Khamis, 5 September 2013

ISU PENDIDIKAN : Pelan Pendidikan Hasrat Capai Hasil Awal


KUALA LUMPUR : Orang ramai dijangka dapat melihat perubahan ketara dalam kaedah pelaksanaan sistem pendidikan negara tidak lama selepas pelaksanaan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025.

Antara hasil awal yang dijangka dilihat ialah syarat pengambilan guru diperketat dan dikuatkuasakan di semua institut pendidikan guru dan institusi pendidikan tinggi awam.

Ia turut menyasarkan 100 peratus sekolah mempunyai sambungan Internet dengan kelajuan sekurang-kurangnya 4Mbps melalui 1BestariNet, menurut PPPM 2013-2025 yang dilancarkan Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pendidikan, Tan Sri Muhyiddin Yassin, di sini Jumaat.

Satu lagi hasil awal yang dijangka diraih susulan pelaksanaan pelan pendidikan itu ialah semua guru opsyen bahasa Inggeris di bawah tahap penguasaan, dilatih untuk meningkatkan kemahiran.

Daripada segi ujian, 20 peratus daripada soalan peperiksaan akan mentaksir kemahiran berfikir aras tinggi dalam kalangan pelajar.

Prestasi guru turut diberi keutamaan dengan 410,000 guru akan dinilai melalui apa yang disifatkan sebagai instrumen bersepadu, dan 61,000 guru bahasa Inggeris dinilai pada tahap kecekapan berbahasa mengikut standard antarabangsa.

"Perubahan ini akan menjadi asas hasil yang dihasratkan untuk masa depan," kata pelan pembangunan berkenaan.

Pelan itu melakarkan visi sistem pendidikan dan aspiasi pelajar yang dapat memenuhi keperluan negara pada masa depan.

Ia mencadangkan 11 anjakan strategik dan operasi yang perlu dilaksanakan oleh Kementerian Pendidikan untuk mencapai visi yang dihasratkan. - BERNAMA

ISU PENDIDIKAN : Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia Manifestasi Transformasi Kerajaan


KUALA LUMPUR : Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Jumaat melancarkan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 (PPPM), satu-satunya manifestasi transformasi kerajaan yang paling menyeluruh dan paling besar, dalam mendatangkan pulangan terbaik modal insan untuk memacu segala hasrat pembangunan negara.

Timbalan perdana menteri yang juga menteri pendidikan berkata pelan itu dihasilkan demi masa depan anak-anak Malaysia yang merupakan harta yang tidak ternilai bagi bumi tercinta ini kerana di tangan merekalah kemajuan negara akan dipertaruhkan.

"Sekiranya pelan ini begitu komited untuk menyediakan anak-anak dengan kemahiran dalam enam aspirasi murid, adalah lebih baik dan molek jika dapat disambut dengan baik, dengan penuh rasa tanggungjawab, agar perencanaan ini dapat dilaksanakan sepenuhnya dan menghasilkan kejayaan yang dicita-citakan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap melancarkan PPPM bagi tempoh 2013 hingga 2025 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur di sini.

Yang turut hadir Menteri Pendidikan Kedua Datuk Seri Idris Jusoh, Timbalan-timbalan Menteri Pendidikan Datuk Mary Yap Kain Cheng dan P. Kamalanathan serta Ketua Pengarah Pelajaran Tan Sri Abdul Ghafar Mahmud.

Muhyiddin berkata dasar pendidikan sedia ada yang berasaskan kepada Akta Pendidikan masih dipertahankan dalam PPPM.

Beliau berkata kementerian tidak berhasrat meminggirkan mana-mana aliran persekolahan yang wujud di negara ini, malah akan memastikan setiap murid di Sekolah Kerajaan dan Sekolah Bantuan Kerajaan mendapat akses, ekuiti dan kualiti pendidikan.

"Kewujudan Sekolah Jenis Kebangsaan juga dijamin oleh Akta Pendidikan 1996 (Seksyen 28) dan ingin saya nyatakan di sini bahawa kedudukan bahasa-bahasa ibunda sebagai bahasa pengantar di sekolah-sekolah ini tidak pernah dinafikan sama sekali.

"Malah, peluang dan ruang dibuka untuk pendidikan bahasa tambahan selain Tamil, Cina atau Mandarin, bahasa Arab, Bidayuh, Dusun dan lain-lain kita tidak sekat dan halang.”

"Lebih ramai anak-anak kita dapat menguasai bahasa lain lebih baik untuk mereka dan negara," katanya.

Beliau berkata Kementerian Pendidikan juga akan terus memartabatkan bahasa Melayu dan memberi perhatian utama terhadap bahasa Inggeris yang akan dijadikan mata pelajaran Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) wajib lulus menjelang tahun 2016. - BERNAMA

Isu keracunan makanan : Dua kementerian bekerjasama tangani kes keracunan makanan di sekolah


PUTRAJAYA :  Kementerian Kesihatan (KKM) dan Kementerian Pendidikan (KPM) sedang menjalankan pelbagai program bersama bagi mengurangkan kes keracunan makanan di sekolah khususnya di sekolah rendah, yang disifatkan masih membimbangkan.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr S Subramaniam, berkata Pelan Tindakan Keselamatan dan Kualiti Makanan yang komprehensif dan menyeluruh diwujudkan dengan KPM dan agensi berkaitan bagi tujuan itu.

Subramaniam berkata, daripada 291 kes keracunan makanan yang dilaporkan sehingga Julai tahun ini, 81 kes keracunan makanan membabitkan 2,452 pelajar (7.6 peratus) daripada 32,091 pelajar yang terdedah.

"Pada tahun lalu, sebanyak 454 episod keracunan makanan dilaporkan di seluruh negara dan daripadanya 115 episod atau 25 peratus berlaku di sekolah.

"Ia didapati akibat makanan yang disediakan di kantin atau dapur asrama sekolah yang mana 4,117 pelajar menjadi mangsa keracunan makanan," katanya pada sidang media selepas menghadiri majlis Anugerah Kantin Sekolah Bersih Peringkat Kebangsaan 2012, di sini, hari ini.

Turut hadir Timbalan Menteri Pendidikan 11, P Kamalanathan, Pengarah Kanan Keselamatan dan Kualiti Makanan KKM Noraini Datuk Mohd Othman dan Pengarah Bahagian Pemakanan Jabatan Kesihatan Awam Rokiah Don.

Subramaniam berkata, beradasarkan Laporan Awal Wabak Penyakit Makanan dan Air Malaysia, faktor utama yang dikenal pasti kepada keracunan makanan ialah: bahan mentah tercemar; pencemaran silang dari tangan pengendali dan peralatan kepada makanan; tempoh penyimpanan makanan melebihi empat jam pada suhu yang tidak sesuai.

Selain itu, katanya, pengendali makanan yang tidak terlatih; proses memasak yang singkat menyebabkan makanan tidak masak dengan sempurna dan proses nyah beku tidak sempurna bagi bahan mentah sejuk beku juga mengakibatkan keracunan makanan di sekolah.

Katanya, menu utama yang dikenal pasti menjadi punca keracunan makanan adalah menu yang berasaskan nasi seperti nasi lemak dan nasi ayam, ayam, mi goreng, ikan masak sambal dan kari daging.

"Antara tindakan yang dijalankan adalah aktiviti pemantauan dan pemeriksaan rutin di kantin dan dapur asrama sekolah bagi memastikan supaya tahap kebersihan kantin dan dapur asrama sekolah adalah bersih dan memuaskan," katanya.

Katanya, tahun lalu Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan memeriksa 8,288 kantin sekolah dan mengarahkan 112 kantin sekolah (1.4 peratus) ditutup di bawah Seksyen 11, Akta Makanan 1988 kerana tahap kebersihan yang tidak memuaskan.

Sehingga Jun tahun ini, 7,224 kantin sekolah diperiksa dan 98 daripadanya diarah tutup atas kesalahan yang sama.

Katanya, selain penyediaan makanan bersih dan berkualiti di sekolah, kerajaan juga memandang serius terhadap barangan makanan yang dijual di sekolah dan di luar kawasan sekolah bagi menangani masalah obesiti dalam kalangan pelajar.

"Kajian menunjukkan obesiti di kalangan kanak-kanak dan remaja berumur 18 tahun ke bawah telah meningkat kepada 26 peratus, satu angka yang membimbangkan. Kita perlu cari penyelesaian segera, kalau tidak ia akan membawa pelbagai masalah bila mereka besar nanti," katanya.

Menyentuh pertandingan kantin sekolah bersih, Subramaniam berkata ia diadakan untuk meningkatkan kesedaran pengendali makanan, guru-guru dan pelajar supaya makanan yang dijual di kantin sekolah adalah selamat.

Sebanyak 41 buah kantin sekolah rendah bandar dan 35 kantin sekolah rendah luar bandar menyertai pertandingan kali ini.

- BERNAMA

ISU PENDIDIKAN : Pembantu pentadbiran diwujudkan di sekolah


Oleh : KAMIL MASLIH

KUALA LUMPUR 4 Sept. - Sebanyak 10,000 jawatan pembantu pentadbiran akan diwujudkan di sekolah-sekolah seluruh negara bagi membantu meringankan beban guru dalam menjalankan tanggungjawab pentadbiran.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, rancangan yang merupakan sebahagian daripada Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 itu akan dilaksanakan secara berperingkat-peringkat.

"Memang guru ada terasa beban dengan kerja-kerja pentadbiran tetapi itu merupakan sebahagian daripada tanggungjawab guru.

"Begitupun, antara langkah untuk mengurangkan beban ini adalah setiap sekolah akan dihantar seorang Pembantu Pentadbiran dan secara keseluruhannya seramai 10,000 kakitangan akan dihantar berperingkat-peringkat," katanya ketika menjadi tetamu dalam rancangan Soal Jawab TV3 di sini hari ini.

Menurut Muhyiddin yang juga Menteri Pendidikan, pelan yang mengambil tempoh dua tahun kajian itu sememangnya memberi penekanan besar kepada soal guru yang berkualiti dan berkemahiran.

Katanya, daripada 35,000 guru Bahasa Inggeris yang gagal mencapai tahap penguasaan penuh, sebanyak 5,000 guru telah diberikan latihan dan 10,000 guru lagi akan mengikuti latihan sama.

"Tidak hanya terbatas kepada guru Bahasa Inggeris, sebanyak 410,000 guru di seluruh negara akan dinilai dalam instrumen bersepadu," katanya.

Dalam pada itu, Muhyiddin memberitahu, PPPM akan memberi tumpuan untuk melonjakkan bidang matematik dan sains di samping melahirkan modal insan yang berkualiti.

"Kita mahu melahirkan pelajar cemerlang dari segi akademik dan kokurikulum serta ada perimbangan sahsiah diri dan budi pekerti, dengan kata lain, insan kamil yang lengkap serba-serbi," katanya.

Jelas beliau, PPPM dihasilkan menerusi pelbagai rundingan meja bulat, program hari terbuka dan telah menerima beribu-ribu memorandum daripada golongan pendidik, ibu bapa, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta segelintir golongan ekstrem.

"Dalam menyediakan laporan ini juga, kita mendapatkan pandangan pakar pendidikan dari Korea Selatan, Singapura dan Kanada serta pakar-pakar pendidikan tempatan," katanya.

Katanya, pelan yang mengambil tempoh kajian selama dua tahun itu meliputi segenap aspek termasuk dalam soal pendidikan vokasional, pendidikan Islam serta pendidikan khas untuk orang kurang upaya (OKU).

Tambahnya, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak telah memberi komitmen untuk menyokong sepenuhnya PPPM 2013-2025 yang akan dibentangkan Jumaat ini.

"Hanya dengan sokongan dan penglibatan semua pihak, baru kita dapat melihat hasil pelan ini dan dalam tempoh 13 tahun ini harus ada penambahbaikan dalam bidang pendidikan yang setara dengan negara-negara maju," katanya.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/