APABILA saya mengajukan persoalan
kepada sekumpulan peserta kursus bahasa
baru-baru ini, 47 orang daripada keseluruhan peserta yang seramai 50 orang
meyakini bahawa kata majmuk ‘cop jawatan’ lebih tepat penggunaannya berbanding
‘cap jawatan’.
Mereka seolah-olah terkejut dan
ada yang menganggap saya bergurau
apabila saya memberitahu bahawa penggunaan ‘cap jawatan’ lebih tepat.
Ketidakpuasan hati mereka telah
menuntut saya untuk menjelaskan secara terperinci tentang hal berkenaan.
Dalam artikel pada hari ini juga,
saya akan cuba untuk mengupas kekeliruan yang timbul dalam kalangan pengguna
bahasa Melayu berkenaan hal tersebut. Dalam Kamus Dewan Edisi Keempat halaman
246, cap bermaksud:
i) alat untuk menurunkan bekas atau kesan
tanda dengan menekannya di atas kertas
Contoh : Puan Ariza telah menempah
beberapa unit cap dari kedai itu untuk kegunaan Dewan Bahasa dan Pustaka
Wilayah Timur.
ii) cetak, cetakan
Contoh : Siti Norizah telah
diterima untuk bekerja sebagai tukang cap di sebuah kedai buku milik Nozeli.
iii) bekas atau kesan yang dibuat dengan cap
Contoh : Pihak penganjur terpaksa menolak
penyertaan pasukan berkenaan kerana tidak disertakan cap presiden kelab.
iv) tanda yang berupa gambar dan lain-lain
Contoh : Beberapa botol budu cap pisang
dibawa oleh Nik Ali untuk anaknya di Port Dickson.
v) kiasan tentang ciri dan sifat
Contoh: Sikap itu telah
melambangkan capnya yang sebenar.
Manakala cop dalam Kamus Dewan
Edisi Keempat halaman 288 membawa beberapa maksud dalam dialek Kedah:
i) sejenis alat untuk menggali tanah
ii) sejenis alat untuk mengupas kelapa
iii) meniup (lilin, pelita minyak tanah) dengan
menggunakan mulut, menghembus
Cop turut digunakan dalam dialek
Kelantan yang bermaksud sejenis alat untuk menggali tanah atau cangkul dan
maksud ini sama dengan salah satu maksud cop dalam dialek Kedah.
Berdasarkan maksud yang telah
dinyatakan, maka sudah jelas bahawa penggunaan yang tepat ialah cap jawatan dan
bukannya cop jawatan.
Selain penggunaan perkataan cap
dan cop yang sering dilakukan kesilapan oleh pengguna bahasa Melayu, ada
beberapa perkataan lagi yang perlu diperbetul aspek penggunaannya. Salah
satunya ialah serondeng. Ada antara pengguna bahasa Melayu yang
tercengang-cengang apabila disebut perkataan serondeng kepada mereka.
Bagaimanakah pula dengan keadaan
mereka apabila disebut perkataan serunding? Mereka akan memberitahu bahawa
serunding ialah sejenis makanan yang diperbuat daripada daging. Benarkah
begitu?
Apabila kita merujuk Kamus Dewan
Edisi Keempat, sebenarnya tidak ada langsung entri serunding dalam kamus
berkenaan. Hal ini demikian bermakna tidak wujud kosa kata serunding dalam
bahasa Melayu. Kalau begitu, apakah pula maksud serondeng? Serondeng bermaksud:
i) sejenis makanan yang dibuat daripada
kelapa yang dikukur
ii) sejenis makanan yang tahan lama daripada
siatan daging, udang, ikan dan sebagainya yang dimasak bersama-sama santan dan
rempah-rempah sehingga kering.
Jadi sudah jelaslah bahawa
makanan yang kita makan itu ialah serondeng bukannya serunding. Sehingga saya
menulis artikel ini, belum pernah saya melihat perkataan serondeng digunakan
dalam iklan atau papan tanda atau sebarang cap yang mempromosikan serondeng.
Mungkin ada dalam kalangan mereka yang menggunakannya namun bilangannya hanya
dapat dikira dengan jari.
Bahasa Melayu milik kita semua,
oleh itu bangsa Malaysia tanpa mengira agama, bangsa dan keturunan perlu
berusaha untuk memantapkan bahasa Melayu. Mantapnya sesuatu bahasa, maka
mantaplah bangsanya seterusnya majulah negaranya. Akhir kata “Cintailah Bahasa
Kita, Bahasa Jiwa Bangsa”.
* Ruangan ini dikelolakan oleh
DBP Wilayah Timur
Sumber : http : //www.sinarharian.com.my/