Jumaat, 28 Disember 2012

ISU SOSIAL : Muhasabah pertingkat kualiti diri


Sibukkan diri dengan ketaatan, cegah lakukan dosa sempena tahun baru

Tahun baru bakal menjelma dengan bermulanya 2013. Tahun yang bakal dipenuhi cabaran ini, mudah-mudahan disambut dengan rasa tawaduk ke hadrat Allah SWT atas segala nikmat-Nya selama ini.

Seperti tahun baru sebelum ini, kita mulakan dengan lafaz kesyukuran kerana masih diizinkan untuk meneruskan kehidupan di samping menjalankan tugasan harian sama ada sebagai anak, ibu, bapa, pendidik, pelajar, pekerja amnya dan sebagai umat Islam khasnya.

Namun, sebagai muslim yang memahami kepentingan hidup sebagai satu ibadah, seharusnya kita lebih lagi mendalami perspektif sambutan tahun baru ini.

Firman Allah SWT: “(Katakanlah wahai Muhammad kepada mereka): Maka segeralah kamu kembali kepada Allah (dengan bertaubat dan taat), sesungguhnya aku diutuskan Allah kepada kamu sebagai pemberi amaran yang nyata.” (Surah adz-Dzaariyat, ayat 50)

Bermuhasabah dan insaf

Sambutan tahun baru dalam Islam bukan sambutan bersifat bermegah dan bergembira semata-mata, tetapi harus disandarkan kepada konsep bermuhasabah, merenung akan kelemahan, kekurangan yang telah dilakukan sebelum ini dan menginsafinya.

Semoga kehadiran tahun baru ini membawa pengertian cukup besar bagi mencetuskan rasa ingin berubah dari satu kekurangan kepada satu kekuatan baru.

Bermuhasabah diri adalah amalan anbiya, mursalin dan orang soleh. Justeru, perkara penting yang harus dijadikan budaya dalam hidup ialah menilai diri. Muhasabah adalah perilaku menilai dan memperelokkan diri yang terbentuk dalam jiwa seseorang manusia menurut kaca mata agama.

Ia juga boleh dimaksudkan sebagai mendidik diri sentiasa mencela segala kejahatan yang pernah dilakukan supaya tidak menjadi penghalang untuk mendapat keredaan Allah SWT.

Diriwayatkan oleh Imam at-Tirmizi daripada Syadad bin Aus, Rasulullah SAW bersabda: “Orang yang pintar ialah orang yang menghitung dirinya serta beramal untuk hari selepas kematian sementara orang yang lemah ialah orang yang mengikut hawa nafsunya serta berangan-angan terhadap Allah dengan angan-angan (yang banyak).” (Riwayat at-Tirmizi)

Sesiapa yang bermuhasabah diri tidak akan membiarkan ruang serta masa untuk melakukan perkara batil dan mungkar. Menyibukkan diri dengan ketaatan akan menghapuskan masa untuk membuat kejahatan.

Mereka akan mencela jiwa atas setiap kesalahan dan kekurangan yang dilakukan terhadap Allah SWT kerana takutnya diri ini kepada kekuasaan-Nya. Jika inilah keadaannya, mana mungkin boleh didapati jalan dan ruang untuk membuat kesalahan serta kebatilan.

Memetik kata-kata ulama’ iaitu as-Sayyid Ahmad ar-Rifaie dalam kitabnya Burhan al-Muayyad: “Daripada perasaan takut akan timbulnya muhasabah. Daripada muhasabah timbulnya muraqabah. Daripada muraqabah hati akan sentiasa sibuk bersama Allah SWT.”

Tidak bertolak ansur

Berkata Syeikh Ahmad Zarruq, lalai daripada bermuhasabah diri menyebabkan apa yang dilakukan menjadi silap. Kurang berbincang boleh membawa kepada sifat reda nafsu atau berpuas hati dengannya. Memerangi nafsu boleh menjauhkannya daripada melekat pada diri dan tidak bersikap tegas terhadapnya menyebabkannya menjadi pahlawan. Oleh itu lazimlah diri dengan sentiasa bermuhasabah dan berbincang serta beramallah dengan apa yang betul tanpa bertolak ansur terhadap perkara-perkara yang salah.

Marilah bersama menghitung setiap tindakan selama ini, sejauh mana kita telah melaksanakan amanah sebagai hamba Allah SWT. Apakah kita telah benar-benar melaksanakannya mengikut lunas dan etika Islam.

Percayalah dengan bermuhasabah seseorang itu dapat mengelakkan diri daripada melakukan kesalahan yang sama untuk kali kedua kerana orang muslim yang hebat adalah mereka yang dapat mempertingkatkan kualiti diri dari semasa ke semasa.

Ingatlah pesanan Saidina Umar al-khattab, hitunglah diri kamu sebelum kamu dihitung, timbanglah amalanmu sendiri sebelum ia ditimbangkan untukmu, dan bersedialah untuk hari pembentangan amal yang besar, sesungguhnya hisab pada hari kiamat menjadi ringan bagi sesiapa yang melakukan muhasabah diri di dunia ini.

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan