PETALING JAYA :
Pembelajaran di luar bilik darjah dapat membantu pelajar memperkukuhkan
pengalaman serta mempelajari tentang dunia kehidupan yang sebenar, kata
Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Beliau berkata pembelajaran seperti
itu dapat membantu pelajar meningkatkan kemahiran yang penting bagi kehidupan
pada abad ke-21, iaitu kemahiran berfikir, penyelesaian masalah, pembelajaran
kendiri serta kemahiran bekerja sebagai satu pasukan.
Muhyiddin yang juga Menteri
Pelajaran berkata demikian ketika merasmikan World Robotic Olympiad (WRO) di
sini Sabtu yang menyaksikan hos Malaysia menghantar kontinjen terbesar dengan
penyertaan 56 pasukan bertanding dalam pelbagai kategori.
"Belajar melalui aktiviti
mereka cipta, membina dan mengendalikan robot membantu pelajar menguasai ilmu
pengetahuan dan kemahiran dalam bidang kejuruteraan komputer, elektrikal dan
mekanikal berteknologi tinggi yang sememangnya mempunyai permintaan tinggi
dalam industri," katanya.
Beliau menarik perhatian penganjuran
WRO di Kuala Lumpur juga bertepatan dengan pengisytiharan 2012 sebagai Tahun
Sains dan Gerakan Inovasi Nasional (SGI 2012) bertujuan menggerakkan agenda
pembangunan negara menerusi pembudayaan sains dan inovasi dalam kalangan rakyat
Malaysia.
Muhyiddin berkata selain
mengumpul pelajar terbaik dalam bidang sains seluruh dunia, WRO juga menjadi
landasan terbaik untuk memupuk minat pelajar dalam bidang sains dan teknologi
melalui pembelajaran berasaskan pengalaman yang menarik dan menyeronokkan.
Katanya memandangkan bidang
robotik merentasi bidang disiplin lain seperti fizik gunaan, matematik dan
kejuruteraan, ia juga menjadi pilihan kerjaya yang ideal kerana meliputi
pelbagai industri dan melibatkan pelbagai kemahiran.
"Robotik pada hari ini merupakan
bidang yang sedang berkembang pesat dalam sektor perindustrian dan permintaan
terhadap golongan profesional muda yang berbakat untuk bekerja dalam industri
robotik semakin meningkat.
"Saya amat berharap agar
pelajar-pelajar ini (peserta) akan terus kekal berada dalam bidang sains dan
teknologi sehingga ke peringkat pengajian tinggi bagi memberi sumbangan lebih
bermakna kepada negara masing-masing serta mampu bersaing dalam bidang
itu," katanya.
Timbalan Perdana Menteri berkata
seperti di negara membangun lain, bidang sains dan teknologi memainkan peranan
penting dalam pembangunan Malaysia, khususnya dalam usaha menuju ke arah
matlamat menjadi negara maju berpendapatan tinggi.
Beliau berkata usaha bersepadu
sedang dijalankan bagi memaksimumkan penggunaan sains dan teknologi di
Malaysia, khususnya bidang automasi dan robotik sebagai alat bagi memastikan
pembangunan ekonomi yang mapan seterusnya menjadi nilai tambah kepada agenda
transformasi negara.
Muhyiddin berkata beberapa
institusi pengajian tinggi tempatan turut menawarkan kursus di bidang robotik
industri termasuk Universiti Teknologi Malaysia yang menubuhkan Pusat Robotik
dan Kepintaran Buatan pada 1997.
Buat pertama kalinya Malaysia
dipilih selaku tuan rumah penganjuran WRO tahun ini yang masuk edisi kesembilan
melibatkan 405 pasukan dari 37 negara.
Pertandingan dua hari itu
menyaksikan penyertaan negara seperti Australia, Indonesia, China, Costa Rica,
Emiriah Arab Bersatu, Jepun, Iran, Korea Selatan, Jerman, Mesir, Nigeria,
Thailand, Rusia dan Ukraine.
Sejak penyertaan dalam WRO pada
2005, Malaysia telah menggondol tujuh pingat emas, lapan perak dan lima gangsa
serta pernah meraih gelaran juara dunia dua tahun berturut-turut pada 2009 dan
2010. BERNAMA