Jumaat, 9 November 2012

ISU PENDIDIKAN : Pembelajaran Luar Bilik Darjah Bantu Perkukuh Pengalaman


PETALING JAYA : Pembelajaran di luar bilik darjah dapat membantu pelajar memperkukuhkan pengalaman serta mempelajari tentang dunia kehidupan yang sebenar, kata Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau berkata pembelajaran seperti itu dapat membantu pelajar meningkatkan kemahiran yang penting bagi kehidupan pada abad ke-21, iaitu kemahiran berfikir, penyelesaian masalah, pembelajaran kendiri serta kemahiran bekerja sebagai satu pasukan.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata demikian ketika merasmikan World Robotic Olympiad (WRO) di sini Sabtu yang menyaksikan hos Malaysia menghantar kontinjen terbesar dengan penyertaan 56 pasukan bertanding dalam pelbagai kategori.

"Belajar melalui aktiviti mereka cipta, membina dan mengendalikan robot membantu pelajar menguasai ilmu pengetahuan dan kemahiran dalam bidang kejuruteraan komputer, elektrikal dan mekanikal berteknologi tinggi yang sememangnya mempunyai permintaan tinggi dalam industri," katanya.

Beliau menarik perhatian penganjuran WRO di Kuala Lumpur juga bertepatan dengan pengisytiharan 2012 sebagai Tahun Sains dan Gerakan Inovasi Nasional (SGI 2012) bertujuan menggerakkan agenda pembangunan negara menerusi pembudayaan sains dan inovasi dalam kalangan rakyat Malaysia.

Muhyiddin berkata selain mengumpul pelajar terbaik dalam bidang sains seluruh dunia, WRO juga menjadi landasan terbaik untuk memupuk minat pelajar dalam bidang sains dan teknologi melalui pembelajaran berasaskan pengalaman yang menarik dan menyeronokkan.

Katanya memandangkan bidang robotik merentasi bidang disiplin lain seperti fizik gunaan, matematik dan kejuruteraan, ia juga menjadi pilihan kerjaya yang ideal kerana meliputi pelbagai industri dan melibatkan pelbagai kemahiran.

"Robotik pada hari ini merupakan bidang yang sedang berkembang pesat dalam sektor perindustrian dan permintaan terhadap golongan profesional muda yang berbakat untuk bekerja dalam industri robotik semakin meningkat.

"Saya amat berharap agar pelajar-pelajar ini (peserta) akan terus kekal berada dalam bidang sains dan teknologi sehingga ke peringkat pengajian tinggi bagi memberi sumbangan lebih bermakna kepada negara masing-masing serta mampu bersaing dalam bidang itu," katanya.

Timbalan Perdana Menteri berkata seperti di negara membangun lain, bidang sains dan teknologi memainkan peranan penting dalam pembangunan Malaysia, khususnya dalam usaha menuju ke arah matlamat menjadi negara maju berpendapatan tinggi.

Beliau berkata usaha bersepadu sedang dijalankan bagi memaksimumkan penggunaan sains dan teknologi di Malaysia, khususnya bidang automasi dan robotik sebagai alat bagi memastikan pembangunan ekonomi yang mapan seterusnya menjadi nilai tambah kepada agenda transformasi negara.

Muhyiddin berkata beberapa institusi pengajian tinggi tempatan turut menawarkan kursus di bidang robotik industri termasuk Universiti Teknologi Malaysia yang menubuhkan Pusat Robotik dan Kepintaran Buatan pada 1997.

Buat pertama kalinya Malaysia dipilih selaku tuan rumah penganjuran WRO tahun ini yang masuk edisi kesembilan melibatkan 405 pasukan dari 37 negara.

Pertandingan dua hari itu menyaksikan penyertaan negara seperti Australia, Indonesia, China, Costa Rica, Emiriah Arab Bersatu, Jepun, Iran, Korea Selatan, Jerman, Mesir, Nigeria, Thailand, Rusia dan Ukraine.

Sejak penyertaan dalam WRO pada 2005, Malaysia telah menggondol tujuh pingat emas, lapan perak dan lima gangsa serta pernah meraih gelaran juara dunia dua tahun berturut-turut pada 2009 dan 2010. BERNAMA

ISU KEPENGGUNAAN : Pengguna boleh tebus rugi meskipun ada notis `Pertukaran tidak dibenarkan'


PUTRAJAYA : Pengguna berhak untuk mendapatkan tebus rugi terhadap barangan atau perkhidmatan termasuk di premis perniagaan yang mempamerkan notis 'Pertukaran Tidak Dibenarkan' atau 'Tiada Pemulangan' jika barang yang diperoleh tidak memenuhi jaminan sepatutnya.

Antara jaminan yang perlu ada ialah mematuhi aspek kualiti, menepati ciri-ciri yang digambarkan dan mampu berfungsi dengan baik.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, ini bermakna peniaga yang meletakkan notis adalah tidak terkecuali daripada tanggungjawab kepada pelanggan yang tidak berpuas hati terhadap barangan atau perkhidmatan diberikan.

"Malah peniaga yang meletakkan notis itu juga adalah tidak beretika kerana ia seolah menafikan hak tebus rugi pengguna dan peniaga tidak sepatutnya meletakkan notis sedemikian," katanya pada sidang akhbar mengenai Garis Panduan Pelaksanaan Tebus Rugi Pengguna di sini hari ini.

Akta Perlindungan Pengguna 1999 telah memperuntukkan kepada pengguna mengenai hak tebus rugi.

Beliau berkata, memandangkan kesedaran mengenai tebus rugi dalam kalangan pembekal, pengilang mahupun pengguna masih kurang, kementerian mengeluarkan garis panduan itu yang antara lain bertujuan memperjelas hak dan tanggungjawab pembekal, pengilang dan pengguna dalam pelaksanaan tebus rugi.

"Hak mendapat tebus rugi bermaksud hak mendapatkan penyelesaian tuntutan atau menerima pampasan bagi barang atau pekhidmatan yang tidak memenuhi jaminan yang dinamakan Gerenti Tersirat dan Gerenti Nyata," katanya.

Ismail Sabri berkata, sebagai contoh jika kasut yang baru dibeli telah patah tumitnya atau meja makan yang dibeli mempunyai kaki meja longgar, pengguna berhak mendapatkan gantian atau pembayaran balik.

Bagaimapun hak untuk mendapatkan tebus rugi adalah tertakluk kepada syarat seperti melaporkan kerosakan barang atau kegagalan perkhidmatan kepada pembekal atau pengilang dalam tempoh masa yang munasabah.

Pengguna juga perlu menyimpan resit atau bukti pembelian, menyimpan waranti, dan berhenti menggunakan barang yang rosak itu sehingga ia dapat dikembalikan kepada pembekal atau pengilang.

Sekiranya peniaga atau penjual masih enggan mematuhi permintaan pengguna yang mempunyai alasan kukuh dan munasabah, pengguna boleh mengambil tindakan menerusi Tribunal Pengguna, katanya. - BERNAMA

ISU SOSIAL : Pengukuhan institusi kekeluargaan semakin penting


Oleh : TAN SRI LEE LAM THYE

Ketika melancarkan Bulan Keluarga 1Malaysia 2012 di Pekan, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengatakan bahawa betapa perlunya untuk mengukuhkan institusi kekeluargaan yang merupakan unit yang paling penting dalam masyarakat.

Beliau juga menegaskan bahawa kerajaan akan menggalakkan pihak swasta dan organisasi untuk menganjurkan acara hari keluarga bagi kakitangan mereka dalam usaha untuk mengukuhkan institusi kekeluargaan melalui pengecualian cukai dan inisiatif-inisiatif lain.

Melihat kepada pelbagai gejala sosial yang melanda anak-anak dan remaja kita hari ini, pengukuhan institusi kekeluargaan dan menggalakkan nilai-nilai murni telah menjadi semakin penting pada hari ini berbanding dahulu.

Apabila sebuah negara menuju kemajuan, institusi kekeluargaan berkemungkinan menjadi mangsa pertama di mana anak-anak tidak mendapat perhatian dan bimbingan yang secukupnya yang mengakibatkan kemunculan pelbagai gejala sosial yang mempengaruhi remaja kita.

Hakikatnya adalah bahawa ibu bapa sibuk dengan kerjaya mereka dan tidak mampu untuk menghabiskan masa berkualiti dengan anak-anak mereka mengakibatkan beribu-ribu anak-anak di bandar yang dibesarkan oleh cara dan pemikiran pembantu rumah asing, pengasuh dan saudara mara.

Anak-anak yang pulang ke rumah dari sekolah akan mendapati diri mereka di rumah-rumah 'kosong' oleh sebab kedua-dua ibu bapa mereka keluar bekerja. Mereka tidak mendapat kasih sayang dan tunjuk ajar daripada ibu bapa yang sepatutnya menyemai nilai-nilai murni kekeluargaan.

Sebaliknya mereka akan mencari bimbingan daripada rakan sebaya mereka. Kewujudan tekanan persekitaran rakan sebaya yang negatif akhirnya akan menghasilkan pelbagai gejala sosial.

Anak-anak yang membesar dalam persekitaran sedemikian akan berakhir dengan menjadi mangsa gejala sosial seperti ponteng sekolah, keganasan di sekolah, penyalahgunaan dadah dan juga jenayah juvenil.

Jika masalah ini tidak ditangani, ia akan menambahkan jurang di antara anak-anak dan ibu bapa dan peningkatan masalah sosial serta jenayah yang serius yang melibatkan generasi muda.

Ibu bapa perlu lebih prihatin tentang kualiti kehidupan keluarga dan perlu sentiasa mengambil langkah-langkah untuk menanamkan ke dalam anak-anak mereka nilai-nilai moral yang diperlukan sebagai asas sebuah masyarakat yang kukuh, stabil dan bersatu padu.

Ia tidak membawa apa-apa makna untuk mencapai pertumbuhan ekonomi yang dinamik dengan taraf hidup dan pendapatan per kapita yang tinggi jika tidak diimbangi dengan perkembangan nilai-nilai moral, kualiti hidup dan pembangunan keluarga.

Pembangunan dan pemerkasaan keluarga adalah penting dalam mendidik dan membimbing anak-anak untuk mereka membesar sebagai warganegara yang berguna dan positif demi menyahut cabaran untuk membangun negara.

Keupayaan keluarga dalam memerangi gejala sosial yang melanda golongan remaja dan belia adalah lebih besar dan lebih bermakna jika dibandingkan dengan semua keupayaan agensi penguatkuasaan untuk menangani masalah sosial ini.

Walaupun penguatkuasaan undang-undang adalah penting, apa yang lebih penting ialah keupayaan kita untuk menafikan gejala sosial daripada bertapak di rumah dan komuniti dengan memperkukuhkan institusi kekeluargaan.

Memperkasa keluarga untuk melaksanakan tugas dan tanggungjawab ke arah menangani masalah sosial perlu mengambil kira antara lain penerapan kemahiran keibubapaan dan memotivasikan mereka supaya berminat untuk melibatkan diri dalam pembangunan anak-anak mereka.

Menurut Perdana Menteri, berdasarkan indeks kesejahteraan keluarga yang menunjukkan tahap 7.55 daripada skala 10, adalah amat jelas bahawa lebih banyak yang perlu diteliti oleh kerajaan untuk penambahbaikan.

Selain daripada gejala sosial yang menimpa keluarga, isu-isu lain seperti jenayah dan isu-isu keselamatan dalam masyarakat mesti ditangani secara berkesan dan berterusan kerana ia memberi impak yang besar kepada kesejahteraan keluarga.
'
Penulis ialah Pemegang Amanah Yayasan 1Malaysia.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/