Jumaat, 14 Januari 2011

ISU PENDIDIKAN : 469,500 Tempat Untuk Pelajar Lepasan SPM Lanjut Pengajian


KUALA TERENGGANU: Sebanyak 469,500 tempat disediakan untuk pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan yang setaraf melanjutkan pengajian mereka ke Institut Pengajian Tinggi (IPT) di seluruh negara.

Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata selain daripada IPT Awam, pelajar juga berpeluang melanjutkan pelajaran di Institut Pengajian Tinggi Swasta, Tingkatan Enam, Program Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Kementerian Pelajaran Malaysia dan program persediaan ke luar negara secara tajaan.

Katanya bagi mereka yang tidak mencapai keputusan yang baik dalam SPM, mereka sewajarnya memilih untuk menyambung pengajian bagi mendapatkan sijil di institusi-institusi kemahiran sama ada awam, swasta mahupun di Kolej Komuniti.

"Apabila Kementerian Pengajian Tinggi melalui Unit Pusat Universiti diberikan tanggungjawab untuk mengkordinasi dalam soal permohonan kemasukan pelajar termasuk ke institusi latihan, kita boleh melihat dan membuat perancangan bagi mereka yang tidak mendapat keputusan baik dalam SPM, kita boleh tampung melalui penyediaan mereka untuk mendapatkan sijil kemahiran.

"Dengan demikian kita dapat mengatasi masalah yang dihadapi negara di mana ramai pelajar masuk pasaran kerja hanya berbekalkan SPM. Tetapi sekarang kita mahu buat perancangan supaya pelajar ini dibekalkan dengan sijil kemahiran," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis perasmian 'Karnival Jom Masuk U' oleh Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Said di sini hari ini.

Mohamed Khaled berkata kementerian sedang merancang untuk mengarusperdanakan program pengajian diploma di IPTA sebagai usaha untuk memperkasakan program diploma sebagai satu pilihan pelajaran lulusan SPM atau yang setaraf untuk melanjutkan pelajaran mereka.

Beliau berkata kementerian akan menyediakan pembekal bagi melahirkan graduan berkemahiran teknikal dari universiti-universiti teknikal selain memartabatkan program diploma dengan mendapatkan pengiktirafan daripada badan profesional dalam dan luar negara.

Selain itu, katanya beberapa cadangan pelaksanaan sedang dikaji antaranya memperkenalkan program-program baru di IPTA dan Politeknik.

"Saya berharap dengan adanya program-program baru yang mesra pasaran ini, minat pelajar semakin bertambah untuk memilih pengajian diploma," katanya.

Kira-kira 40,000 pengunjung terutama pelajar dijangka menghadiri karnival selama dua hari itu yang melibatkan 20 buah IPTA dan beberapa institusi swasta.

Selain Terengganu, karnival seumpamanya akan diadakan di 10 lokasi lain mengikut zon yang dikenal pasti di seluruh negara sehingga 3 April depan, denganupacara penutup disempurnakan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin di The Mines International Exhibition Centre, Sri Kembangan, Selangor. - BERNAMA

ISU BAHASA : Jihad mengangkat martabat tulisan jawi

TULISAN jawi bukan sesuatu yang baru di negara ini. Ia telah bertapak lebih 700 tahun lalu sejak penemuan Batu Bersurat di Terengganu pada tahun 1303. Kewujudannya lebih awal daripada tulisan rumi yang dibawa oleh penjajah Barat sekitar abad ke-15 Masehi.

Kehadiran tulisan yang berasal dari tulisan Arab ini amat bermakna kerana selain menjadi salah satu warisan dunia Melayu yang bersejarah, ia juga sekaligus mengubah senario bangsa Melayu dalam pelbagai aspek sama ada agama mahupun budaya.

Peri pentingnya tulisan jawi ini terbukti apabila ia pernah menjadi tulisan rasmi bagi Negeri-Negeri Melayu Tidak Bersekutu semasa penjajahan British. Perjanjian-perjanjian penting antara Raja-Raja Melayu dengan pihak-pihak berkuasa Portugis, Belanda dan Inggeris juga menggunakan tulisan jawi.

Pendek kata, sejarah merakamkan bahawa tulisan ini pernah memainkan peranan penting dalam masyarakat apabila digunakan sebagai perantara dalam semua urusan pentadbiran, adat istiadat dan perdagangan.

Tetapi kini, semua itu menjadi sisa-sisa kenangan yang manis untuk diingat. Tulisan kebanggaan bangsa Melayu suatu waktu dahulu, kini semakin terpinggir di bumi Melayu sendiri. Satu-satunya ‘warisan’ tulisan jawi yang masih kekal hingga ke hari ini ialah akhbar jawi Utusan Melayu Mingguan.

Sehubungan itu, kita bukan sahaja perlu memulihkan tulisan warisan orang Melayu ini, malah mengangkat semula martabatnya ke satu tahap yang sewajarnya dengan apa cara sekalipun, sesuai dengan keagungan dan ketinggian ‘darjatnya’ suatu waktu dahulu.

Dalam usaha ini, kita perlu berani bertindak, tidak takut untuk berubah dan sedia mengambil sebarang risiko. Ini penting kerana tulisan jawi adalah sebahagian daripada cara hidup kita, cara kita berbudaya dan skrip agama kita.

Kita menjunjung kasih yang tidak terhingga kepada Raja Muda Perak, Raja Dr. Nazrin Shah Ibni Sultan Azlan Shah yang mengajak orang Melayu mempertahankan tulisan jawi supaya terus hidup dan tidak pupus kerana ia merupakan satu perjuangan bangsa.

Antara titah baginda yang perlu menjadi ingatan semua orang Melayu adalah, ‘meski setinggi mana mencecah awan, akar bangsanya biarlah mencecah bumi di tanah air warisan bangsa, tahu menghargai khazanah bangsanya, dan tidak merelakan warisan bangsanya dihina atau dicerca’.

Titah baginda itu perlu dijadikan azimat untuk kita semua kembali berjuang memperkukuh dan mempertahankan warisan bangsa itu daripada pupus. Jadikan ia sebagai antara perjuangan besar orang Melayu pada masa ini dan masa depan.

Tibalah masanya untuk kita segera bertindak mempertahankan tulisan zaman berzaman itu, kerana ia bukan setakat menjadi tulisan warisan bangsa, tetapi turut melambangkan kekuatan jati diri kita sebagai orang Melayu.

Jika perlu membuat perubahan kepada dasar pendidikan negara, lakukan segera ketika kuasa politik masih ada. Jawi perlu diletakkan sebagai satu pengajian yang tinggi tahapnya, bukan setakat tempelan sahaja.

Pengajian jawi perlu diangkat darjatnya di sekolah. Ia perlu menjadi kurikulum wajib. Para pelajar perlu diuji tahap penguasaan jawi dalam siri-siri peperiksaan besar.

Kita juga perlu memperluaskan penggunaan tulisan jawi dalam pelbagai urusan. Tidak cukup sekadar diletakkan di kepala-kepala surat kementerian-kementerian sahaja, tetapi perlu diwajibkan di papan-papan tanda jalan dan bangunan.

Tugas mempertahan dan mengangkat martabat tulisan jawi ini bukan mudah. Ia memerlukan komitmen semua pihak. Tetapi jika ia dijadikan satu ‘jihad’ orang Melayu, kita percaya tulisan jawi ini akan berjaya diangkat ke tempat yang lebih tinggi.

Hendak seribu daya!

Sumber : http : //www.utusan.com.my/