Kesan gempa bumi di Sichuan, China. (2008)
Oleh Ku Seman Ku HussainMenulis kembali beberapa tragedi bencana alam yang melekat di ingatan dan meninggalkan trauma yang panjang adalah membaca kembali perihal alam. Bencana berlaku tetapi tidak berlalu begitu saja. Bencana meninggalkan pesan dan iktibar tentang kekerdilan manusia untuk mendepani fenomena alam yang penuh misteri dan sangat luar biasa.
Sesekali apabila alam berbicara, berdengus dan merajuk, sesekali juga manusia meratap tangis membilang kehilangan dan kemusnahan yang tidak mungkin dibayar waima berabad lamanya. Bencana alam tidak dapat dihalang tetapi boleh dikurangkan kemusnahan dengan kebijaksanaan akal.
Setiap abad dan dekad berlalu, pasti ada meninggalkan catatan tentang kemusnahan akibat bencana alam. Gempa bumi, taufan, banjir dan letupan gunung berapi menjadi kata kunci mengingatkan kita kepada laranya bencana kepada manusia. Sepanjang dekad pertama abad ke 21, diari kita diwarnai merah dengan kemusnahan dan kehilangan nyawa yang luar biasa angkanya.
Pada geografi yang relatif hampir dengan kita letupan gunung berapi Krakatau di Selat Sunda, Indonesia menjadi ikon bencana alam yang diingati di seluruh dunia pada abad ke 19 dulu. Letupan gunung berapi Krakatau pada 20 Mei 1883 yang berlarutan beberapa hari mengakibatkan gelombang setinggi 40 meter di lautan berhampiran.
Pada abad ke 19, Krakatau yang mencatatkan kehilangan nyawa lebih 30,000 selain harta benda adalah yang paling diingati dalam catatan bencana alam dunia. Banyak misteri Krakatau yang belum terungkai antara kepercayaan mistik dan fakta hinggalah bersambung kepada tragedi tsunami melanda Acheh pada 26 Disember 2004.
Krakatau seolah-olah menghubungkan Sunda dengan Acheh, menyambungkan abad ke 19 dengan dekad pertama abad ke 21 dengan skala kemusnahan harta benda dan kehilangan nyawa yang berpuluh kali ganda lebih besar. Krakatau yang belum hilang dari ingatan sekalipun gambaran dahsyat hanya kelihatan di filem, tsunami menzahirkan dahsyatnya bencana ini di depan mata.
Tsunami di Acheh terbentuk daripada kesan gegaran gempa bumi 9.1 dan 9.3 skala richter di dasar laut. Gempa dahsyat ini juga membentuk tsunami di sebelah negara lain termasuk Malaysia. Korban tsunami di Acheh saja direkodkan sebanyak 300,000 orang. Ini tidak termasuk di Sri Lanka dan beberapa negara lain yang menerima kesan yang teruk. Dicatatkan gempa bumi ini yang kedua terbesar dan kesannya yang juga sangat besar mengubah landskap sosial dan geografi khususnya di Acheh.
Kekuatan gempa bumi dan pukulan tsunami telah mengubah kedudukan Acheh di peta dunia, sementara geografi wilayah Islam yang kaya dengan hasil bumi di Indonesia itu bertukar wajah selepas gelombang "melepasi menara masjid" menyapu bersih Banda Acheh.
Bencana tsunami ini sekali gus meletakkan Acheh dalam "peta dunia" apabila saluran berita di seluruh dunia memaparkan tragedi tsunami terbesar di dunia. Sementara di Indonesia sendiri, inilah yang terbesar selepas letupan Krakatau dua abad sebelumnya.
Gambaran kemusnahan di luar igau dan khayal manusia. Walaupun tidak ada footage yang menunjukkan bagaimana ombak yang tingginya berpuluh meter itu menyerang daratan dan menyapu Banda Acheh, tetapi kesan kemusnahan boleh memberikan gambaran. Tragedi yang genap lima tahun semalam itu tidak akan terpadam dari ingatan seluruh umat manusia tentang keajaiban dan seninya Tuhan menurunkan bencana.
Tahap kemusnahan tsunami adalah yang kedua selepas tragedi banjir besar di Sungai Huang He (Yellow River) di China tahun 1887. Tragedi itu mengorbankan tidak kurang 900,000 nyawa, satu-satunya bencana alam terbesar yang dicatatkan setakat ini. Bencana banjir itu memusnahkan kawasan seluas 70,000 kilometer persegi dan sekurang-kurang dua juta kehilangan tempat tinggal.
Gempa bumi kelihatan menjadi penyebab utama bencana alam yang mengorbankan nyawa dan harta benda di seluruh dunia. Walaupun taufan dan puting beliung serta banjir menjadi penyumbang bencana alam pada dekad awal abad ini, gempa bumi kelihatan lebih banyak memusnahkan bumi.
Selepas tsunami di Acheh yang disebabkan oleh gempa bumi di dasar laut, gempa bumi di daratan juga tidak kurang hebat kuasa pemusnahnya seperti gempa bumi di Bam, Iran tahun 2003, gempa bumi di Kashmir, Pakistan tahun 2004, gempa bumi Sichuan, China pada 2008 dan yang terbaru gempa bumi di Padang, Sumatera pada tahun ini.
TraumaKesan kemusnahan dan trauma gempa bumi di Padang, Sumatera seperti masih terasa dengan catatan-catatan tragis bumi yang menelan manusia. Padang, yang menjadi "bunga" kepada Indonesia kerana keindahan alam berbukit dan latar padang saujana dengan sekelip mata terburai seperti medan pertempuran.
Gempa bumi yang berukuran 7.6 skala richter itu menyambung duka Indonesia yang menangisi tragedi tsunami di Acheh lima tahun lalu. Tragedi bencana di Padang juga menyaksikan kemusnahan yang tidak tertanggung mata memandang, ini ditambah pula dengan korban nyawa akibat bumi Padang seolah terbelah dua. Semua ini adalah himpunan cerita duka Indonesia pada dekad pertama abad baru.
Gempa bumi Kashmir pada 8 Oktober 2005 juga tidak kurang hebat kemusnahannya kepada Pakistan. Gempa bumi berukuran 7.6 skala richter berlaku berhampiran bandar raya Muzzaffarrabad. Bencana ini dikatakan sama ukurannya dengan gempa bumi di San Francisco pada 1906, gempa bumi Quetta pada 1935, gempa bumi Gujarat pada 2001 dan gempa bumi Sumatera pada tahun ini.
Pihak berkuasa Pakistan mengeluarkan kenyataan rasmi mengenai 79,000 orang yang terkorban termasuk 1,400 orang di India dan empat orang di Afghanistan.
Gempa bumi ini juga mengakibatkan 3.3 juta penduduk kehilangan tempat tinggal serta memberikan kesan secara langsung kepada lapan juta orang selain kemusnahan harta benda yang dianggarkan RM15 bilion.
Pada dekad pertama abad ini kelihatan lebih banyak diancam oleh gempa bumi yang mengakibatkan banyak kehilangan nyawa dan kemusnahan harta benda. Begitu juga dengan gempa bumi di Sichuan, China pada tahun lalu yang mengakibatkan kehilangan nyawa sebanyak 69,000 orang.
Dekad pertama abad ini juga mencatatkan tentang dahsyatnya puting beliung Nargis yang melanda Myanmar pada 27 April tahun lalu. Walaupun hanya seminggu Nargis dicatatkan sebagai bencana alam paling buruk bagi Myanmar apabila mengorbankan tidak kurang 146,000 nyawa selain beribu-ribu orang hilang.
Puting beliung Nargis yang berkelajuan 165 kilometer sejam itu meninggalkan kerugian RM38 bilion kepada negara yang bergolak dan miskin itu. Kesan sosial sangat ketara selepas bencana dan kadar kemiskinan naik dengan mendadak apabila rakyat kehilangan sumber pendapatan, tempat tinggal dan diserang penyakit yang menular selepas bencana. Nargis dicatatkan sebagai puting beliung kelapan terdahsyat yang pernah melanda dunia.
Nargis juga satu fenomena alam yang bukan saja dahsyat sekaligus unik. Beberapa laporan mengatakan pihak berkuasa India telah memberi amaran lebih 48 jam kepada pihak berkuasa Myanmar tentang kehadiran puting beliung tersebut. Tetapi disebabkan krisis politik dan pergolakan dalam negara Myanmar usaha untuk memindahkan penduduk dan menyelamat menjadi begitu perlahan.
Ini ditambah pula dengan pihak berkuasa tentera Myanmar yang menolak bantuan kemanusian yang dihulurkan oleh Barat khususnya Amerika Syarikat (AS). Nargis dalam bahasa Urdu yang diambil dari bahasa Parsi bermaksud sejenis bunga kuning yang hujungnya seperti trompet meninggalkan kesan buruk berganda kepada negara Myanmar. Sudahlah diserkup krisis politik, miskin dan menjadi pilihan puting beliung untuk "menari".
Sumber: http://www.utusan.com.my/