KUALA LUMPUR : Tan Sri
Muhyiddin Yassin pada Jumaat melancarkan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia
2013-2025 (PPPM), satu-satunya manifestasi transformasi kerajaan yang paling
menyeluruh dan paling besar, dalam mendatangkan pulangan terbaik modal insan
untuk memacu segala hasrat pembangunan negara.
Timbalan perdana menteri yang
juga menteri pendidikan berkata pelan itu dihasilkan demi masa depan anak-anak
Malaysia yang merupakan harta yang tidak ternilai bagi bumi tercinta ini kerana
di tangan merekalah kemajuan negara akan dipertaruhkan.
"Sekiranya pelan ini begitu
komited untuk menyediakan anak-anak dengan kemahiran dalam enam aspirasi murid,
adalah lebih baik dan molek jika dapat disambut dengan baik, dengan penuh rasa
tanggungjawab, agar perencanaan ini dapat dilaksanakan sepenuhnya dan
menghasilkan kejayaan yang dicita-citakan," katanya.
Beliau berkata demikian ketika
berucap melancarkan PPPM bagi tempoh 2013 hingga 2025 di Pusat Konvensyen Kuala
Lumpur di sini.
Yang turut hadir Menteri
Pendidikan Kedua Datuk Seri Idris Jusoh, Timbalan-timbalan Menteri Pendidikan
Datuk Mary Yap Kain Cheng dan P. Kamalanathan serta Ketua Pengarah Pelajaran
Tan Sri Abdul Ghafar Mahmud.
Muhyiddin berkata dasar
pendidikan sedia ada yang berasaskan kepada Akta Pendidikan masih dipertahankan
dalam PPPM.
Beliau berkata kementerian tidak
berhasrat meminggirkan mana-mana aliran persekolahan yang wujud di negara ini,
malah akan memastikan setiap murid di Sekolah Kerajaan dan Sekolah Bantuan
Kerajaan mendapat akses, ekuiti dan kualiti pendidikan.
"Kewujudan Sekolah Jenis
Kebangsaan juga dijamin oleh Akta Pendidikan 1996 (Seksyen 28) dan ingin saya
nyatakan di sini bahawa kedudukan bahasa-bahasa ibunda sebagai bahasa pengantar
di sekolah-sekolah ini tidak pernah dinafikan sama sekali.
"Malah, peluang dan ruang
dibuka untuk pendidikan bahasa tambahan selain Tamil, Cina atau Mandarin,
bahasa Arab, Bidayuh, Dusun dan lain-lain kita tidak sekat dan halang.”
"Lebih ramai anak-anak kita
dapat menguasai bahasa lain lebih baik untuk mereka dan negara," katanya.
Beliau berkata Kementerian
Pendidikan juga akan terus memartabatkan bahasa Melayu dan memberi perhatian
utama terhadap bahasa Inggeris yang akan dijadikan mata pelajaran Sijil
Pelajaran Malaysia (SPM) wajib lulus menjelang tahun 2016. - BERNAMA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan