Sabtu, 20 November 2010

ISU PELANCONGAN : Kepelbagaian budaya masyarakat promosi pelawat asing ke Malaysia

APAKAH peranan agensi pelancongan untuk menarik lebih ramai pelancong luar negara mengunjungi Malaysia dan pelancong tempatan melancong dalam negara berbanding ke luar?

Tanggungjawab utama agensi pelancongan ialah mewujudkan pakej menarik yang menjanjikan keselesaan dan memenuhi kehendak pelanggan seperti penginapan, pengangkutan, makanan dan perkara berkaitan. Mereka perlu mengambil kira kehendak pelanggan dan menyediakan perkhidmatan seperti dikehendaki. Mereka juga boleh memperkenalkan produk yang mungkin menarik minat pelancong untuk mencuba. Perlu diingat pakej menarik itu bukan saja untuk pelancong luar negara malah juga rakyat tempatan. Banyak produk pelancongan yang boleh dipromosikan seperti ekopelancongan, pelancongan pengembaraan dan sukan. Persatuan Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) pula bertindak sebagai orang tengah antara kementerian dan agensi pelancongan. Kami memaklumkan kepada ahli mengenai jadual diatur kementerian dan agensi pelancongan turut mengambil bahagian dalam memasarkan produk mereka. Satu perkara perlu diketahui ialah MATTA tidak terbabit dalam usaha mengadakan pameran dan sebagainya di luar negara.

Adakah usaha mempromosi Malaysia sebagai destinasi pelancongan di rantau ini mencukupi?

Kementerian Pelancongan melakukan tugas yang baik dalam mempromosikan Malaysia sebagai destinasi pelancongan kepada pelancong luar dan tempatan. Mereka juga melakukan pameran dan penjelajahan dengan sektor korporat untuk tujuan itu, bekerjasama dengan media tempatan. Ia bukan saja mengadakan promosi memperkenalkan Malaysia ke peringkat antarabangsa, malah juga memberi tumpuan kepada pelancongan domestik seperti memperkenalkan Selangor kepada penduduk Sabah, menggalakkan penduduk Sabah melancong ke Selangor dan sebaliknya.

Produk Selangor tidak boleh diperkenalkan di Selangor saja tetapi perlu melangkaui sempadan negeri itu. Saya rasa dalam kes ini, memang kementerian melakukan tugas yang baik kerana pelancong tempatan dapat mengenali budaya di luar negeri mereka dengan lebih baik walaupun mungkin ada persamaan. Kementerian menjalankan konsep pemasaran yang baik untuk memperkenalkan Malaysia tetapi seperti juga perniagaan lain, bidang ini turut mempunyai saingan.

Sukar untuk kita menukar arah pemikiran orang mengikut cara kita, tetapi ada cara melakukannya iaitu dengan memasarkan apa yang mungkin berlainan daripada ditawarkan Thailand dan Indonesia misalnya.

Saya rasa konsep ‘Malaysia Truly Asia’ mencapai sasaran kerana berjaya menarik pelancong. Satu perkara paling menarik mengenai Malaysia yang tidak ada di negara lain ialah kepelbagaian budaya. Pelancong boleh menemui budaya Cina dan India tanpa perlu mengunjungi China atau India.
Datang saja ke Malaysia dan nikmati semua itu di sini. Kepelbagaian budaya yang unik itu menjadi tarikan utama. Berbanding Singapura, kita mempunyai banyak kelebihan. Kita mempunyai Taman Negara dan gunung untuk pelancong yang gemarkan cabaran, pulau dan pantai untuk mereka yang suka suasana tenang.

Apakah yang boleh ditonjolkan sebagai ikon Malaysia dalam usaha menarik lebih ramai pelancong luar negara seperti Bali di Indonesia?

Kita mungkin masih belum mempunyai ikon pelancongan seperti Bali di Indonesia dan Phuket di Thailand. Kita sedang bergerak ke arah itu. Kita juga bukan sekadar ingin mempromosikan destinasi sebaliknya mempromosikan Malaysia sebagai negara pelancongan. Memang ada usaha dibuat mempromosikan destinasi seperti Langkawi dan Sipadan yang menjadi kawasan tumpuan pelancong. Begitu juga Gunung Tahan dan Taman Negara bagi penggemar aksi lasak atau menaiki rakit menelusuri sungai dan kemudian balik berehat bagi yang inginkan perjalanan kurang mencabar.

Kita juga sudah ada Melaka sebagai Bandar Raya Bersejarah untuk ditonjolkan sebagai ikon destinasi. Konsep kita mungkin agak berbeza dengan negara lain. Malaysia mempunyai banyak keistimewaan yang boleh ditonjolkan. Selain kepelbagaian budaya yang saya sebutkan tadi, pelancong juga boleh menyaksikan kepelbagaian agama dianuti di sini. Walaupun Islam sebagai agama rasmi, amalan agama lain dibolehkan. Pelbagai perayaan disambut di sini dan ini tidak boleh ditemui di negara lain. Satu lagi perkara yang tidak boleh kita nafikan ialah kepelbagaian makanan. Jika pelancong ingin masakan tempatan, kita ada. Jika mereka mahukan makanan tempat asal, kita boleh sediakan. Menariknya, kadang-kadang pelancong tidak mahu makanan di hotel penginapan seba-liknya mencuba di gerai tepi jalan. Itu juga kita ada. Mereka boleh memilih gerai yang mereka mahu. Makanan Melayu, India, Cina dan hidangan pelbagai negeri boleh didapati di satu tempat.

Apakah jenis produk pelancongan perlu diberi penumpuan yang dirasakan lebih berpotensi untuk dikembang dan diperkenalkan ke peringkat antarabangsa?

Saya dapati pelancongan kesihatan, sukan dan pelancongan perniagaan antara produk yang ada pasaran. Ini perlu diberi tumpuan. Potensinya memang ada. Bagi komuniti perniagaan, kita ada KLCC dan Pusat Konvensyen Putrajaya yang boleh dijadikan tempat persidangan antarabangsa yang selesa. Hotel kita juga menyediakan tempat sesuai dan selesa untuk sebarang seminar bagi kumpulan kecil, dalam lingkungan 500 orang. Kita bertuah kerana mempunyai kestabilan politik, kadar ekonomi yang berkembang dan kemudahan lain yang boleh dimanfaatkan untuk mempromosikan pelancongan perniagaan. Semua ini mempunyai potensi dipasarkan selain pelancong suka dengan pertandingan sukan seperti golf dan sebagainya.

Bagaimana dengan kecenderungan rakyat Malaysia yang lebih suka melancong ke luar negara seperti Bandung, Thailand dan Vietnam?

Kita tidak boleh sekat kehendak orang. Mungkin ada orang yang suka selang-selikan tempat percutiannya dalam dan luar negara. Apa yang kita perlu lihat ialah pelancong luar yang semakin bertambah setiap tahun disebabkan kemudahan pengangkutan. Mengapa rakyat kita suka ke luar negara itu perkara lain. Idea Cuti-Cuti Malaysia banyak membantu memperkenalkan pelancongan domestik. Ia secara tidak langsung menyedarkan rakyat supaya lebih mengutamakan pelancongan domestik.

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

ISU PELANCONGAN : 'Ubah persepsi melancong dalam negara tiada kelas'

Kos murah punca rakyat kita gemar bercuti ke luar

SEJAK kebelakangan ini, ramai rakyat Malaysia suka melancong dan membeli-belah ke luar negara, lebih-lebih lagi wujudnya penerbangan tambang murah selain daya tarikan harga yang dikatakan lebih murah seperti di Bandung (Indonesia), Vietnam dan China. Untuk merungkai mengapa perkara ini terjadi, wartawan Edisi Mingguan, ROHANIZA IDRIS dan HAZIRAH CHE SAB menemu bual Presiden Persatuan Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Bumiputera Malaysia (BUMITRA), Mohd Ayub Hassan dan Naib Presiden Inbound Persatuan Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA), Aruldass Arulandu.

SEJAK kebelakangan ini, seakan menjadi trend rakyat negara ini bercuti ke luar negara. Mengapa ini berlaku?

Trend ini meningkat sejak wujud penerbangan tambang murah yang mampu dibayar sesiapa saja. Malah, ada syarikat menawarkan tambang percuma, hanya perlu membayar cukai lapangan terbang. Harga ditawarkan bukan saja hampir sama tetapi lebih murah berbanding kos melancong dengan kenderaan sendiri dalam negara. Ini ditambah pakej menarik ditawarkan agensi pelancongan terutama destinasi serantau yang nilai mata wangnya lebih rendah. Namun, kita tidak boleh menyalahkan sektor penerbangan tambang murah kerana ia adalah trend terkini yang semakin berkembang dan memudahkan orang ramai bergerak ke mana saja.

Faktor harga mahal hotel dan resort tempatan juga mendorong melancong ke negara orang. Pakej percutian di luar negara termasuk Indonesia, Thailand dan Vietnam serendah RM600 termasuk tiket penerbangan, penginapan dan lawatan. Pakej pelancongan domestik yang ditawarkan ada hingga 30 peratus lebih mahal daripada jumlah itu bergantung kepada taraf bintang hotel yang dipilih.

Adakah perkhidmatan dan kemudahan pelancongan di negara ini tidak menarik?

Jika kita bercakap isu pelancong tempatan lebih suka ke luar negara, kita tidak boleh hanya lihat kepada kelemahan perkhidmatan dan kemudahan di negara ini saja. Dari segi perkhidmatan dan kemudahan pelancongan, sebenarnya Malaysia lebih baik berbanding negara serantau, namun tarikan dari segi kos menyebabkan kita suka ke Bandung, Vietnam dan Thailand. Kita juga perlu faham bukan semua ke luar negara untuk bercuti kerana ada yang mahu membeli-belah berikutan kadar mata wang lebih rendah.

Contohnya, ramai ke Bandung mahu membeli barangan tekstil yang didakwa lebih murah dengan kualiti terbaik. Di Malaysia, mungkin harganya mahal sedikit kerana kos membawa barang. Semua ini ada kaitan dengan mentaliti pelancong juga yang berasakan tidak kisah berbelanja lebih sedikit jika ke luar negara berbanding membeli di dalam negara. Mereka juga merasakan melancong ke luar negara lebih class. Pakej pelancongan di negara serantau juga dilihat murah dan hampir sama dengan kos melancong dalam negara. Misalnya, ada mendakwa pakej tiga hari dua malam di Bandung sama pakej ke Pulau Pinang, sedangkan peluang ke Bandung bukan selalu berbanding ke Pulau Pinang yang boleh dilakukan bila-bila masa. Mungkin situasi sama berlaku di negara lain, mungkin pelancong di Indonesia merasakan harga di Malaysia lebih murah.

Mengapa pakej pelancongan dalam negara lebih mahal?

Ini semua ada kaitan dengan kadar mata wang. Selain itu, biasanya percutian di luar negara menggunakan ejen pelancongan yang mendapat bayaran berbeza berbanding secara individu. Percutian di luar negara juga dilakukan secara berkumpulan yang harganya pasti lebih murah kerana ada tawaran menarik daripada perkhidmatan dan kemudahan pelancongan. Di negara ini, tiada polisi seperti di Indonesia dan Thailand. Kerajaan mereka membantu hotel dan resort dengan menetapkan pelancong perlu menggunakan khidmat ejen jika mahu mendapatkan harga murah. Di sana jika melancong secara walk in harga bilik ditawarkan lebih mahal dan perkara sebaliknya berlaku di Malaysia. Malah, di negara ini, tawaran harga melalui talian atau internet juga jauh lebih murah.

Di Indonesia dan Thailand juga bilik penginapan untuk pelancong tempatan lebih murah. Faktor lain, biasanya hotel mengenakan bayaran penginapan lebih mahal pada musim cuti berbanding waktu biasa berikutan permintaan tinggi.

Apakah destinasi yang menjadi pilihan pelancong tempatan jika bercuti di luar negara?

Destinasi yang sering dikunjungi adalah Indonesia dan Vietnam. Namun, untuk Bandung sejak meletusnya Gunung Merapi, ramai yang mengelak ke sana. Sejak kebelakangan ini, ramai mengunjungi China kerana pakej dan tambang murah ke beberapa wilayah seperti Beijing dan Huangzhou. Singapura pula kembali dikunjungi kerana tarikan seperti Universal Studio.

Apakah yang boleh dilaksanakan kerajaan untuk memastikan rakyat terus melancong di dalam negara?

Sebenarnya, sudah banyak dilakukan Kementerian Pelancongan untuk menarik pelancong di dalam negara melalui promosi Cuti-cuti Malaysia yang kini dikenali sebagai Zoom Malaysia, begitu juga pakej inap desa (homestay). Namun, proses mendidik rakyat melancong dalam negara perlu dilakukan lebih keras lagi.

Pelancongan pengembara juga perlu dipromosikan terutama kepada golongan muda kerana ia lebih murah dan menarik. Selain itu, insentif tertentu perlu diberikan kepada agensi pelancongan yang berjaya menarik pelancong domestik bercuti dalam negara manakala hotel pula perlu menawarkan harga bilik yang murah kepada pelancong tempatan. Jika boleh harga untuk pelancong tempatan dibezakan dengan harga untuk pelancong asing.

Promosi dan kempen mengenai pakej pelancongan inap desa perlu ditingkatkan kerana pelancong tempatan kurang meminatinya berikutan mentaliti mahukan keselesaan dan kemewahan menginap di hotel dan resort. Saya rasa inilah masa sesuai untuk menukar persepsi generasi Malaysia mengenai percutian dalam negara. Kini, ramai sering melabelkan pelancongan domestik sebagai kelas kedua berbanding ke luar negara sedangkan kita mempunyai tarikan dan kawasan menarik lebih baik serta bertaraf antarabangsa berbanding negara serantau.

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

ISU PELANCONGAN : Strategi berterusan mampu pikat pelancong

Oleh Dr Awangku Hassanal Bahar Pangeran Bagul

Kempen percutian domestik besar-besaran dengan pelbagai pakej menarik manfaatkan negara


AKTIVITI pelancongan secara amnya dapat membuka minda dan menambah pengalaman serta dapat mempertingkatkan keinsanan seseorang individu berkenaan

Pelancongan serantau oleh rakyat Malaysia semakin popular pada masa kini dan dijangka akan lebih pesat pada masa depan. Banyak destinasi sudah pun menjadi kegemaran pelancong Malaysia seperti Hanoi dan Ho Chi Minh di Vietnam, Bandung dan Bali di Indonesia serta Bangkok dan Phuket di Thailand.

Rakyat Malaysia juga dikenali dengan aktiviti membeli-belah sebagai aktiviti utama pelancongan mereka. Tidak hairanlah jika peniaga di sesetengah destinasi pelancongan di rantau ini dapat berbahasa Melayu kerana mereka sering menerima kunjungan pelanggan Malaysia.

Destinasi berkenaan amat popular dengan aktiviti membeli-belah kerana ia menawarkan produk unik, murah dan berkualiti serta destinasi berkenaan juga mempunyai mata wang yang rendah berbanding ringgit, sekali gus memberi kelebihan kepada pelancong Malaysia.

Namun, apabila pelancong Malaysia membeli-belah di luar negara, ini akan menyebabkan pengaliran wang keluar ke negara asing dan boleh menyebabkan keseimbangan ekonomi menuju ke arah negatif.

Malaysia sudah pun berkembang dengan pesat dari segi sosioekonominya dan ramai rakyatnya mempunyai kehidupan selesa dan mengalami peningkatan dalam pendapatan boleh guna atau ‘disposable income.’ Ia satu daripada faktor penting dalam membuat keputusan untuk membeli produk pelancongan.
Pada masa sama, setiap hari, rakyat Malaysia didedahkan dengan pelbagai iklan yang menjual tiket kapal terbang dan pakej pelancongan ke luar negara dengan harga rendah dan menarik. Harga itu mungkin serendah atau lebih tinggi berbanding harga tiket dan pakej untuk pelancongan dalam negara.

Fenomena ini dapat dilihat dengan pembabitan syarikat penerbangan bajet di Malaysia pada 2001. Kejayaan yang dikecapi syarikat penerbangan itu sudah pun menjadi inspirasi beberapa negara jiran di rantau ini untuk menubuhkan syarikat penerbangan bajet mereka sendiri dan ini menggalakkan persaingan dan sekali gus menurunkan harga servis yang ditawarkan.

Persaingan ini juga membabitkan syarikat penerbangan konvensional yang ingin mencapai kepada pasaran pelancongan bajet. Persaingan itu sudah membentuk pasaran yang cenderung kepada manfaat pengguna.

Jika dilihat kepada barang yang dibeli pelancong Malaysia, ada di antaranya yang dapat dibeli di Malaysia sendiri, tetapi pada harga lebih tinggi. Oleh itu, bukan saja rakyat Malaysia, malah pelancong secara umum lebih suka membeli barang atau produk di negara asal, yang mana harga adalah lebih jauh murah dan memberi kesenangan kepada minda pelancong itu dalam isu keaslian produk serta kualitinya.

Ia juga memberi kepuasan dalam minda pelancong yang berpendapat bahawa mereka sudah berbelanja atau membeli-belah secara bijak. Oleh kerana konsep pelancongan adalah berdasarkan kepuasan pengalaman, oleh itu, membeli-belah di luar negara adalah satu pengalaman membolehkan pelancong mendapat kepuasan yang boleh dikongsi dengan keluarga dan sahabat handai.

Selain itu, sesetengah barang adalah cenderamata yang unik untuk destinasi itu seperti barangan laker (lacquer ware) serta batu permata dan manikam di Vietnam, kraf tangan halus dan hasil seni dari Indonesia dan juga sutera serta barangan perak dari Thailand.

Setiap destinasi pelancongan mempunyai pengkhususan dalam pembuatan dan pengeluaran barang tertentu dan ini turut menjadi satu daripada tarikan bagi pelancong Malaysia ke destinasi itu.

Semestinya, juga rakyat Malaysia memang berminat membeli-belah dengan kuantiti yang banyak kerana mereka selalunya tidak lupa membeli cenderahati untuk keluarga, sahabat handai dan rakan sekerja.

Perlu diingat, industri pelancongan beroperasi di atas konsep penawaran dan permintaan. Sehubungan itu, tindakan mewujudkan halangan atau sekatan aliran pelancong, adalah tidak praktikal walaupun ia bermaksud wang mengalir keluar daripada lingkungan ekonomi negara.

Ada beberapa strategi yang boleh kerajaan laksanakan bagi ‘menyekat’ pelancong domestik ke luar negara. Justeru, usaha kerajaan menarik pelancong ke Malaysia dari negara lain melalui beberapa kempen termasuk kempen ‘Malaysia Truly Asia’ yang sangat terkenal di luar negara, dapat mengimbangi semula aliran wang keluar dengan aliran wang masuk ke Malaysia.

Kempen percutian domestik secara besar-besaran dengan pelbagai pakej menarik juga dapat meningkatkan rakyat Malaysia untuk memilih destinasi dalam negara dan berbelanja di destinasi itu. Malaysia sendiri mempunyai aset pelancongan bertaraf antarabangsa dan serupa dengan aset pelancongan di rantau ini dengan kos berpatutan.

Antara destinasi terkenal seperti Pulau Pangkor, Pulau Redang dan Pulau Sipadan misalnya, sudah dapat menandingi destinasi di rantau ini yang turut dikunjungi pelancong antarabangsa seperti Pulau Phuket dan Bali.

Begitu juga Kuala Lumpur, sebuah kota yang menawarkan aktiviti pelancongan termasuk membeli-belah setanding dengan Jakarta dan Bangkok. Destinasi seperti Kota Kinabalu dan Kuching juga terkenal dengan kraf tangan dan cenderahati yang unik dengan harga berpatutan.

Kementerian Pelancongan sudah pun membina imej pelancongan domestik yang kukuh dengan kempen Cuti-Cuti Malaysia dan sudah diberi sentuhan penjenamaan semula dengan Zoom Malaysia. Malah, Malaysia kini menjadi saingan kepada destinasi serantau untuk rakyatnya sendiri.

Pada masa akan datang, Malaysia dijangka menjadi sebuah negara maju dengan taraf kehidupan penduduknya akan lebih meningkat. Rakyat Malaysia akan mempunyai pendapatan boleh guna atau belanja lebih tinggi dan ini akan memberikan lebih peluang dan opsyen untuk pergi melancong ke luar negara.

Syarikat penerbangan bajet dan konvensional akan terus berkembang dan akan menambah destinasi baru sepanjang masa dan persaingan akan merendahkan harga untuk tiket penerbangan dan pakej pelancongan.

Ini menjadikan industri pelancongan pada masa depan sebagai industri tanpa sempadan. Justeru, pembentukan strategi berterusan adalah penting untuk memastikan industri ini sentiasa memberi manfaat kepada negara Malaysia.

Penulis ialah Pensyarah Kanan, Sekolah Perniagaan dan Ekonomi, Universiti Malaysia Sabah dan Perunding Utama, Tinjauan Pasaran Domestik, Lembaga Pelancongan Sabah.

Sumber : http : //www.bharian.com.my/