NAMA Sekolah Seri Puteri (SSP) memang tidak perlu diperkatakan lagi. Setiap tahun nama sekolah elit ini pasti tersenarai sebagai sekolah cemerlang dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) mahupun Penilaian Menengah Rendah (PMR).
Di sebalik kejayaan cemerlang sekolah berprestasi tinggi ini, ramai yang tidak tahu bukan mudah untuk mengekalkan prestasi tersebut.
Menurut Pengetua SSP, Rashidah Mohd Arif, kejayaan yang dicapai adalah berkat usaha daripada sikap proaktif tenaga pengajar dan pelajar sekolah itu sendiri.
“Kejayaan yang dicapai pada hari ini tidak akan datang bergolek, ia adalah usaha berterusan semua pihak. Kita sentiasa menanamkan dalam diri semua warga SSP bahawa untuk cemerlang kita perlukan kerjasama daripada guru-guru dan para pelajar,” katanya kepada Mingguan mStar di pejabatnya baru-baru ini.
Beliau berkata, tenaga pengajar amat komited ketika menjalankan tugas tanpa mengira waktu dan bekerja dalam satu pasukan bagi memastikan matlamat yang disasarkan dapat dicapai.
“Tidak dapat dinafikan seluruh warga sekolah termasuk pelajar gembira dengan pencapaian SSP. Kini apa yang perlu dilakukan adalah untuk mengatur dan memperkemaskan perancangan untuk mengekalkan prestasi cemerlang sekolah ini,” katanya.
Mengenai sasaran yang ditetapkan oleh pihak sekolah pada peperiksaan SPM pada tahun ini, Rashidah berkata SSP meletakkan sasaran untuk mencapai keputusan 100 peratus semua A dalam setiap mata pelajaran.
“Kita mahu mengekalkan Gred Purata Sekolah (GPS) kurang daripada 1 peratus. Bila sasaran ini tidak capai, kita akan tumpukan perhatian pelajar yang tidak mendapat keputusan A+ dalam subjek tertentu. Peranan kita adalah mencari kaedah terbaik untuk membantu pelajar yang tidak mendapat semua A dalam subjek-subjek tertentu,” katanya.
POST- MORTEM, PERFECT SCORE
Bagi merealisasikan perkara itu, Rashidah berkata, pihak sekolah akan membuat post-mortem selepas keputusan peperiksaan percubaan SPM keluar.
“Di peringkat panitia, guru yang terlibat akan mencari formula yang sesuai untuk membantu pelajar yang tidak mencapai sasaran dalam peperiksaan percubaan yang lalu.
“Pada masa yang sama, pihak sekolah turut mengadakan program mentor dan bimbingan khusus kepada pelajar yang tidak mendapat A dalam subjek tertentu,” katanya.
Jelasnya, melalui program ini sekolah akan menyusun jadual pertemuaan pelajar dengan guru supaya mereka dapat berbincang mengenai kaedah terbaik untuk pelajar tersebut mendapat A dalam subjek yang mereka lemah.
“Tidak semua pelajar lemah dalam setiap subjek sebaliknya ada antara mereka hanya tidak dapat menguasai topik-topik tertentu dengan baik. Dengan adanya program ini masalah tersebut dapat diatasi.
“Setiap pelajar akan dibekalkan dengan kad temu janji selepas mereka telah selesai mengadakan pertemuaan maka guru mereka akan tandatangan dalam kad tersebut,” katanya.
Menurutnya, jika pihak sekolah mengadakan kelas tambahan pada waktu ini ia sudah tidak relevan kerana tempoh peperiksaan sudah semakin hampir.
“Bukan itu sahaja, pihak sekolah turut mengadakan program Perfect Score. Program ini membolehkan pelajar yang cemerlang akan membantu pelajar yang lemah dalam subjek tertentu.
“Ia bagi membantu pelajar mendapat A dalam semua subjek. Tumpuan kita kepada subjek elektif. Soalan yang kita gunakan adalah program Perfect Score kebangsaan dan soalan peperiksaan daripada sekolah lain.
“Sasaran utama adalah bukan untuk memaksa mereka menjawab semua soalan. Kita adakan program ini selepas sesi persekolahan sebaik sahaja mereka seleasai menduduki peperiksaan percubaan,” katanya.
Pada masa yang sama, pihak pengurusan SSP turut menjemput penceramah luar untuk memberikan ceramah dan tips motivasi kepada pelajar supaya tahap motivasi mereka tidak turum menjelang minggu terakhir peperiksaan sebenar.
“Sebelum peperiksaan percubaan pihak sekolah telah mengadakan program solat hajat dan bacaan Yasin bersama ibu bapa dan pelajar yang akan menduduki peperiksaan.
“Ini merupakan program tahunan sekolah. Kita juga menerima maklum balas yang memberansangkan apabila ramai ibu bapa yang hadir pada program tersebut,” katanya.
ATASI TEKANAN
Percaya kepada prinsip usaha tangga kejayaan, pengetua SSP ini tidak memberikan tekanan terhadap pelajar-pelajarnya yang akan akan menduduki SPM kurang seminggu sahaja lagi.
“Sebagai pengetua kita perlu ada keyakinan terhadap mereka. Perasaan takut itu memang apa namun apa yang lebih penting adalah kita memberikan ilmu dan latihan yang secukupnya.
“Jadi kita serahkan sepenuh kepercayaan kepada mereka pada hari peperiksaan nanti,” katanya yang telah menjadi pengetua SSP sejak empat tahun lalu.
Menjelang minggu terakhir ini, beliau berkata, pelajar SSP diberikan ruang mengadakan perbincangan kumpulan mahupun belajar sendiri bagi membolehkan mereka menumpukan sepenuh perhatian kepada peperiksaan.
“Saya sentiasa tekankan kepada mereka jaga kesihatan diri. Selebihnya saya ingatkan mereka supaya bertawakal dan serahkan kepada Tuhan. Insya-Allah mereka akan memperoleh keputusan yang cemerlang,” katanya.
Tidak menafikan tekanan yang dirasai setiap kali keputusan peperiksaan diumumkan, Rashidah berkata semuanya berlaku kerana SSP sebuah sekolah elit di negara ini.
“Tekanan sentiasa ada kerana kita tidak boleh rasa seronok dengan apa yang kita telah capai sebaliknya, kita perlu fikirkan kaedah untuk mengekalkan keputusan yang cemerlang pada tahun depan,” katanya.
Sumber : http : //www.mstar.com.my/