Oleh : Dr Sharifah
Hayaati Syed Ismail
Tahun baru ini pekerja perlu
meningkatkan semangat dengan azam untuk terus menjadi pekerja Muslim yang
profesional serta berdaya saing. Ini antara cabaran dalam Wawasan 2020,
mewujudkan masyarakat bermoral, beretika tinggi dan profesional dalam
menjalankan perkhidmatan.
Antara usaha yang perlu dilakukan
bagi mencapai tahap pekerja profesional ialah dominasi hati melalui pengukuhan
dan penambahan iman. Sentiasa meletakkan kepercayaan, keyakinan, kecintaan dan
pengharapan sepenuhnya kepada Allah SWT dalam segenap pelakuan.
Firman Allah SWT: Berimanlah kamu
kepada Allah dan Rasul-Nya, dan belanjakanlah (pada jalan kebajikan) sebahagian
harta benda yang dijadikannya kamu menguasainya sebagai wakil. Maka orang yang
beriman di antara kamu serta mereka membelanjakan (sebahagian dari harta itu
pada jalan Allah); mereka tetap beroleh pahala yang besar. (Surah al-Hadid,
ayat 7)
Pengukuhan iman bertujuan
mengelakkan kesibukan dan tekanan kerja menjadi penyebab kelalaian daripada
mengingati Allah SWT.
Peringatan kelalaian
Peringatan Allah SWT: Wahai orang
yang beriman. Janganlah sampai harta kamu dan anak pinak kamu melalaikan kamu
daripada mengingati Allah. Siapa yang melakukan sebegitu, mereka tergolong
dalam kalangan orang yang rugi. (Surah al-Munafiqun, ayat 9)
Pekerja profesional ialah pekerja
yang mempunyai pengetahuan tentang pekerjaan yang dilakukan dan melaksanakannya dengan mahir.
Aspek pengetahuan bagi profesional Muslim sebagai asas kerja ialah mengusahakan
yang baik lagi halal untuk mencapai keredaan Allah SWT.
Tujuh panduan
Justeru, tujuh panduan pengukuhan
iman bagi pekerja ialah pertama, memperteguhkan niat bekerja untuk mendapat
keredaan Allah SWT supaya apa juga yang kita kerjakan tidak menjadi sia-sia
atau merugikan.
Firman Allah SWT: Ada antara
manusia yang menyembah Allah kerana sesuatu tujuan, jika dia mendapat kebaikan
dia akan bertenang dengan apa yang didapatinya, dan jika dia diuji sedikit, dia
berpaling wajah daripadanya, orang ini akan rugi dunia dan akhirat. (Surah
al-Haj, ayat 11)
Kedua, memperteguhkan hati dan
akal dengan sentiasa mengingatkan diri bahawa setiap titik peluh dari pada kesungguhan usaha adalah suatu ibadat, sedekah serta penghapus dosa.
Kesanggupan sahabat seperti
Saidina Uthman bin Affan yang berkorban jiwa dan harta antaranya menyiapkan
kelengkapan perang serta membeli perigi bernama Raumah untuk kemudahan air kaum
Muslimin perlu menjadi iktibar.
Sabda Rasulullah SAW: Ya Allah
redailah Uthman kerana sesungguhnya aku telah meredainya. Mulai hari ini apa
yang dilakukan oleh Uthman tidak akan merugikannya (dia boleh berbuat apa yang
dia mahu dan Allah telah mengampuninya). (Hadis Sahih)
Ketiga, mengukuhkan nilai baik
dan mengikis nilai buruk dalam diri juga adalah sebahagian daripada usaha pengukuhan
iman.
Firman Allah SWT: Dan orang yang
beriman, lelaki dan perempuan, sebahagian mereka adalah menjadi penolong bagi
sebahagian yang lain. Mereka menyuruh mengerjakan yang makruf, mencegah
daripada yang mungkar, dan mereka mendirikan solat. (Surah al-Taubah, ayat 71)
Keempat, menerima dengan sabar
serta meredai sesuatu yang diperoleh sama ada disukai atau tidak setelah ia
diusahakan dalam proses kerja juga sebahagian daripada iman.
Firman Allah SWT: Barangkali ada
yang kamu membenci sesuatu padahal itu adalah lebih baik bagi kamu. (Surah
al-Baqarah, ayat 126)
Kelima, menganggap setiap hari
adalah hari yang terbaik seperti Jumaat dan setiap bulan adalah bulan yang
paling mulia seperti Ramadan untuk memotivasikan diri merebut kebaikan pada setiap
masa dan ketika.
Keenam, membayangkan seolah-olah
kerja kita hari ini adalah kesempatan usaha yang terakhir kerana dengan
mengingati mati dapat menghidupkan hati.
Banyak mengingati mati
Imam al-Ghazali dalam Mukasyafah
al-Qulub, menukilkan daripada Ibn Umar meriwayatkan bahawa beliau mendengar
seorang Ansar bertanya kepada Rasulullah SAW: Siapakah orang yang bijaksana
lagi mulia di antara manusia? Baginda menjawab: Orang yang paling banyak
mengingati mati dan menyediakan dirinya untuk itu. Ia adalah manusia yang
bijaksana kerana telah membolot kemuliaan dunia dan kelebihan akhirat.
Ingatan kepada ajal yang tidak
diketahui bila akan mengundang, dapat memperteguhkan iman untuk melaksanakan
kerja dengan sebaik-baiknya.
Ketujuh, memperteguhkan pengharapan yang tinggi kepada Allah SWT dalam setiap gerak geri melalui doa, selawat,
zikir dan membaca al-Quran juga adalah sebahagian daripada iman.
Justeru, sebagai pekerja Muslim
yang berazam ke arah profesionalisme, marilah kita menguatkan hati dan minda
dengan pengukuhan iman sepanjang hayat.
Sumber : http : //www.bharian.com.my/