Jumaat, 2 Oktober 2009

Tubuh, minda sihat bantu Muslim capai kecemerlangan hidup

NIKMAT sihat yang masih subur dalam diri individu Muslim sewajarnya mengajar mereka mengenai syukur atas anugerah Allah. Kita amat terasa betapa nikmat kesihatan amat penting bagi diri apabila nikmat itu 'ditarik' oleh Allah SWT dengan pelbagai penyakit sehingga kadang kala terpaksa menghabiskan masa terlantar di katil hospital atau terbujur kaku.

Rasulullah SAW mengajarkan kita agar menggunakan nikmat sihat dengan kebajikan dan amal salih yang lain sebelum didatangi penyakit. Masa sihat seharusnya dimanfaatkan dengan melaksanakan perintah Allah SWT untuk mencapai keredaan-Nya. Kelapangan masa dan kesihatan yang masih terhidang di depan mata sewajarnya menjadi medan memerangi nafsu yang bersarang dalam diri. Pelbagai nafsu yang membentuk bayang hitam diri manusia seperti makan dan minum yang melampau dan nafsu syahwat yang menggila.

Daripada Abdullah Ibn Abbas RA katanya, Rasulullah SAW bersabda bermaksud, "Dua jenis nikmat yang kebanyakan manusia menerima kerugian yang besar iaitu kesihatan dan kelapangan". (Hadis riwayat al-Bukhari)

Pepatah juga menyatakan bahawa 'akal yang sihat adalah daripada badan yang sihat' adalah tepat ke arah melahirkan minda yang sentiasa aktif untuk membuat sesuatu kebaikan sekali gus meningkatkan kualiti kerja yang akan membawa kepada kecemerlangan dalam kehidupan seseorang Muslim.

Kekuatan fizikal, keseimbangan rohani dan ketajaman fikiran adalah wadah penting dalam melaksanakan tugas sebagai khalifah Allah di muka bumi dengan baik dan sempurna seterusnya dapat meneruskan misi dan visi sebagai hamba Allah dengan ibadah berkualiti dan sempurna.

Daya ketahanan badan melawan penyakit amat diperlukan bagi diri seorang Muslim mendepani musibah penyakit yang melanda masyarakat dunia hari ini. Ramai yang dijangkiti dengan pelbagai penyakit kerana kurangnya daya tahan imuniti dalam badan melawan penyakit.

Penyakit zahir berpunca daripada kelalaian manusia terutama berkaitan makan dan minum yang berlebihan. Firman Allah, "Wahai anak-anak Adam! Pakailah pakaian kamu yang indah berhias pada tiap-tiap kali kamu ke tempat ibadat (sembahyang), dan makanlah dan minumlah, dan jangan kamu melampau-lampau; sesungguhnya Allah tidak suka akan orang yang melampaui batas" (Surah al-A'raf: 31).

Penyakit akan bersarang dalam perut kerana perut paling aktif menghidupkan penyakit. Kerancakan umat Islam menghadir majlis rumah berbuka sewajarnya berhati-hati memilih makanan.

Namun, kita sering diingatkan bahawa sakit dan sihat adalah anugerah Allah SWT. Setiap penyakit yang menghinggapi diri adalah ujian Allah sebagai kafarah dosa yang dilakukan. Sabda Nabi SAW, "Tidak ada seseorang Islam yang ditimpa sesuatu yang menyakiti, iaitu penyakit atau lainnya, melainkan Allah gugurkan dengan sebab itu dosa-dosanya, sebagaimana pokok menggugurkan daunnya (pada musimnya yang tertentu)." (Hadis riwayat Abdullah bin Mas'ud RA)

Dari Syaddad bin Aus dan Al-Sunabihi RA bahawa kedua-duanya masuk melawat seorang sakit, lalu mereka bertanya kepadanya: "Bagaimana keadaanmu pagi ini?" Ia menjawab: "Aku berada dalam keadaan baik." Syaddad berkata kepadanya: "Bergembiralah engkau dengan perkara-perkara yang menghapuskan dosa dan menggugurkan kesalahan, kerana aku telah mendengar Rasulullah SAW bersabda: "Sesungguhnya Allah 'Azza wa Jalla berfirman: "Apabila aku menguji seseorang dari hamba-hamba-Ku yang mukmin dengan sesuatu penyakit, lalu ia memuji-Ku kerana ujian-Ku itu, maka sesungguhnya ia akan bangkit dari tempat baringnya itu seperti masa ia dilahirkan oleh ibunya bersih dari segala kesalahan; dan Tuhan berfirman kepada Malaikat penulis amal itu: "Aku telah mengikat hamba-Ku itu dan telah mengujinya, maka lakukanlah kepadanya apa yang kamu biasa lakukan untuknya (menulis amal baiknya) semasa ia berkeadaan sihat". (Hadis riwayat Syaddad bin Aus dan Al-Sunabihi RA)

Sumber : http://www.bharian.com/

Menjadikan bahasa Melayu bahasa dunia

Datuk Dr Hassan Ahmad
Oleh SAHBULAH DARWI

PERSIDANGAN Antarabangsa Bahasa Melayu Bahasa Dunia yang berlangsung di Johor Bahru selama tiga hari dan berakhir Rabu lalu, menyemarakkan lagi keyakinan untuk melihat bahasa Melayu menjadi bahasa dunia suatu hari nanti.

Pada masa ini terdapat lebih kurang 6,000 bahasa yang masih digunakan tetapi hanya 20 bahasa yang bertaraf bahasa rasmi yang penuturnya berjumlah lebih 50 juta orang. Dan bahasa Melayu adalah salah satu daripada 20 bahasa itu.

Jika dicampur pengguna bahasa itu di Malaysia, Indonesia, Brunei dan Singapura serta di negara lain maka jumlah penuturnya adalah hampir 300 juta orang, menjadikannya sebagai bahasa kelima terbesar di dunia selepas bahasa Inggeris (lebih kurang 1.4 bilion penutur), Mandarin (1 bilion penutur), Hindi dan Urdu (700 juta penutur) dan Sepanyol (lebih 300 juta penutur).

Namun begitu, bukanlah bilangan jumlah penutur semata-mata yang sepatutnya dijadikan ukuran sebaliknya terdapat ciri-ciri lain yang perlu dipenuhi untuk melayakkannya dipanggil bahasa dunia.

Apatah lagi, bahasa Melayu tidak terlepas daripada melalui pelbagai cabaran, hambatan dan krisis keyakinan hingga pada satu tahap ia cuba diperkecil dan dipinggirkan akibat putaran ganas politik, sosial dan ekonomi.

Tokoh bahasa dan budaya, Datuk Dr. Hassan Ahmad memberi pandangan cukup menarik terhadap usaha memartabatkan bahasa Melayu agar menjadi bahasa dunia kerana jumlah penutur bahasa tidak begitu penting tetapi apa yang penting ialah pengaruh bahasa itu untuk memajukan sesuatu bangsa.

Beliau berkata, sejarah menunjukkan bahasa Melayu menjadi bahasa antarabangsa apabila pemerintah zaman dahulu terutama raja dan sultan tetap tegas menggunakan bahasa Melayu dalam setiap urusan. Ia termasuk dalam soal diplomatik antara pedagang atau kuasa asing seperti Portugis, Belanda, Inggeris dan Perancis.

Melalui bukti-bukti kukuh antaranya dalam Sulalat al-Salatin atau Sejarah Melayu oleh Tun Sri Lanang dan Hikayat Raja Pasai antara abad ke-14 hingga ke-17 jelas menunjukkan pemerintah tidak berkompromi dalam soal bahasa.

Mengambil iktibar dalam aspek ini, kerajaan yang menjadi pemerintah kini perlu memastikan dasar-dasar yang digubal sentiasa menyokong usaha pengembangan bahasa Melayu.

Bahasa Melayu sememangnya berpotensi untuk muncul sebagai bahasa utama dunia dalam pelbagai bidang termasuk sains dan teknologi jika semua pihak bersungguh-sungguh memastikan impian itu menjadi kenyataan.

Persidangan yang dihadiri 410 peserta membabitkan pembentangan 16 kertas kerja itu menunjukkan suara optimistik untuk menggerakkan usaha ke arah itu.

Bagaimanapun, ia tidak sepatutnya terhenti sekadar dalam persidangan sahaja sebaliknya resolusi yang mengandungi tiga perkara yang dikemukakan perlu diusahakan dengan berkesan.

Tidak keterlaluan jika dicadangkan agar persidangan berkenaan perlu diadakan lagi pada masa depan dengan penyertaannya turut membabitkan orang politik dan pemimpin kerajaan berkaitan.

Ia bagi memastikan golongan yang terlibat dengan penggubalan dasar kerajaan memahami hasrat dan pandangan ahli akademik dan tokoh bahasa dalam persidangan berkenaan.

Lebih-lebih lagi, jika dilihat tiga perkara dalam resolusi itu separuh daripadanya adalah mendesak kerajaan melakukan sesuatu untuk memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa dunia.

Sumber : http://www.utusan.com.my/