PUTRAJAYA : Kementerian Kesihatan (KKM) dan Kementerian
Pendidikan (KPM) sedang menjalankan pelbagai program bersama bagi mengurangkan
kes keracunan makanan di sekolah khususnya di sekolah rendah, yang disifatkan
masih membimbangkan.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr
S Subramaniam, berkata Pelan Tindakan Keselamatan dan Kualiti Makanan yang
komprehensif dan menyeluruh diwujudkan dengan KPM dan agensi berkaitan bagi
tujuan itu.
Subramaniam berkata, daripada 291
kes keracunan makanan yang dilaporkan sehingga Julai tahun ini, 81 kes
keracunan makanan membabitkan 2,452 pelajar (7.6 peratus) daripada 32,091
pelajar yang terdedah.
"Pada tahun lalu, sebanyak
454 episod keracunan makanan dilaporkan di seluruh negara dan daripadanya 115
episod atau 25 peratus berlaku di sekolah.
"Ia didapati akibat makanan
yang disediakan di kantin atau dapur asrama sekolah yang mana 4,117 pelajar
menjadi mangsa keracunan makanan," katanya pada sidang media selepas
menghadiri majlis Anugerah Kantin Sekolah Bersih Peringkat Kebangsaan 2012, di
sini, hari ini.
Turut hadir Timbalan Menteri
Pendidikan 11, P Kamalanathan, Pengarah Kanan Keselamatan dan Kualiti Makanan
KKM Noraini Datuk Mohd Othman dan Pengarah Bahagian Pemakanan Jabatan Kesihatan
Awam Rokiah Don.
Subramaniam berkata, beradasarkan
Laporan Awal Wabak Penyakit Makanan dan Air Malaysia, faktor utama yang dikenal
pasti kepada keracunan makanan ialah: bahan mentah tercemar; pencemaran silang
dari tangan pengendali dan peralatan kepada makanan; tempoh penyimpanan makanan
melebihi empat jam pada suhu yang tidak sesuai.
Selain itu, katanya, pengendali
makanan yang tidak terlatih; proses memasak yang singkat menyebabkan makanan
tidak masak dengan sempurna dan proses nyah beku tidak sempurna bagi bahan
mentah sejuk beku juga mengakibatkan keracunan makanan di sekolah.
Katanya, menu utama yang dikenal
pasti menjadi punca keracunan makanan adalah menu yang berasaskan nasi seperti
nasi lemak dan nasi ayam, ayam, mi goreng, ikan masak sambal dan kari daging.
"Antara tindakan yang
dijalankan adalah aktiviti pemantauan dan pemeriksaan rutin di kantin dan dapur
asrama sekolah bagi memastikan supaya tahap kebersihan kantin dan dapur asrama
sekolah adalah bersih dan memuaskan," katanya.
Katanya, tahun lalu Bahagian
Keselamatan dan Kualiti Makanan memeriksa 8,288 kantin sekolah dan mengarahkan
112 kantin sekolah (1.4 peratus) ditutup di bawah Seksyen 11, Akta Makanan 1988
kerana tahap kebersihan yang tidak memuaskan.
Sehingga Jun tahun ini, 7,224
kantin sekolah diperiksa dan 98 daripadanya diarah tutup atas kesalahan yang
sama.
Katanya, selain penyediaan
makanan bersih dan berkualiti di sekolah, kerajaan juga memandang serius
terhadap barangan makanan yang dijual di sekolah dan di luar kawasan sekolah
bagi menangani masalah obesiti dalam kalangan pelajar.
"Kajian menunjukkan obesiti
di kalangan kanak-kanak dan remaja berumur 18 tahun ke bawah telah meningkat
kepada 26 peratus, satu angka yang membimbangkan. Kita perlu cari penyelesaian
segera, kalau tidak ia akan membawa pelbagai masalah bila mereka besar nanti,"
katanya.
Menyentuh pertandingan kantin
sekolah bersih, Subramaniam berkata ia diadakan untuk meningkatkan kesedaran
pengendali makanan, guru-guru dan pelajar supaya makanan yang dijual di kantin
sekolah adalah selamat.
Sebanyak 41 buah kantin sekolah
rendah bandar dan 35 kantin sekolah rendah luar bandar menyertai pertandingan
kali ini.
- BERNAMA