MENGENALI SIFAT HATI YANG TERPUJI DAN TERKEJI
MAHMUDAH ialah sifat hati yang
terpuji sementara mazmumah ialah sifat hati yang terkeji. Keimanan kita ada
pasang surut. Begitu juga dengan sifat mahmudah dan mazmumah yang sedia ada
dalam diri. Terpulang kepada kita bagaimana untuk menyemarakkan sifat mahmudah
serta menjauhi sifat sebaliknya.
SIFAT MAHMUDAH(TERPUJI) :
Taubat - Bermaksud
meninggalkan maksiat, dosa dan kejahatan dengan kembali kepada kebaikan.
Syarat-syarat taubat:
- Bertekad meninggalkan maksiat atau dosa yang pernah dilakukan.
- Menyesal seikhlas hati dengan didorong rasa takut kepada azab ALLAH SWT, bukan disebabkan mengalami akibat daripada maksiat.
- Bercita-cita tidak akan mengulangi perbuatan buruk lagi, rasa benci kepada maksiat kerana ALLAH SWT.
- Mengembalikan hak-hak makhluk yang dizalimi seperti meminta maaf memulangkan atau menggantikan barangan; atau membayar menurut nilai sama yang pernah dicuri.
- Mengerjakan perkara fardu yang telah ‘luput.’
- Melakukan perubahan ketara sebagai penebus dosa seperti bersedekah, bersolat sunat, membaca al-Quran, berpuasa sunat dan berbakti.
Khauf - Takut kepada ALLAH
SWT, rasa gerun akan kekuatan serta kemurkaan-NYA dengan mengerjakan segala
perintah dan meninggalkan apa-apa yang
dilarang agama.
Zuhud - Bererti
meninggalkan rasa cinta kepada sesuatu yang bersifat duniawi. Zuhud bukan tidak
memiliki perkara bersifat dunia tetapi tidak terlalu mencintainya sehingga
mengganggu hubungan hati terhadap ILAHI.
Sabar - Menahan diri untuk
mendapat keredaan ALLAH SWT daripada keluh kesah, tertekan, rasa derita, kecewa
dan putus asa pada sesuatu yang tidak disukai. Tambahan pula, sabar perlu
ketika kita menghadapi tiga situasi berikut:
- Menahan diri daripada keluh kesah dan tidak mengadu selain kepada ALLAH SWT ketika ditimpa sesuatu bala.
- Menahan diri daripada sebarang cabaran atau gangguan dalam mengerjakan segala perintah ALLAH SWT.
- Menahan diri untuk meninggalkan segala larangan ALLAH SWT.
Syukur - Bermaksud mengaku
dan memuji ALLAH SWT atas nikmat yang diberikan seperti nikmat kesihatan,
kekayaan, kepandaian atau jawatan. Justeru, kita hendaklah menggunakan nikmat
tersebut bagi menambahkan ibadat.
Ikhlas - Menumpukan niat bagi setiap ibadat atau kerja yang dilakukan
semata-mata kerana ALLAH SWT. Dikasadkan (niat) juga untuk menjunjung perintah
dan membersihkan hati daripada dosa riyak, ujub atau inginkan pujian pihak
lain.
Tawakal - Menetapkan hati
dan berserah kepada ALLAH SWT dalam segala perkara yang berlaku serta
beriktikad bahawa hanya DIA yang memerintahkan setiap sesuatu.
Mahabbah - Bermaksud
kasihkan ALLAH SWT dengan mengingati-NYA setiap masa dan keadaan. Ini dapat
diterjemahkan dengan melakukan perintah dan berusaha mendampingkan diri melalui
ibadat sunat.
Ingat mati - Kita
hendaklah sentiasa mengingati mati dan bersedia dengan amal ibadat sebagai
bekalan menghadapi sakaratul maut. Mati dan barzakh hanyalah permulaan kepada
akhirat yang menentukan nasib setiap insan.
Tawaduk - Bermaksud
merendah diri kepada ALLAH SWT dan makhluk lain. Muslim yang tawaduk adalah
golongan yang tidak bangga diri, tidak sombong terhadap Sang Pencipta dan
sesama insan.
SIFAT MAZMUMAH(TERKEJI) :
Banyak makan - Syarrut
ta’am bermaksud terlampau banyak makan dan minum atau gelojoh ketika makan.
Perbuatan ini boleh menyebabkan seseorang itu malas, lemah dan tidur
berlebihan. Kesannya, kita akan lalai daripada menunaikan ibadat dan melakukan
amalan soleh.
Banyak cakap - Syarrul
kalam atau banyak bercakap boleh menjadi perkara yang sia-sia. Rasulullah
SAW mengingatkan kita dengan sabda yang bermaksud: Berkata-kata mengenai
perkara baik atau berdiam diri dianggap penting sehingga dikaitkan dengan
kesempurnaan iman kita kepada ALLAH SWT dan hari akhirat. Lazimnya apabila
banyak bercakap, ia membawa kepada banyak salah yang boleh mengundang dosa
serta menyebabkan orang yang mendengar cepat jemu.
Pemarah - Sifat pemarah ini bermaksud marah bukan pada
tempat yang dibolehkan. Ia lahir daripada peribadi yang sombong, ego, gopoh dan
tidak rasional. Kita perlulah beringat bahawa angkuh merupakan salah satu sifat
iblis yang menjadikan mereka kufur.
Hasad dengki - Individu
yang bersikap hasad dengki disebabkan oleh perasaan cemburu atau inginkan
nikmat yang diperoleh orang lain. Orang yang bersifat demikian seolah-olah
membangkang kekuasaan ALLAH SWT. Golongan yang berhasad akhirnya boleh membawa
kerosakan dan pergaduhan sesama insan.
Bakhil - Bermaksud menahan
hak sendiri daripada dibelanjakan atau diguna kecuali ke jalan yang dituntut
syariat. Lebih-lebih lagi dalam perkara yang menyempurnakan agama seperti
berzakat, mengerjakan haji dan memberi nafkah kepada tanggungan. Justeru,
bersikap bakhil merupakan kesalahan besar di sisi Islam.
Suka bermegah - Sifat ini
bermaksud sukakan kemegahan, kebesaran dan pangkat. Perasaan ini sebenarnya
menunjukkan kita tidak ikhlas dalam melakukan sesuatu perkara. Akibatnya boleh
membawa kepada tipu helah sesama insan dan menyebabkan seseorang membelakangkan
kebenaran demi menjaga pangkat yang dimiliki.
Kasih dunia - Golongan
yang kasihkan dunia mencintai perkara-perkara berbentuk keduniaan dan tidak
membawa sebarang kebajikan di akhirat. Lebih membimbangkan ia boleh merebak
menjadi tamak haloba. Di antara perkara tersebut ada yang tidak dituntut oleh
agama dan tidak menjadi bekalan di akhirat.
Sumber : http : //www.sinarharian.com.my/