NELSON Mandela pernah berkata
bahawa pendidikan merupakan senjata yang paling berkuasa yang boleh anda
gunakan untuk mengubah dunia. Bagi Malaysia, kenyataan ini adalah paling sesuai
untuk menerangkan keadaannya pada masa sekarang. Hal ini kerana Malaysia sedang
mengalami perubahan yang besar untuk menjadi negara yang berpendapatan tinggi.
Ia merupakan satu langkah yang akan membolehkannya menjadi lebih bersepadu
dengan negara-negara lain di dunia.
Oleh sebab golongan belia
merupakan generasi pelapis yang akan menerajui kepimpinan negara, wujudnya satu
peluang bagi Malaysia mempersiapkan generasi-generasi pada masa depan untuk
menjadi insan yang berpengaruh di persada dunia, dan insan yang mampu menjadi
duta negara kita.
Malaysia mempunyai populasi yang
agak muda, dengan 27.7 peratus rakyat Malaysia berada di bawah 14 tahun, dan
20.2 peratus yang lain berada di antara 15 sehingga 24 tahun. Disebabkan
kepentingan Malaysia dalam ekonomi global meningkat dan kemajuan teknologi
mempercepatkan perkongsian maklumat, golongan belia akan mengharungi masa depan
yang berbeza yang mana mereka perlu berinteraksi dengan negara-negara lain
secara lazim, di samping kesan-kesan globalisasi semakin dirasai.
Peranan Institusi Pendidikan
Tempatan
Dalam dua dekad yang lalu, pemain-pemain
pengajian tinggi Malaysia menjalin hubungan kerjasama yang erat dengan pelbagai
pembekal pendidikan yang terkemuka dan meningkatkan persaingan dalam industri
itu. Ini seterusnya mewujudkan peluang bagi golongan belia kita memperoleh
pendedahan terhadap keadaan pendidikan di pentas antarabangsa.
Institusi-institusi tempatan juga
memainkan peranan yang penting dalam menjana perubahan, serta berusaha untuk
mengikuti arus perkembangan ekonomi dan persaingan dalam pendidikan. Misalnya,
Kumpulan Pendidikan Sunway merintis idea program berkembar di Malaysia dan
seterusnya membolehkan pelajar tempatan memperoleh ijazah daripada universiti
asing dengan penjimatan yuran tuisyen yang tinggi serta kos hidup untuk
beberapa tahun semasa belajar di Malaysia.
Kini, Malaysia berasa bangga
dengan pelbagai program berkembarnya, bersama dengan jenama-jenama pendidikan
antarabangsa seperti Curtin University of Technology, RMIT University, dan
University of Birmingham.
Pembekal-pembekal pendidikan
Malaysia juga menjejak kaki ke luar negara. Institusi-institusi ini memainkan
peranan yang signifikan untuk mempromosikan pertukaran budaya serta pengalaman
akademik, yang bukan sahaja dalam Malaysia tetapi juga dengan negara-negara
lain. Contohnya, dalam dua dekad ini, Limkokwing yang merupakan perintis
akademia teknologi kreatif telah mendirikan kampus cawangan di negara-negara
seperti China, United Kingdom dan Botswana, dan seterusnya membina satu
kumpulan antarabangsa di ketiga-tiga negara ini.
Menghasilkan Pusat Pendidikan
Rantau
Strategi untuk menjadikan
Malaysia sebagai pusat pendidikan rantau dibina atas premis bahawa
pembekal-pembekal pendidikan asing dapat membawa ijazah masing-masing ke
pasaran pelajar antarabangsa yang terletak di Malaysia. Kemasukan pelajar asing
yang bertalu-talu ke Malaysia membuktikan kepopularan jenama-jenama pendidikan
tinggi asing di sini.
Lokasi Malaysia yang strategik,
infrastruktur, tanah yang luas untuk pembangunan, kos operasi yang lebih
rendah, kos hidup yang agak rendah serta populasi yang berupaya bertutur dalam
bahasa Inggeris sebagai bahasa kedua, merupakan pelbagai faktor yang menjadikan
Malaysia sebagai destinasi yang menarik untuk pelaburan pendidikan.
Pelbagai pembekal pendidikan
tinggi telah memilih Malaysia sebagai destinasi yang utama untuk mendirikan
kampus luar negara mereka. Monash University (di Petaling Jaya), Swinburne
University of Technology (di Sarawak), University of Southampton dan Newcastle
University (kedua-kedua universiti ini terletak di Iskandar Malaysia) merupakan
universiti-universiti utama yang telah memilih untuk mendirikan kampus di
Malaysia.
Pada awal tahun ini, Menteri
Pengajian Tinggi Datuk Seri Mohd Khaled Nordin berkata bahawa 25 permohonan
untuk mendirikan kampus di sini telah diterima, dan menegaskan keyakinan
pembekal-pembekal pendidikan antarabangsa terhadap Malaysia.
Penggerak Pendidikan
Selama ini, industri pendidikan
tinggi di Malaysia bertumpu pada bidang-bidang yang khusus termasuk sains
kesihatan dan kejuruteraan dengan usaha untuk menggalakkan inovasi dan
membentuk pelbagai kelompok bidang untuk menjana pembangunan dan kemajuan. Pendidikan
dalam pelbagai bidang ini akan melengkapkan pemimpin-pemimpin masa depan dengan
kesihatan canggih, infrastruktur dan teknologi di sesebuah negara - membentuk
asas sebuah negara yang maju.
Eksport pendidikan dijangka akan
menjadi penggerak pertumbuhan yang utama, dengan Kementerian Pengajian Tinggi
menjangkakan RM6 bilion terjana daripada bilangan 200,000 pelajar antarabangsa
yang dianggarkan akan mendaftar di institusi-institusi di Malaysia pada tahun
2020.
Dalam usaha untuk terus
mempertingkat industri pengajian tinggi, Malaysia wajar mendukung perspektif
yang menjangkau manfaat ekonomi daripada eksport pendidikan. Ia patut berusaha
untuk membentuk sebuah negara yang boleh menyuntik rasa bangga dalam hati semua
rakyat Malaysia, dan sebuah negara yang akan memberi impak ke atas
pemimpin-pemimpin dunia masa depan yang telah menjejak kaki ke Malaysia untuk
mencari pengalaman pendidikan yang menarik.
Sumber : http ; //www.utusan.com.my/