Selasa, 24 April 2012
ISU PENGAJIAN TINGGI : Penerima Biasiswa Perlu Bekerja Dalam Negara Sebaik Tamat Pengajian
PUTRAJAYA: Bermula tahun ini, biasiswa akan diberikan atas asas sebaik sahaja lulus daripada universiti, penerima biasiswa itu perlu memenuhi tanggungjawab dalam surat perjanjian dengan mendapatkan kerja sama ada dengan sektor awam atau syarikat swasta yang dibenarkan di Malaysia.
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata beliau yakin dengan langkah itu, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan Talent Corporation Malaysia Bhd (TalentCorp) akan dapat mengoptimumkan kalangan terbaik dan paling cemerlang negara, untuk memastikan lulusan terbaik menyumbang kepada keutamaan dalam Program Transformasi Kerajaan (GTP) dan Program Transformasi Ekonomi (ETP).
Perdana Menteri berkata demikian dalam ucaptama semasa melancarkan pelan tindakan bakat atau "Talent Roadmap 2020" TalentCorp di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini, Selasa.
Ditubuhkan pada Januari bagi menyelaraskan dan meningkatkan bekalan bakat dalam bidang-bidang kritikal dalam ETP, TalentCorp hari ini melancarkan 'Talent Roadmap 2020' untuk memperkukuhkan peranannya dan pelan tindakan ke arah membekalkan bakat-bakat lebih baik, selaras dengan ETP.
Najib berkata Talent Roadmap 2020 mengenal pasti tiga teras strategik untuk intervensi bakat iaitu Mengoptimumkan Bakat Malaysia, Menarik dan Memudahkan Kemasukan Bakat Global dan Membina Rangkaian Bakat Terbaik. Beliau berkata Malaysia tidak akan dapat mencapai ekonomi berasaskan pengetahuan intensif dan inovasi, tanpa bakat untuk memacunya.
"Malaysia mempunyai bakat, sebenarnya kita mempunyai bakat kelas global, satu-satu masalahnya ialah dunia tahu mengenai ini dan dengan itu Malaysia terpaksa bersaing untuk mendapatkan bakatnya sendiri," katanya.
Perdana Menteri berkata daripada segi mendapatkan graduan untuk terus memasuki sektor pekerjaan, TalentCorp menetapkan pendekatan serampang tiga mata, iaitu mewujudkan kesedaran peluang kerja dan kerjaya, meningkatkan peralihan dari sekolah ke tempat kerja seperti menerusi latihan di tempat kerja, dan menerusi platform mengoptimumkan bakat seperti menguruskan siswazah kerajaan.
Beliau berkata pada Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan (MPK) tahun lepas, pemimpin-pemimpin pelajar menggesa diberikan lebih banyak pendedahan kepada kerjaya dalam sektor-sektor NKEA dan kerajaan komited kepada 12,000 tempat untuk latihan.
"Hari ini, saya dengan rasa gembira mengumumkan bahawa insentif itu dipanjangkan untuk meliputi semua syarikat di bawah Akta Cukai Pendapatan Petroleum 1967 (PITA)," katanya.
Najib berkata untuk menambah baik program-program meningkatkan kemahiran, TalentCorp dan Unit Perancang Ekonomi (EPU) akan bekerjasama dan menyelaraskan program peningkatan kemahiran untuk graduan bagi memastikan sumber-sumber dilaburkan mengikut sektor keutamaan.
"Peningkatan kemahiran itu diunjurkan akan memberi manfaat kepada hampir 10,000 graduan setahun, khususnya jurutera dan akan melibatkan peruntukan kira-kira RM200 juta setahun bagi pelbagai kementerian," katanya.
Sementara itu, Perdana Menteri berkata TalentCorp telah menggariskan tiga pendekatan untuk menarik bakat global, iaitu membuat tawaran kepada rakyat Malaysia yang bekerja di luar negara, memudahkan kepulangan bakat ke tanah air dan pelaksanaan kemudahan-kemudahan untuk ekspatriat.
Katanya sejak inovasi imigresen diperkenalkan tahun lepas, lebih 500 ekspatriat profesional dari syarikat-syarikat terkemuka telah diberikan Pas Residen, visa 10 tahun untuk membolehkan mereka tinggal dan terus menyumbang kepada ekonomi Malaysia.
"Saya dengan rasa sukacita mengumumkan bahawa Pas Residen akan dipanjangkan kepada usahawan berjaya yang terbabit dalam aktiviti pengetahuan intensif," katanya.-BERNAMA
ISU BAHASA : Kelebihan menguasai tribahasa
TAN SRI ABDULLAH AHMAD
Madah Speaking, tanpa bosan dan tidak boleh dinafikan lagi, menguasai dua atau tiga bahasa atau lebih dengan baik memberi mereka itu “a cultural and an economic advantage" - mendatangkan kelebihan dalam ekonomi, pasaran dan kebudayaan. Maka seorang Peribumi/Melayu yang berupaya demikian - bahasa ibunda, Inggeris, Mandarin atau Arab beruntung; juga negara.
Semua sekolah kebangsaan memberi pendidikan dalam dwibahasa, Melayu dan Inggeris. Di sekolah Cina, bahasa Melayu (BM), Mandarin dan bahasa Inggeris (BI), di sekolah Tamil bahasa Tamil, BM dan BI. Di sekolah agama, BM, BI dan bahasa Arab; di sekolah private antarabangsa atau lokal murid Melayu mempelajari BM atau bahasa ketiga. Lazimnya Perancis, Sepanyol, Mandarin, Arab, Jerman dan Jepun. BI adalah bahasa penghantar di sekolah ini.
Di rantau Asean, pukul rata, Singapura lebih berjaya dalam pendidikan ini. Orang Singapura terutamanya Cina lazimnya bisa berkomunikasi dalam bahasa Inggeris, Mandarin dan loghat. Orang Cina Singapura yang trilingual yakni BI, BM dan Mandarin bilangannya amat, amat kecil. Orang Melayu Singapura pula berkomunikasi dalam BI dan BM dan sebilangan kecil juga bisa bertutur dan membaca dalam bahasa Mandarin.
Orang Singapura keturunan India dan Sri Lanka telah menguasai BI sepenuhnya dan Mandarin juga. Mereka telah mengamalkan pepatah Melayu di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung. Di Malaysia, rakyat kita tidak seperti rakyat Singapura pada keseluruhannya. Cina Malaysia lebih senang berbahasa Mandarin, atau loghat Cina lain, BI daripada BM sungguhpun bahasa nasional dan bahasa rasmi tunggal seolah-olah pada mereka bahasa ketiga.
Saya jarang sekali mendengar orang Melayu walaupun mereka berpendidikan Arab bertutur dalam bahasa itu. Kenapa? Mereka lebih bertutur sesama mereka pun dalam BM atau BI!
Kita sekarang wujud dalam politik, ekonomi dan budaya global. Orang Melayu terutamanya jangan ambil mudah dengan pendidikan BI sungguhpun pada sesetengah orang kita bahasa itu payah. Kalau tidak mereka akan ketiadaan sesuatu yang precious dan lebih malang lagi pelajar Melayu yang hanya menumpukan kepada BI dan lemah dalam bahasa ibundanya atau tahu asas sahaja. Golongan ini juga akan kehilangan sesuatu yang lebih precious.
Nasihat saya - kalaulah ada nilainya - kepada semua ibu bapa Melayu: Apa pun kesukaran yang anak atau kita sendiri melalui dalam pembelajaran bahasa Inggeris mereka wajib pastikan anak, suka duka, menguasai kedua-dua bahasa itu BI dan BM.
Di rumah mereka mesti bertutur dalam bahasa ibunda, di sekolah, masa berinteraksi dengan orang lain dan sesama pelajar dalam BI atau sebaliknya. Berbuat demikian mereka akan lancar mendengar bunyi, struktur ayat dan perkataan atau vocabulary kedua bahasa.
Terpenting anak mendapat peluang mengenal a sense of the language (BI dan BM). Itu sudah satu sukses walaupun mereka tidak mendapat A, B atau C dalam peperiksaan. Ibu bapa mesti tekankan ini kepada anak kalau tidak anak dan cucu kita akan hilang saya tegas sekali lagi something very precious iaitu nilai dan kualiti keindahan dan kehalusan kedua bahasa tersebut.
Orang Melayu dalam mengejar BI janganlah pula lupa daratan, lupa bahasa ibunda! Harus diingat jiran terdekat kita melebihi 250 juta penduduk - Indonesia, Brunei, Singapura dan Selatan Siam. Juga lebih ramai lagi orang kita menguasai Mandarin lebih baik kerana suka duka kita mesti berurusan dengan China, ekonomi kedua terbesar di dunia dan sedang muncul dengan cepatnya sebagai kuasa kedua terbesar di alam ini.
Singapura, Hong Kong dan Taiwan - ketiga-tiga negara majoriti Cina sudah pun mencapai status dunia pertama. Orang Melayu mesti lebih serius, lebih fokus mempelajari bahasa Arab kalau kita benar-benar mahu mempelajari agama. Juga negara-negara Arab dengan “Spring Revolutions” mereka sedang muncul, dan bakal pasaran terbesar berjumlah lebih 200 juta manusia yang berkemampuan membeli-belah tinggi.
Selepas 55 tahun merdeka, saya dapati lebih ramai orang Melayu kini bilingual dengan baik daripada sebelum merdeka atau 10 tahun selepas merdeka. Ini satu sukses. Apa pun kita janganlah pula keterlaluan meniru gaya, adat resam barat. Ambilah yang baik dan tinggalkan yang buruk yang nampaknya sedang melanda muda-mudi dan sebilangan masyarakat Melayu di mana nilai hidup mereka amat diragui.
Tirulah orang Cina walaupun di mana mereka berada, apa pun agama mereka peluk baik Islam, Kristian mereka tetap Cina dengan kebudayaan dan bahasanya. Kita Islam tapi kita harus ingat kita bukan Arab! Cina Islam pun mereka tetap Cina. Kristian mereka tetap Cina. Apalagilah kalau mereka Buddha atau pengamal nilai, ethos Confucius atau Confucian values.
Selain daripada BI, bahasa yang paling popular dipelajari kini di seluruh alam adalah bahasa Mandarin dan Sepanyol. Bahasa Sepanyol adalah antara lima bahasa terbesar di dunia kerana semua negara di Latin Amerika kecuali Brazil (bahasa Portugis) bertutur Sepanyol selain dari Spain, iaitu sumber bahasa dan kultural Sepanyol.
Apabila ekonomi, politik dan budaya kita mencapai atau mencecah status kestabilan dan kemuliaan dunia pertama maka kita akan dihormati - ramailah manusia mahu mempelajari BM pula.
Sumber : http : //www.sinarharian.com.my/
ISU SOSIAL : Cabaran penuhi NKRA rasuah
Oleh HAMDEN RAMLI
pengarang@utusan.com.my
BERDASARKAN kajian persepsi awam ke atas Program Transformasi Kerajaan (GTP) oleh firma perunding Frost & Sullivan menunjukkan ramai rakyat berpendapat usaha membanteras rasuah yang ditetapkan di bawah program tiga tahun kerajaan itu tidak berjalan seperti diharapkan.
Usaha tersebut dikatakan tidak berkesan walaupun angka-angka rasmi menunjukkan sebaliknya. Bagaimanapun, itu adalah hakikat dan cabaran mengurangkan rasuah.
Ia tidak semudah untuk membina ratusan kilometer jalan mahupun rumah-rumah mampu milik. Sifatnya yang abstrak menyebabkan hasilnya bukan sahaja sukar untuk dinilai tetapi terdedah kepada pelbagai persepsi.
Angka yang positif adakalanya dinilai sebagai negatif, manakala angka negatif yang sepatutnya menggambarkan kejayaan dilihat sebagai kegagalan.
Seperti ditegaskan Pengarah Bahagian Pemantauan dan Penyelarasan Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) Rasuah, Datuk Hisham Nordin, rasuah tidak boleh dinilai dengan statistik.
''Jika Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak tangkap orang, kita dikatakan tidak buat kerja sedangkan keadaan itu mungkin berlaku kerana gejala rasuah tidak ada atau sudah menurun.
''Manakala, jika tangkapan tinggi pula dilihat sebagai gejala rasuah semakin serius sedangkan pada masa sama ia boleh dinilai sebagai keberkesanan dan kecekapan anggota SPRM memerangi rasuah," katanya kepada Utusan Malaysia baru-baru ini.
Hakikatnya rasuah tidak mudah dibanteras. Konflik dan cabaran bukan hanya pada persepsi tetapi ia merentasi semua perkara bermula daripada usaha mendapatkan tips-tips berlakunya rasuah, risikan, siasatan, proses mendapatkan bukti dan pendakwaan.
Malah dalam aspek teknikal perundangan, kes rasuah sangat rumit. Sebagai contoh kes jenayah membabitkan dadah, dadah tersebut boleh menjadi bukti kukuh bagi mensabitkan kesalahan jika berada dalam tangan tertuduh tetapi bagi kes rasuah, wang rasuah yang ada pada tertuduh tidak boleh dijadikan bukti kukuh mensabitkan berlaku kesalahan rasuah kerana banyak lagi aspek lain perlu diambil kira.
Itu belum diambil kira cara rasuah hari ini berlaku, bukan macam dahulu. Hari ini dengan menekan butang, wang sudah berpindah milik tanpa disedari. Menjejak perjalanan wang pula memerlukan kemahiran forensik tinggi.
Semua kesukaran itu bagaimanapun bukan alasan untuk mengalah, jauh sekali berdiam diri. Sebaliknya cara dan strategi baru dicari, kelemahan yang ada diperbaiki manakala peluang-peluang bagi membolehkan rasuah berlaku perlu sentiasa ditutup.
Menurut Hisham, persepsi negatif tidak seharusnya mempengaruhi semangat membanteras rasuah kerana apa yang lebih penting adalah untuk memastikan segala inisiatif dirancang dilaksanakan.
Dalam hal itu, selaku individu bertanggungjawab memastikan pelaksanaan NKRA Rasuah, beliau boleh berbangga kerana pada tahun pertama pelaksanaannya, NKRA Rasuah telah mencapai kadar pencapaian sebanyak 121 peratus dan meningkat kepada 131 peratus pada tahun kedua.
''Maknanya kita bukan sahaja berjaya melaksanakan semua pelan dirancang tetapi melebihi sasaran. Sebagai contoh, kita rancang buat 10 perkara, tetapi kita telah berjaya menyiapkan 13 perkara," katanya.
Antara inisiatif yang dilaksanakan termasuk memastikan perbicaraan kes rasuah boleh diselesaikan dalam tempoh setahun, mewujudkan parameter surat sokongan dan pangkalan data pesalah rasuah.
Selain itu pengenalan portal MyProcurement dan MyPartnership berjaya meningkatkan keberkesanan penyampaian kerajaan manakala pengenalan Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 membuktikan keseriusan kerajaan memerangi rasuah.
Turut berjaya dilaksanakan penubuhan dan pengukuhan unit pematuhan, sistem pusingan kerja, ganjaran dan pengiktirafan serta mengurangkan budi bicara melalui automosi.
Hisham berkata, penubuhan mahkamah khas rasuah juga disusuli dengan langkah melantik hakim yang berpengalaman 15 tahun ke atas bagi mengendalikan perbicaraan.
Katanya, inisiatif yang dijalankan telah menyediakan satu kerangka pencegahan rasuah yang berkesan. Inisiatif tersebut bukan sahaja mencetuskan kesan ketara tetapi sedikit sebanyak mengubah keyakinan masyarakat terhadap usaha kerajaan memerangi rasuah.
Berdasarkan tinjuan Transparency International (TI) mengenai Barometer Rasuah Malaysia menunjukkan peningkatan daripada 48 peratus pada 2010 kepada 49 peratus tahun lalu. Selain itu tahap keyakinan juga meningkat dan sentimen umum berubah menjadi bertambah baik.
Malah, berdasarkan Indeks Pemberi Rasuah TI menunjukkan Malaysia berada pada kedudukan ke-15, sebaris dengan Hong Kong yang dikenali sebagai antara negara paling tegas memerangi rasuah serta memiliki undang-undang rasuah paling komprehensif.
Kejayaan juga boleh diukur dengan perubahan yang berlaku di jabatan lain seperti Jabatan Kastam dan Eksais Diraja yang pertama kali berjaya mengutip hasil melebihi RM30 bilion tahun lalu. Selain usaha gigih pegawai dan anggota jabatan itu, langkah- langkah memerangi rasuah yang dijalankan sejak tiga tahun lalu bagi menutup ruang bagi berlakunya rasuah turut menyumbang kepada kejayaan tersebut.
Hisham berkata, tindakan ke atas syarikat dan membanteras rasuah besar termasuk membabitkan pembiayaan politik merupakan antara inisiatif utama yang bakal dilaksanakan di bawah fasa kedua pelaksanaan NKRA rasuah.
Turut diberikan keutamaan ialah pemurnian dan penambahbaikan ke atas Akta Pencegahan Penggubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan (AMLATFA).
Katanya, semua inisiatif tersebut dirancang dilaksanakan di bawah Program Transformasi Kerajaan Kedua (GTP2) tahun depan dan untuk itu sesi perbincangan di bawah satu makmal khas membabitkan pegawai daripada pelbagai jabatan telah diadakan baru-baru ini.
''Sebelum ini, jika berlaku rasuah, hanya individu dikenakan tindakan manakala syarikat terlepas kerana di bawah Akta SPRM tidak menyatakan dengan jelas perkara ini.
''Sedangkan, kesalahan (rasuah) dilakukan untuk syarikat dan yang untung syarikat tetapi apabila kena, syarikat tidak mengaku dan mudah terlepas. Ini yang akan kita perbetulkan supaya syarikat atau sektor korporat juga mempunyai tanggungjawab," katanya.
Hisham menambah, bagi memerangi rasuah syarikat, pihaknya merancang menjadikan Akta Rasuah United Kingdom sebagai rujukan dan penanda aras.
Mengenai rasuah politik pula beliau berkata, perkara tersebut telah dimasukkan di bawah GTP1, namun pelaksanaannya kurang berkesan.
''Oleh itu kita berharap makmal kali ini akan membincangkan lebih mendalam mengenai hal itu dan mengenal pasti langkah- langkah yang boleh diambil bagi menjayakan inisiatif berkenaan," ujarnya.
Hisham berkata, penglibatan elemen rasuah dan pecah amanah dalam aktiviti penggubahan wang haram pula salah satu sebab mengapa AMLATFA perlu dilihat semula.
Katanya, bagi menambah baik akta tersebut pihaknya akan menjadikan Akta Amalan Rasuah Luar Negara (FCPA) Amerika Syarikat sebagai rujukan dan penanda aras.
Sementara itu selari dengan pindaan ke atas Akta Penerbitan dan Percetakan, pihaknya juga akan meneliti tahap ketelusan yang boleh diberikan dalam kebebasan maklumat berkaitan penyenaraian aset individu-individu penting.
''Kita akan membandingkannya dengan undang-undang yang sama di seluruh dunia," katanya sambil menambah usaha memerangi rasuah tidak pernah berhenti walaupun persepsi terhadapnya kerap tidak memberansangkan.
Sumber : http : //www.utusan.com.my/
ISU KENEGARAAN : Membina integriti dalam politik
Oleh MOHAMAD IQBAL AB. WAHAB
Universiti Islam Antarabangsa Malaysia
Persoalan integriti bukanlah sekadar persoalan yang bersifat teoritikal, sebaliknya merupakan persoalan pengaplikasian. Dalam Kamus Dewan Edisi Keempat, integriti didefinisikan sebagai kejujuran dan keutuhan. Maka dalam konteks pengamalan sejagat, integriti menjadi suatu prinsip yang tegas dalam pengaplikasian praktikal, bukan sekadar slogan yang dilaungkan tanpa suatu tindakan yang tepat dan cepat.
Lapangan yang praktikal dalam membahaskan realiti integriti adalah bidang politik. Politik sebagaimana didefinisikan oleh Kamus Dewan Edisi Keempat sebagai pengetahuan yang berkaitan dengan pentadbiran dan pengurusan, tidak dapat dielak daripada membahaskan persoalan integriti kerana sifat politik itu merangkumi keseluruhan bidang dalam hidup manusia termasuklah yang berkaitan dengan isu-isu asas iaitu pendidikan, sosial dan ekonomi.
Bahkan Ibnu Khaldun juga menyebut dalam Mukaddimah, manusia itu politikal secara semula jadi iaitu mereka tidak boleh hidup tanpa organisasi sosial yang mana menurut ahli falsafah diistilahkan sebagai 'kota.'
Oleh sebab sifat semula jadi manusia itu adalah berpolitik iaitu mentadbir urus, maka integriti sebagai nilai akan mencorakkan sifat politik manusia itu sendiri sama ada berpolitik secara Machiavelli melalui teori real politic yang membenarkan segala-galanya asalkan matlamat tercapai, atau berpolitik dengan prinsip memelihara kerukunan masyarakat tanpa meminggirkan nilai-nilai asas sepanjang perangkaan dan pelaksanaan sesuatu pelan tindakan mahupun dasar.
Di mana-mana pun, semua orang tahu, integriti itu penting dalam seluruh urusan kehidupan. Namun, tahu sahaja tidak memadai, sekiranya tidak difahami dan dipraktikkan, terutamanya dalam lapangan politik. Ada manusia tahu bahawa menerima rasuah itu salah - bukan sahaja dari sudut moral, tetapi juga dari sudut undang-undang. Namun, tanpa segan silu rasuah masih berleluasa.
Itulah bezanya manusia yang berfikir menggunakan akal tanpa hati dengan manusia yang berfikir dengan akal dan dicerahkan melalui hati.
Apabila persoalan integriti dikesampingkan dalam lapangan politik, manakala amalan dan kebiasaan menerusi kepincangan-kepincangan yang didiamkan berleluasa seperti rasuah dan penipuan resit pembelian, pada waktu itu, yang menjadi indikator adalah idea utilitarian, yang bersetuju dengan pandangan umum yang mengikitiraf gejala penyelewengan itu sebagai sesuatu yang dibenarkan.
Semakin lama perkara ini berleluasa, semakin kuat dan utuhlah kepercayaan ini sehingga membentuk budaya. Sewaktu perkara ini telah menjadi suatu kebudayaan, pada waktu itulah, mentaliti juga telah terjangkit sama sehinggakan yang salah itu dirasakan benar, manakala yang benar itu dirasakan salah.
Kesan yang lebih parah ialah bagaimana keadaan ini mampu merosakkan perkembangan negara dari sudut pembangunan infrastruktur dan modal insan.
Sebagai contoh, laporan Ketua Audit Negara telah memperlihatkan betapa persoalan integriti dalam pengurusan dana kerajaan telah dipandang remeh. Kelemahan dari sudut pengurusan pengagihan. Begitu juga dengan pendedahan penipuan harga.
Penyelewengan dan kegagalan dalam pengurusan integriti dalam kalangan individu-individu yang memegang amanah inilah menyebabkan terencatnya pembangunan dari sudut penyediaan kemudahan kepada masyarakat umum.
Wang yang sepatutnya boleh dibelanjakan untuk perkembangan dan penyediaan infrastruktur lain telah dikorupsikan menyebabkan peruntukan menjadi tidak cukup, dan inilah yang membantutkan kadar pertumbuhan negara.
Sekiranya perkara ini terus-terusan berlaku, kita akan terus terbeban dengan hutang, bagi menampung kebocoran yang berlaku, malahan pemotongan bajet yang akan dilakukan termasuklah rasionalisasi subsidi yang akan dilakukan bagi menjamin kelangsungan pertumbuhan dalam negara tidak akan tercapai sekiranya mentaliti dan sikap itu tidak diubah.
Begitu juga, dalam membicarakan soal integriti dalam politik, golongan yang secara langsung terlibat adalah ahli politik. Janji-janji menerusi manifesto harus ditunaikan kerana inilah yang dinamakan integriti, iaitu kejujuran dalam menunaikan janji.
Watak yang dimainkan oleh ahli politik termasuk butir bicaranya juga dinilai dari sudut keintegritiannya. Sekiranya yang diomong dan diceramahkan itu tidak dilaksanakan, pada waktu itulah integritinya terhilang. Apatah lagi jika bicaranya itu sering kali mencela dan mencaci, pada waktu itu jugalah, integritinya semakin pudar dan lenyap. Inilah yang disebut oleh Syed Hussein al-Atas dalam Intelektual Masyarakat Membangun sebagai 'bebalisme' yang mana cirinya yang menonjol adalah kehilangan pekerti.
Persoalan integriti adalah persoalan bersama kerana integriti harus wujud dalam diri setiap manusia. Menyebarluaskan integriti sebagai budaya memerlukan komitmen yang jelas dan kemas dalam memperkasakan pendidikan.
Pendidikan sebagai asas untuk menyediakan modal insan yang bukan sahaja bertindak sebagai pelaburan dari aspek teknikal, malahan juga harus menjadi pelaburan dari aspek nilai dan prinsip yang benar lagi utuh. Apalah gunanya memiliki pekerja-pekerja mahir yang profesional sekiranya motif rasuah dan penyelewengan berlegar-legar dalam pemikiran mereka menyebabkan pertumbuhan negara masih di takat yang sama, kerana persoalan sikap itu tidak diubah.
Maka, di akhir bicara ini, sama-sama kita hayati suatu firman Allah, dalam surah al-Anfal, ayat 27 yang bermaksud, "Wahai orang- orang yang beriman, janganlah kamu mengkhianati Allah dan Rasul, dan janganlah kamu mengkhianati amanah yang dipertanggungjawabkan kepada kamu, sedangkan kamu mengetahuinya."
Penulis ialah pemenang pertama Pertandingan Menulis Esei Integriti Politik peringkat pengajian tinggi yang dianjur oleh Institut Integriti Malaysia (IIM) baru-baru ini.
Sumber : http : //www.utusan.com.my/
Langgan:
Catatan (Atom)