan cara yang halal untuk menjauhkan dirinya daripada mengemis, menjaga harga diri keluarga dan berbelas kasihan sesama tetangga, nescaya ia akan bertemu Allah dan wajahnya bersinar seperti bulan purnama.” (Hadis riwayat al-Baihaqi)
Marilah bersama kita berusaha mencari dan memelihara nikmat kesenangan dengan memperkasakan ketahanan dalaman supaya ia tidak menghilangkan kebaikan di akhirat nanti.
Maksud doa Rasulullah yang sangat indah: “Ya Allah jauhilah daku dari dunia yang menghalang kebaikan akhirat.” Mudah-mudahan doa ini boleh kita jadikan ingatan dan munajat setiap hari dalam membina daya tahan mencari kesenangan dunia.
Penulis ialah pensyarah di Jabatan Siasah Syariyyah, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya (UM)
Sumber : http : //www.bharian.com.my/
ISU KENEGARAAN : Sidang Parlimen catat sejarah
NOOR AZURA SAHRIL
SHAH ALAM - Pertama kali dalam tempoh 22 tahun, persidangan Parlimen mencatat sejarah apabila Dewan Rakyat ‘menggantung’ masa bagi membolehkan semua aturan urusan mesyuarat dan usul diselesaikan.
Difahamkan, kali pertama sidang Dewan Rakyat mengalami keadaan serupa ialah ketika perbahasan Ordinan Darurat Kelantan pada 1977 berlaku ketika Speaker Dewan Rakyat ketika itu, Tun Zahir Ismail yang berakhir sehingga jam 2.45 pagi.
Persidangan dewan bagi sesi penggal ini ditangguhkan pada jam 3.22 pagi, selepas 22 hari bersidang yang dipengerusikan Timbalan Speaker, Datuk Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar.
Dewan Rakyat bersidang sehingga awal pagi Jumaat bagi membolehkan semua aturan urusan mesyuarat dan usul diselesaikan.
Dewan telah membahaskan dan meluluskan lapan Rang Undang-undang pada sidang dewan yang terakhir.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz berkata, Peraturan Mesyuarat 90(2) digunakan bagi menggantung Peraturan Mesyuarat 12 yang menyatakan semua aturan mesyuarat mesti diselesaikan pada hari yang sama.
“Perkara ini tidak pernah terjadi sejak saya telibat dalam hal ehwal Parlimen,” katanya di lobi Parlimen, semalam.
Arahan Tetap 12 menyatakan setiap sidang Dewan Rakyat dibenarkan untuk mencecah tempoh 5.30 pagi bagi melengkapkan perbahasan pada hari tersebut.
Usul Nazri itu disokong Timbalannya, Datuk VK Liew dan diluluskan.
Usul itu membenarkan Dewan Rakyat untuk dilanjutkan bagi melengkapkan perbahasan dan meluluskan lapan rang undang-undang yang telah disenaraikan untuk slot semalam.
Mohamed Nazri membentangkan usul tersebut sebelum tengah malam kelmarin ketika Dewan Rakyat membahaskan Rang Undang-Undang Pasaran Modal dan Perkhidmatan (Pindaan) 2012 untuk bacaan kali kedua.
Ketika usul itu dikemukakan, terdapat 34 Ahli Parlimen Barisan Nasional, 17 anggota pembangkang dan seorang wakil rakyat Bebas.
Persidangan Dewan Rakyat ditangguhkan ke satu tarikh yang tidak ditetapkan.
Sumber : http : //www.sinarharian.com.my/
Langgan:
Catatan (Atom)