Isnin, 12 November 2012

ISU BAHASA : ANTARA MAHMUDAH, MAZMUMAH


MENGENALI SIFAT HATI YANG TERPUJI DAN TERKEJI

MAHMUDAH ialah sifat hati yang terpuji sementara mazmumah ialah sifat hati yang terkeji. Keimanan kita ada pasang surut. Begitu juga dengan sifat mahmudah dan mazmumah yang sedia ada dalam diri. Terpulang kepada kita bagaimana untuk menyemarakkan sifat mahmudah serta menjauhi sifat sebaliknya.

SIFAT MAHMUDAH(TERPUJI) :

Taubat - Bermaksud meninggalkan maksiat, dosa dan kejahatan dengan kembali kepada kebaikan.

Syarat-syarat taubat:
  • Bertekad meninggalkan maksiat atau dosa yang pernah dilakukan.
  • Menyesal seikhlas hati dengan didorong rasa takut kepada azab ALLAH SWT, bukan disebabkan mengalami akibat daripada maksiat.
  • Bercita-cita tidak akan mengulangi perbuatan buruk lagi, rasa benci kepada maksiat kerana ALLAH SWT.
  • Mengembalikan hak-hak makhluk yang dizalimi seperti meminta maaf memulangkan atau menggantikan barangan; atau membayar menurut nilai sama yang pernah dicuri.
  • Mengerjakan perkara fardu yang telah ‘luput.’ 
  • Melakukan perubahan ketara sebagai penebus dosa seperti bersedekah, bersolat sunat, membaca al-Quran, berpuasa sunat dan berbakti.
Khauf - Takut kepada ALLAH SWT, rasa gerun akan kekuatan serta kemurkaan-NYA dengan mengerjakan segala perintah dan meninggalkan apa-apa  yang dilarang agama.

Zuhud - Bererti meninggalkan rasa cinta kepada sesuatu yang bersifat duniawi. Zuhud bukan tidak memiliki perkara bersifat dunia tetapi tidak terlalu mencintainya sehingga mengganggu hubungan hati terhadap ILAHI.

Sabar - Menahan diri untuk mendapat keredaan ALLAH SWT daripada keluh kesah, tertekan, rasa derita, kecewa dan putus asa pada sesuatu yang tidak disukai. Tambahan pula, sabar perlu ketika kita menghadapi tiga situasi berikut:
  • Menahan diri daripada keluh kesah dan tidak mengadu selain kepada ALLAH SWT ketika ditimpa sesuatu bala.
  • Menahan diri daripada sebarang cabaran atau gangguan dalam mengerjakan segala perintah ALLAH SWT.
  • Menahan diri untuk meninggalkan segala larangan ALLAH SWT.

Syukur - Bermaksud mengaku dan memuji ALLAH SWT atas nikmat yang diberikan seperti nikmat kesihatan, kekayaan, kepandaian atau jawatan. Justeru, kita hendaklah menggunakan nikmat tersebut bagi menambahkan ibadat.  

Ikhlas - Menumpukan niat bagi setiap ibadat atau kerja yang dilakukan semata-mata kerana ALLAH SWT. Dikasadkan (niat) juga untuk menjunjung perintah dan membersihkan hati daripada dosa riyak, ujub atau inginkan pujian pihak lain. 

Tawakal - Menetapkan hati dan berserah kepada ALLAH SWT dalam segala perkara yang berlaku serta beriktikad bahawa hanya DIA yang memerintahkan setiap sesuatu.

Mahabbah - Bermaksud kasihkan ALLAH SWT dengan mengingati-NYA setiap masa dan keadaan. Ini dapat diterjemahkan dengan melakukan perintah dan berusaha mendampingkan diri melalui ibadat sunat.

Ingat mati - Kita hendaklah sentiasa mengingati mati dan bersedia dengan amal ibadat sebagai bekalan menghadapi sakaratul maut. Mati dan barzakh hanyalah permulaan kepada akhirat yang menentukan nasib setiap insan.

Tawaduk - Bermaksud merendah diri kepada ALLAH SWT dan makhluk lain. Muslim yang tawaduk adalah golongan yang tidak bangga diri, tidak sombong terhadap Sang Pencipta dan sesama insan.

SIFAT MAZMUMAH(TERKEJI) :

Banyak makan - Syarrut ta’am bermaksud terlampau banyak makan dan minum atau gelojoh ketika makan. Perbuatan ini boleh menyebabkan seseorang itu malas, lemah dan tidur berlebihan. Kesannya, kita akan lalai daripada menunaikan ibadat dan melakukan amalan soleh.

Banyak cakap - Syarrul kalam atau banyak bercakap boleh menjadi perkara yang sia-sia. Rasulullah SAW mengingatkan kita dengan sabda yang bermaksud: Berkata-kata mengenai perkara baik atau berdiam diri dianggap penting sehingga dikaitkan dengan kesempurnaan iman kita kepada ALLAH SWT dan hari akhirat. Lazimnya apabila banyak bercakap, ia membawa kepada banyak salah yang boleh mengundang dosa serta menyebabkan orang yang mendengar cepat jemu.

Pemarah -  Sifat pemarah ini bermaksud marah bukan pada tempat yang dibolehkan. Ia lahir daripada peribadi yang sombong, ego, gopoh dan tidak rasional. Kita perlulah beringat bahawa angkuh merupakan salah satu sifat iblis yang menjadikan mereka kufur.

Hasad dengki - Individu yang bersikap hasad dengki disebabkan oleh perasaan cemburu atau inginkan nikmat yang diperoleh orang lain. Orang yang bersifat demikian seolah-olah membangkang kekuasaan ALLAH SWT. Golongan yang berhasad akhirnya boleh membawa kerosakan dan pergaduhan sesama insan.

Bakhil - Bermaksud menahan hak sendiri daripada dibelanjakan atau diguna kecuali ke jalan yang dituntut syariat. Lebih-lebih lagi dalam perkara yang menyempurnakan agama seperti berzakat, mengerjakan haji dan memberi nafkah kepada tanggungan. Justeru, bersikap bakhil merupakan kesalahan besar di sisi Islam.

Suka bermegah - Sifat ini bermaksud sukakan kemegahan, kebesaran dan pangkat. Perasaan ini sebenarnya menunjukkan kita tidak ikhlas dalam melakukan sesuatu perkara. Akibatnya boleh membawa kepada tipu helah sesama insan dan menyebabkan seseorang membelakangkan kebenaran demi menjaga pangkat yang dimiliki.

Kasih dunia - Golongan yang kasihkan dunia mencintai perkara-perkara berbentuk keduniaan dan tidak membawa sebarang kebajikan di akhirat. Lebih membimbangkan ia boleh merebak menjadi tamak haloba. Di antara perkara tersebut ada yang tidak dituntut oleh agama dan tidak menjadi bekalan di akhirat.

Sumber : http : //www.sinarharian.com.my/

ISU PENGAJIAN TINGGI : Graduan IPTS bukan graduan kelas kedua



Oleh : Ruhaiza Rusmin
ruhaizarusmin@hmetro.com.my

ENTAH mengapa, masyarakat kurang memahami peranan institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) sebagai penyokong terhadap sistem pendidikan tinggi negara yang semakin berkembang.

Dengan kewujudan hanya 20 institusi pengajian tinggi awam (IPTA) sedia ada, tentu tidak mencukupi menampung permintaan kemasukan tinggi saban tahun.

Malangnya, peranan serta kesudian IPTS berkongsi memikul tanggungjawab itu untuk membolehkan pelajar memperoleh akses pendidikan menyeluruh ada kalanya seperti tidak dihargai.

IPTS dianggap sebagai institusi yang hanya layak untuk mereka yang keciciran dalam akademik selain tidak gah pencapaiannya seperti institusi pendidikan tinggi awam.

Lebih tidak adil, apabila pelajarnya dikatakan hanya layak memegang kategori pelajar kelas kedua biarpun pencapaian mereka juga cemerlang setanding IPTA.

Benarkah tanggapan itu? Atau hanya pandangan masyarakat yang masih dibelenggu tanggapan lapuk terhadap fungsi dan peranan IPTS sebagai sebahagian akses sistem pendidikan terkini?

Bekas mahasiswa sebuah IPTS di Selangor, Nur Jeehan Md Nasir, 21, berkata tanggapan bahawa IPTS adalah institusi kelas kedua atau hanya untuk mereka yang gagal semata-mata adalah kenyataan tidak beretika serta berat sebelah.

Menurutnya, semua institusi berperanan sebagai wadah penyampaian ilmu dan pelajar pula sebagai aset bagi meneruskan kesinambungan itu.

“Malangnya soal taraf atau kemampuan institusi sering kali dijadikan perbandingan sedangkan ilmu boleh dituntut di mana jua.

“Apakah kerana kami graduan IPTS, kami dianggap kelas kedua dan tidak mempunyai kelayakan atau keupayaan seperti graduan IPTA?” katanya.

Sikap terburu-buru masyarakat yang mudah melabelkan pelajar IPTS sebagai mereka yang kurang bijak atau tercicir dalam pelajaran masih tidak berubah.

Biarpun diakui pertumbuhan ribuan IPTS kini menjadi petunjuk bahawa kemudahan serta akses memperoleh pendidikan semakin terbuka luas, masih ada yang skeptikal dan hanya mengagungkan IPTA sebagai satu-satunya institusi memperoleh pendidikan tinggi.

Natijahnya, ada segelintir pihak mendiskriminasi dan mempersoalkan kemampuan graduan IPTS sekali gus menjadikan mereka mangsa keadaan dan ketidakadilan.

Alasannya, mereka dikatakan tidak kompetitif, tidak mempunyai pengiktirafan kelayakan segah institusi yang mempunyai nama.

Dia tidak menyangkal tanggapan itu tapi menyamakan kemampuan graduan tanpa memberi peluang mereka membuktikan terlebih dulu dianggap kurang profesional.

“Apa kurangnya kami kerana modul yang dipelajari juga hampir sama. Yang membezakan cuma lokasi.

“Justeru, mengapa kami perlu dianaktirikan? Diskriminasi seperti ini cukup ‘kejam’ kerana kami dicantas sebelum diberi peluang membuktikan kemampuan,” katanya.

Berkongsi pengalaman, dia terpaksa menempuh sengsara apabila mengambil keputusan melanjutkan pengajian di IPTS biarpun mempunyai kelayakan untuk memasuki IPTA.

“Saya tidak menyangkal ada suara sumbang mengatakan tindakan itu seperti menempah bala sedangkan keputusan akademik saya baik.

“Saya ada sebab tersendiri mengapa memilih IPTS dan tidak pernah kesal memilihnya. Pada saya tempat dan taraf bukan penentu kejayaan.

“Malah, saya bangga dengan keputusan itu kerana hasil penat lelah mengulang kaji, akhirnya berjaya muncul antara pelajar terbaik. Taraf institusi tidak boleh menghalang kejayaan,” katanya yang percaya menuntut ilmu boleh dilakukan di mana - mana.

“ Yang penting kemahuan, usaha keras dan matlamat. Jika tiada, di institusi terbaik dunia pun kita tidak boleh berjaya,” katanya.

Rakannya, Yulieane Asy Syafieqah Yaacub, 21, juga mempersoalkan mengapa taraf institusi perlu dijadikan modal untuk masyarakat membuat perbandingan.

Menurutnya, sewaktu  mengambil keputusan untuk melanjutkan pengajian di IPTS, ramai kurang bersetuju dan memandang serong selain menganggapnya tergolong kategori pelajar lemah akademik.

“Saya pelik pada mereka yang mempunyai pandangan demikian. Walaupun jika benar keputusan akademik kurang baik, apakah salah jika ingin melanjutkan pengajian di IPTS.

“Pendapat saya belajar di mana pun tetap sama, kita yang menentukan sama ada mahu berjaya atau sebaliknya,” katanya yang membuktikan keputusannya memilih IPTS sebagai destinasi pertama mencambah ilmu di peringkat tinggi tidak sia - sia.

“Saya kini lebih bangga kerana mampu membuktikan keputusan melanjutkan pengajian di situ tidak salah. Saya berjaya menjadi pelajar terbaik dan kini menjejakkan kaki di IPTA.

“ Institusi dulu mungkin tidak terkenal seperti yang lain, namun di situlah tempat saya belajar berdikari. Pendapat saya, IPTA atau IPTS, semuanya sama.

“Yang penting keinginan untuk berjaya. Justeru janganlah skeptikal kerana di sini juga kami mampu berjaya,” katanya yang kini juga melanjutkan pengajian tahun pertama di sebuah IPTA awam.

Manakala Zurani Said, 25, juga mengakui dia tersinggung dengan tanggapan pelajar IPTS sebagai kelas kedua.

Menurutnya, jika dulu diakui IPTS sebagai tempat mereka kurang berjaya, kini sentimen sudah berubah.

“Malah majikan juga tidak memilih graduan institusi tertentu untuk menawarkan pekerjaan kerana apa yang penting ada kemahiran tambahan.

“Kami juga ada kelebihan itu. Jadi apa yang membezakan kami dengan pelajar IPTA?,” soalnya.

Mengenai kehidupan bebas yang dikatakan sering berlaku di IPTS, dia berkata semuanya bergantung pada diri sendiri selain boleh berlaku di mana- mana saja.

“ Apa kaitan IPTS dengan masalah ini? Apakah bermakna belajar di sini, kami bebas melanggar peraturan?

“ Silap masyarakat kerana mudah memberi penafsiran. Saya tidak nafikan, ada pelajar begitu namun tidak adil menganggap semuanya rosak kerana beberapa isu.

“Apakah pelajar IPTA tidak terjebak dengan pelbagai masalah? Di mana-mana jua jika tersalah langkah memang buruk akibatnya,” katanya.

Dia bagaimanapun mengakui, pelajar IPTA lebih beruntung kerana menikmati pelbagai kemudahan seperti penginapan juga pembayaran yuran lebih rendah.

“Mereka beruntung berbanding kami yang ada kalanya terpaksa mengikat perut semata-mata untuk memastikan keperluan belajar mencukupi. Segala kemudahan sudah disediakan.

“Bagaimanapun, dari aspek berdikari, semuanya sama. Belajar di mana-mana pun akan mengajar pelajar berdikari dan menentukan hala tujuan hidup sendiri,” katanya.

Sumber : http : //www.hmetro.com.my/

ISU PENGAJIAN TINGGI : Sasaran pendidikan tinggi negara


MELBOURNE 11 Nov. - Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berharap lebih banyak universiti di Malaysia mampu berada dalam kelompok 100 universiti terbaik dunia dalam tempoh lima tahun lagi.

Beliau berkata, sistem pendidikan tinggi negara bergerak pada landasan yang betul dengan Kementerian Pengajian Tinggi memberi lebih banyak ruang dan kebebasan kepada universiti-universiti terlibat bergerak bagi mencapai sasaran tersebut.

"Tidak betul kalau ada tanggapan kata, kita tidak bergerak di landasan yang betul. Ada tetapi terlalu perlahan. Jadi kita kena lebih pantas dalam hal ini" katanya pada sesi dialog dengan para pelajar dan profesional rakyat Malaysia di Melbourne sempena lawatan kerja sembilan hari beliau ke Melbourne, Brisbane dan Gold Coast di sini hari ini.

Yang turut hadir ialah isteri beliau, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman; Presiden MCA, Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek dan Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Australia Datuk Salman Ahmad.

Menurut Muhyiddin, kerajaan sudah tentunya mahu mewujudkan sistem pendidikan terbaik bagi sekolah, kolej dan universiti dan usaha gigih itu telah berterusan sejak beberapa tahun lalu bagi memastikan Malaysia berada dalam kelompok terbaik dunia.

Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pelajaran memberitahu, walaupun masih jauh ketinggalan berbanding universiti-universiti ternama dunia seperti Monash University, Malaysia tidak pernah berputus asa berusaha bagi mencapai cita-cita itu.

Menurut Muhyiddin, dakwaan mengatakan institusi pengajian tinggi tempatan tidak setaraf dengan universiti-universiti di luar negara juga tidak tepat kerana ada pelajar Malaysia memilih belajar di universiti luar negara kerana mereka tidak mencapai kelulusan yang disyaratkan.

"Pelajar-pelajar ini memilih universiti luar negara kerana mereka tidak layak dan tidak mendapat tempat di universiti tempatan dan universiti luar negara yang dipilih itu pula bukan yang terbaik.

"Kalau kita nak kata semua yang baik berada di luar dan universiti kita tidak setaraf juga tidak betul," tegasnya.

Menurut Muhyiddin lagi, era yang mengatakan pendidikan berkualiti hanya mampu ditawarkan di luar negara sudah berlalu.

Katanya, akan tiba era yang mana anak-anak tempatan tidak lagi memilih universiti luar negara untuk menyambung pelajaran sebaliknya lebih berminat dengan universiti tempatan.

"Jangan terkejut suatu hari nanti anak-anak kita kata, kenapa saya perlu ke universiti luar sedangkan saya boleh belajar di Universiti Malaya, Universiti Kebangsaan Malayia atau 'Universiti Pagoh'," katanya."

Timbalan Perdana Menteri menambah kata, bagi tujuan itu kerajaan bukan sahaja menyediakan pendidikan terbaik bagi peringkat sekolah rendah dan menengah tetapi juga bagi pendidikan tinggi.

"Universiti kita mesti berada dalam kelompok 100 terbaik. Kita sedang berusaha mencapainya secara perlahan-lahan," katanya.

Muhyiddin berkata, pada masa ini lebih ramai penuntut asing memilih untuk belajar di Malaysia malah ada juga rakyat Australia datang ke institusi pengajian tinggi di Malaysia kerana kos pengajiannya lebih murah.

Muhyiddin juga mahu lebih ramai rakyat Malaysia belajar di tanah air berikutan perkembangan teknologi yang membolehkan pengajian peringkat universiti dan kolej dijalankan menerusi online atau secara jarak jauh.

Menurut Timbalan Perdana Menteri, sejak tahun lalu kerajaan memperkenalkan dasar baru yang membolehkan lebih banyak biasiswa diberikan kepada pelajar-pelajar cemerlang untuk menyambung pengajian di dalam negara.

Mereka katanya, hanya akan dihantar ke luar negara jika bidang pengajian yang dikuti tidak ditawarkan oleh institusi-institusi pengajian tinggi dalam negara.

"Pada ketika kita menghantar pelajar belajar di luar negara, kita juga mahu lebih ramai pelajar luar datang melanjutkan pelajaran ke negara kita bagi menjadikan Malaysia sebagai hab pendidikan," kata beliau. - UTUSAN