TAWAU : Tokoh Guru Sabah
2011 dan Tokoh Guru Kebangsaan 2012 Datuk Mary Yap Kain Ching, 62, bekas
pengetua cemerlang, merupakan tokoh pendidikan yang bukan sahaja dikenali di
Sabah, tetapi juga di seluruh negara.
Timbalan Menteri Pelajaran I itu,
yang juga merupakan Tokoh Maulidul Rasul Kebangsaan 2007, memulakan kerjayanya
dalam pendidikan sebagai pensyarah Maktab Perguruan Sandakan pada 1975.
Pada 1976, beliau berpindah ke
Sekolah Menengah Kebangsaan Tawau sebagai guru bahasa Inggeris, dan pada 1983,
berpindah ke SM Holy Trinity sebelum dilantik Ketua Jemaah Nazir Sekolah Zon
Tawau pada 1989.
Pada 1993, Mary Yap dilantik
Pengetua SM St Patrick sebelum ke SMK Jalan Apas, Tawau (1996), SM Vokasional
Tawau (1996), SM Teknik Tawau (2003) dan kemudian menjadi Pengetua Cemerlang.
Pada tahun yang sama, Mary Yap
menjadi Pengarah Maktab Perguruan Sandakan, dan setahun kemudian menyandang
jawatan Pengarah Maktab Perguruan Tawau sehingga 2005.
Penerima Anugerah Wanita
Cemerlang Sabah Majlis Penasihat Wanita Sabah (MPWS) bagi tahun 2004, Mary Yap
kembali ke SM Teknik Tawau pada 2005 dan dilantik Pengetua Super berjawatan
JUSA C.
Selepas bersara, pemilik ijazah
sarjana dalam bidang pendidikan dari Universiti Leeds, United Kingdom itu
menjadi perunding kanan Institut Aminuddin Baki selama dua tahun dan beliau
merupakan panel penasihat kepada Menteri Pelajaran untuk sekolah kluster.
Mary Yap, yang pertama kali
bertanding pada pilihan raya umum tahun ini, memenangi kerusi Parlimen Tawau
dengan majoriti 4,979 undi dalam pertandingan empat penjuru.
Anak seorang kerani, dilahirkan
di Kota Kinabalu dan dibesarkan di Tawau itu turut memiliki Ijazah Sarjana Muda
Kesusasteraan Inggeris Dengan Kepujian dan Diploma Pendidikan pada 1974, serta
memperoleh Sijil Trainer of Trainers melalui kursus pendek di Universiti
Manchester pada 1997.
Mary Yap terus menyumbang
baktinya kepada masyarakat dengan menyertai MPWS sebagai Pengerusi Jawatankuasa
Pendidikan selepas bersara.
Sejak 2009 hingga kini, beliau
merupakan Ahli Pemegang Amanah Yayasan PINTAR di Kuala Lumpur dan Penasihat
kepada Sekolah Kluster Cemerlang di Kementerian Pelajaran selain menjadi
Pengerusi Majlis Persekutuan Sekolah Mubaligh Kristian Malaysia.- BERNAMA