Isnin, 21 Mei 2012

ISU SAINS & TEKNOLOGI : MEDIA CETAK 'LAWAN' DIGITAL



Oleh Hafizah Iszahanid

hafiza@bharian.com.my


Di Amerika Syarikat akhbar diramalkan mati lima tahun lagi, di Malaysia 2029

BAGAIMANA nasib dunia penerbitan di Malaysia dalam tempoh lima tahun dari sekarang? Di Amerika, diramalkan lima tahun lagi penerbitan akhbar akan mati. Namun di Malaysia, dipercayai ia masih boleh bertahan sehingga 2029.


Kebarangkalian ini tercetus lewat letusan teknologi yang perlahan-lahan mula menguasai dunia hingga memungkinkan penerbitan dalam bentuk fizikal bukan lagi keutamaan. Untuk 2010, jualan peranti tablet mencecah 19.5 juta orang dengan jualan 11 juta e-pembaca. Angka jualan peranti tablet dijangka menjangkau 208 juta menjelang 2014. 


Di Malaysia untuk sepanjang tahun lalu, 656,000 unit tablet terjual dengan nisbah tablet dan komputer riba adalah 48:52.Pakar Runding Amanz Network, Aman Firdaus berkata, dunia semakin diambil alih oleh digital dan dalam ruang lingkup penerbitan, ia bukan hanya membabitkan buku dan akhbar, tetapi juga video mahupun audio, lalu kemungkinan pupusnya bahan cetak secara fizikal sememangnya besar.


“Penerbitan digital adalah medan seterusnya. Kita perlu merebut peluang untuk menjadi sebahagian daripadanya. Hari ini dunia penerbitan sewajarnya sudah memulakan langkah dalam penerbitan digital kerana kita adalah pengguna teknologi. Apatah peranti tablet semakin mudah didapati pada harga murah dan pasaran semakin berkembang,” katanya pada Seminar Penerbit Semakin Gulung Tikar Kerana Teknologi sempena Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2012, baru-baru ini.

Aman melihat perkembangan semasa menyaksikan teknologi menjadi medan utama komunikasi maklumat dan ia bergerak pantas sehingga twitter serta buku wajah sudah menjadi sebahagian gelanggang komunikasi sehingga firma penerbitan digital seperti e-Sentral dan Aiyo berkembang pesat.

“Kedua-dua syarikat terbabit melakukan pelbagai proses penyelidikan dan pembangunan untuk memastikan perkhidmatan yang ditawarkan menepati kehendak pasaran. Tidak berbeza dengan dunia penerbitan konvensional, penerbitan digital juga berhadapan dengan episod saman-menyaman jika berita yang dikeluarkan adalah fitnah,” katanya.

Ketua Pengarah Eksekutif, Amanz Network, Ikhwan Nazri Mohd Asran berkata, apa yang paling jelas ketika ini adalah kos penerbitan buku menjadi terlalu rendah dan sedikit sebanyak ia terkesan di hati penerbit.

“Tablet adalah segmen pasaran yang perlu diterokai penerbit. Misalnya jika sebelum ini syarikat itu hanya menerbitkan novel dengan teknologi, kini mereka boleh mengembangkan penerbitan novel menjadi e-buku atau novel grafik yang secara tidak langsung meluaskan segmen pasaran mereka,” katanya.

Malah tidak mustahil dalam tempoh dua tahun akan datang, lebih ramai orang akan menerbitkan karya mereka sendiri dan meskipun buku fizikal akan kekal relevan untuk tempoh lima tahun akan datang, namun e-buku akan menguasai 40 peratus pasaran buku.

Dunia penerbitan digital juga punya mekanisme keselamatan yang memastikan ia tidak berhadapan dengan cetak rompak dengan e-buku misalnya memiliki DRM - Pengurusan Hak Digital yang berbeza untuk setiap enjin carian dan membolehkan ia dibaca secara dalam talian dan boleh dimuat turun, tetapi tidak boleh diagihkan kepada pembaca lain.

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

ISU GLOBAL : Juta​an saksi gerhana matahari cincin



TOKYO Gerhana matahari Anulus atau gerhana matahari cincin selama empat minit setengah, sejauh 240 hingga 300 kilometer dari Bumi dapat disaksikan di sekitar Asia Pasifik hingga barat Amerika Syarikat.


Menurut Portal Pendidikan Sains Angkasa sebelum ini, gerhana matahari berlaku apabila bulan melintasi antara bumi dan matahari, serta melindungi secara keseluruhan atau sebahagian imej matahari daripada pencerap yang berada di bumi.






Gerhana matahari Anulus berlaku apabila diameter ketara seperti bulan lebih kecil daripada cakera matahari menyebabkan matahari kelihatan seperti anulus (cincin) dan menyekat kebanyakan daripada cahaya matahari.

Menurut portal itu, fasa anulus akan dapat dilihat dari kawasan pantai China, utara Taiwan, selatan Jepun dan bahagian barat Amerika Syarikat serta Kanada.





Beribu-ribu orang di seluruh Asia menyaksikan keajaiban tersebut.


Gerhana dapat dilihat jelas di sekitar Tokyo, sebelum melintasi rantau pasifik, ia betul-betul di bawah Pulau Aleutian Alaska dan sepanjang Oregon, California, Amerika Syarikat.





Awan yang sedikit ketika gerhana bermula menyebabkan keadaan menjadi sempurna apabila ramai yang dapat menyaksikan gerhana dari awal hingga akhir.

Kanak-kanak yang menyaksikan gerhana tersebut, Kaori Sasaki berkata, kejadian gerhana ini adalah sesuatu yang misteri dan ini kali pertama dia menyaksikan fenomena ini.

Pihak Panasonic, salah sebuat pengeluar elektronik terbesar Jepun turut menghantar satu ekspedisi ke puncak Gunung Fuji bagi menyaksikan fenomena gerhana menggunakan peralatan berkuasa solar.

Jurucakap syarikat tersebut berkata, matlamat utama mereka adalah untuk menyiarkan fenomena yang dianggap tercantik di dunia dari puncak tertinggi di Jepun.

Bagaimanapun, nasib tidak menyebelahi penduduk di sekitar Hong Kong apabila beratus-ratus berkumpul di sepanjang pantai Kowloon, tidak dapat menyaksikan fenomena tersebut apabila terdapat awan tebal, yang menghalang pemandangan ketika keajaiban tersebut.

Simber : http : //www.sinarharian.com.my/

ISU BAHASA : Bahasa rojak 'bunuh' bahasa ibunda



Sikap tak kisah kikis identiti bangsa

Oleh Ruhaiza Rusmin

BIARPUN dianggap bahasa picisan namun dominasi bahasa rojak dalam kehidupan masyarakat moden masa kini cukup ketara.

Penggunaan yang semakin meluas terutama di kalangan generasi muda juga dikhuatiri bakal mengikis nilai identiti bangsa tanpa disedari.

Berilah pelbagai alasan, isu bahasa rojak seharusnya ditangani segera bagi mengelakkannya terus melarat apatah lagi sikap masyarakat yang lebih mementingkan konsep mudah dan praktikal boleh mengancam kewibawaan bahasa standard.

Persoalannya, mengapa bahasa rojak sangat digemari? Apakah kelebihannya?

Ketua Jabatan Bahasa Melayu Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi Universiti Putra Malaysia, Profesor Madya Dr Adi Yasran Abdul Aziz, berkata, penggunaan bahasa rojak yang ‘sempoi’, ‘santai’ namun bergaya adalah faktor ia menjadi pilihan.

Menurutnya, konsep kehidupan masyarakat terutama generasi muda hari ini yang ‘malas’ untuk berfikir juga menjaga standard menjadikan mereka lebih selesa dengan penggunaan bahasa itu.

“Masyarakat hari ini lebih mementingkan penampilan, bukan saja gaya tapi bahasa juga perlu sofistikated dan mengikut perkembangan semasa.

“Bahasa rojak tidak memerlukan unsur peraturan, justeru mudah diterima ramai menjadikan masyarakat sangat selesa menggunakannya,” katanya.

Bagaimanapun beliau berkata, biarpun mudah namun masih tetap mencemarkan identiti bahasa dan budaya sekali gus menghakis jati diri bangsa.

Menurutnya, setiap bangsa di dunia dihakimi melalui peradaban bahasa dan sosial, justeru penggunaan bahasa rojak yang berleluasa dikhuatiri boleh menjejaskan usaha memartabatkan keunikan identiti sesuatu bangsa.

“Bahasa adalah imej yang melambangkan keperibadian dan ketinggian budaya bangsa, justeru biarlah bahasa digunakan bersesuaian.

“Ramai menganggap isu ini picisan namun kesedaran untuk menggunakan bahasa standard perlu ada. Jika tidak ia akan mengikis penggunaan bahasa sedia secara perlahan-lahan.

“Sekali gus membunuh nilai identiti bangsa hingga mencacatkan perjalanan bahasa untuk generasi akan datang pula,” katanya.

Pusat Rujukan Bahasa Melayu Dewan Bahasa Pustaka mentakrifkan bahasa rojak sebagai bahasa yang bercampur aduk kata-kata yang digunakan penuturnya.

Dengan kata lain, percampuran penggunaan bahasa Melayu yang diselangselikan dengan bahasa asing seperti bahasa Inggeris sekali gus boleh menjadikan struktur ayat tunggang-langgang.

Penggunaan bahasa berkenaan juga lebih sinonim kepada generasi muda yang dikaitkan dengan sikap ‘tidak kisah’ dengan apa yang melanda institusi bahasa negara.

Mengulas mengapa bahasa rojak pantas berkembang dan menjadi pilihan, beliau berkata penggunaan yang ringkas, mudah serta senang difahami menjadikan ia dekat dengan pelbagai lapisan masyarakat.

Malah, akuinya, bahasa ini tidak mengenal usia, latar belakang serta status penutur menyebabkan masyarakat mudah menerimanya.

“Lazimnya, masyarakat memang mudah tertarik dengan sesuatu yang mudah kerana hari ini semuanya perlu serba pantas tidak terkecuali bahasa.


“Penggunaannya tidak salah dan isu bahasa rojak pun bukanlah isu yang perlu diperbesarkan. Cuma penggunaan tidak terkawal terutama di kalangan pelajar sekolah boleh memberi impak negatif dalam peperiksaan.

“Bayangkan jika mereka menulis karangan menggunakan bahasa rojak. Bukan guru saja pening malah memberi kesan terhadap pemberian markah sedangkan bahasa Melayu adalah subjek wajib lulus,” katanya.

Beliau tidak menyekat jika bahasa rojak digunakan dalam pertuturan seharian biarpun boleh memberi kesan jangka panjang.

“Ia mungkin menyakitkan telinga segelintir orang namun kesannya tidaklah mendalam berbanding penggunaannya dalam penulisan peperiksaan. Fokus utama ialah golongan pelajar.

“Ini yang perlu diteliti dan diambil tindakan kerana saling berkait rapat dengan kepentingan sistem pemarkahan peperiksaan. Bahasa rojak tidak diterima.

“Ini satu kerugian sedangkan mereka boleh memperoleh markah yang baik dengan penggunaan bahasa teratur. Inilah bahayanya bahasa rojak jika tindakan proaktif tidak diambil,” katanya.

Akuinya, bahasa rojak juga sudah dinilai standard sebagai bahasa Melayu campur sedangkan kerana bahasa lain tidak menghadapi masalah serupa.

Menurutnya, bahasa Melayu senang dimanipulasi berbanding bahasa lain kerana penggunaan bahasa itu dipenuhi pelbagai perkataan dan kota kata indah serta puitis.

“Biarpun bahasa Inggeris bahasa antarabangsa, ia jarang dimanipulasi kerana struktur ayatnya kukuh. Umumnya, bahasa Inggeris juga ringkas dan terus pada maksud.

“Berbanding bahasa Melayu, walaupun mempunyai struktur kukuh namun penggunaan perkataannya sangat luas, panjang, indah, berbunga dan melankolik.

“Menyebabkan mereka yang kurang sabar bertindak mencari perkataan paling mudah untuk mengungkapkannya seperti ‘sayangkan u’ berbanding ‘sayangkan awak’,” katanya.

Perkembangan pantas teknologi juga pada masa sama memberi kesan terhadap penggunaan bahasa rojak.

“Penggunaan bahasa rojak dulu hanya terbatas melalui pertuturan namun kini sudah biasa digunakan dalam komunikasi maya menyebabkan ia semakin merebak tanpa kekangan.

“Pada masa sama, mereka yang mempertahankan penggunaan bahasa juga mungkin sudah ‘penat’ dan gagal bersaing dengan tempias teknologi menyebabkan bahasa rojak semakin mendominasi.

“Sekali gus mencacatkan usaha dilakukan bagi memartabatkan penggunaan bahasa Melayu standard yang menjadi kebanggaan generasi dulu,” katanya.

Tidak menolak juga kemungkinan bahasa rojak adalah pengaruh rakan, beliau berkata, perlu disuntik kesedaran untuk mendaulat dan menggunakan bahasa yang betul.

“Sekurang-kurangnya, ia boleh membantu memperoleh markah yang baik dalam peperiksaan. Ini bukan soal tidak ada gaya atau sebagainya, sebaliknya kualiti dan standard yang sudah ditetapkan.

“Justeru, perlu wujudkan satu kesedaran di kalangan generasi muda supaya tidak terlalu mengagungkan bahasa rojak yang bercampur baur antara bahasa Melayu dan bahasa Inggeris,” katanya.

Antara mekanisme boleh dilakukan ialah dengan mengadakan bengkel deklamasi sajak, penulisan pantun, karangan, cerita pendek dan sebagainya bermula di peringkat sekolah rendah.

“Walaupun usaha ini terpaksa bersaing dengan teknologi, sekurang-kurangnya kepekaan asas terhadap penggunaan bahasa yang betul sudah ada dan boleh diasah serta dipraktikkan.

“Langkah awal perlu disusun supaya mereka tahu menyusun rentak penggunaan antara bahasa rojak dan keperluan bahasa standard.

“Sekali gus menyedarkan masyarakat betapa pentingnya mempertahankan penggunaan bahasa yang betul sekali gus tidak teraba-raba mencari nilai identiti diri dan bangsa,” katanya.

Sumber : http : //www.hmetro.com.my/

ISU PENDIDIKAN : Sabar, minat pendinding guru



WARTAWAN SINAR HARIAN

Cikgu, ustaz, ustazah, teacher dan pensyarah adalah gelaran individu yang bertungkus-lumus mendidik murid, pelajar dan penuntut dengan harapan dapat melahirkan generasi berbakti kepada agama, bangsa dan negara.

Justeru, tanggal 16 Mei saban tahun, pasti menjadi tarikh istimewa kepada mereka apabila diumumkan sebagai Hari Guru iaitu hari meraikan segala pengorbanan pendidik demi menabur bakti untuk anak bangsa tercinta.

Namun bukan mudah menggalas tugas sebagai guru yang perlu berhadapan dengan 1001 karenah anak didik yang semakin hari semakin mencabar kesabaran pendidik. Penolong Kanan Pentadbiran Sekolah Kebangsaan Bandar Anggerik Shah Alam, Hamidah Jantan berkata, memang tidak dinafikan menjadi seorang guru, cabaran besar adalah menahan kesabaran.

Menurutnya, bukan mudah untuk mendidik anak bangsa menjadi orang berguna dalam menangani karenah pelajar dengan harapan berjaya memacu negara.

“Bergelar guru, kesabaran akan sentiasa teruji apabila berhadapan dengan murid, ibu bapa dan rakan sekerja yang pelbagai perangai. Sebab itu, minat untuk menjawat jawatan sebagai guru itu amat diperlukan.

“Mungkin sudah sebati dalam diri seorang guru itu ada sifat sabar, walaupun anak murid kadang-kadang kurang ajar dengannya, guru tetap sabar mendidiknya, katanya kepada Sinar Harian.

Hamidah yang bergelar guru sejak 1979 berkata, mendidik anak murid dahulu dan kini banyak berbezaannya terutama dari segi disiplin murid.

“Pelajar dahulu, jika melanggar disiplin seterusnya dikenakan hukuman atau didenda. Mereka tidak berdendam dengan guru, tambahan mereka berterima kasih dengan guru kerana hukuman tersebut dijadikan pengajaran seterusnya menjadi orang berguna pabila dewasa.

“Saya pernah mengetuk tangan seorang pelajar kerana melakukan kesalahan ketika kelas berlangsung. Selepas kejadian itu, pelajar berkenaan mengucapkan terima kasih atas tindakan saya itu, yang membuatkannya mahir dalam subjek tersebut,” katanya.

Di sebalik hukuman

Hamidah berkata, boleh dilihat kini apabila guru mengenakan tindakan disiplin kepada anak didik, ibu bapa seakan tidak dapat menerima tindakan dikenakan.

“Bukan guru mahu menyalahkan ibu bapa sekarang, tetapi usaha kami adalah mendidik pelajar agar menjadi insan berjaya. Jika tidak dikenakan hukuman atas kesalahan dilakukan mungkin mereka akan terus melakukan kesalahan sama.

“Bagi guru seperti saya pun tahu batasan hukuman yang dikenakan atas kesalahan dilakukan. Ia tidaklah sehingga mendatangkan kecederaan. Asalkan hukuman berkenaan boleh mengubah pelajar tersebut menjadi lebih baik,” katanya.

Menjadi cikgu, kata Hamidah memang cita-citanya sejak kecil, tambahan berasal daripada keluarga susah menyebabkannya mahu mengubah hidupnya lebih senang.

“Pernah ketika tingkatan empat, saya bekerja mencuci pakaian dan menguruskan rumah pemilik berbangsa Cina setiap hujung minggu dengan pendapatan RM10 sebulan.

“Selepas habis Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), saya bekerja di kilang sebelum diterima menyambung pelajaran di Maktab Perguruan Perempuan Melaka. Betapa gembiranya perasaan saya diberitahu bakal menjadi pendidik ketika itu,” ujar anak sulung daripada lapan beradik.

Guru Besar SK Bandar Anggerik Shah Alam, Dahlia Abas berkata, memegang jawatan sebagai guru bukan mudah disangka terutama apabila dinaikkan pangkat menjadi guru besar.

“Bukan sahaja perlu menguruskan murid, tetapi perlu memantau semua warga sekolah termasuk guru, kerani, tukang kebun, keceriaan sekolah, prestasi dan hubungan dengan pihak luar.

“Tidak terbayang pun saya dilantik menjadi guru besar yang memikul tanggungjawab besar di sekolah. Tetapi kerana minat dan mahukan warga sekolah berjaya, saya teruskan usaha ini,” katanya.

Bentuk generasi

Siapa kata tugas guru ini mudah? Soal Dahlia kepada penulis. Tambahan dunia mencabar kini di mana murid lebih pandai daripada guru dalam dunia teknologi. Ini menjadikan guru perlu lebih berusaha menjadi mahir dalam bidang siber ini.

“Dahulu, mana ada komputer, mesin faks, pencetak dan telefon pintar yang boleh mengakses pelbagai maklumat dengan hanya hujung jari. Ketika mula menjadi guru, soalan murid hanya ditulis tangan sahaja, seterusnya baru muncul mesin taip.

“Kini, kerja lebih mudah dan pantas. Justeru guru perlu seiring dengan setiap perkembangan semasa ini,” katanya.

Ditanya ciri-ciri perlu dimiliki guru, Dahlia menyatakan perlu tinggi tahap kesabarannya. Jika tidak, ia boleh membuatkan guru tersebut mengalami gangguan emosi atau mental kerana cabaran dalam dunia pendidikan ini sangat mencabar.

“Sebab itu, setiap guru diberi penerangan menangani tekanan kerja pada satu-satu masa agar tidak terlalu tertekan dengan cabaran dihadapi dan boleh meneruskan kerja dengan dedikasi serta ikhlas.

“Memang terdapat kes di mana guru mengalami tekanan perasaan akibat bebanan ditanggung yang tidak dapat ditangani seterusnya terpaksa direhatkan. Oleh itu, minat dan sabar amat penting dalam dunia ini,” katanya.

Selain itu katanya, ciri guru yang diingini pelajar mestilah ada perasaan sayang pada mereka di samping jatuh cinta dengan pekerjaan guru itu sendiri untuk memikul tanggungjawab mendidik generasi akan menongkat dunia.

Oleh itu, sempena Hari Guru tahun ini bertemakan "Guru Inovatif Melonjakkan Transformasi Pendidikan Negara" diharap dapat direalisasikan pendidik sejajar dengan perkembangan semasa.

Sumber : http : //www.sinarharian.com.my/