Oleh : LIM WEY WEN dan YUEN MEIKENG
KUALA LUMPUR : Lebih
ramai warga tua menghabiskan sisa-sisa hidup mereka di rumah kebajikan selepas
ditinggalkan oleh keluarga di hospital-hospital awam.
Ketua Jabatan Kerja Sosial Perubatan,
Hospital Kuala Lumpur, Hasnah Sulaiman berkata sehingga Jun tahun ini, 157
pesakit telah ditinggalkan oleh keluarga mereka di hospital.
Manakala sebanyak 205 warga emas telah
ditinggalkan pada tahun lepas.
Hasnah berkata 95 peratus daripada
mereka yang ditinggalkan terdiri daripada keluarga miskin.
Beliau berkata, dalam kebanyakan kes,
ahli keluarga enggan membawa mereka pulang atau tidak dapat dihubungi kerana
nombor telefon dan alamat palsu telah diberikan semasa pendaftaran.
"Dalam beberapa kes, doktor
sendiri telah menghubungi anak-anak mereka untuk memberitahu bahawa ibu bapa
mereka telah pulih, tetapi mereka menegaskan bahawa orang tua mereka masih
sakit," katanya.
Satu lagi alasan biasa adalah mereka
tidak mempunyai masa untuk mengambil orang tua mereka pulang.
Beliau berkata hospital biasanya
menyerahkan warga tua yang diabaikan lama kepada pertubuhan-pertubuhan bukan
kerajaan (NGO).
"Namun kebanyakan rumah
perlindungan kini hampir penuh." katanya.
Sementara itu, salah seorang
penyelaras di Rumah Kasih, Foong Peng Lam berkata hospital sering meminta
tempat perlindungan untuk pesakit warga tua yang ditinggalkan kerana tidak
cukup ruang bagi menempatkan pesakit baru.
Katanya Rumah Kasih telah membantu
menempatkan seramai 496 pesakit dari Hospital Kuala Lumpur, Hospital Universiti
Kebangsaan Malaysia, Hospital Selayang, Institut Perubatan Respiratori dan
Hospital Sungai Buloh sejak ditubuhkan pada tahun 2000.
Menurut Jabatan Kebajikan Masyarakat,
bilangan warga tua ditinggalkan oleh keluarga mereka meningkat sebanyak 1
peratus setiap tahun iaitu antara 2008 hingga 2011, berdasarkan bilangan
kemasukan ke sembilan buah Rumah Seri Kenangan.
Rumah kebajikan tersebut mengambil
warga tua yang berusia melebihi 60 tahun iaitu seramai 340 orang pada tahun
lepas berbanding 248 pada tahun 2010.
Angka daripada Lembaga Penduduk dan Pembangunan
Keluarga Negara ( LPPKN) iaitu sebuah agensi di bawah Kementerian Pembangunan
Wanita, Keluarga dan Masyarakat mendapati kira-kira 675,000 warga tua tidak
menerima bantuan kewangan daripada anak-anak mereka pada tahun 2004 selepas Kajian Penduduk dan
Keluarga Malaysia keempat dijalankan.
Sumber : http : //www.mstar.com.my/