Jumaat, 11 Januari 2013

ISU AGAMA : Tujuh panduan pengukuhan iman


Oleh :  Dr Sharifah Hayaati Syed Ismail
 
Tahun baru ini pekerja perlu meningkatkan semangat dengan azam untuk terus menjadi pekerja Muslim yang profesional serta berdaya saing. Ini antara cabaran dalam Wawasan 2020, mewujudkan masyarakat bermoral, beretika tinggi dan profesional dalam menjalankan perkhidmatan.

Antara usaha yang perlu dilakukan bagi mencapai tahap pekerja profesional ialah dominasi hati melalui pengukuhan dan penambahan iman. Sentiasa meletakkan kepercayaan, keyakinan, kecintaan dan pengharapan sepenuhnya kepada Allah SWT dalam segenap pelakuan.

Firman Allah SWT: Berimanlah kamu kepada Allah dan Rasul-Nya, dan belanjakanlah (pada jalan kebajikan) sebahagian harta benda yang dijadikannya kamu menguasainya sebagai wakil. Maka orang yang beriman di antara kamu serta mereka membelanjakan (sebahagian dari harta itu pada jalan Allah); mereka tetap beroleh pahala yang besar. (Surah al-Hadid, ayat 7)

Pengukuhan iman bertujuan mengelakkan kesibukan dan tekanan kerja menjadi penyebab kelalaian daripada mengingati Allah SWT.

Peringatan kelalaian

Peringatan Allah SWT: Wahai orang yang beriman. Janganlah sampai harta kamu dan anak pinak kamu melalaikan kamu daripada mengingati Allah. Siapa yang melakukan sebegitu, mereka tergolong dalam kalangan orang yang rugi. (Surah al-Munafiqun, ayat 9)

Pekerja profesional ialah pekerja yang mempunyai pengetahuan tentang pekerjaan yang dilakukan dan melaksanakannya dengan mahir. Aspek pengetahuan bagi profesional Muslim sebagai asas kerja ialah mengusahakan yang baik lagi halal untuk mencapai keredaan Allah SWT.

Tujuh panduan

Justeru, tujuh panduan pengukuhan iman bagi pekerja ialah pertama, memperteguhkan niat bekerja untuk mendapat keredaan Allah SWT supaya apa juga yang kita kerjakan tidak menjadi sia-sia atau merugikan.

Firman Allah SWT: Ada antara manusia yang menyembah Allah kerana sesuatu tujuan, jika dia mendapat kebaikan dia akan bertenang dengan apa yang didapatinya, dan jika dia diuji sedikit, dia berpaling wajah daripadanya, orang ini akan rugi dunia dan akhirat. (Surah al-Haj, ayat 11)

Kedua, memperteguhkan hati dan akal dengan sentiasa mengingatkan diri bahawa setiap titik peluh dari pada kesungguhan usaha adalah suatu ibadat, sedekah serta penghapus dosa.

Kesanggupan sahabat seperti Saidina Uthman bin Affan yang berkorban jiwa dan harta antaranya menyiapkan kelengkapan perang serta membeli perigi bernama Raumah untuk kemudahan air kaum Muslimin perlu menjadi iktibar.

Sabda Rasulullah SAW: Ya Allah redailah Uthman kerana sesungguhnya aku telah meredainya. Mulai hari ini apa yang dilakukan oleh Uthman tidak akan merugikannya (dia boleh berbuat apa yang dia mahu dan Allah telah mengampuninya). (Hadis Sahih)

Ketiga, mengukuhkan nilai baik dan mengikis nilai buruk dalam diri juga adalah sebahagian daripada usaha pengukuhan iman.

Firman Allah SWT: Dan orang yang beriman, lelaki dan perempuan, sebahagian mereka adalah menjadi penolong bagi sebahagian yang lain. Mereka menyuruh mengerjakan yang makruf, mencegah daripada yang mungkar, dan mereka mendirikan solat. (Surah al-Taubah, ayat 71)

Keempat, menerima dengan sabar serta meredai sesuatu yang diperoleh sama ada disukai atau tidak setelah ia diusahakan dalam proses kerja juga sebahagian daripada iman.

Firman Allah SWT: Barangkali ada yang kamu membenci sesuatu padahal itu adalah lebih baik bagi kamu. (Surah al-Baqarah, ayat 126)

Kelima, menganggap setiap hari adalah hari yang terbaik seperti Jumaat dan setiap bulan adalah bulan yang paling mulia seperti Ramadan untuk memotivasikan diri merebut kebaikan pada setiap masa dan ketika.

Keenam, membayangkan seolah-olah kerja kita hari ini adalah kesempatan usaha yang terakhir kerana dengan mengingati mati dapat menghidupkan hati.

Banyak mengingati mati

Imam al-Ghazali dalam Mukasyafah al-Qulub, menukilkan daripada Ibn Umar meriwayatkan bahawa beliau mendengar seorang Ansar bertanya kepada Rasulullah SAW: Siapakah orang yang bijaksana lagi mulia di antara manusia? Baginda menjawab: Orang yang paling banyak mengingati mati dan menyediakan dirinya untuk itu. Ia adalah manusia yang bijaksana kerana telah membolot kemuliaan dunia dan kelebihan akhirat.

Ingatan kepada ajal yang tidak diketahui bila akan mengundang, dapat memperteguhkan iman untuk melaksanakan kerja dengan sebaik-baiknya.

Ketujuh, memperteguhkan pengharapan yang tinggi kepada Allah SWT dalam setiap gerak geri melalui doa, selawat, zikir dan membaca al-Quran juga adalah sebahagian daripada iman.

Justeru, sebagai pekerja Muslim yang berazam ke arah profesionalisme, marilah kita menguatkan hati dan minda dengan pengukuhan iman sepanjang hayat.

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

ISU PENDIDIKAN : Ibu bapa mesti terbabit dalam proses pembelajaran


Oleh : Azrina Sobian
 
Bab tujuh Pelan Pembangunan Pendidikan Negara Malaysia (2013-2025) bertujuan menggalakkan pembabitan ibu bapa dalam pendidikan anak dengan hasrat akhirnya, akan berubah daripada pendidikan berasaskan sekolah kepada suatu sistem yang mengupayakan pembabitan ibu bapa.

Ibu bapa diharapkan dapat menjadi rakan dalam pendidikan yang akan memastikan pelajar mendapat pendidikan bermutu tinggi. Bagi meningkatkan peranan ibu bapa, usaha berbentuk kesedaran akan dilaksanakan supaya ibu bapa memahami peranan mereka dalam pendidikan anak.

Usaha pembaharuan pendidikan negara dengan pengupayaan pembabitan ibu bapa satu berita yang disambut baik. Namun, usaha ini juga apabila difikir lebih lanjut menimbulkan persoalan yang mencabar.

Pertama, adakah selama ini ibu bapa di Malaysia tidak memahami peranan mereka dalam pendidikan anak sehingga satu pelan diperlukan untuk menarik ibu bapa kembali ke sekolah? Adakah setakat ini tahap pembabitan ibu bapa dalam pendidikan anak amat rendah?

Adakah ibu bapa sedar sekolah memerlukan kerjasama mereka untuk membentuk anak atau adakah selama ini ibu bapa beranggapan tanggungjawab mendidik anak adalah tugas guru semata-mata?

Jelas sekali, ramai ibu bapa yang salah faham dan terlupa peranan mereka dalam pendidikan anak. Ada yang secara sedar atau tidak telah meletakkan tanggungjawab pendidikan anak kepada pihak sekolah semata-mata. Ini tidak sepatutnya berlaku.

Sekurang-kurangnya, dalam konteks pandangan hidup Islam, individu utama yang seharusnya memainkan peranan dalam pendidikan anak ialah ibu bapa, diikuti guru dan kemudian barulah ahli masyarakat keseluruhannya.

Namun, aturan kepentingan ini semakin goyah mungkin disebabkan kelalaian ibu bapa. Hadis Rasulullah SAW sebenarnya sudah memberi panduan jelas kaedah mendidik anak yang boleh dicontohi ibu bapa.

Selain pengabaian, kemungkinan ada ibu bapa yang tidak pasti cara untuk terbabit dalam proses pendidikan anak di sekolah. Selain itu, mungkin juga timbul rasa tidak yakin terhadap sumbangan yang boleh dihulurkan dalam proses pendidikan itu.

Tidak tahu dan tidak yakin ini akan memberi kesan dalam usaha membabitkan ibu bapa dalam proses pendidikan anak. Bagi mengatasi masalah ini, ilmu pengetahuan sememangnya penting selain sikap keterbukaan serta kreativiti ibu bapa.

Mungkin ada ibu berstatus suri rumah tangga beranggapan tidak ada apa yang boleh disumbangkan dalam proses pendidikan anak di sekolah. Hakikatnya, banyak yang boleh diajar ibu kepada anak-anaknya, khususnya dalam membimbing mereka mengenai kelangsungan hidup dengan membiasakan melakukan kerja rumah, cara bergaul dengan golongan dewasa melalui komunikasi bersama dan perkara asas yang sepatutnya diketahui anak.

Kemahiran ibu sebagai suri rumah boleh dikongsi dengan anak dan dimanfaatkan mereka apabila dewasa kelak. Pembelajaran tidak terhad kepada aktiviti di sekolah saja kerana anak-anak turut menimba ilmu ketika mereka berada di rumah.

Memang ilmu asas yang dididik guru di sekolah seperti membaca, menulis, ilmu sains, matematik, bahasa itu penting, namun dalam menjalani hidup bermasyarakat, anak juga perlu didedahkan dengan adab berjiran, menghormati orang lain serta memelihara adab sopan.

Pembabitan ibu bapa dalam pendidikan anak secara langsung memang penting, bermakna mereka perlu tahu semua keperluan serta proses pembelajaran. Ini hanya akan diperoleh apabila mereka menjalinkan hubungan baik dengan guru dan pihak sekolah.

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

ISU BAHASA : 10 ungkapan penyejuk hati pasangan


Semasa pertengkaran, pelbagai ungkapan menyakitkan mungkin diluahkan. Apakah kalimah-kalimah yang seharusnya menjadi amalan?

Ramai yang kerap mengatakan bahawa komunikasi adalah kunci ke arah pernikahan yang harmonis. Tetapi mengapa dengan adanya komunikasi, hubungan masih tetap bergolak? Pakar psikologi klinikal yang juga kaunselor rumah tangga dari California Selatan, Dr Randi Gunther, berkata apa yang paling penting adalah CARA anda mengatakannya. Jadi bagaimana? Beliau memberikan 10 tip yang dipercayai berkesan dalam mengatasi masalah dalam rumah tangga. Ayuh cubalah atas pasangan agar hubungan tetap mesra.

1. Kita hadapi ini bersama - sama

“Pernikahan itu penuh cubaan. Contohnya, jika pasangan anda mengatakan dia baru saja dipecat daripada pekerjaannya, anda hanya punya sekitar lima saat untuk memberikan reaksi positif, untuk menunjukkan hubungan anda lebih kuat daripada segala masalah yang menghambat,” kata Dr Randi. Nah, daripada menangis memikirkan kesulitan hidup yang akan datang dan belum tentu juga sesulit yang anda fikirkan, lebih baik berikan semangat kepada pasangan. Bukan sahaja ia menyelesaikan masalah, malah berupaya untuk membuat pasangan anda tidak patah semangat. Pernikahan 'kan bermakna kesediaan untuk susah senang bersama?'

2. “Awak ‘kan pakarnya...”

“Aset terbaik dalam hubungan adalah jika setiap pasangan mengaku sepenuhnya kekurangan masingmasing,” ujar Dr Randi. Jika memang jejaka dalam hidup anda itu gemar bercucuk tanam, biarkanlah sahaja dirinya mengurus taman kecil di rumah anda. Jangan anda pula yang mengarahkannya. Duduk dan nikmati sahaja kesejukan yang ada. Jangan lupa ucapkan terima kasih kepadanya kerana telah mewujudkan persekitaran rumah menjadi lebih nyaman.

3. “Saya marah!”

Menurut Dr Randi yang sudah 40 tahun menjadi konsultan rumah tangga, berdasarkan pengalamannya, beliau kerap menemui pasangan yang mengatakan: “Saya tidak marah” untuk menghindari konflik. Hakikatnya, keengganan untuk mengakui kemarahan itu hanya akan memperpanjangkan tempoh konflik. Beliau menyarankan agar pasangan yang sedang marah itu mengatakan sahaja keadaan sebenar daripada terus-terusan memendam rasa. Jika disembunyikan, ia umpama bom waktu yang akan siap meledak bila-bila masa sahaja.

4. “Luahkan apa yang awak inginkan.”

Di tengah-tengah pertengkaran sengit antara anda dengan pasangan, sebaik- baiknya, katakanlah kepadanya ungkapan ini sebagai pembuka. Kalimat itu akan memberikan kesan bahawa anda siap mendengar apa jua keluh-kesah yang selama ini membelenggu di dalam benaknya.

5. Katakan langsung kepadanya

Dengan kecanggihan era teknologi dewasa ini, kita hidup dalam era telefon bijak. Namun, adalah satu tindakan kurang bijak jika anda menggunakan telefon bimbit sebagai saluran penyata luahan. Mengirimkan SMS yang mengandungi kata-kata: “Maafkan saya ya...”, ditambah pula dengan ikon sedih tidak mempunyai kesan yang sama jika anda menatap sepasang bebola matanya dan mengungkapkan kata-kata itu dengan tulus dan penuh kesungguhan.

6. “Saya perlukan masa bersendiri...”

Interaksi antara dua orang yang saling menyayangi boleh menjadi sangat serius, tegang dan saling melempar kalimat menyakitkan. Ini saat terbaik untuk meminta masa bersendiri atau time-out. Dalam persekitaran yang sunyi, masing -masing boleh berfikir kembali dalam keadaan tenang dan mulai mengkaji permasalahan.

7. “Awak amat bererti, terima kasih kerana mengingatkan.”

Dalam sesebuah hubungan, komen-komen positif seringkali hanya tersimpan di dalam hati, sementara komen-komen negatif pula begitu deras meluncur. Sedarkah anda bahawa untuk mengeluarkan kata-kata yang menyakitkan begitu mudah dan singkat. Untuk mengungkapkan kata-kata yang baik pun begitu juga. Katakan yang anda amat mencintainya.

8. “Walau semarah mana, saya tetap cintakan awak.”

Saat ledakan emosi terjadi, setiap pasangan akan bersifat egosentris dan enggan memikirkan perasaan yang lain. Pokoknya semua ingin dimengerti. Hanya ketika keadaan reda, masing-masing akan menyesal kerana menjadi egois. Kesediaan mengucapkan penyesalan secepat mungkin kepada pasangan akan melembutkan hati pasangan. Lebih cepat dilakukan, lebih segera anda kembali harmonis.

9. “Apa yang boleh saya buat?”

Ketika pasangan sedang sedih atau frust, kerapkali dia akan bersikap dingin, menjauh, marah-marah dan membuat anda serba salah. Daripada anda naik radang atau ikut mogok, apa kata anda tanyakan terus kepadanya apakah yang boleh dilakukannya untuk memperbaiki keadaan. Keadaan akan lebih tenang dan insya-Allah huraian bakal turut menjengah.

10. “Saya mahu awak jujur.”

“Intinya, anda akan belajar untuk saling mengerti, sekali gus dapat menjangkakan perkara yang akan membuat pasangan anda marah,” tambah Dr Randi. Jadi, mengapa harus saling menyembunyikan rasa kesal atau perbezaan pendapat? Beritahu kepadanya secara jujur, tenang dan lembut.

Sumber : http://cyberita.asia1.com.sg/

ISU PENDIDIKAN : Empat inisiatif pelan pendidikan diutama


Oleh : Haika Khazi

Putrajaya : Kementerian Pelajaran akan memberi fokus kepada empat inisiatif dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) dalam tempoh 100 hari pertama tahun ini.

Inisiatif pertama ialah memperkenalkan Program Rakan Pembimbing Peningkatan Sekolah (SI Partners) Plus dan Program Jurulatih Khas Peningkatan Sekolah (SISC) Plus di Kedah dan Sabah.

Ia sebahagian usaha membimbing guru Bahasa Malaysia, Bahasa Inggeris (BI) dan Matematik, terutama di sekolah yang berada dalam Band Lima, Enam dan Tujuh. Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata kedua-dua program itu memberi faedah kepada pengetua, guru besar dan guru.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata, inisiatif kedua ialah menilai 70,000 guru opsyen BI menerusi Cambridge Placement Test (CPT) dan kemudian guru dibahagi mengikut tiga kategori berdasarkan keputusan ujian .

Bagi guru yang tidak mencapai tahap kemahiran ditetapkan, latihan separuh masa akan diberikan. Dalam 100 hari ini, kementerian bercadang melatih 5,000 guru BI, ketika menyampaikan perutusan tahun baru kementeriannya di sini, semalam.

Muhyiddin berkata, inisiatif PPPM lain dalam Gelombang Pertama 2013, seperti meningkatkan kemahiran berfikiran aras tinggi (HOTS) dalam kalangan murid diteruskan.

Latihan HOTS membabitkan 31,000 guru Sains dan Matematik Tingkatan Satu, Dua dan Tiga dilaksanakan dengan harapan menjelang akhir Gelombang Pertama, kira-kira 20 peratus soalan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Penilaian Menengah Rendah (PMR) adalah berasakan pemikiran aras tinggi.

Sementara itu, Muhyiddin berkata, bagi memperlihat kejayaan inisiatif Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM), lapan keberhasilan perlu dicapai menjelang akhir tahun ini, termasuk 100 peratus literasi bahasa Malaysia.

Katanya, keberhasilan lain ialah numerasi Tahun Tiga serta peningkatan ketara literasi bahasa Inggeris (BI).

Ini termasuk memastikan 100 peratus guru opsyen BI lulus satu tahap penguasaan lebih tinggi dalam Ujian Penempatan Cambridge (CPT) serta 50 peratus pengurangan sekolah Band enam dan tujuh di Kedah dan Sabah.

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

ISU KENEGARAAN : Merealisasi budaya politik bermaruah manfaatkan rakyat


Oleh : Akhbar Satar
 
Tarikh Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) belum diketahui. Tempoh Parlimen sekarang akan berakhir 28 April ini. Justeru, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib, mempunyai masa kurang daripada empat bulan untuk memilih calon yang bersih dan berintegriti, itu pun jika Parlimen tidak dibubarkan lebih awal.

Sehubungan itu, Transparency International-Malaysia (TI-M) turut serta memastikan calon yang akan bertanding mempunyai integriti yang tinggi. TI-M sudah mengambil inisiatif melancarkan Ikrar Integriti Pilihan Raya. Ikrar ini terbuka kepada semua calon yang bertanding dalam PRU-13 dan yang berminat untuk mengisytiharkan komitmen mereka bagi membangunkan sebuah negara yang bebas rasuah.

Ikrar ini juga menekankan nilai dan akhlak baik yang perlu ditunjukkan calon dalam menunaikan tanggungjawab mereka sebagai wakil rakyat. Penulis berasakan inisiatif ini adalah satu langkah yang baik bagi meningkatkan integriti politik. Ia menetapkan kepada calon supaya menolak amalan rasuah dan politik wang semasa kempen pilihan raya dan selepas berjaya mewakili sesuatu kawasan.

Kandungan ikrar itu adalah seperti berikut:
  • Memastikan bahawa dana awam, sumber awam dan kemudahan awam tidak digunakan untuk tujuan berkempen.
  • Mematuhi Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 dan peraturan yang berkaitan, termasuklah pematuhan terhadap had belanja pilihan raya dan larangan terhadap perbuatan rasuah.
  • Memastikan apa juga tindakan dan keputusan mereka adalah demi kepentingan awam dan bukan untuk kepentingan peribadi. Mereka juga perlu mengamalkan prinsip ketelusan dan keterbukaan melalui pendedahan penuh dan kebebasan capaian maklumat kepada pihak awam.
Kontrak sosial calon

Ikrar ini adalah satu kontrak sosial kepada calon untuk bertanding dalam pilihan raya umum akan datang. Ia juga perisytiharan terbuka dan sukarela serta akauntabiliti antara calon dan pihak awam. Adalah menjadi tanggungjawab setiap calon untuk menunjukkan tahap integriti dan etika yang sewajarnya dan menepati janji sebagai mana yang diharapkan pengundi.

Selepas ikrar ditandatangani oleh seseorang ahli politik, beliau bolehlah dinilai dan dipantau masyarakat, terutama pengundi. Adalah menjadi tanggungjawab rakyat sebagai pengundi untuk memastikan bahawa calon dipilih akan mematuhi piawaian yang terkandung dalam ikrar itu.

Rakyat harus bijaksana dalam menilai prestasi kerja, keikhlasan berkhidmat dan keseriusan calon yang bertanding dalam mengangkat taraf kehidupan rakyat dan kemajuan negara tanpa melupakan aspek akhlak.

Walaupun tidak dikuatkuasakan oleh mana-mana badan atau undang-undang, penandatangan ikrar itu perlu membuka akaun rangkaian media sosial, iaitu sama ada Facebook atau Twitter untuk membenarkan komunikasi langsung dengan pengundi yang akan memantau dan memberi maklum balas ke atas tindak tanduk mereka.

Tak ramai berminat

TI-M  melancarkan laman timalaysia-electionpledge.org.my dan menerbitkan butiran mengenai penandatanganan ikrar terbabit, termasuk borang calon yang perlu diisi bakal calon. Dalam borang terbabit, calon perlu menyatakan alasan peribadi mereka menandatangani ikrar itu.

Sebagai EXCO TI-M, penulis mendapati tidak ramai yang berminat kecuali beberapa individu, termasuk Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah, Khairy Jamaluddin dan Nurul Izzah Anwar. Turut menandatangani ikrar itu ialah sembilan ahli STAR dan seorang lagi ahli PKR, DAP dan PSM.

Saifuddin menganggap integriti adalah faktor utama menentukan keperibadian ahli politik dan menganggap ikrar itu adalah komitmennya kepada rakyat. Beliau berasakan integriti politik terdiri daripada dua perkara utama iaitu membanteras politik wang, rasuah dan salah guna kuasa serta menegakkan nilai budaya politik yang sihat seperti idealisme, politik ilmu, politik bijaksana dan politik bakti.

Anjakan budaya, pemikiran

Bagaimanapun, pengundi akan lebih percaya jika mereka yang dipilih sebagai pemimpin, mematuhi undang-undang yang mereka sendiri gubal dan luluskan serta menghormati institusi pengawasan yang mereka tubuhkan.

Rakyat memerlukan kepemimpinan politik yang berintegriti tinggi dan tidak terbabit dalam kegiatan tidak beretika. Sehubungan itu, nilai murni seperti amanah, tidak terbabit rasuah, jujur, telus, ikhlas dan mengamalkan tadbir urus yang baik perlu ada pada diri pemimpin. Justeru, sudah tiba masanya untuk kita melakukan anjakan budaya dan pemikiran ke arah merealisasikan budaya politik baru lebih bermaruah dan berintegriti.

Ahli politik bukan saja perlu bersih daripada sebarang imej tidak baik tetapi juga kelihatan bersih. Kebarangkalian dilihat sebagai tidak bersih adalah besar jika calon enggan menandatangani ikrar itu. Bagi penulis, masih belum terlambat untuk mereka melakukan yang betul. Berani kerana benar takut kerana salah.

Sumber : http : //www.bharian.com.my/