Khamis, 2 Februari 2012

ISU ANTARABANGSA : Rusuhan bola di Mesir, 74 maut


PORT SAID 2 Feb. - Sejumlah 74 orang terbunuh apabila para penyokong bertindak masuk ke padang dan bertempur sejurus selepas berakhirnya satu perlawanan bola sepak di Mesir, malam tadi.

Para peminat dan ahli politik menuduh tentera yang memerintah gagal mencegah insiden paling berdarah selepas Presiden, Hosni Mubarak disingkirkan pada Februari tahun lepas.

Sekurang-kurangnya 1,000 lagi cedera dalam keganasan itu, selepas peminat bola sepak menceroboh masuk ke padang di bandar pelabuhan Mediterranean ini, sekalipun pasukan tempatan, al-Masry menewaskan pasukan pelawat dari Kaherah, Al Ahli iaitu kelab paling berjaya di Mesir.

Penyokong kedua-dua pasukan masuk ke padang, sebaik-baik perlawanan tamat dan bertindak menyerang satu sama lain, mencetuskan panik di kalangan penonton yang lain.

Kebanyakan mangsa mati terpijak dalam rempuhan penonton yang tergesa-gesa hendak keluar dari stadium, sementara sebilangan lagi terjatuh atau tercampak dari tangga, kata saksi dan pekerja kesihatan.

Siaran televisyen merakamkan sesetengah anggota keselamatan di stadium tidak mengambil sebarang tindakan untuk menghalang peminat masuk ke padang, malah seorang pegawai keselamatan kelihatan bercakap di telefon mudah alihnya ketika peminat membanjiri padang.

Tokoh politik mengecam kelonggaran kawalan keselamatan pada perlawanan itu dan menuduh para pemimpin tentera menjadi punca tragedi tersebut.

Pertubuhan Islam yang mendominasi Parlimen, Ikhwan Muslimin mendakwa, tangan 'yang tidak kelihatan' mendalangi keganasan itu.

"Jatuhkan pemerintahan tentera," laung beribu-ribu penduduk Mesir di stesen kereta api utama di Kaherah, di mana mereka menemui peminat yang pulang daripada insiden yang sifatkan oleh seorang menteri sebagai keganasan bola sepak terburuk di negara ini.

Fil Marsyal Mohammed Hussein Tantawi, 76, yang mengetuai Majlis Tertinggi Angkatan Bersenjata, mengambil langkah luar biasa untuk menghubungi sebuah stesen televisyen, dan berikrar untuk menjejaki mereka yang terlibat dalam keganasan itu.

Tentera mengisytiharkan tempoh berkabung selama tiga hari, manakala Parlimen dijadual mengadakan sidang tergempar lewat hari ini bagi membahaskan keganasan itu. - REUTERS

ISU PENDIDIKAN : Lambakan 13,000 guru Sains, Matematik


Oleh Mohd Azrone Sarabatin
azrone@bharian.com.my


Pendidik mula terima kesan kekurangan pelajar sehingga terpaksa mengajar subjek lain

TANJUNG MALIM: Seramai 13,000 graduan mengajar Sains dan Matematik di seluruh negara mula menerima kesan penurunan pelajar mengambil jurusan sains sehingga ada yang terpaksa mengikuti latihan semula subjek lain.

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, berkata Kementerian Pelajaran perlu menghantar graduan ke universiti untuk dilatih kemahiran baru bagi mengelak berlaku pengangguran.

“Kalau kita hantar mereka ke sekolah untuk mengajar Sains dan Matematik sedangkan pelajar tidak berminat, keadaan itu tidak wajar,” katanya pada sidang media selepas melawat Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), di sini semalam.

Hadir sama, Ketua Pengarah Jabatan Pengajian Tinggi, Prof Datuk Rujhan Mustafa dan Pengerusi Lembaga Pengarah UPSI, Tan Sri Abi Musa Assari Mohamed Nor.

Mohamed Khaled mengulas taklimat Naib Canselor UPSI, Prof Datuk Dr Zakaria Kasa yang berkata, berlaku lambakan 13,000 graduan Sains dan Matematik seluruh negara yang dihantar ke universiti itu untuk latihan semula.

Turut menyumbang masalah ialah perubahan dasar persaraan wajib penjawat awam daripada 58 tahun kepada 60 tahun.

Bagaimanapun, Zakaria berkata, masalah itu tidak berlaku di UPSI berikutan usahanya menawarkan subjek minor seperti Sejarah kepada pelajar jurusan Sains dan Matematik bagi mengelak berlaku pembaziran tenaga pengajar.

Sebelum ini, akhbar ini melaporkan guru opsyen Matematik dan Sains terpaksa mengajar pelbagai subjek lain, termasuk Pendidikan Jasmani dan Pengetahuan Agama Islam berikutan lebihan guru di sekolah di seluruh negara.

Mohamed Khaled pada amanat tahun barunya dilaporkan berkata, sejak 2007, peratus pelajar mengambil jurusan sains menurun sehingga 29 peratus tahun ini.

Keadaan itu berterusan ke peringkat universiti, jika berlanjutan boleh membantutkan usaha meningkatkan inovasi teknologi ke arah transformasi ekonomi negara maju berpendapatan tinggi.

Dalam perkembangan berkaitan, Mohamed Khaled berkata, pihaknya bangga UPSI muncul universiti pertama menubuhkan sekolah makmal yang menempatkan sekolah bermula prasekolah sehingga Tingkatan Enam Atas di kawasan universiti.

Katanya, ketika ini 70 murid berpeluang mengikuti sesi belajar peringkat prasekolah dan pengambilan pertama murid Tahun Satu bermula sesi pengajian tahun depan, membabitkan 50 murid yang dibahagikan kepada dua kelas.

Katanya, pelaksanaan sekolah makmal ini adalah secara berperingkat dan apabila dilaksanakan sepenuhnya kemasukan keseluruhan pelajar adalah 600 orang.

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

ISU KESIHATAN : Pemikiran rasional perbaiki kesihatan mental


AJARAN dalam agama Islam mewajibkan setiap umatnya mempercayai perkara-perkara berkaitan Sam'iyyat, iaitu alam ghaib, seperti kehidupan alam roh, kewujudan jin dan syaitan, kewujudan syurga dan neraka, serta sebagainya.

Mempercayai kewujudan unsur-unsur ghaib seperti ini sebenarnya merupakan asas kepada rukun Iman.

Antara lain, tujuannya memberi panduan dan pedoman kepada umat Islam agar dapat terus menuju ke jalan yang lurus dalam kehidupan dan bukannya ke jalan menyesatkan.

Ia sewajarnya dapat membentuk aktiviti dan tingkahlaku dalam menjalani kehidupan secara lebih baik dan dipenuhi dengan limpahan kebaikan dan rahmat, berpandukan kepada ajaran yang terkandung dalam al-Quran dan Sunnah.

Bagaimanapun, tidak menjadi kesalahan mempelajari ilmu duniawi, atau ilmu yang tidak secara khusus berkait dengan ilmu al-Quran. Contohnya seperti ilmu statistik dan matematik, atau perubatan, farmasi, kemasyarakatan seperti sosiologi dan komunikasi.

Dalam sejarah dan tamadun Islam juga terdapat beberapa tokoh ulama dan ilmuan tersohor Islam yang merupakan pengasas kepada ilmu moden seperti Ibnu khaldun di bidang sosiologi, Ibnu Sina dalam sains perubatan dan kesihatan mental, Al Khawarizmi yang pakar dalam astronomi, pakar matematik Al Razi dan lain-lain.

Hakikat ini menggambarkan kepada kita bahawa mempelajari dan menguasai ilmu moden yang bersifat saintifik dan empirikal adalah satu ajaran Islam dan tidak salah jika mempelajarinya serta bukannya menyeleweng dari ajaran Islam atau membawa kepada kesesatan. Namun secara umumnya, pemikiran saintifik dan empirik seperti ini dilihat semakin jauh dari kehidupan umat Islam pada masa kini.

Mempelajari sains dan memiliki cara berfikir yang saintifik dan empirik dalam kehidupan adalah dua perkara berlainan. Seseorang yang mempelajari sains mungkin ada kecenderungan menilai dan memerhati kehidupan berdasarkan kepada fakta dan hujah kukuh, merangkumi dan menjangkaui kaedah berfikir dalam konteks sebab dan akibat.

Namun keadaan ini tidak semestinya berlaku. Ini bergantung kepada sejauh mana matlamat matapelajaran sains itu dihayati dan bagaimana ia diatur dan disampaikan yang akhirnya menentukan kegagalan atau kejayaan dalam membentuk individu atau masyarakat yang berfikiran saintifik.

Begitu juga pemikiran saintifik dan empirik akan terbentuk jika mereka dididik sejak awal lagi dengan kaedah pemikiran seperti itu dan dijadikan cara menilai kehidupan dan berfikir tentang kejadian alam di sekitar mereka. Kesan langsung dari pemikiran saintifik dan empirik ini akhirnya melahirkan individu atau masyarakat yang mampu berfikir secara rasional dan objektif.

Pemikiran secara rasional pula merupakan persepsi dan pemikiran seseorang individu yang menilai dan melihat kehidupan dari sudut yang mempunyai asas dan fakta yang kukuh dan logik serta boleh diterima oleh akal yang waras dan sihat. Dalam Islam, pemikiran rasional pula wajar untuk tidak melangkaui batasan syariat.

Pemikiran seperti ini menerima sesuatu perkara itu sebagai fakta jika ada hujah atau bukti di belakangnya yang boleh ditentukan tahap kesahihannya. Pemikiran rasional akhirnya membawa kepada cara berfikir yang positif dan realistik dalam diri seseorang.

Sebaliknya, pemikiran yang tidak rasional terhasil apabila individu itu menilai peristiwa yang berlaku dalam kehidupannya bukan berdasarkan kepada fakta dan bukti kukuh. Mungkin ia disandarkan hanya kepada cakap kosong di belakang, atau kerana hasutan, gosip dan terpengaruh kepada fitnah, yang sememangnya tiada asas dan bukti yang kukuh.

Bahkan, mereka ini tidak pun berusaha menyelidiki kebenaran dan kesahihan bukti yang wujud di sebalik sesuatu maklumat. Akhirnya, ia membawa kepada kecelaruan dan kekacauan pemikiran yang menjejaskan pemikiran rasional sehingga mewujudkan pemikiran yang negatif dan tidak realistik. Amalan ini akhirnya membawa padah yang amat buruk dalam hidup mereka.

Maka itu Islam menasihatkan kita agar sentiasa berhati-hati terhadap sebarang berita yang kita terima dari sesiapapun dan pastikan kesahihannya dahulu sebelum mempercayainya.

Kita sering terdengar ungkapan bahawa diri kita ini adalah apa yang kita fikirkan. Jika kita fikirkan kegembiraan, maka kita akan berasa gembira. Dan jika kita fikirkan kesedihan, maka kita akan menjadi sedih, serta mungkin akan terus menangis. Menangis adalah hasil pemikiran kita kerana kita berasa sedih, dan ia adalah satu reaksi yang normal dan mudah, bukan sesuatu yang misteri. Mungkin ada individu yang mudah menangis walaupun tidak berasa sedih, atau ada mereka yang menangis tidak tentu masa, malah ada yang menangis sepanjang masa.

Ini juga dapat dirungkaikan secara saintifik, dan ditangani secara mudah secara saintifik juga. Masalah akan timbul jika melihat reaksi menangis tanpa kawalan diri itu sebagai satu misteri, dan akan terus menjadi misteri kerana penjelasan reaksi menangis itu juga berunsur misteri. Begitu juga, jika kita menilai diri sendiri sebagai seorang yang sakit, negatif dan lemah, maka kita tidak akan dapat merasai nikmat kesihatan sepenuhnya.

Bahkan, jika kita sering berfikir secara tidak rasional, maka kehidupan tidak dilihat sebagai realistik dan logik. Segala yang berlaku adalah misteri, dan tiada hujah atau fakta yang dilihat boleh berdiri kukuh sebagai bukti di sebaliknya.

Pemikiran yang dilingkungi misteri sering menjadikan kepercayaan berunsur tahyul dan khurafat, bahkan pemikiran yang negatif dan tidak realistik sebagai sumber dalam kehidupan, sama ada sebagai sumber rezeki atau pun sumber hiburan. Pemikiran seperti ini percaya bahawa perjalanan dan segala aktiviti dalam kehidupan ditentukan dan dipengaruhi oleh aspek-aspek tersebut dan ia seperti sesuatu yang lama wujud dan menjadi sebati.

Kepercayaan bahawa perjalanan hidup ditentukan oleh pantang-larang dan tahyul serta khurafat secara jelas amat bertentangan dengan ajaran Islam dan ia boleh membawa kepada amalan syirik. Malah, ia juga tidak membantu memiliki tahap kesihatan mental yang baik. Begitu juga, pemikiran negatif dan tidak realistik turut menjadi punca kepada pelbagai masalah kesihatan mental seperti penyakit kebimbangan, kemurungan, ketagihan, penyalahgunaan bahan, konflik dan perseteruan.

Bagaimana pemikiran yang negatif dan tidak realistik mendatangkan masalah kesihatan mental dan apakah jaminan bahawa orang yang berfikiran positif dan realistik itu mempunyai tahap kesihatan mental yang baik? Ini memang tidak dapat dinafikan lagi dan sudah terbukti sebagai satu prinsip atau hukum alam, malah pemikiran logik pun akan mengiakannya kerana kita ialah apa yang kita fikirkan dan kita akan melakukan apa yang kita fikirkan itu.

PENULIS ialah Felo Pusat Kajian Ekonomi dan Kemasyarakatan Institut Kefahaman Islam (IKIM)

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

ISU AGAMA : Rasullullah S.A.W strategis bijaksana


DI SAMPING kebijaksanaan Rasulullah SAW dalam melakukan dakwah dan tarbiyah, baginda ialah seorang strategis yang patut dijadikan contoh. Baginda dalam mengatur strategi mengambil pertimbangan Allah sebagai pedoman dan mengambil pertimbangan manusia dalam melaksana.

* Ihsan dan insan

Daya keihsanannya yang tinggi dan daya keinsanannya yang kukuh menyebabkan strategi yang difikir, diambil dan dibina mengambil perimbangan menegak dan merentas.

Pertimbangan menegak adalah mengambil pertimbangan dan perintah Allah dan merentas menggunakan upaya dan kualiti manusia untuk melakukan pemikiran strategik sekali gus perancangan dan pelaksanaan strategik untuk mencapai sesuatu matlamat.

Lazimnya, pemikiran dan pendekatan strategik yang dilakukan oleh manusia menerusi kerja-kerja perancangan dan pelaksanaan mengambil pertimbangan akliah dan jarang merujuk kepada pertimbangan rohaniah.

Ia menyebabkan daya tawakal tidak hadir dalam membuat keputusan. Pendekatan menegak dan merentas dalam tradisi Rasulullah SAW mengambil pertimbangan ihsan dan insan supaya faktor amanah diambil kira, faktor keadilan dijadikan ukuran dan kejujuran dijadikan sandaran.

* Hijrah Rasullullah SAW

Peristiwa hijrah dari Mekah ke Madinah umpamanya adalah contoh unik yang memberikan umat Islam kefahaman betapa Rasulullah SAW melakukan jihad yang amat strategik mendepani kerenah musuh dan mengatur hijrah yang akhirnya menjadi titik-tolak kebangkitan risalah Islam di wilayah Arab.

Allah yang Maha Pengasih dan Penyayang tahu akan kepayahan Rasulullah SAW dengan penghinaan di Taif, pemulauan dan keazaman serta perangan Abu Jahala dan Abu Lahab untuk membunuhnya kerana ketegasan prinsip tauhid yang dijadikan tunjang risalah dakwah.

Sehingga Allah memerintahnya berpindah di samping memberikan kekuatan kepada Baginda bahawa “mereka, orang kafir melakukan tipu daya tetapi Allah akan mengatasi tipu daya mereka ". Baginda akur perintah itu dan secara manusiawi membuat persiapan rapi bagaimana cabaran strategik ini dapat berlaku dengan bijaksana.

Lalu diaturkan Saidina Ali sebagai pengganti di tempat tidurnya. Pemilihan ini tepat sekali kerana Saidina Ali terkenal dengan ketangkasannya dan bersedia menghadapi apa saja kemungkinan. Rasulullah SAW memilih meninggalkan rumah di waktu malam di mana dengan kuasa Allah pemuda Quraish dilenakan.

Memilih Gua Thur di Selatan Mekah adalah suatu tempat yang strategik. Memilih Abu Bakar As Siddiq sebagai teman berhijrah yang amat dipercayai juga merupakan strategi terbaik. Kerja besar itu memerlukan teman yang memiliki daya kebenaran yang tinggi supaya asas percaya yang tulus membantu suatu misi besar perjuangan.

Berlindung beberapa ketika di Gua Thur dengan labah-labah membuat sarang adalah petanda kebesaran Allah yang menyebabkan musuh Allah keliru di mana sebenarnya Rasulullah SAW. Memilih pemandu perjalanan di kalangan orang Yahudi adalah kaedah penyamaran yang tinggi nilai strateginya dan memilih jalan lain dari jalan biasa adalah suatu langkah mengelirukan musuh.

* Maslahah Hudaibiyyah


Di pertengahan jalan rombongan Rasulullah SAW dapat dikesani oleh pasukan berkuda pemuda Quraish Surakah bin Malik. Takdir Allah kaki kuda mereka terbenam di pasir dan menyebabkan mereka gagal mengejar Rasulullah SAW. Sekali lagi campur tangan Allah berlaku.

Tiba di Mekah di tempat berhentinya unta, Rasulullah membina masjid. Kemudian diterima dengan baik oleh kaum Ansar dan akhirnya kaum Muhajirin dianggap saudara seagama oleh mereka. Halaqah dan Suffah dibentuk di samping masjid menjadi pusat ibadah Rasulullah SAW sebagai institusi keilmuan dan pendidikan.

Rasulullah SAW menginsafi terdapat kelompok majmuk di Madinah. Lalu dibina Sahifah Madinah untuk dijadikan suatu pakatan antara orang Islam dengan orang bukan Islam. Ia suatu strategi menarik melakukan tahalluf siasi selepas sesama Islam terbina ikatan ukhuwahnya.

* Fathul Makkah


Kemudian baginda bercita-cita kembali ke Mekah. Menghadapi cabaran di Hudaibiyyah, melakukan tasamuh atau tolak ansur dengan kelompok Quraish dari Mekah meminta ditangguhkan keberangkatan itu walaupun tidak disetujui oleh Saidina Umar Ibn Khattab. Akhirnya strategi ini sesuatu yang bijaksana.

Tahun berangkatnya baginda ke Mekah memberi makna yang amat strategik kepada perjuangan Rasulullah SAW kerana keperitan yang dihadapinya suatu ketika di Mekah selama 13 tahun ditebus dengan strategi bijaksana mengambil pedoman Allah dan perancangan Rasulullah SAW.

Meneliti seerah Nabawiyyah ini memberikan kita pedoman terbaik mengenai kepentingan strategik yang mengambil pertimbangan ihsan dan kepentingan insan. Dalam pengurusan organisasi pengurusan yang berasaskan keihsanan dan keinsanan mampu memberikan keseimbangan antara takdir Allah dengan perancangan manusia. Apabila pertimbangan Allah dalam maksud mematuhi faktor syarak yang digaris bawah dalam setiap yang manusia lakukan mampu mentertibkan diri insan.

Pertimbangan keinsanan yang sifatnya manusiawi menjadikan pancaran ukhuwah terbina dan rasa percaya (seeqah) mampu berdiri dengan kukuh.

* Reflektif terhadap perjuangan

Umat Islam pada hari ini harus bersifat reflektif terhadap perjuangan Rasulullah SAW. Lazimnya orang nostalgik dengan apa yang dilakukan oleh Baginda. Reflektif bermakna seerah dan sunnah Rasulullah SAW harus dikembangkan dalam olahan yang tidak bercanggah dengan syarak supaya natijahnya lebih relevan pada zaman.

Prinsip syarak menolak amalan riba’ diterjemahkan oleh Rasulullah pada zamannya dengan melakukan cara tukaran barang tetapi teguh dengan amanah dan keadilan yang tinggi supaya eksploitasi tidak berlaku dan penindasan tidak terjadi.

Ilmuan dan ulama kini melakukan sinergi dengan mengambil kaedah fikkiyyah untuk membolehkan bank Islam wujud, takaful Islam terbina, sukuk diperkenal, industri halalal tayyiba terbina secara strategiknya bagi mengelakkan umat Islam terlibat dalam syubahat dan dosa.

Hal yang sama bila meneliti perjalanan halaqa dan suffah di Madinah sumber perbincangan dan pengajian diambil dari sumber al-Quran. Darinya secara strategik mengembangkan nizamiyyah, kuttab, madrasah bagi mengolah perkembangan ilmu tidak saja dalam batas ilmu mengurus diri tetapi berkembang memberi pedoman kepada ilmu mengurus sistem.

* Umat pengguna dan umat penyumbang


Secara strategik juga ia tidak meletakkan umat Islam sebagai umat pengguna kepada kekuatan orang lain tetapi ingin menjadikan umat Islam sebagai penyumbang kepada kesejahteraan umat manusia. Allah mengurniakan hampir di semua bumi negara Islam dengan kekayaan sumber yang sangat strategik kepada keperluan manusia.

Malangnya, ilmu mengurus diri yang diberikan fokus menyebabkan produktiviti rohaniah orang Islam meningkat tetapi produktiviti amaliah berada di tahap rendah kerana ilmu mengurus sistem memihak kepada orang lain.

* Jihad ilmu

Sekiranya jihad ilmu diterjemahkan dalam bentuk ilmu mengurus diri dan mengurus sistem yang disepadukan berasaskan etika dan nilai pola pemikiran yang pada orang Islam tidak saja patuh kepada cara barat tapi dalam masa sama adalah patuh syariah ( syariah compliance). Jika ini terjadi teori ilmu yang berkembang tidak saja memberi fokus terhadap teknologi tinggi tetapi menyentuh tentang sentuhan keinsanan.

Teknologi setinggi mana bentuknya tetap alat bukannya matlamat. Ia ditentukan oleh nilai guna yang terdapat pada alat itu. Sekiranya perisian, input dan maklumat yang terdapat dalam teknologi mampu mengangkat akal budi insan, ia adalah sesuatu yang bermanfaat. Sebab itulah konsep ilman nafia atau ilmu yang bermanfaat dan juga konsep yanfaunnas sesuatu yang memberi guna dijadikan landasan penting dalam jihad ilmu kerana ia terbina dalam tradisi halaqah Rasulullah SAW dan mampu menjadikan al-Quran sebagai sumber petunjuk. Sebab itu Allah mengiktiraf, orang yang berilmu itu tidak sama dengan orang yang tidak berilmu (Surah az Zumar).

PROF. DATUK DR. SIDEK BABA

Universiti Islam Antarabangsa Malaysia

Sumber : http : //www.utusan.com.my/