KUALA LUMPUR 4 Sept. -
Sebanyak 10,000 jawatan pembantu pentadbiran akan diwujudkan di sekolah-sekolah
seluruh negara bagi membantu meringankan beban guru dalam menjalankan
tanggungjawab pentadbiran.
Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri
Muhyiddin Yassin berkata, rancangan yang merupakan sebahagian daripada Pelan
Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 itu akan dilaksanakan secara
berperingkat-peringkat.
"Memang guru ada terasa
beban dengan kerja-kerja pentadbiran tetapi itu merupakan sebahagian daripada
tanggungjawab guru.
"Begitupun, antara langkah
untuk mengurangkan beban ini adalah setiap sekolah akan dihantar seorang
Pembantu Pentadbiran dan secara keseluruhannya seramai 10,000 kakitangan akan
dihantar berperingkat-peringkat," katanya ketika menjadi tetamu dalam
rancangan Soal Jawab TV3 di sini hari ini.
Menurut Muhyiddin yang juga
Menteri Pendidikan, pelan yang mengambil tempoh dua tahun kajian itu
sememangnya memberi penekanan besar kepada soal guru yang berkualiti dan
berkemahiran.
Katanya, daripada 35,000 guru
Bahasa Inggeris yang gagal mencapai tahap penguasaan penuh, sebanyak 5,000 guru
telah diberikan latihan dan 10,000 guru lagi akan mengikuti latihan sama.
"Tidak hanya terbatas kepada
guru Bahasa Inggeris, sebanyak 410,000 guru di seluruh negara akan dinilai dalam
instrumen bersepadu," katanya.
Dalam pada itu, Muhyiddin
memberitahu, PPPM akan memberi tumpuan untuk melonjakkan bidang matematik dan
sains di samping melahirkan modal insan yang berkualiti.
"Kita mahu melahirkan
pelajar cemerlang dari segi akademik dan kokurikulum serta ada perimbangan
sahsiah diri dan budi pekerti, dengan kata lain, insan kamil yang lengkap
serba-serbi," katanya.
Jelas beliau, PPPM dihasilkan
menerusi pelbagai rundingan meja bulat, program hari terbuka dan telah menerima
beribu-ribu memorandum daripada golongan pendidik, ibu bapa, pertubuhan bukan
kerajaan (NGO) serta segelintir golongan ekstrem.
"Dalam menyediakan laporan
ini juga, kita mendapatkan pandangan pakar pendidikan dari Korea Selatan,
Singapura dan Kanada serta pakar-pakar pendidikan tempatan," katanya.
Katanya, pelan yang mengambil
tempoh kajian selama dua tahun itu meliputi segenap aspek termasuk dalam soal
pendidikan vokasional, pendidikan Islam serta pendidikan khas untuk orang
kurang upaya (OKU).
Tambahnya, Perdana Menteri, Datuk
Seri Najib Tun Razak telah memberi komitmen untuk menyokong sepenuhnya PPPM
2013-2025 yang akan dibentangkan Jumaat ini.
"Hanya dengan sokongan dan
penglibatan semua pihak, baru kita dapat melihat hasil pelan ini dan dalam
tempoh 13 tahun ini harus ada penambahbaikan dalam bidang pendidikan yang
setara dengan negara-negara maju," katanya.
Sumber : http : //www.utusan.com.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan