Oleh : PROFESOR MADYA DR. SIVAMURUGAN PANDIAN
MALAYSIA merupakan sebuah negara
yang unik dengan sendirinya. Jika hari ini ramai melakukan penghijrahan ke
negara-negara maju, Malaysia sudah melalui proses itu jauh lebih lama ketika
Melaka menjadi pusat pertemuan antara pedagang Cina, India dan lain-lain.
Malaysia hari ini turut mendapat
perhatian pelbagai warga asing yang melimpah datang untuk mencari peluang
meneruskan kehidupan termasuk dari Nepal, Myanmar, Bangladesh, Indonesia,
Filipina dan benua Afrika tanpa mengira golongan professional dengan
organisasinya beroperasi disini.
Sama ada baik atau buruk,
hakikatnya Malaysia sudah menjadi pilihan destinasi warga asing; pilihan yang
perlu dilalui dalam proses globalisasi dan pergerakan manusia sejagat.
Kepelbagaian yang wujud di negara ini merupakan satu kelebihan yang masih menjadi
satu tradisi kesinambungan dalam kalangan rakyatnya. Keyakinan terbina kerana
adanya ruang untuk menerokai limpahan sumber terhad dan yang membuka ruang ini
adalah kesepaduan kestabilan yang lahir dari perpaduan dalam kepelbagaian.
Kepelbagaian bukan sahaja dari
kepercayaan, keturunan, agama, etnik dan warna kulit mahupun sebarang latar
belakang tetapi kebudayaan yang bermacam-macam juga menjadikan Malaysia
seringkali dicemburui dan diiktiraf sebagai yang kompleks, rencam dan majmuk.
Dalam kebanyakan negara, ia
menjadi satu liabiliti dengan permusuhan yang berlarutan sehingga membawa
konflik dan peperangan sedangkan di Malaysia kepelbagaian adalah kekuatan dan
ia juga dimuatkan dengan usaha berterusan berinteraksi, integrasi memupuk
semangat persahabatan dan ukhuwah; ia berlaku di istana, Seri Perdana, rumah
pembesar negeri dan rumah sendiri.
Nilai kebudayaan ini termasuk
menyambut perayaan yang pelbagai seperti Hari Raya Aidilfitri, Tahun Baru Cina,
Deepavali, Krismas, Gawai dan pelbagai lagi. Uniknya ia menjadi sambutan semua
menandakan semaraknya nilai kemuafakatan, perpaduan dan keharmonian; simbol
integrasi.
Sambutan Hari Raya Aidilfitri
tahun ini banyak memuatkan mesej bertemakan 'perpaduan'. Malahan dalam khutbah
raya di Masjid Negara, elemen ini turut diberikan keutamaan. Bukan sekadar
perpaduan ummah, tetapi perpaduan yang menjadi teras untuk meraikan
kepelbagaian negara ini, yakni perpaduan dalam kalangan masyarakat berbilang
etnik negara ini.
Hari Raya Aidilfitri memberi
gambaran bagaimana perpaduan dalam perayaan memberi impak kepada semangat
hubungan antara etnik negara ini. Di setiap pelosok negara, setiap rumah
terbuka dibanjiri dengan masyarakat pelbagai peribadi dan personaliti. Beratur
panjang yang barangkali mengambil masa berjam lamanya bukan satu rungutan
tetapi kesyukuran bertemu dengan pemimpin dan sahabat serta personaliti profil
tinggi memberikan satu kepuasan.
Perayaan dapat terus disambut
sebegini kerana adanya kestabilan dan asas sebenar kepada hubungan antara etnik
adalah kestabilan dalam negara yang membolehkan masyarakat hidup muhibbah dan
rukun walaupun berhadapan dengan beberapa cabaran terutama dalam konteks
mempertahankan apa yang sudah kita miliki selama ini. Dalam ada negara yang
bergelut mencari keamanan, Malaysia gah dan boleh mengamalkan konsep 'ziarah'
dan 'kunjung' serta 'lawat'.
Keamanan datang dari kestabilan.
Tanpa ada kepimpinan yang mempertahankan nilai keamanan, maka Malaysia juga
akan mempunyai kecenderungan menjadi 'padang jarak, padang tekukur' akibat
manipulasi nilai keamanan, perpaduan dan muhibbah yang adakalanya ramai
terlepas pandang mengapa ia perlu terus dipertahankan dari sebarang anasir yang
mahu melihat Malaysia sebagaimana negara lain yang berhadapan dengan konflik.
Musibah ini mesti dielak atas prinsip kebergantungan antara satu sama lain;
hubungan resiprokal yang disuburkan dengan nilai hormat, faham dan menerima di
antara satu sama lain.
Tatkala beraya, ada juga
segelintir tebal sifat 'keangkuhan' dalam sesetengah warga dan pemimpin yang
masih mahu berperang di alam maya sekalipun sewaktu Syawal pertama bilamana di
alam sebenar wujud gencatan sekurang-kurangnya sebagai isyarat ada waktu
perbalahan terutama dengan nilai politik perlu dihentikan dan menampakkan
perdamaian.
Perang di alam maya sewaktu
perayaan sewajarnya dijadikan pengajaran kepada yang sudah lama berkecimpung
dalam politik. Emosi warga adalah ke atas mood perayaan dan ia boleh mengganggu
kepercayaan ke atas sesetengah dari mereka yang cuba mengambil kesempatan untuk
meneruskan tradisi kebencian sesama ummah dan dalam kalangan masyarakat secara
umum.
Perayaan adalah salah satu
penampilan simbolik bagaimana kita boleh mengetepikan perbezaan sesama manusia
untuk dijadikan landasan perpaduan. Kewajaran menjadikan perayaan sebagai alat
integrasi boleh diperkukuhkan secara berterusan untuk memobilisasi sokongan
agar perpaduan sebagai rakyat Malaysia yang bangga dengan amalan ini tidak
menjadi propaganda politik oleh pemimpin yang tidak tahu menghormati nilai-nilai
perkongsian bersama.
Sambutan perayaan di Malaysia
mewarnai kepelbagaian yang selama ini sememangnya menjadi asas hubungan antara
etnik. Menyemai nilai ini secara berterusan dengan aktiviti dan program
'muafakat' yang membawa gambaran peri-pentingnya ia diteruskan walau zaman silih
berganti terutama dalam kalangan generasi muda yang berkemungkinan tidak
melihat kepentingan ia diteruskan dengan semakin terhakisnya sifat perkampungan
dan pulang ke kampung. Walau hadir di persekitaran berbeza, amalan integrasi
melalui perayaan mesti dipertahankan oleh keseluruhan rakyat Malaysia.
Perpaduan memerlukan nilai
holistik dalam diri setiap warga yang sedar ia memberikan roh kepada
negara-bangsa ini. Andainya perayaan ini boleh dikongsi bersama dan merasakan
ada tanggungjawab untuk memainkan peranan dan memberikan makna kepadanya,
perayaan sebagai kunci perpaduan tidak perlu dipersoalkan kerana ia juga
berjiwa patriotisme dan nasionalis dengan sendirinya berpandukan prinsip dalam
Rukun Negara dan Perlembagaan yang mempertahankan nilai ini dalam dokumen kebal
negara.
Penulis ialah pensyarah di Pusat
Pengajian Sains Kemasyarakatan Universiti Sains Malaysia
Sumber : http : //www.utusan.com.my/