Jumaat, 28 Disember 2012

ISU PENDIDIKAN : Kemahiran berfikir dalam pendidikan


 Oleh : Tan Sri Alimuddin Mohd Dom

Guru harus melakukan penambahbaikan dalam proses pembelajaran agar murid-murid

PERUNTUKAN tambahan sebanyak RM500 juta kepada Kementerian Pelajaran seperti yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam Bajet 2013 yang lalu menggambarkan keprihatinannya terhadap usaha meningkatkan kualiti pendidikan.

Peruntukan tambahan ini adalah khusus untuk melaksanakan latihan, kursus atau penambahbaikan kepada guru berfokus kepada kemahiran berfikir aras tinggi atau ‘high order thinking skills.’

Semasa berucap merasmikan Konvensyen Guru-Guru Muda 2011 di Shah Alam pada tahun lalu beliau pernah menjelaskan tentang perlunya negara mempunyai warga pendidik yang memiliki daya kreativiti dan inovasi yang tinggi selain komitmen dan sikap dedikasi terhadap profesion perguruan.

Ketika melayari era globalisasi ini golongan guru perlu berkemahiran tinggi dalam soal adaptasi dan bersikap proaktif serta melakukan penambahbaikan semasa menjalankan tugas.

Tindakan sebegini menyebabkan murid tidak merasa bosan ketika mengikuti proses pembelajaran. Najib berkata - ‘‘Kita tidak mahu anak-anak kita hanya menggunakan kaedah menghafal atau ‘rote learning’ dalam pembelajaran mereka.’’

Apakah sebenarnya kemahiran berfikir aras tinggi itu?

Secara umum terdapat dua jenis kemahiran berfikir iaitu kemahiran berfikir aras rendah yang tidak memerlukan pemikiran yang luas dan mendalam.

Sebagai contoh kemahiran ini hanya memerlukan murid menghafal dan mengingat kembali fakta atau maklumat yang disampaikan oleh guru kepada mereka. Kemudian meluahkannya semula sekiranya terdapat soalan yang memerlukan jawapan mereka.

Sementara itu, kemahiran berfikir aras tinggi melibatkan kemahiran intelek yang tinggi. Kemahiran ini memerlukan seseorang itu berfikir sebelum membuat penjelasan dengan menganalisis, menilai, menjana idea, pilihan membuat keputusan, menyelesaikan masalah dan membuat perancangan.

Secara mudahnya murid mencerap sesuatu data atau maklumat kemudian diproses dalam minda dan akhirnya dikeluarkan semula dalam berbagai bentuk. Kemahiran berfikir ini juga dikatakan sebagai berfikir secara kritis dan kreatif.

Memiliki kemahiran ini murid bebas untuk membanding, membeza, menyusun atur, mengelas dan mengenal pasti sebab dan akibat mengikut pendapat dan pandangan mereka sendiri. Andai kata diberikan suatu soalan maka murid boleh memberi jawapan dalam pelbagai bentuk, idea baru dan melihat daripada beberapa sudut. Di sinilah dikatakan wujudnya pemikiran berbentuk kreatif, inovatif dan merekacipta di kalangan murid.

Kemahiran berfikir aras tinggi ini mempunyai kelebihan lain iaitu dapat meningkatkan lagi keupayaan dan kebolehan sedia ada pada murid. Mereka akan dapat mengawal, memandu dan mengukur pembelajaran yang telah mereka kuasai. Kebolehan ini akan menjadikan mereka lebih produktif dan berdaya saing. Seterusnya sudah tentu dapat meningkatkan kefahaman dan memperkukuhkan pembelajaran dalam apa sahaja perkara yang mereka pelajari nanti.

Bagi menerapkan kemahiran berfikir aras tinggi dalam kalangan murid maka peranan guru sangat signifikan. Usaha ke arah itu perlu dilakukan secara bersungguh-sungguh. Sebenarnya kemahiran berfikir ini bukanlah asing kepada guru kerana mereka telah didedahkan tentang konsep dan kaedah kemahiran ini semasa mengikuti latihan perguruan di maktab atau universiti suatu ketika dahulu.

Walau apa pun guru perlu terus ditingkatkan keupayaan kemahiran berfikir mereka supaya dapat memberikan yang terbaik kepada murid dalam pengajaran mereka.

Dalam proses pendidikan terdapat lima peringkat bagaimana kemahiran ini dapat disampaikan kepada murid secara terancang iaitu melalui set induksi, penggunaan bahan asas atau bahan bantu mengajar, aras soalan atau teknik menyoal, aktiviti atau gerak kerja dan latihan bertulis.

Dalam set induksi kebiasaannya sebelum memulakan sesuatu pengajaran guru akan menjelaskan tentang tajuk pengajarannya, matlamat dan apakah yang akan difahami selepas pengajarannya. Set induksi yang berkesan akan membolehkan murid bersedia mengikuti pengajaran guru dan merupakan langkah permulaan dalam proses berfikirnya.

Penggunaan bahan asas atau bahan bantu mengajar yang sesuai dengan tajuk pengajaran akan membolehkan murid memahami dengan lebih jelas sesuatu istilah dan konsep. Malah ia akan menjadikan pengajaran guru lebih mudah diikuti dan menyeronokkan.

Melihatkan suasana pembelajaran yang berjalan dengan lancar maka guru hendaklah mengambil kesempatan dengan mengemukakan berbagai soalan kepada muridnya bermula dalam bentuk tahap yang rendah dan berkembang kepada soalan yang bertahap tinggi.

Ketika ini murid banyak menggunakan kemahiran berfikir mereka dalam menjawab soalan-soalan yang berbagai bentuk. Dalam masa sama, guru akan dapat menilai sama ada murid memahami pengajarannya.

Selanjutnya aktiviti atau gerak kerja pembelajaran akan dapat memperkukuhkan lagi pengajaran guru. Aktiviti seperti teka silang kata, kuiz, syarahan, bahas, lakonan, kerja berkumpulan, menyediakan projek dan gerak kerja di luar bilik darjah akan memantapkan lagi kefahaman murid. Sudah tentu murid akan membuat perbincangan, merujuk dan mencari maklumat dalam menyiapkan tugasan yang diberikan.

Akhirnya proses pembelajaran menjadi lebih mantap apabila murid melakukan latihan bertulis. Melalui kemahiran berfikir aras tinggi murid akan dapat menulis dengan mengeluarkan pelbagai pendapat secara kreatif dan mungkin juga terdapat idea-idea baru. Di sinilah peluang kepada guru untuk memberi komen, galakan dan tunjuk ajar agar murid menjadi lebih produktif dan berdaya maju.

Sesungguhnya peruntukan tambahan sebanyak RM500 juta yang diumumkan oleh Perdana Menteri akan digunakan untuk meningkatkan lagi kemahiran berfikir aras tinggi dalam kalangan guru. Diharap langkah ini akan menaikkan prestasi negara khususnya dalam persaingan peringkat antarabangsa terutama dalam pentaksiran PISA yang dinyatakan dalam Pelan Pembangunan Pendidikan 2013-2025.

Seperti yang dinyatakan oleh Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam kata-kata aluan laporan awal Pelan tersebut - ‘‘Dalam usaha kita untuk bersaing dengan negara-negara termaju di dunia, sistem pendidikan kita perlu berupaya melahirkan generasi muda yang berpengetahuan, mampu berfikir secara kritis dan kreatif serta berupaya berkomunikasi dengan berkesan pada peringkat global.’’

PENULIS ialah Pengerusi Yayasan Guru Malaysia Berhad.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan