Oleh : Tan Sri Alimuddin Mohd
Dom
Guru harus melakukan
penambahbaikan dalam proses pembelajaran agar murid-murid
PERUNTUKAN tambahan sebanyak
RM500 juta kepada Kementerian Pelajaran seperti yang diumumkan oleh Perdana Menteri,
Datuk Seri Najib Tun Razak dalam Bajet 2013 yang lalu menggambarkan
keprihatinannya terhadap usaha meningkatkan kualiti pendidikan.
Peruntukan tambahan ini adalah
khusus untuk melaksanakan latihan, kursus atau penambahbaikan kepada guru
berfokus kepada kemahiran berfikir aras tinggi atau high
order thinking skills.
Semasa berucap merasmikan
Konvensyen Guru-Guru Muda 2011 di Shah Alam pada tahun lalu beliau pernah
menjelaskan tentang perlunya negara mempunyai warga pendidik yang memiliki daya
kreativiti dan inovasi yang tinggi selain komitmen dan sikap dedikasi terhadap
profesion perguruan.
Ketika melayari era globalisasi
ini golongan guru perlu berkemahiran tinggi dalam soal adaptasi dan bersikap
proaktif serta melakukan penambahbaikan semasa menjalankan tugas.
Tindakan sebegini menyebabkan
murid tidak merasa bosan ketika mengikuti proses pembelajaran. Najib berkata - Kita tidak mahu anak-anak kita hanya menggunakan kaedah
menghafal atau rote learning dalam pembelajaran mereka.
Apakah sebenarnya kemahiran
berfikir aras tinggi itu?
Secara umum terdapat dua jenis
kemahiran berfikir iaitu kemahiran berfikir aras rendah yang tidak memerlukan
pemikiran yang luas dan mendalam.
Sebagai contoh kemahiran ini
hanya memerlukan murid menghafal dan mengingat kembali fakta atau maklumat yang
disampaikan oleh guru kepada mereka. Kemudian meluahkannya semula sekiranya
terdapat soalan yang memerlukan jawapan mereka.
Sementara itu, kemahiran berfikir
aras tinggi melibatkan kemahiran intelek yang tinggi. Kemahiran ini memerlukan
seseorang itu berfikir sebelum membuat penjelasan dengan menganalisis, menilai,
menjana idea, pilihan membuat keputusan, menyelesaikan masalah dan membuat
perancangan.
Secara mudahnya murid mencerap
sesuatu data atau maklumat kemudian diproses dalam minda dan akhirnya
dikeluarkan semula dalam berbagai bentuk. Kemahiran berfikir ini juga dikatakan
sebagai berfikir secara kritis dan kreatif.
Memiliki kemahiran ini murid
bebas untuk membanding, membeza, menyusun atur, mengelas dan mengenal pasti
sebab dan akibat mengikut pendapat dan pandangan mereka sendiri. Andai kata
diberikan suatu soalan maka murid boleh memberi jawapan dalam pelbagai bentuk,
idea baru dan melihat daripada beberapa sudut. Di sinilah dikatakan wujudnya
pemikiran berbentuk kreatif, inovatif dan merekacipta di kalangan murid.
Kemahiran berfikir aras tinggi
ini mempunyai kelebihan lain iaitu dapat meningkatkan lagi keupayaan dan
kebolehan sedia ada pada murid. Mereka akan dapat mengawal, memandu dan
mengukur pembelajaran yang telah mereka kuasai. Kebolehan ini akan menjadikan mereka
lebih produktif dan berdaya saing. Seterusnya sudah tentu dapat meningkatkan
kefahaman dan memperkukuhkan pembelajaran dalam apa sahaja perkara yang mereka
pelajari nanti.
Bagi menerapkan kemahiran
berfikir aras tinggi dalam kalangan murid maka peranan guru sangat signifikan.
Usaha ke arah itu perlu dilakukan secara bersungguh-sungguh. Sebenarnya
kemahiran berfikir ini bukanlah asing kepada guru kerana mereka telah
didedahkan tentang konsep dan kaedah kemahiran ini semasa mengikuti latihan
perguruan di maktab atau universiti suatu ketika dahulu.
Walau apa pun guru perlu terus
ditingkatkan keupayaan kemahiran berfikir mereka supaya dapat memberikan yang
terbaik kepada murid dalam pengajaran mereka.
Dalam proses pendidikan terdapat
lima peringkat bagaimana kemahiran ini dapat disampaikan kepada murid secara
terancang iaitu melalui set induksi, penggunaan bahan asas atau bahan bantu
mengajar, aras soalan atau teknik menyoal, aktiviti atau gerak kerja dan
latihan bertulis.
Dalam set induksi kebiasaannya
sebelum memulakan sesuatu pengajaran guru akan menjelaskan tentang tajuk
pengajarannya, matlamat dan apakah yang akan difahami selepas pengajarannya.
Set induksi yang berkesan akan membolehkan murid bersedia mengikuti pengajaran
guru dan merupakan langkah permulaan dalam proses berfikirnya.
Penggunaan bahan asas atau bahan
bantu mengajar yang sesuai dengan tajuk pengajaran akan membolehkan murid
memahami dengan lebih jelas sesuatu istilah dan konsep. Malah ia akan
menjadikan pengajaran guru lebih mudah diikuti dan menyeronokkan.
Melihatkan suasana pembelajaran
yang berjalan dengan lancar maka guru hendaklah mengambil kesempatan dengan
mengemukakan berbagai soalan kepada muridnya bermula dalam bentuk tahap yang
rendah dan berkembang kepada soalan yang bertahap tinggi.
Ketika ini murid banyak
menggunakan kemahiran berfikir mereka dalam menjawab soalan-soalan yang
berbagai bentuk. Dalam masa sama, guru akan dapat menilai sama ada murid
memahami pengajarannya.
Selanjutnya aktiviti atau gerak
kerja pembelajaran akan dapat memperkukuhkan lagi pengajaran guru. Aktiviti
seperti teka silang kata, kuiz, syarahan, bahas, lakonan, kerja berkumpulan,
menyediakan projek dan gerak kerja di luar bilik darjah akan memantapkan lagi
kefahaman murid. Sudah tentu murid akan membuat perbincangan, merujuk dan
mencari maklumat dalam menyiapkan tugasan yang diberikan.
Akhirnya proses pembelajaran
menjadi lebih mantap apabila murid melakukan latihan bertulis. Melalui
kemahiran berfikir aras tinggi murid akan dapat menulis dengan mengeluarkan
pelbagai pendapat secara kreatif dan mungkin juga terdapat idea-idea baru. Di
sinilah peluang kepada guru untuk memberi komen, galakan dan tunjuk ajar agar
murid menjadi lebih produktif dan berdaya maju.
Sesungguhnya peruntukan tambahan
sebanyak RM500 juta yang diumumkan oleh Perdana Menteri akan digunakan untuk
meningkatkan lagi kemahiran berfikir aras tinggi dalam kalangan guru. Diharap
langkah ini akan menaikkan prestasi negara khususnya dalam persaingan peringkat
antarabangsa terutama dalam pentaksiran PISA yang dinyatakan dalam Pelan
Pembangunan Pendidikan 2013-2025.
Seperti yang dinyatakan oleh
Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam kata-kata aluan laporan awal
Pelan tersebut - Dalam usaha kita untuk bersaing
dengan negara-negara termaju di dunia, sistem pendidikan kita perlu berupaya
melahirkan generasi muda yang berpengetahuan, mampu berfikir secara kritis dan
kreatif serta berupaya berkomunikasi dengan berkesan pada peringkat global.
PENULIS ialah Pengerusi Yayasan Guru Malaysia Berhad.
Sumber : http : //www.utusan.com.my/