PETALING JAYA: Dalam usaha mengurangkan masalah berat badan berlebihan dan obesiti di kalangan rakyat negara ini, kerajaan kini mewajibkan setiap indeks jisim badan (BMI) pelajar direkod dalam kad laporan prestasi oleh guru mereka untuk perhatian ibu bapa.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai, berkata sebelum ini BMI tidak dicatat dalam kad laporan pelajar menyebabkan ibu bapa tidak dapat mengawal pemakanan anak-anak mereka kerana tidak tahu sama ada berat badan anak mereka ideal, terlebih berat atau mengalami obesiti.
"Dengan langkah itu, jika ada yang mempunyai berat badan berlebihan atau mengalami obesiti, ibu bapa boleh mendapatkan nasihat daripada klinik kesihatan berdekatan bagi membantu anak-anak mereka mendapatkan kembali berat badan yang ideal," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Penutup Konvensyen Panel Penasihat Klinik Kesihatan (PPKK) dan melancarkan kad ahli PPKK 2010-2013 di sini hari ini.
Beliau berkata, selain itu, berkuatkuasa serta merta penjualan makanan yang tidak sihat seperti yang mengandungi gula dan garam berlebihan serta minuman ringan tidak lagi dibenarkan di kantin sekolah.
"Penjaja di kawasan sekolah juga tidak lagi dibenar menjual makanan dan minuman ringan berkenaan," katanya.
Langkah itu yang dipersetujui dalam satu mesyuarat jawatankuasa dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, pada 4 April lalu adalah permulaan untuk memperkenalkan gaya hidup yang lebih sihat di peringkat awal berikutan Malaysia berada pada kedudukan keenam di Asia sebagai negara yang mempunyai orang dewasa obesiti yang tinggi.
"Kajian Kementerian Kesihatan juga menganggarkan kira-kira 1.7 juta rakyat Malaysia yang berumur 18 tahun ke atas adalah mereka yang mengalami obesiti.
"Situasi ini amat membimbangkan kerana obesiti meningkatkan risiko untuk mendapat penyakit diabetis, kardiovaskular dan beberapa jenis kanser," katanya.
Terdahulu ketika berucap pada majlis itu, Liow berkata negara ini masih dibelenggu masalah penyakit tidak berjangkit (NCD) seperti diabetes yang kini menduduki tangga teratas dalam 10 senarai penyebab utama kemasukan dan kematian di hospital kerajaan.
"Kurang bersenam, terdedah kepada makanan yang mempunyai kalori dan kandungan garam serta merokok adalah faktor penyumbang kepada ancaman NCD ini. Kini dianggarkan 1.5 juta rakyat Malaysia dewasa menghidap diabetis dan 4.8 juta menghidap hipertensi," katanya. - BERNAMA .