Isnin, 18 Mei 2009

DOA SEGALA PENAWAR

Doa Pilihan Pelindung Keluarga
Ajarilah anak-anak kita, diri, dan keluarga kita dengan doa yang sohih dari nabi ini iaitu :-

من نَزَلَ مَنْزِلًا ثُمَّ قال أَعُوذُ بِكَلِمَاتِ اللَّهِ التَّامَّاتِ من شَرِّ ما خَلَقَ لم يَضُرَّهُ شَيْءٌ حتى يَرْتَحِلَ من مَنْزِلِهِ ذلك

Ertinya : sesiapa yang keluar dari rumah dan membaca doa " Aku berlindung dengan kalimah Allah yang sempurna daripada segala kejahatan makhluk" maka dia tidak dimudaratkan oleh sesuatu apa pun sehinggalah dia kembali ke rumahnya semula." ( Riwayat Muslim, 4/2080)

Disebut dalam satu riwayat lain, nabi bersabda :-

فقال رسول الله من أي شيء قال لدغتني عقرب قال رسول الله أما إنك لو قلت حين أمسيت أعوذ بكلمات الله التامات من شر ما خلق لم يضرك إن شاء الله

Ertinya : Nabi bertanya : Kena apakah kamu ?
Lelaki berkata : Aku disengat kala.
Nabi berkata : Sekiranya engkau membaca pada setiap petang " Aku berlindung dengan kalimah Allah yang sempurna daripada segala kejahatan makhluk", nescaya dengan izin Allah kamu tidak akan ditimpa mudarat" ( Riwayat Ibn Hibban, 3/298 )

Juga sebuah lagi doa yang mudah daripada hadis sohih:-

رَسُولَ اللَّهِ يقول من قال بِسْمِ اللَّهِ الذي لَا يَضُرُّ مع اسْمِهِ شَيْءٌ في الأرض ولا في السَّمَاءِ وهو السَّمِيعُ الْعَلِيمُ ثَلَاثَ مَرَّاتٍ لم تُصِبْهُ فَجْأَةُ بَلَاءٍ حتى يُصْبِحَ وَمَنْ قَالَهَا حين يُصْبِحُ ثَلَاثُ مَرَّاتٍ لم تُصِبْهُ فَجْأَةُ بَلَاءٍ حتى يُمْسِيَ

Ertinya : Rasulullah s.a.w didengari berkata sesiapa yang berdoa : "Dengan nama Allah yang tiada dimudaratkan sesuatu apapun dengan namaNya sama ada di bumi dan di langit, dan Dialah maha mendengar dan maha mengetahui" sebanyak 3 kali, maka dia tidak ditimpa kesusahan bala dan musibah sehinggalah subuh esoknya, dan barangsiapa membacanya ketika subuh 3 kali, dia tidak ditimpa kesusahan bala dan musibah sehingga petangnya" ( Riwayat Abu Daud, 4/323 ; At-Tirmidizi, 5/465 dan Ahmad ; Tirmizi : Hasan )

Nota Hujung:

Dalam kita berhadapan dengan pelbagai penyakit luar biasa seperti H1N1 (selesema babi), letrospirosis, Chikungunya, dan sebagainya yang menyerang beberapa negara di dunia termasuk di negara kita, maka wajarlah kita berikhtiar untuk melindungi diri dan keluarga kita daripada penyakit-penyakit berkenaan. Dengan mengamalkan doa ini, mudah-mudahan diri dan keluarga kita akan sentiasa berada di bawah perlindungan Allah s.w.t.

Panduan Menjawab Soalan Analisis Kesalahan Bahasa STPM

Bagi pelajar-pelajar prauniversiti yang berada di Tingkatan 6 Atas, soalan ini sudah biasa anda jawab, tetapi bagi pelajar-pelajar prauniversiti yang baru memulakan pengajian di Tingatan 6 Bawah, soalan ini sudah tentu agak asing bagi anda. Bagi pelajar-pelajar praunversiti yang baru soalan ini tiada pilihan dan mesti dijawab iaitu Soalan 8. Walaupun jumlah markah bagi soalan ini cuma 15, tetapi calon-calon perlu memberikan perhatian juga terhadap soalan ini kerana boleh membantu calon untuk meningkatkan markah Kertas 2. Selain itu, soalan ini juga kebiasaannya agak mudah dan tidaklah terlalu sukar untuk dijawab. Jadi, para pelajar perlulah membuat latihan yang bersistematik dan berterusan terutamanya berdasarkan soalan yang pernah ditanya dalam peperiksaan STPM.


Antara jenis kesalahan bahasa yang popular dan biasa ditanya dalam soalan STPM ialah kesalahan dalam aspek morfologi dan sintaksis iaitu:


• Pengimbuhan, termasuklah imbuhan pinjaman seperti pra, dwi, dan anti
• Kata Ganti Nama Diri Pertama, Kedua dan Ketiga, Kata Ganti Tunjuk, Kata Ganti Tak Tentu, pemilihan kata yang sesuai (Diksi), Kata Hubung, Kata kerja Transitif dan Tak Transitif, Kata Sendi, Kata Penguat, dan Kata Pemeri
• Kata Majmuk, Kata Ganda, Hukum D-M, dan penjodoh bilangan.
• Frasa Sendi, Frasa Kerja Pasif, dan ayat tiada subjek (ayat tergantung).

Panduan umum untuk menjawab soalan Analisis Kesalahan Bahasa :

1. Baca ayat-ayat dalam petikan itu sepintas lalu dan kenal pasti kesalahan bahasanya. Tandakan kesalahan-kesaslahan bahasa yang telah anda kenal pasti itu. Kenal pasti kesalahan kata, frasa, dan ayatnya. Kesalahan yang popular ialah kesalahan kata.
2. Biasanya terdapat sekurang-kurangnya 5 kesalahan bahasa dalam ayat-ayat tersebut dan kadang-kadang terdapat 6 atau 7 kesalahan. Markah yang diperuntukkan cuma untuk 5 kesalahan sahaja.
3. Selepas kesalahan bahasa tersebut anda kenal pasti, buatlah jadual iaitu tiga ruangan atau lajur, iaitu untuk ruangan Kesalahan, Sebab Kesalahan, dan Pembetulan.
4. Untuk lajur Kesalahan, nyatakan kesalahan tersebut. Kemudian tulislah alasan kesalahan tersebut dalam lajur Sebab Kesalahan dan tulis pula pembetulannya dalam lajur Pembetulan.

Kesalahan Umum yang Biasa Dilakukan oleh Pelajar:


• Jawapan tidak mengikut format, iaitu tidak ditulis dalam jadual.
• Terlalu banyak sebab diberikan pada ruang Sebab Kesalahan menyebabkan pemeriksa sukar memahaminya.
• Ada juga Sebab Kesalahan yang diberikan itu secara umum dan tidak jelas atau kurang tepat.
• Gagal menggunakan peluang untuk mencari kesalahan ayat yang lebih daripada 5 kesalahan yang diminta.
• Terlalu banyak kesalahan bahasa yang disenaraikan. Sebenarnya yang betulpun dikatakan salah.

Latihan 1 (Berdasarkan Soalan STPM 2008)


8. Kenal pasti kesalahan bahasa dalam petikan di bawah ini. Bagi setiap kesalahan, jelaskan sebab kesalahan dan kemudian buat pembetulan.


Seorang polis inspektor yang baru dua bulan bertugas telah menceritakan keadaan di daerah itu kepada pemberita. Beliau menyatakan bahawa banjir itu berpunca daripada sebuah empangan yang pecah akibat gempa bumi yang berlaku di negara jiran. Untuk memudahkan orang ramai mengikuti perkembangan terkini, sebuah jawatankuasa petugas telah dibentuk. Jawatankuasa tersebut dikehendaki bertugas setiap hari, sebaliknya pada Hari Jumaat.Dalam kesibukan orang ramai membantu pihak keselamatan menyelamatkan mangsa, terdapat sesetengah pihak yang mengambil kesempatan mencuri barang-barang, terutamanya makanan dan pakaian. Pihak polis mensyaki kegiatan tersebut dilakukan oleh mereka yang tidak bertanggungjawab. Untuk mengawal keadaan di daerah itu memerlukan sukarelawan yang lebih banyak. Walau bagaimanapun, ekoran tertangkapnya beberapa penjenayah, kegiatan mencuri dapat dikawal.

Latihan 2

8. Kenal pasti kesalahan bahasa dalam petikan di bawah ini. Bagi setiap kesalahan, jelaskan sebab kesalahan dan kemudian buat pembetulan.

Kerajaan kita sentiasa berusaha untuk membantu penduduk miskin yang tinggal di luar bandar. Di antara usaha yang dilaksanakan adalah menyediakan peluang pekerjaan yang banyak di luar bandar. Langkah tersebut akan menjamin penduduk miskin tersebut memperoleh pendapatan. Bila ada pendapatan, mereka akan menumpukan dengan lebih banyak lagi perhatian terhadap usaha untuk menjaga kesihatan diri dan keluarga. Walaubagaimanapun, usaha itu mestilah mendapat sambutan dari penduduk luar bandar tersebut. Kejayaan atau kegagalan usaha kerajaan itu amat bergantung pada kerjasama yang mereka berikan. Kesimpulannya, usaha tersebut memerlukan kerjasama dan penglibatan daripada kedua-dua belah pihak.

Selamat mencuba latihan Analisis Kesalahan Bahasa di atas.


Sumber: http://khirkassim.blogspot.com/

KURSUS PEMANTAPAN PEDAGOGI BAHASA MELAYU NEGERI PAHANG 2009

Pembentangan Modul "Selan Osni"

Datin Mariam Mehad

Para Peserta Khusyuk Mendengar Ceramah

Para Fasilitator Bergambar Bersama-sama KPP Bahasa Melayu JPNP

Kursus Pemantapan Pedagogi Bahasa Melayu (PMR dan SPM) untuk Jurulatih Utama Daerah 2009 telah diadakan di Hotel Seri Malaysia, Kuala Trengganu, bermula 11-13 Mei yang lalu. Kursus tiga hari ini telah disertai oleh seramai 58 orang peserta yang terdiri daripada guru-guru bahasa Melayu yang mewakili seluruh daerah di Pahang.

Antara pengisian kursus termasuk Kaedah Membaca Cepat (Modul Selan Osni) yang disampaikan oleh Tuan Haji Roslan Nikmat, pemenang anugerah inovasi peringkat kebangsaan. Guru-guru turut didedahkan dengan Kaedah P&P Karangan Berkesan oleh Datin Mariam Bt Mehad , Guru Cemerlang Gred Khas C dan Pengukuhan P&P Tatabahasa Menggunakan Teks Rumusan , yang disampaikan oleh Puan Maisarah Musa.Selain itu, Kursus Ketatabahasaan Bahasa Melayu telah disampaikan oleh Encik Saruchi Shawal.

Peserta turut mendengar taklimat pelaksanaan ULBS oleh Ketua Pentaksir Negeri, Encik Mohd Nasri Mustafa Hilmi . Taklimat tentang tatacara pelaksanaan PLBS bahasa Melayu pula telah disampaikan oleh Puan Nor Maziah Hashim. Beliau turut memberikan ceramah tentang Format Kertas Bahasa Melayu PMR.

Bengkel Penyediaan Rancangan Pelajaran Tahunan Bahasa Melayu turut diadakan bagi menghasilkan rancangan pelajaran tahunan yang seragam di peringkat negeri. Bengkel ini telah dikendalikan oleh Encik Mohamad Tawpik Bin Ab Aziz dan Puan Kamriah Jusoh dengan dibantu oleh fasilitator yang lain.

Perasmian penutupan kursus telah disempurnakan oleh Encik Aznan bin Mohamad, selaku Ketua Penolong Pengarah Bahasa Melayu, Jabatan Pelajaran Negeri Pahang.