Isnin, 28 Januari 2013

ISU GLOBAL : 2012 tahun paling panas?




Saintis Nasa memaklumkan rekod suhu 2012 didakwa mengukuhkan lagi corak pemanasan global.

Ia juga dicatatkan sebagai antara 10 tahun paling panas pernah direkodkan dan melebihi purata jangka panjang untuk tempoh lebih tiga dekad.

Rekod suhu yang dikumpulkan secara berasingan oleh Nasa dan Pentadbiran Atmosfera dan Lautan Kebangsaan (NOAA) mendapati permukaan suhu global meningkat kira-kira -17 darjah Celsius sejak tahun 1880.

Selain itu, rekod Nasa juga menunjukkan 2012 menjadi tahun kesembilan paling panas.

Pengarah NOAA, Tom Karl berkata, peningkatan suhu itu adalah disebabkan pembebasan gas karbon dioksida (CO2).

‘Bumi semakin hilang keseimbangan dan kami menjangkakan untuk beberapa dekad lagi suhu akan menjadi lebih panas,” katanya.

“Telah nampak kerosakan di darat dan di laut disebabkan perbuatan tangan manusia; Allah menghendaki supaya manusia merasakan sebahagian daripada (akibat) perbuatan mereka, supaya mereka kembali (ke jalan yang benar).” Ayat 41, Surah Ar-Rum

10 kesan akibat pemanasan global pada masa depan

Kawasan Great Barrier Reef mungkin akan musnah dalam tempoh 20 tahun. Ia akan menjadi ekosistem pertama dunia yang pupus jika paras karbon dioksida meningkat  antara tahun 2030 dan 2060.

Hutan hujan Amazon akan bertukar menjadi padang pasir jika kawasan hutan hujan tropika terbesar itu musnah akibat daripada pemanasan global. Kira-kira 30 hingga 60 peratus kawasan hutan yang menjadi habitat jutaan spesies flora dan fauna itu kini terancam.

Gurun Sahara mungkin ditumbuhi rumput berikutan peningkatan taburan hujan. Ia akan kembali menjadi kawasan sesuai untuk pertanian seperti kira-kira 12,000 tahun lalu.

Taufan akan menjadi lebih dahsyat. Pemanasan global juga boleh menyebabkan taufan kategori 5 dan paras air laut meningkat serta menyebabkan banjir terburuk di kawasan pesisir pantai.

London juga mungkin berisiko tenggelam menjelang tahun 2100 seperti kawasan dataran rendah.Peningkatan mendadak paras air laut meletakkan puluhan bandar termasuk New York turut terancam.


Haiwan mungkin akan mengecil akibat daripada kesan pemanasan global. Kajian saintis mendapati saiz haiwan ternakan di Scotland menjadi lebih kecil akibat cuaca panas.

Kira-kira 2,000 pulau di Indonesia juga akan musnah menjelang 2030, kesan daripada aktiviti perlombongan secara berleluasa. Pada masa ini, Indonesia telah kehilangan 24 daripada 17,500 pulau yang terdapat di negara itu.

Pemanasan global didakwa boleh meningkatkan aktiviti keganasan. Keadaan itu akan menjejaskan kestabilan negara miskin di seluruh dunia. Penduduk mungkin cenderung untuk melarikan diri dan menyebabkan tekanan kepada negara yang menerima kumpulan pelarian tersebut.

Kawasan di pergunungan juga terdedah akibat perubahan suhu. Saintis menjangkakan glasier itu akan mencair sepenuhnya antara tahun 2030 dan 2050.

Maldives juga berisiko untuk tenggelam berikutan dunia kini terancam dengan  hakisan pantai. Keadaan itu akan menyebabkan pulau tersebut menjadi semakin kecil dan ia dijangka tenggelam dalam tempoh seratus tahun.

Garis masa fenomena cuaca melampau 2012

JANUARI

Banjir, tanah runtuh landa tenggara Brazil, menyebabkan 13,000 penduduk terpaksa dipindahkan . Hujan berterusan di kawasan itu turut menjejaskan kira-kira dua juta penduduk.

50 kebakaran hutan dilaporkan di tengah dan selatan Chile. Ribuan orang terpaksa dipindahkan dan turut menyebabkan ratusan rumah musnah serta kerugian mencecah jutaan ringgit.

Cuaca sejuk melampau dan salji tebal berlaku selama tiga minggu di Eropah.

Lebih 650 nyawa terkorban terutamanya di Rusia, Ukraine dan Poland.


FEBRUARI

Benua Amerika Syarikat mengalami suhu panas semasa musim sejuk bermula Disember 2011 hingga Februari 2012.

Suhu direkodkan mencecah -16 darjah Celsius.

Banjir besar di barat daya Queensland dan utara New South Wales menyebabkan ribuan penduduk terpaksa meninggalkan rumah mereka.

10 juta penduduk termasuk lebih sejuta kanak-kanak di Sahel mengalami krisis makanan berikutan kawasan itu dilanda kemarau terburuk.

MAC

Laporan IPCC berhubung Iklim dan Cuaca Melampau yang ditulis oleh 220 pakar dari 62 negara mendapati perubahan iklim telah menyebabkan gelombang haba, suhu meningkat tinggi dan hujan berterusan di kebanyakan rantau sejak 50 tahun lalu.

APRIL

Kawasan di selatan dan barat daya Amerika Syarikat dilanda kemarau luar biasa.

MEI

Banjir menjejaskan lebih 11,000 penduduk Rwanda. Kira-kira 1,000 hektar kawasan pertanian turut ditenggelami banjir. Beberapa infrastruktur seperti sekolah, klinik perubatan dan jalan raya paling terjejas.

Kemarau terburuk yang melanda timur laut Brazil dalam tempoh 50 tahun telah menjejaskan lebih 1,100 bandar. Secara purata, berlaku satu kematian sehari akibat kemarau itu.

JUN

Kemarau dan haba panas telah menyebabkan kebakaran hutan di kawasan seluas 5.5 hektar di Amerika Syarikat. Menjelang akhir Jun, sebanyak 57 hutan di 15 negeri telah musnah terutamanya di Colarado. Lebih 700 rumah dilaporkan telah musnah dalam kebakaran itu.

Hujan lebat di China mengakibatkan kira-kira lima juta penduduk terpaksa dipindahkan. Sebanyak 67 kematian turut dicatatkan.

JULAI

Hujan lebat berterusan selama 16 jam berhampiran Beijing turut meragut 77 nyawa. Kira-kira 700,000 penduduk terpaksa dipindahkan dan 500 penerbangan dibatalkan. Pada akhir Julai, China sekali lagi dilanda hujan lebat yang mengakibatkan 18 orang maut.

OGOS

Kira-kira satu juta penduduk terjejas selepas hujan berterusan selama dua minggu menenggelamkan 50 peratus bandar Manila.

Taufan yang membadai timur China memusnahkan 60,000 rumah dan menyebabkan sekurang-kurangnya 23 terkorban.

Banjir kilat dan kejadian tanah runtuh di Bangladesh meragut 130 nyawa dan menjejaskan kira-kira satu juta penduduk.

Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) bertindak mengawal virus West Nile yang menjadi wabak terbesar dalam sejarah di Amerika Syarikat(AS).

Menjelang minggu ketiga, sebanyak 1,118 kes pesakit dijangkiti virus itu dilaporkan di 47 negeri di AS. Ia turut menyebabkan 41 kematian.

Taufan Isaac membadai pantai teluk AS, kira-kira tujuh tahun selepas insiden taufan Katrina. Taufan kategori 1 itu turut menyebabkan hujan lebat melanda New Orleans.

SEPTEMBER

Paras ais Laut Artik mencatat rekod terendah sejak tahun 1979. Saintis memberitahu ais Artik mengecil kepada 3.41 kilometer persegi pada tahun lalu.

OKTOBER

Taufan Jelawat turut disenaraikan sebagai taufan terkuat yang membadai Pasifik Barat selepas Bolaven dan Sanba. Ketigatiga taufan itu telah membadai Jepun dan menyebabkan hujan lebat serta banjir di Semenanjung Korea.

Semenanjung Baja dibadai taufan Paul yang turut menyebabkan 1,000 rumah musnah. Banjir dan bekalan elektrik terputus turut menjejaskan 16,000 penduduk.

Selatan Australia mencatatkan purata taburan hujan terendah sejak tahun 1900.

Nigeria dilanda banjir terburuk selepas dua sungai terbesar negara itu, Niger dan Benue melimpah. Banjir yang bermula sejak Julai itu turut menyebabkan 363 maut, 2.2 juta hilang tempat tinggal dan kira-kira lapan juta penduduk terjejas.

NOVEMBER

Kawasan di timur Australia dilanda gelombang haba manakala tenggara dan tengah negara itu pula mengalami musim bunga yang luar biasa akibat fenomena itu.

Hujan lebat luar biasa menyebabkan banjir di seluruh Britain. Ia turut mengakibatkan kerugian sehingga 1.33 bilion pound (RM6.4 bilion).

DISEMBER

Pada 4 Disember, taufan Bopha menjadi ribut tropika terkuat yang membadai kepulauan Mindanao, Filipina. Angka kematian mencecah 902 orang dan lebih 600 hilang.

Sumber : http  : //www.sinarharian.com.my/

ISU GLOBAL : ASEAN kian dinamik hadapi cabaran global


Oleh : Dr Mohd Aizizuddin Mohd Sani
 
Negara anggota perlu bekerjasama tumpu agenda ekonomi, kemakmuran

Sejak penubuhannya pada 8 Ogos 1967, Pertubuhan Negara-Negara Asia Tenggara atau ASEAN berkembang menjadikan rantau Asia Tenggara ini dinamik. Kita dapat melihat kestabilan politik, kemakmuran ekonomi dan kesejahteraan sosial sejak penubuhannya.

Hasrat penubuhan Komuniti ASEAN yang dijangka pada 2015 akan menjadikan 10 negara Asia Tenggara-Malaysia, Thailand, Indonesia, Filipina, Singapura, Kemboja, Myanmar, Laos, Vietnam dan Brunei bergantung antara satu sama lain melalui kemuafakatan dan kerjasama yang merancakkan perkembangan Asia Tenggara yang mempunyai populasi sejumlah 800 juta penduduk.

Kekal relevan

ASEAN kini lebih bijak meneropong dirinya supaya kekal relevan dan meneruskan agenda kemakmuran Asia Tenggara yang ingin dikecapi. Menyedari hasrat menjadikan rantau Asia Tenggara dinamik, ASEAN perlu bijak membawa agenda pembaharuan. Lantas ini membawa kepada kewujudan Piagam ASEAN yang secara rasminya dilancarkan pada 15 Disember 2008.

Sebelum ini ASEAN dikritik kerana masih membawa agenda Konservatif-Komunitarianisme yang lebih memberikan penekanan kepada peranan negara atau ‘state-centric’ dalam membuat keputusan.

Selain itu, campur tangan negara besar seperti Amerika Syarikat (AS) dan Eropah banyak mempengaruhi tindakan ASEAN dan mendesaknya berubah. Perubahan yang dilakukan ASEAN kini bukanlah disebabkan tekanan diberikan oleh kuasa besar itu.

ASEAN perlu berubah

Sebenarnya, tekanan diberikan rakyat di negara ASEAN menyebabkan ASEAN berfikir untuk berubah. Untuk terus kekal relevan, ASEAN harus lebih terbuka dan merangka perubahan pendekatannya.

Maka agenda Liberal-Komunitarianisme secara merakyatkan dasar, atau people centic, dibawa oleh pemimpin ASEAN, khususnya Dr Surin Pitsuwan yang kini menjadi Setiausaha Agung ASEAN.

Tuntutan dan tekanan agenda Liberal-Komunitarianisme ini bermula pada 1990-an lagi melalui tuntutan untuk menjadikan ASEAN lebih progresif dan responsif kepada politik dalaman dengan menolak agenda cara ASEAN dan mendesak agenda campur tangan konstruktif.

Alasan diberikan konflik dalaman di negara ASEAN akan menyebabkan negara jiran ASEAN lain menerima tempiasnya seperti pelarian politik dan ekonomi Vietnam kesan daripada Perang Vietnam yang lari ke Malaysia.

Walaupun agenda ini gagal pada 1990-an, namun menjadi sangat signifikan pada alaf baru ini.

Beri ruang gerakan masyarakat

Kita juga melihat ASEAN memberi ruang kepada gerakan masyarakat sivil untuk aktif berinteraksi dalam mempengaruhi agenda Komuniti ASEAN untuk membangkitkan isu seperti pemerintahan yang terbaik, hak asasi manusia, kebebasan berpolitik dan sebagainya.

Misalnya di dalam Persidangan ASEAN di Kemboja tahun lalu yang membawa persetujuan konsensus negara ASEAN terhadap agenda hak asasi manusia.

Walaupun agenda ASEAN masih dikekalkan, yang jelas kini, berlakunya perubahan dasar ASEAN yang lebih terbuka dalam membawa agenda baru.

Persetujuan Myanmar, misalnya menerima demokrasi dilihat sebagai kejayaan ASEAN menerapkan gabungan agenda cara ASEAN yang lebih bercorak campur tangan konstruktif.

Hadapi kekuatan China

Bagaimanapun, cabaran utama ASEAN pada masa hadapan ialah bagaimana untuk menghadapi kekuatan China yang mula mendominasi ekonomi dan politik global.
Tindakan China yang mula menuntut Laut China Selatan sebagai haknya menjadikan ASEAN berasa terancam meskipun China kekal sebagai rakan dagangan terbesar ASEAN.

Filipina mula menunjukkan hasrat untuk berkonfrontasi dengan China dengan dibantu AS. Penempatan tentera AS di Darwin, Australia juga dilihat sebagai strategi untuk menghalang perluasan kuasa China.

ASEAN harus bertindak bijak untuk memastikan keamanan dan kesejahteraan Asia Tenggara terus berkekalan. ASEAN tidak harus berkonflik dengan China. Malah segala konflik harus diselesaikan secara diplomasi untuk kebaikan bersama.

Bagaimanapun, setiap negara ASEAN harus saling bekerjasama untuk muafakat menghadapi China dengan menjadikan China-ASEAN sebagai rakan kebergantungan.

Maksudnya China akan terus kekal bergantung dengan ASEAN untuk kekal makmur.

Yang pasti kini, ASEAN semakin matang menghadapi cabaran global dan serantau. Melalui kepemimpinan yang bijak, ASEAN mampu menghadapi segala cabaran pada masa hadapan secara bijaksana.

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

ISU KESIHATAN : Dunia hadapi krisis obesiti


Davos : Pakar kesihatan menggesa pemimpin dunia menangani masalah obesiti dengan tidak hanya menyalahkan penduduk sebagai kurang semangat untuk menurunkan berat badan.

Mereka menyifatkan obesiti kini satu pandemik global kerana menjangka lebih separuh penduduk dunia akan obes dalam tempoh dua dekad.

Pakar kesihatan, pemakanan dan kecergasan memberi gambaran itu ketika berucap di Forum Ekonomi Dunia di sini.

Mereka percaya, dunia perlu menangani krisis obesiti dengan menggunakan pendekatan sama seperti dalam usaha membanteras tabiat merokok.

Oleh kerana semakin banyak makanan tidak baik untuk kesihatan dan kian ramai memilih untuk tidak bersenam, dunia perlu mencari jawapan kepada masalah penyakit jantung dan diabetes yang membunuh 2.8 juta orang setahun, kata mereka.

Pada masa ini, angka rasmi menunjukkan 1.4 bilion orang dewasa sudah mempunyai berat badan berlebihan dan angka itu akan meningkat.

Perkara itu dijelaskan oleh dekan Kajian Kesihatan Awam Mailman di Universiti Columbia, Amerika Syarikat, Linda Fried kepada panel mengenai obesiti di forum berkenaan.

“Dalam tempoh 20 tahun lagi, jika keadaan dibiarkan, 50 hingga 60 peratus penduduk dewasa dunia akan mempunyai berat badan berlebihan.

Meningkat dengan pantas

“Jika ini adalah penyakit berjangkit, kita tentu menggelarnya pandemik. Ia juga bukan terhad kepada wilayah tetapi global. Ia juga meningkat dengan pantas dan berterusan, suatu takrif pandemik,” kata Fried.

Punca utama ialah makanan berkalori tinggi dan gaya hidup kurang aktif, kata pakar.

Naib Presiden Sukan Nike, Lisa MacCallum Carter, berkata obesiti ada kaitan dengan krisis ‘gaya hidup tidak aktif’ disebabkan arus kemodenan.

Beliau merujuk kepada penyelidikan menunjukkan warga Amerika kurang aktif 32 peratus berbanding 1967 dan boleh mencapai 50 peratus menjelang 2030. - AGENSI

ISU AGAMA : Menangani filem tempatan menghina Islam


Oleh : KU SEMAN KU HUSSAIN

KETIKA kontroversi filem Innocence of Muslims yang disiarkan di YouTube September lalu, banyak pihak di negara ini mengecam filem itu sebagai menghina Islam. Malah dalam kalangan pengarah dan penerbit filem tempatan pun turut mengecam filem yang menghina Nabi Muhammad SAW.

Sesiapa pun yang waras tidak akan mempertahankan filem ini. Innocence of Muslims bukan dihasilkan oleh pengarah atau penerbit Islam. Filem ini dihasilkan oleh bukan Islam dengan matlamat menghina orang Islam.

Tindakan mengecam filem ini termasuk dalam kalangan penggiat industri filem adalah suatu yang baik. Ini menunjukkan mereka peka terhadap sesuatu yang menghina agama rasmi negara ini.

Baru-baru ini pula tercetus satu lagi kontroversi apabila pelakon dan bekas juruhebah radio, Patrick Teoh mengeluarkan kenyataan menghina Islam dalam laman sosialnya. Kenyataan Patrick memang suatu yang melampau kerana menyentuh tentang kesucian agama Islam. Tetapi Patrick dengan cepat mengakui kesilapannya serta meminta maaf kepada seluruh umat Islam.

Isu Patrick menghina Islam ini juga turut mengundang kecaman daripada pelbagai pihak termasuk kalangan artis sendiri. Persatuan Seniman Malaysia (Seniman) misalnya dengan lantang mengecam kenyataan Patrick. Tindakan Seniman dan pihak lain juga memang kena pada tempatnya.

Saya sama sekali tidak menafikan bahawa kedua-dua kejadian di atas adalah menghina Islam. Tetapi saya melihat isu menghina Islam ini juga wujud dalam sesetengah filem dan drama televisyen yang dihasilkan orang tempatan sendiri.

Filem sebagai sebuah karya seni yang menuntut pemikiran dan tanggungjawab mesti kembali kepada asas iaitu keindahan bentuk, kandungan, rasa dan mesti berfaedah kepada bangsa. Bentuk adalah paparan yang dilihat, kandungan adalah naratif yang membawa wacana, rasa adalah hubungan pengkarya dan khalayak. Semua ini mesti bersatu untuk menyumbang kepada pembinaan bangsa. Apa yang banyak berlaku dalam filem tempatan tiada keindahan bentuk dan kandungan. Kesannya walau sehebat mana sekalipun sambutannya, filem ini tidak menyumbang kepada bangsa.

Kerana itu sesebuah filem boleh dikelaskan sebagai menghina Islam apabila pengarah Islam di negara Islam mencipta adegan pelakon lelaki dan wanita Islam melakonkan babak semi porno dengan begitu terperinci. Adegan begini bukan lagi suatu yang luar biasa. Anehnya adegan begini hampir tidak ada dalam filem Melayu yang dibiayai oleh kapitalis Hong Kong dan diarahkan oleh pengarah dari India pada dekad 1940-an hingga 1960-an di Singapura. Padahal ketika itu penerbit dan pengarahnya adalah orang luar dari latar budaya dan agama yang berbeza.

Sekarang telah menjadi satu kecenderungan filem tempatan untuk memperdagangkan adegan semi porno dan bergomol lelaki wanita bagi menarik penonton. Pengarah dan penerbit memberi helah, adegan itu terpaksa dicipta kerana kehendak cerita sekalipun menghina Islam. Mereka memperdaya khalayak termasuk pihak penapis kononnya ini bukan menghina Islam tetapi sebuah karya seni. Tidak cukup dengan itu ada pula pelakon wanita yang melakukannya menganggap "kejayaan" melakonkan adegan itu sebagai satu kemuncak kerjaya seninya.

Kita mempersoalkan apakah tujuan mewujudkan adegan seperti itu sedangkan ada cara lain untuk memberitahu tentang perkara yang sama tanpa memaparkannya? Lihatlah filem-filem mengenai mat rempit, gengster atau bohsia, adegan ini adalah satu yang wajib dipaparkan. Untuk memberi mesej, kata pengarahnya.

Pernahkah kita melabelkan pengarah yang membuat adegan melondeh pelakon wanita Islam sebagai menghina Islam?

Kalau Patrick mengaku kesilapannya menghina Islam, pengarah dan pelakon ini tidak mengakui kesilapan mereka malah terus melakukannya. Baru-baru ini seorang pelakon lelaki memuji keterbukaan seorang pelakon wanita kerana bersikap "profesional" membenarkan dia mencium dahi pelakon wanita berkenaan dalam sebuah drama. Kenyataan ini diberikan secara sedar, terbuka dengan penuh bangga. Tetapi tidak ada sepatah pun reaksi dalam kalangan kita yang mengatakan kenyataan itu keterlaluan.

Begitu juga lebih kurang dua bulan lalu, sebuah stesen televisyen telah menyiarkan adegan pelakon wanita mencium pipi pelakon lelaki pada waktu perdana. Kalau sebelum ini hanya filem untuk tayangan di pawagam sahaja ada adegan begini, sekarang sudah menyusup ke dalam drama televisyen. Semuanya berlalu tanpa sebarang kontroversi.

Walaupun kehidupan artis selalu dikaitkan dengan seks bebas, ketagih arak, bersekedudukan dan sebagainya, perkara itu masih boleh dianggap peribadi selagi tidak disaksikan oleh umum. Khalayak yang bukan dalam kalangan artis mungkin tidak melihat perbuatan itu. Tetapi kewujudan adegan semi porno yang terperinci boleh dilihat dengan mudah oleh semua orang termasuk kanak-kanak. Babak pelakon wanita Islam cium pipi pelakon lelaki Islam pun sudah sampai ke ruang tamu rumah kita.

Ini belum lagi mengenai naratif yang seolah-olah sengaja memberikan paparan sangat buruk mengenai masyarakat Islam di negara ini. Malah ada usaha memberikan imej hitam kepada watak ulama sebagai perogol, pencabul atau penipu. Memang ada kes terpencil begini tetapi apa perlunya digambarkan seolah-olah satu fenomena? Pada masa yang sama pelacur, pegawai perhubungan pelanggan (GRO) diberi watak putih dengan alasan mereka terpaksa demi mencari rezeki. Semua ini tentulah diluluskan oleh Lembaga Penapisan Filem Malaysia (LPF).

Menangani adegan yang menghina Islam tidak boleh diharapkan kepada LPF. Kalau boleh diharapkan tentu tidak adalah adegan semi porno selain paparan pergaulan yang melampaui batas. Sebenarnya tidak ada pihak yang mengaku bertanggungjawab menangani isu ini. LPF tentulah ada jawapannya. Kita ada pihak berkuasa dalam hal ehwal Islam seperti Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), tetapi setakat ini mereka tidak menunjukkan kuasa. Jakim juga ada jawapannya. Akhirnya semua ini samalah dengan lagu Bangau Oh Bangau, tidak ada siapa yang mahu bertanggungjawab.

Mengambil kira kemerdekaan yang melampaui setengah abad, sepatutnya kita mempunyai kebebasan untuk menentukan corak karya yang sesuai status negara Islam yang kita miliki. Tidak ada pihak luar yang boleh campur tangan dan menafikan kebebasan kita berfikir seterusnya diperlihatkan dalam karya. Sebaiknya Jakim sudah ada kerangka ke arah melahirkan filem dan drama yang patuh syariah. Kalau bukan Jakim, pihak mana lagi?

Sumber : http : //www.utusan.com.my/