PADA 22 Disember 2005 dijelmakan
oleh Jabatan Perdana Menteri Malaysia, Surat Pekeliling Am Bilangan 1 Tahun
2006 yang berjudul Langkah-Langkah Memperkasakan Penggunaan Bahasa Kebangsaan
Dalam Perkhidmatan Awam yang dijangkakan menjadi satu penawar keramat untuk
merealisasikan penggunaan bahasa kebangsaan sebagai bahasa rasmi dalam
pentadbiran negara.
Kerasmiannya meliputi wacana
lisan dan tulisan di peringkat kerajaan Persekutuan, kerajaan negeri, badan
berkanun dan pihak berkuasa tempatan sebagaimana termaktub dalam Perkara 152
Perlembagaan Persekutuan dan Akta Bahasa Kebangsaan 1963/67.
Dari tarikh keramat itu hingga
kini usia pekeliling tersebut telah berusia lebih 10 tahun, namun sinar
keramatnya agak menyesakkan nafas pencinta bahasa negara ini.
Rata-rata dan di mana-mana
sahaja, penggunaan bahasa kebangsaan (bahasa Melayu) semakin longgar dan
longlai. Dalam wacana ilmiah di pusat pengajian tinggi sama ada awam mahupun
swasta, laluan bahasa Melayu melapah medan ilmu (kecuali ilmu bahasa Melayu)
amat sempit dan meruncing.
Kupasan pelbagai ilmu tinggi yang
menjadi kebanggaan negara langsung tidak menjadikan bahasa Melayu sebagai
wahananya. Jika terguna pun diselitkan dengan bahasa asing yang menyedihkan
kedudukan bahasa Melayu umpama ungkapan ‘hidung tak mancung, pipi
tersorong-sorong’.
Akibatnya penggunaan bahasa
menjadi cacamarba dan hilang sifat formal, rasmi dan ilmiahnya. Begitu juga
dalam penyampaian pada peringkat pengurusan dan pentadbiran negara, penggunaan
bahasa Melayu terutamanya dalam wacana lisan cukup menyedihkan lagi
menyeksakan. Kemungkinan para ilmuwan dan para politikus beranggapan bahawa
bahasa ibundanya ini sekadar sebagai bahasa ‘pertuturan kampung’ sahaja.
Baru-baru ini kita sama-sama
menyambut ulang tahun kemerdekaan negara ke-59 yang penuh gilang-gemilang.
Dengan sambutan kemerdekaan kali ini bererti perjuangan untuk menegakkan bahasa
Melayu sebagai bahasa kebangsaan telah melebihi usia 60 tahun kerana perjuangannya
dimulai beberapa tahun sebelum merdeka.
Persoalannya, adakah kita
menunggu dua jubli emas sambutan kemerdekaan untuk mengisytiharkan bahasa
Melayu sebagai bahasa negara yang perlu disegarkan dan disemarakkan dalam erti
kata sebenar-benarnya?
Perkara yang paling bernilai
dalam hal kebahasaan ini ialah pencinta bahasa Melayu sewajarnya terus
menggalas semangat juang bahasa yang hakiki lagi luhur dan usah merajuk di
persimpangan jalan kerana merajuk kepada mereka yang tidak kasih akan menghancur
niat murni kita sendiri.
Bangsa Melayu khususnya dan
warganegara Malaysia amnya harus sedar bahawa kita tidak ada masa lagi untuk
bermanja dalam soal menegakkan kedudukan hakiki bahasa Melayu ini.
Jika masa kini banyak tolak ansur
kita legar-legarkan dalam soal memartabatkan bahasa, mungkin satu ketika kelak
rasa sayang akan hilang terhadap bahasa keramat kita oleh generasi anak cucu
kita sendiri.
Begitu juga ketika ‘orang kita’
berkuasa sekaranglah, harus kita meminta ‘dipulangpulihkan’ kemartabatan bahasa
Melayu kerana kita layak meminta kepadanya.
Begitu juga jika perjuangan ini
kurang memancarkan cahaya kejayaan, ‘rayulah’ kerana kita yakin dan percaya
para pemimpin kita masih sudi untuk meletakkan agenda perjuangan bahasa sebagai
satu perjuangan suci nusa bangsa.
Dalam hal begini ungkapan
‘meminta kepada yang ada, merayu kepada yang sudi’ harus sentiasa menjadi
renungan para pemimpin kini.
Ingatlah bahawa perjuangan
satu-satu bahasa hanya layak dilakukan oleh bangsanya sahaja. Oleh itu, dalam kemelut perjuangan
memartabatkan bahasa ini, sama-samalah kita renung bersama baris-baris
peribahasa kita;
Merajuk kepada yang
kasih,
Manja kepada yang
sayang,
Meminta kepada yang
ada,
Merayu kepada yang
sudi.
Sumber : http : //www.sinarharian.com.my/