Alhamdulillah, syukur ke hadrat Allah SWT kerana dengan limpah kurnia dan
rahmat-Nya maka dapat kita bersama-sama pada malam yang penuh bermakna ini.
Saya gembira pada malam ini kerana akhirnya saya dapat menunaikan janji saya
untuk meraikan warga Jabatan Peguam Negara melalui makan malam yang diadakan di
atas usaha gigih mereka untuk memudah cara kerajaan dalam merealisasikan Pelan
Transformasi Politik Negara yang merupakan sebahagian daripada Dasar
Transformasi Nasional ke arah sebuah negara maju yang berpendapatan tinggi.
Saya dimaklumkan ramai yang menerima jemputan untuk ke majlis pada malam
ini terkejut kerana Tan Sri terkenal dengan sifat frugal tetapi mulai yakin
dengan kesahihan jemputan apabila dimaklumkan bahawa Perdana Menteri yang akan
membiayainya' "One of the invitees is reported to have remarked
"that's more like it".
Bagi pihak kerajaan dan rakyat Malaysia saya ingin merakamkan ucapan
tahniah dan terima kasih kepada Tan Sri Abdul Gani Patail, Peguam Negara
Malaysia dan seluruh warga Jabatan Peguam Negara.
JABATAN PEGUAM NEGARA
Jabatan Peguam Negara merupakan antara Jabatan yang merupakan tonggak utama
pentadbiran Negara Malaysia. Jabatan Peguam Negara berperanan bukan sahaja
selaku Penasihat Undang-undang kepada kerajaan tetapi juga selaku Pendakwa raya
serta Penggubal Undang-undang, Jabatan ini bertindak ibarat kompas yang memberi
petunjuk bagi memastikan prinsip-prinsip Keluhuran Perlembagaan dan Kedaulatan
Undang-undang sentiasa dijunjung.
Dalam melaksanakan amanah yang sebesar ini, sememangnya segala
tindak-tanduk tuan-tuan dan puan-puan akan sentiasa menjadi perhatian umum.
Saya sedar pujian dan celaan yang datang silih berganti telah menjadi asam
garam kehidupan setiap warga Jabatan Peguam Negara.
Namun, saya amat berbangga kerana warga Jabatan Peguam Negara tidak pernah
leka dengan sanjungan dan pujian serta tidak pula melatah setiap kali diasak
dengan tohmah dan fitnah. Saya percaya, semua cabaran berjaya ditempuh dengan
berpaksikan kepada semangat profesionalisme yang tinggi dan keikhlasan
tuan-tuan dan puan-puan untuk berkhidmat demi negara yang tercinta.
PROGRAM TRANSFORMASI POLITIK : JANJI DITEPATI
Pada 15 September 2011 yang lalu, saya telah pun berjanji di hadapan rakyat
Malaysia untuk mengubah landskap politik negara sejajar dengan kehendak dan
aspirasi rakyat. Program Transformasi Politik ini merupakan pelengkap kepada
Dasar Transformasi Nasional yang bukan sahaja mendukung impian Malaysia untuk
menjadi sebuah negara maju malah menjadi sebuah negara yang sentiasa menjunjung
prinsip Keluhuran Perlembagaan dan Kedaulatan Undang-undang.
Saya boleh melaporkan kepada rakyat Malaysia bahawa kerajaan telah menepati
janji-janjinya. Undang-undang lapuk yang telah ditelan waktu dan tidak lagi
relevan seperti Akta Buang Negeri dan Akta Kediaman Terhad telah dimansuhkan.
Undang-undang Baru seperti Akta Perhimpunan Aman telah digubal dalam rangka
mengukuhkan hak rakyat yang telah dijamin Perlembagaan iaitu untuk berhimpun
secara aman.
Beberapa undang-undang sedia ada pula telah dipinda seperti Akta Mesin
Cetak dan Penerbitan yang menghapuskan keperluan memperbaharui lesen secara
tahunan serta Akta Universiti dan Kolej Universiti yang menjamin hak
perlembagaan mahasiswa dan mahasiswi untuk menganggotai mana-mana parti
politik.
Kerajaan juga telah bertindak untuk membatalkan tiga Proklamasi Darurat
pada 20 Disember 2011. Namun, usaha kerajaan tidak terhenti setakat itu sahaja.
Sebagai sebuah kerajaan yang sentiasa merasai denyut nadi rakyat, kita telah
membuat keputusan bagi memansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri yang telah
berkuat kuasa semenjak lebih lima puluh tahun lalu. Dalam rangka untuk
mengimbangi keselamatan negara dan hak kebebasan rakyat dalam abad ke-21,
kerajaan telah menggubal Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas)
2012.
JURANG ANTARA TUDUHAN POLITIK DAN HAKIKAT SEBENAR
Kita mengambil langkah memansuhkan ISA kerana ia merupakan langkah yang
betul dan kena pada masanya. Adalah tidak adil dan tidak benar sama sekali
tuduhan liar yang mendakwa kita sebagai kerajaan bertindak secara opresif dan
zalim. Bukankah kerajaan ini yang mengambil langkah memansuhkan, meminda dan
menggantikan undang-undang seperti yang saya senaraikan di atas. Bukankah
tindakan kita melambangkan sikap progresif dan memerlukan keberanian moral
serta iltizam politik yang bukan sedikit. Seperti kata pepatah Inggeris
"We need morale courage and we walk the talk". Nyata terdapat jurang
besar antara tuduhan bersifat politik dan hakikat sebenar.
Begitu juga tuduhan bahawa kerajaan menyalahgunakan ISA untuk menangkap
musuh-musuh politiknya. Ini tidak benar sama sekali. ISA telah diguna bagi
menangani anasir yang cuba menggunakan cara tidak berperlembagaan sama ada
secara halus atau terbuka untuk membahayakan demokrasi itu sendiri. Tidak dapat
dinafikan ISA telah memainkan peranannya di dalam era yang lalu untuk
menyelamatkan kebebasan individu, sistem Demokrasi Berparlimen, Raja
Berperlembagaan serta kemakmuran negara daripada ancaman totalitarianisme.
Namun cabaran keselamatan yang dihadapi negara dan dunia hari ini adalah
berbeza dengan cabaran yang dihadapi negara dan dunia masa lalu. Masa telah
berubah rakyat Malaysia hari ini lebih matang, tahap pendidikannya lebih
tinggi, akses kepada maklumatnya lebih meluas serta taraf sosio ekonominya
lebih baik. Gabung jalin semua faktor ini telah membawa cabaran yang berbeza,
oleh itu ia perlu ditangani dengan kaedah yang sesuai dengan era kini.
Dalam mana-mana negara demokratik di dunia peranan akhbar amat penting.
Bagi memastikan idea yang terbaik dapat memanfaatkan rakyat kerajaan juga telah
mengambil keputusan untuk mengkaji semula undang-undang berkaitan dengan kawal
selia media dan penerbitan sepertimana yang diumumkan dalam ucapan saya di
Majlis Malam Penyampaian Hadiah Kewartawanan Malaysia MPI-Petronas 2011. Sudah
tiba masanya para wartawan dan pemilik media di Malaysia diberi kepercayaan
yang sewajarnya untuk mengawal selia tata kelakuan dan etika kewartawanan
masing-masing. Peranan ini akan dilaksanakan melalui sebuah badan bebas yang
dianggotai oleh pengamal media. Kuasa kawalan kendiri ini juga termasuk untuk
membuat kaedah-kaedah dan peraturan bagi mengawal selia tata kelakuan para
wartawan dan pemilik media.
Untuk melengkapkan fasa pertama Program Transformasi Politik ini suka saya
mengumumkan bahawa kerajaan telah pun mengambil keputusan untuk menguatkuasakan
secara serta-merta semua akta baru dan pindaan terhadap akta-akta sedia ada
yang berkaitan termasuk Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas), Akta
Mesin Cetak dan Penerbitan, Akta Universiti dan Kolej Universiti.
Hakikatnya, kerancakan untuk melakar warna dalam kanvas politik Malaysia
baru sahaja bermula. Banyak lagi perubahan-perubahan yang telah dibariskan demi
menenun benang-benang impian kita dalam membentuk sebuah masyarakat demokratik
yang matang.
KENAPA AKTA HASUTAN 1948 PERLU DIGANTI AKTA KEHARMONIAN
NASIONAL
Semasa pembentangan Rang Undang-undang Kesalahan Keselamatan
(Langkah-Langkah Khas) di Dewan Rakyat pada 16 April 2012 yang lalu, saya telah
mengumumkan bahawa kerajaan akan mengkaji semula secara komprehensif Akta
Hasutan 1948 tanpa mengetepikan apa-apa opsyen, yakni sama ada untuk meminda
peruntukan-peruntukan yang sedia ada atau memansuhkan Akta yang sudah berusia
lebih 64 tahun tersebut sama sekali.
Kerajaan telah membuat keputusan agar Akta Hasutan 1948 dimansuhkan dan
digantikan dengan suatu rang undang-undang yang dikenali sebagai Akta
Keharmonian Nasional. Keputusan menggantikan Akta Hasutan dibuat kerana kita
mahu mencari mekanisme yang dapat menentukan keseimbangan terbaik di antara
keperluan menjamin kebebasan bersuara setiap warganegara sesuai dan selaras
dengan peruntukan dan jaminan yang terkandung di dalam Perlembagaan Persekutuan
dan keperluan untuk menangani kompleksiti kemajmukan yang wujud di negara ini.
With this new act we would be better equipped to manage our national fault
lines. It will also help to strengthen national cohesion by protecting national
unity and nurturing religious harmony.
Tanpa keseimbangan yang ideal kita berkemungkinan merencatkan hak bersuara
yang dijamin Perlembagaan, menumpulkan daya kreativiti serta sifat inovatif
ataupun membebaskan semangat cauvinisme dan ekstremis. Keseimbangan ini perlu
dicapai dalam persekitaran masyarakat yang lebih terbuka dengan akses kepada
lebuh raya maklumat yang mampu menyebabkan information overflow, taraf
pendidikan dan sosio ekonomi yang semakin tinggi serta tahap ekspektasi yang
semakin meningkat.
Peruntukan-peruntukan baru yang dicadangkan dalam Akta Keharmonian Nasional
ini akan memberi penekanan kepada pemupukan semangat harmoni dan saling
menghormati dalam masyarakat Malaysia yang berbilang bangsa dan agama.
Peruntukkan-peruntukkan Akta baru ini akan mencerminkan komitmen jitu
kerajaan untuk mempertahankan semua agama dan semua kaum yang membentuk negara
bangsa Malaysia daripada perbuatan mereka yang tidak bertanggungjawab. Akta
baru ini akan bersifat lebih spesifik dan membolehkan kita bertindak terhadap
mereka yang menggunakan isu-isu sensitif untuk memecahbelahkan perpaduan
nasional. Perbuatan adu domba seumpama ini akan dianggap sebagai satu jenayah
terhadap rakyat Malaysia. Sebagai rakyat Malaysia kita harus bersikap bahawa
jika ada mana-mana kaum mahupun agama disakiti maka seolah-olah semua kaum dan
semua agama rakyat Malaysia sama-sama disakiti bak kata pepatah Melayu cubit
paha kanan maka paha kiri akan terasa.
Hari ini Malaysia ialah sebuah negara yang sedang berada dalam peralihan
atau transisi daripada sebuah negara yang berstatus membangun kepada sebuah
negara maju. Kestabilan politik, dasar-dasar yang progresif, sistem demokrasi
berparlimen, kebebasan kehakiman dan penghormatan terhadap prinsip kedaulatan
undang-undang semenjak merdeka lebih lima puluh tahun lalu telah membolehkan
Malaysia mencipta kejayaan demi kejayaan.
Walau cabaran yang kita hadapi sebagai sebuah negara cukup kompleks dan
unik kita masih mampu menggarap kejayaan. Bukan sedikit negara yang berbilang
kaum yang menjadi negara gagal kerana tidak bijak menguruskan kepelbagaian yang
ada. Apatah lagi negara sekompleks Malaysia yang bukan sahaja berbilang kaum
tetapi juga agama, budaya, bahasa, status sosio ekonomi di samping dipisahkan
secara fizikal oleh lautan.
Cerita kejayaan Malaysia dimungkinkan oleh sistem nilai yang meraikan
kepelbagaian sebagai sumber kekuatan negara bukannya sebagai penyebab
kelemahan. Kejayaan kita juga berpaksi kepada rakyat Malaysia yang mengamalkan
sikap kesederhanaan dan pandangan hidup yang positif. Mereka melihat hari ini
sebagai lebih baik daripada hari semalam dan hari esok sarat dengan harapan dan
kemungkinan.
Pada kemuncaknya kita berjaya kerana kita rakyat Malaysia bersatu padu
tanpa mengira perbezaan yang wujud. Perpaduan nasional ini diasaskan di atas
titik persamaan dan pemersatuan yang wujud di antara kita. Bahawa kita semua
merupakan warga Malaysia yang mencintai tanah airnya, Malaysia ialah tempat
tumpah darah kita, tempat menumpahkan taat setia yang tidak berbelah bahagi,
tempat kita mencari rezeki, tempat kita membesarkan anak-anak dan akhirnya
dengan izin Tuhan tempat kita bersemadi selama-lamanya apabila tiba masanya.
Kita mahukan Malaysia yang lebih baik, lebih aman dan lebih makmur untuk anak
cucu kita.
Menjadi tanggungjawab setiap kita anak-anak Malaysia untuk bersama-sama
membentuk negara yang kita dambakan. Sebuah Malaysia di mana individu akan
dinilai berdasarkan bakat, kesanggupan untuk bekerja keras, kesanggupan
mengambil risiko serta karakter yang dimiliki berbanding ras. Setiap anak
Malaysia adalah penting untuk negara dan seharusnya mempunyai peluang yang sama
untuk berjaya di bawah kibaran Jalur Gemilang. Kerajaan tidak boleh menentukan
outcome yang sama namun kita bertanggungjawab menyediakan peluang yang
equitable atau saksama.
Saya tidak mengatakan usaha kita ini akan sentiasa berjalan lancar atau
kita akan sentiasa menemui kejayaan pada setiap peringkat namun ialah satu
kesilapan jika hanya kerana perjalanan ini sukar maka kita tidak mempunyai
keberanian moral dan iltizam politik untuk memulakannya. Kita sesungguhnya
mempunyai tanggungjawab kepada generasi Malaysia mendatang untuk mewariskan
kepada mereka Malaysia yang lebih baik.
Kerajaan sedar bahawa umum menganggap Akta Hasutan 1948 sebagai alat
kerajaan untuk merencatkan tindakan dan pandangan yang tidak sealiran dengan
kerajaan. Walaupun anggapan sedemikian adalah tidak berasas sama sekali, kita
perlu menghapuskan persepsi tersebut. Lantaran itu, peruntukan-peruntukan baru
ini tidak akan menghalang rakyat untuk mengkritik kerajaan dan pentadbiran
keadilan. Sebarang perbuatan menghina mahkamah akan dikendalikan sendiri oleh
pihak Kehakiman melalui peruntukan-peruntukan dalam Kaedah-Kaedah Mahkamah yang
sedia ada.
Namun, perlu juga saya tekankan di sini bahawa kebebasan bercakap dan
bersuara hendaklah sentiasa diimbangi dengan keperluan untuk mengekalkan
keharmonian, ketenteraman dan keselamatan awam. Sebagaimana negara-negara lain
yang menjunjung prinsip Kedaulatan Undang-undang (Rule of Law), kebebasan
bercakap dan bersuara bukanlah suatu hak yang diberikan secara mutlak
sebaliknya dibatasi dengan sekatan-sekatan yang sewajarnya.
Begitu juga di Malaysia. Kebebasan bersuara adalah tertakluk kepada
sekatan-sekatan sebagaimana yang diperuntukkan di bawah Perlembagaan
Persekutuan yang dirasakan amat perlu apatah lagi dalam suasana kemajmukan
masyarakat Malaysia yang unik dan rumit sifatnya.
Namun, yang paling utama, kerajaan akan tetap memastikan bahawa
peruntukan-peruntukan baru ini tidak akan menjejaskan kuasa untuk menangani
perbuatan dan perlakuan yang berikut:
(i) Mendatangkan kebencian dan penghinaan atau bagi membangkitkan perasaan
tidak setia kepada Yang di-Pertuan Agong atau mana-mana Raja;
(ii) Mengembangkan perasaan niat jahat dan permusuhan antara kaum atau
golongan penduduk yang berlainan di Malaysia; dan
(iii) Mempersoalkan apa-apa hak, kedudukan, keistimewaan, kedaulatan atau
prerogatif sebagaimana yang ditetapkan atau dilindungi oleh peruntukan Bahagian
III atau Perkara 152, 153 dan 181 Perlembagaan Persekutuan.
Sebelum menggubal Rang Undang-undang Keharmonian Nasional ini kerajaan
ingin menjemput pandangan dan pendapat rakyat Malaysia sama ada individu
mahupun pertubuhan mengenai perkara yang perlu ditangani dalam merangka
perundangan ini. Jabatan Peguam Negara telah ditugaskan sebagai agensi yang
bertanggungjawab untuk mendapat sudut pandangan semua stakeholder.
Pada analisis akhirnya saya teringat kepada pendapat ahli falsafah tersohor
Britain, John Locke: "The end of law is, not to abolish or restrain, but
to preserve and enlarge freedom". Second Treatise Of Civil Government
(1690).
PENUTUP
Melalui pemansuhan dan penggubalan undang-undang yang sedang berjalan,
kerajaan mahu memastikan ruang demokratik yang mencukupi disediakan untuk
perbezaan pendapat serta persaingan idea. Pucuk pangkalnya, kita mahu mencipta
sebuah Malaysia di mana prinsip hak asasi manusia dijunjung, kebebasan individu
untuk menyatakan pendapat secara terbuka diraikan, seraya kepentingan individu
dan komuniti diimbangi.
Malaysia mahu menjadi sebuah negara maju yang sebenar-benarnya bukan sahaja
maju daripada segi pendapatan per kapita, saiz GNI dan pembangunan fizikal
semata-mata. Kemajuan yang kita inginkan adalah menyeluruh sifatnya merangkumi
semua aspek termasuk secara psikologinya
Pembinaan negara dan bangsa Malaysia yang tercinta ini perlu dipasak dengan
lima ikrar Rukun Negara yang dilaung setiap rakyatnya. 'Keluhuran Perlembagaan'
atau 'Upholding the Constitution' dan 'Kedaulatan Undang-undang' atau 'Rule of
Law' yang merupakan dua prinsip yang sentiasa dijunjung tinggi. Tanggungjawab
ini bukan sahaja digalas oleh Jabatan Peguam Negara tetapi juga oleh semua
pihak bagi memastikan bahawa Malaysia kekal berjaya.
Akhir sekali, saya ingin mengambil kesempatan ini untuk merakamkan
setinggi-tinggi penghargaan kepada urus setia yang telah bertungkus lumus
menjayakan majlis makan malam ini. Kepada seluruh warga Jabatan Peguam Negara,
segala usaha dan komitmen tuan-tuan dan puan-puan amat saya hargai. Teruskan
khidmat bakti anda. Saya berharap agar Jabatan ini akan terus menjadi contoh
kepada penjawat awam yang lain.
Sumber : http : //www.utusan.com.my/