Selasa, 31 Julai 2012

ISU PENGAJIAN TINGGI : Kerajaan Taja 600 Pelajar Ikuti Pengajian Perubatan, Pergigian & Farmasi Di IPTS


PUTRAJAYA : Kerajaan bersetuju menaja 600 pelajar aliran sains meneruskan pengajian dalam bidang perubatan, pergigian dan farmasi di institusi pengajian tinggi swasta (IPTS), kata Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Katanya mereka merupakan pelajar yang gagal mendapat tempat untuk meneruskan pengajian di institusi pengajian tinggi awam (IPTA) bagi sesi akademik 2012/2013.

Mohamed Khaled berkata kesemuanya adalah pelajar lepasan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM), Matrikulasi dan Asasi yang memperoleh Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 4.0 dan memilih tiga bidang pengajian itu sebagai pilihan utama di IPTA, tetapi gagal mendapat tempat.

Katanya mereka terdiri daripada 310 pelajar Melayu, 260 pelajar Cina, 21 pelajar India dan sembilan pelajar lain-lain kaum.

"Sukacita dimaklumkan bahawa kerajaan telah bersetuju menawarkan mereka tempat dalam bidang perubatan, pergigian dan farmasi di IPTS yang terpilih dengan dibiayai oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA). Mereka perlu menyatakan persetujuan atas tawaran yang diberikan," katanya kepada pemberita selepas majlis berbuka puasa bersama warga kementerian itu di sini, malam Selasa.

Katanya, kesemua 600 para pelajar itu akan dihubungi oleh JPA sebelum 15 Ogos ini.

Bagaimanapun, katanya, tawaran baru itu tidak terpakai kepada mereka yang memperoleh PNGK 4.0 dan telah mendapat tawaran pengajian dalam bidang perubatan, pergigian dan farmasi di IPTA pilihan mereka.

Selain itu, mereka yang mendapat tawaran di IPTA seperti dipohon berdasarkan pilihan pertama juga tidak layak menerima tawaran ini.

Daripada 2,690 pelajar aliran Sains yang memperoleh PNGK 4.0, 2,090 pelajar berjaya mendapat tempat di IPTA bagi sesi akademik 2012/2013.

Sementara itu, Mohamed Khaled berkata kementerian itu ingin mengetahui pandangan dan keperluan 130 penuntut Malaysia di Syria bagi mengambil keputusan berhubung pengajian mereka.

"Kita akan buka talian untuk mereka menghubungi kementerian dan memberitahu keperluan mereka. Kita akan melihat sama ada ia selari dengan program-program yang ditawarkan di sini (IPT) atau tidak," katanya.

Kerajaan mengambil keputusan memindahkan penuntut Malaysia dari Syria pulang ke tanah air memandangkan pergolakan yang semakin meruncing di negara itu. - BERNAMA

ISU GLOBAL : ASEAN harus proaktif selesaikan isu Rohingya


OLEH : DR. KAMARULNIZAM ABDULLAH

NAMPAKNYA nasib umat Islam Rohingya di Myanmar tidak terbela. Kumpulan etnik ini telah mengalami pembersihan etnik secara bersistematik oleh kerana dasar pemerintahan Yangoon yang enggan mengiktiraf kumpulan tersebut sebagai sebahagian daripada rakyat Myanmar.

Seorang teman yang baru pulang dari Myanmar untuk misi kemanusiaan membawa cerita yang menyayat hati. Menurut beliau nasib kumpulan Islam etnik Rohingya akan menjadi lebih teruk jika dibandingkan dengan pembunuhan beramai-ramai di Bosnia sedekad yang lalu.

Kumpulan etnik Rohingya sedang dihapuskan secara bersistematik oleh pemerintahan junta tentera dan kumpulan-kumpulan etnik lain yang mahu menghalau mereka keluar dari bumi Myanmar.

Yang terbaru ialah apabila beberapa puak lain di Rakhine, negeri di wilayah barat Myanmar, melancarkan serangan terhadap puak etnik Rohingya dengan membakar beberapa orang secara hidup-hidup. Kanak-kanak dan orang tua menderita kebuluran kerana kekurangan makanan terutamanya di bulan puasa ini.

Pihak tentera pula memukul, mengugut dan membunuh kumpulan etnik ini tanpa sebab. Ada juga laporan mengatakan bahawa wanita dan perempuan muda dirogol oleh tentera dan kumpulan etnik lain.

Di bulan Ramadan yang mulia ini sesuatu harus dilakukan untuk membela nasih puak Islam Rohingya ini. Pencabulan hak asasi yang melampau sudah tidak dapat diterima. Menurut Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), puak Rohingya merupakan kumpulan etnik yang paling tertindas di dunia.

Malangnya masyarakat antarabangsa dan dunia Islam seperti sukar untuk melakukan sesuatu bagi membela nasib mereka. Ini mungkin kerana tidak banyak berita mengenai konflik dan kes penindasan etnik Rohingya yang dilaporkan kepada media antarabangsa sehinggakan sukar untuk memastikan nasib yang melanda kumpulan etnik tersebut.

Sumber utama adalah dari mereka yang baru pulang dari kawasan konflik tersebut ataupun melalui kumpulan bukan kerajaan (NGO) yang melakukan misi kemanusiaan.

Apa yang lebih menyedihkan perubahan dan transformasi politik yang melanda Myanmar setakat ini tidak diterjemahkan kepada kehidupan yang lebih baik untuk puak Rohingya.

Malahan pemimpin pembangkang utama dan ikon hak asasi manusia Myanmar, Aung San Suu Kyi dilaporkan mengelak untuk membicarakan pembunuhan sistematik terhadap puak Islam Rohingya. Beliau gagal untuk mengkritik kerajaan Thein Sein yang dilaporkan akan menghantar lebih 800,000 puak etnik ke kem-kem pelarian di sempadan Bangladesh.

Kuasa-kuasa besar barat dan negara jiran pula lebih menumpukan kepada peluang-peluang pelaburan di Myanmar setelah perubahan politik yang melanda. Bagi Barack Obama, apa yang lebih penting ialah bagaimana untuk mengatasi pengaruh China yang telah berakar umbi sewaktu Myanmar dipulaukan oleh masyarakat antarabangsa sebelum ini.

India sebagai kuasa besar terdekat juga gagal untuk menyuarakan kebimbangannya terhadap isu hak asasi manusia puak Rohingya kerana mahu memelihara hubungan yang terjalin terutamanya apabila Delhi mahu mengambil kesempatan dari keterbukaan ekonomi Myanmar.

Pergerakan negara-negara Islam (OIC) tidak mempunyai taring membangkitkan hal ini. Tiada satu resolusi atau sidang khas untuk membincangkan nasib puak Rohingya. Setakat ini hanya Iran sahaja di kalangan negara Islam yang menyuarakan pendiriannya.

Di Malaysia, nasib puak Rohingya memang telah lama menarik perhatian masyarakat Islam di Malaysia. Dianggarkan lebih kurang 15,000 orang Rohingya tinggal di Malaysia yang mana kebanyakan dari mereka berstatuskan pelarian di bawah kawalan Suruhanjaya Tinggi PBB mengenai Pelarian (UNHCR).

Mereka hidup dalam penuh kedaifan dan tidak mempunyai pekerjaan yang tetap akibat dari status pelarian tersebut. Sebagai pelarian mereka tidak dibenarkan berkerja dan anak-anak tidak bersekolah kerana tidak mempunyai dokumen sah. Malahan, mereka ini sering "diganggu" oleh pihak penguat kuasa keselamatan kerana status yang diragui.

Peranan Malaysia walaupun demikian, agak terhad di dalam membantu etnik Rohingya. Ini mungkin kerana sebagai negara anggota Pertubuhan Negara-negara Asia Tenggara (ASEAN), tangan Kuala Lumpur diikat dengan prinsip tiada campur tangan di dalam hal ehwal dalaman negara anggota.

Tetapi kerajaan sebenarnya boleh memainkan peranan yang lebih proaktif dan konstruktif dengan mengiktiraf pelarian Rohingya dan membenarkan mereka memulakan kehidupan di negara ini.

Seharusnya mereka diberi kebenaran sementara untuk bekerja dan dibantu seperti mana yang telah dilakukan terhadap pelarian Bosnia dahulu. Kerajaan tidak seharusnya membiarkan kumpulan NGO tempatan untuk memainkan peranan mereka bersendirian.

Pada saya, isu puak Rohingya tidak boleh disuarakan secara dua hala terutamanya yang membabitkan negara-negara jiran Myanmar kecuali jika ia dilakukan oleh kuasa-kuasa besar seperti AS, China mahu pun India. Negara-negara kuasa besar ini berupaya memberi tekanan politik dan ekonomi terhadap junta tentera Myanmar.

Mereka boleh melakukan perkara ini jika satu resolusi dibentangkan di Majlis Keselamatan PBB. Malangnya mereka ini tidak berminat melakukannya kerana bagi mereka apa yang penting ialah bagaimana hendak mengeksploitasi kekayaan Myanmar.

Oleh itu, cara lain ialah penyelesaian isu puak Rohingya ini dilakukan secara diplomasi pelbagai hala serantau (regional multilateral diplomatic approach) kerana kesensitifan isu itu sendiri. PBB mungkin sukar untuk menyelesaikannya walaupun pernah diseret oleh junta tentera untuk melakukan sesuatu.

Kerajaan Myanmar telah mencadangkan kepada PBB untuk mengambil alih tanggungjawab penyelesaian masalah puak Rohingya. Pendirian tersebut sudah tentu ditolak mentah-mentah oleh PBB kerana puak Rohingya dilihat adalah masalah sosiopolitik Myanmar.

Hanya ASEAN sahajalah setakat ini yang boleh melakukan sesuatu untuk mengembalikan hak puak Rohingya di Myanmar. Pembunuhan beramai ramai dan penafian hak asasi puak Rohingya telah mula mencalarkan imej ASEAN di mata masyarakat antarabangsa.

Oleh itu ASEAN harus lebih proaktif di dalam mencari penyelesaian konflik tersebut. Jika kita lihat perkembangan konflik antarabangsa sejak akhir-akhir ini, pergerakan atau pertubuhan serantau semakin memainkan peranan yang lebih efektif di dalam menyelesaikan konflik dan perbalahan di rantau mereka.

Tetapi persoalannya adakah ASEAN akan terus melakukan Pendekatan Membina (Constructive Engagement) terhadap Myanmar seperti sebelum ini ataupun lebih berani merangka pendekatan Campur Tangan Berlandaskan Kemanusiaan (Humanitarian Intervention).

Konsep Campur Tangan Kemanusiaan di sini tidak semestinya mengikuti pendekatan yang digunakan oleh Eropah terhadap Bosnia tetapi boleh dilakukan dengan "Cara ASEAN' yang tersendiri. Campur Tangan Kemanusian bukan bermaksud penghantaran tentera negara ASEAN ke kawasan yang bergolak kerana ASEAN tidak mempunyai mandat ke arah itu.

Setiausaha Agung ASEAN, Dr Surin Pitsuwan harus menghantar misi mencari fakta di kawasan yang bergolak di Arakan bagi mencari kebenaran tentang apa yang telah berlaku. Setakat ini ASEAN seolah-olah membiarkan Myanmar untuk melakukan apa saja terhadap puak Rohingya. Adakah ASEAN mahu melihat satu lagi the killing field seperti mana yang dilakukan oleh rejim Pol Pot di Kemboja satu waktu dahulu?

Seharusnya tragedi Kemboja tidak boleh berulang di rantau ini kerana ia amat memalukan. Apa yang ditakuti nanti ialah masyarakat antarabangsa akan membawa isu puak Rohingya ke peringkat global dan seterusnya menjadi satu agenda utama kumpulan hak asasi manusia. Apabila ini berlaku, masyarakat antarabangsa akan mempertikaikan peranan ASEAN untuk menyelesaikan konflik secara konstruktif yang sebenarnya berlaku "di belakang rumah mereka sendiri".

Penulis  ialah Profesor Pengajian Keselamatan Antarabangsa di Pusat Pengajian Antarabangsa, Kolej Undang-undang, Kerajaan, dan Pengajian Antarabangsa, Universiti Utara Malaysia.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

ISU GLOBAL : OIC perlu proaktif tangani krisis


Oleh : Ezaruddin Abd Rahman
 
Menggeleng kepala saya melihat pertempuran dan kepulan asap di sana sini di Syria dan menyaksikan negara Arab terus bergolak dalam YouTube. Negara Islam caca marba dengan pelbagai peristiwa seperti yang berlaku di Mesir, Afghanistan, Libya dan yang terbaru, penghapusan etnik Rohingya di Myanmar.

Kejadian ini membuktikan pertubuhan Islam terbesar iaitu Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) terpaku dan diselimuti kesejukan daripada bersuara dan bertindak. Tugas menamatkan sengketa umat Islam di seluruh dunia seolah-olah membuktikan mereka masih retorik dan tidak berpadu dalam menghadapi cabaran umat Islam sedunia. OIC seolah-olah teratai layu di tasik madu kerana ketiadaan iltizam politik menghadapi pelbagai isu semasa umat Islam serta menanganai isu mendesak.

Kita terpaku apabila melihat keamanan Syria musnah. Kita juga menjadi penonton televisyen apabila etnik Rohingya dibunuh dan ditembak sesuka hati. Di mana OIC ketika umat Islam memerlukannya?

Selagi negara Islam gagal bertindak sebagai entiti yang kuat maka selamanya kita diperlekehkan Amerika Syarikat dan Israel.

Sebenarnya perjuangan OIC sudah lama terbabas dan tidak diendahkan Barat, Iraq pernah diganyang Amerika kerana tiadanya sepakatan di kalangan mereka.

Dunia Islam kehilangan arah. Mereka perlu menilai kembali peranan yang tidak bertaring. OIC bukan lagi singa perjuangan kepada negara Islam disebabkan banyak pemimpin Arab kini mengikut telunjuk Barat.

Lihat saja etnik Rohingya yang dibiarkan menyerahkan nasib kepada takdir. Pemimpin dunia Islam tidak bersuara kerana tidak mendatangkan kepentingan kepada mereka.

Selagi negara Arab bergantung pada dunia Barat, selagi itu OIC terus lemah.

Pemimpin Arab begitu takut selepas Iraq jatuh ke tangan AS dalam masa singkat. Tiada siapa boleh menghalang jika AS berkeliaran di mana-mana negara Arab untuk menekan mereka. Israel berjaya secara tidak langsung dalam menyebarkan psikologi kepada negara Arab supaya mengalah dan membuatkan jiwa mereka tertanam slogan negara Arab tidak akan menang.

AS dan Israel seolah-olah mempunyai pelan sangat besar kepada dunia Arab. Masalah umat Islam adalah kekurangan kesedaran memajukan kehebatan tamadun Islam kembali, kita tiada daya saing akibat ketinggalan dalam bidang sains dan teknologi. Jika berlaku konflik, kita tidak mempunyai kekuatan ketenteraan dan senjata yang hebat.

Selepas jatuhnya Empayar Uthmaniah, dunia Islam semakin lemah dan kehilangan penguasaan ekonomi, teknologi, ketenteraan dan kekurangan cendiakawan.

Lihat saja kekuatan Kesatuan Eropah (EU) dan Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) yang rata-rata terdiri daripada kuasa besar bukan Islam kecuali Turki, membuktikan mereka bersedia menghadapi sebarang kemungkinan untuk terus mendepani Islam.

Negara Arab yang kaya dengan minyak perlu banyak menghasilkan penyelidikan dan pembangunan (R&D) dan melahirkan saintis daripada berlumba-lumba membina bangunan tertinggi yang sekadar simbol kebanggaan semata-mata. Negara Arab harus membangunkan industri pertahanan supaya tidak bergantung pada Barat.

Tiba masa OIC berhenti daripada mengeluarkan resolusi, sebaliknya perlulah mempunyai iltizam politik yang kuat. OIC memerlukan koordinasi mantap untuk bertindak dengan cepat dalam banyak isu yang berlaku kepada umat Islam.

OIC perlu membentuk penyatuan yang kuat, negara Arab perlu menolak kepentingan sendiri jika tidak mahu mereka diperkotak katikkan dan menjadi hamba kepada AS dan Israel.

Kekuatan OIC akan menghapuskan penindasan terhadap umat Islam sedunia. Kita jangan lupa kita perlukan senapang, roket, pesawat pejuang yang hebat, kapal perang dan kereta kebal untuk mempertahakankan diri jika berdepan dengan konflik.

Adakah lebih 1.5 bilion umat Islam di seluruh dunia tidak mampu menyekat penindasan dan penghinaan terhadap umat Islam?

Penulis ialah Timbalan Presiden Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS)


Sumber : http : //www.bharian.com.my/

ISU SOSIAL : Iktibar kelalaian, kelemahan umat Islam

Oleh :  ROHAMI SHAFIE

KEGEMILANGAN Islam telah lama tercatat dalam lipatan sejarah. Sejak zaman Rasulllullah SAW sehinggalah zaman kerajaan Uthmaniyah, Islam dipandang amat tinggi di kalangan masyarakat dunia. Agama Islam berjaya disebarkan di seluruh dunia termasuklah di negara kita. Islam agama yang benar dan terbaik tetapi kenapakah umatnya kini dilanda pelbagai musibah?

Di negara-negara Arab sehingga Afrika, umat Islam tidak berupaya bangun menjadi umat yang hebat sebagaimana zaman Rasulllullah SAW sehinggalah zaman Kerajaan Uthmaniyah.

Di satu pihak, umat Islam berada dalam kemiskinan, tidak cukup makan dan kebuluran kerana bersengketa sesama sendiri. Di satu pihak pula, umat Islam kaya-raya tetapi tidak mampu membantu umat Islam lain yang sedang mengalami kesusahan. Yang mampu dilakukan hanyalah sekadar memandang tentera-tentera kafir harbi menyerang umat Islam mengakibatkan ramai orang Islam terbunuh.

Di manakah silapnya umat Islam ketika ini? Punca utamanya tidak lain tidak bukan kelemahan pemimpin-pemimpin Islam itu sendiri. Sejarah juga mencatatkan kejatuhan kerajaan Islam Umayyah, Abbasiyah dan Uthmaniyah adalah kerana kelemahan para pemimpin mereka yang berebut kuasa dan bergaduh sesama sendiri. Kuasa, pangkat dan harta benda serta wang ringgit menjadi taruhan kemaslahatan ummah.

Tatkala berebut kuasa, kita seolah-olah tidak sedar bahawa hidup kita hanya seketika dan akan meninggalkan dunia yang fana ini pada suatu hari nanti. Malangnya, kesemua ini tidak digunakan sebaik mungkin untuk kebaikan umat Islam.

Yang menyedihkan, kesemua ini dikejar untuk kepentingan diri sendiri yang akhirnya menjadikan umat Islam semakin lemah dan dipandang hina oleh musuh Islam ekoran pergaduhan dan perebutan kuasa. Sedangkan pergaduhan, pemberontakan, persengketaan tidak langsung diajar oleh agama Islam. Islam menganjurkan pemimpinnya bersatu meskipun berbeza pendapat demi menegakkan maruah agama Islam dan kemaslahatan umat Islam.

Agama Islam adalah agama kesejahteraan. Islam tidak menganjurkan perkara-perkara yang merosakkan muka bumi ini. Jauh sekali menganjurkan umatnya melakukan fitnah dan mengadu domba sesama sendiri. Ini kerana fitnah itu lebih tajam daripada mata pedang. Bukan sahaja boleh meruntuhkan persahabatan seseorang tetapi lebih teruk lagi meruntuhkan keharmonian masyarakat yang telah dibina selama ini.

Tetapi umat Islam lebih mudah terpedaya dengan dakyah musuh Islam melalui pelbagai perancangan mereka. Umat Islam tidak mampu menapis maklumat yang mana satu benar dan yang mana satu berbentuk fitnah. Memfitnah orang dan menuding jari terhadap orang lain dengan kesilapan dan kelemahan tidak membantu dalam memajukan ummah. Umat Islam perlu mempunyai kekuatan menapis maklumat yang palsu dan mengesahkan maklumat yang benar.

Umat Islam juga perlu sentiasa berkongsi menyelesaikan setiap kelemahan dan kesilapan yang berlaku dan bukannya hanya pandai menuding jari terhadap orang lain.

Suatu masalah besar di kalangan umat Islam adalah para pemimpinnya lebih suka memilih jalan persengketaan berbanding bermaaf-maafan sesama sendiri.

Betapa hebatnya akhlak Rasullullah SAW yang membebaskan kaum musyrikin yang melakukan kekejaman terhadap baginda tetapi baginda tanpa berdendam mengampunkan mereka sepenuhnya dengan membebaskan mereka.

Kekuasaan moral baginda perlu diambil contoh oleh pemimpin Islam. Baginda tidak pernah menganjurkan perpecahan ummah, baginda sentiasa menyatukan umat Islam tidak kira masa. Inilah yang diajar oleh agama Islam, yang hanya mengesakan Allah SWT, tiada tuhan yang wajib disembah kecuali-NYA. Banyak ibadah kita ditunjukkan oleh Islam agar bersatu padu.

Kita bersolat menghadap kiblat yang satu, berpuasa di bulan yang sama iaitu Ramadan dan mengerjakan haji di bumi suci Mekah menggambarkan betapa Islam amat menitikberatkan perpaduan. Islam juga menganjurkan tolong-menolong antara satu sama lain dengan membanyakkan sedekah dan kewajipan membayar zakat.

Ini menggambarkan betapa pentingnya menjaga persaudaraan sesama Islam dengan bantu- membantu sesama Islam, jauh sekali membangkitkan permusuhan. Islam semakin lemah kerana ada dalam kalangan umatnya lalai dengan kemewahan yang diberi sehingga berlagak sombong dan riak di muka bumi ini. Kononnya, kemewahan tersebut hanyalah hak mereka semata-mata atas usaha mereka selama ini.

Sudah menjadi lumrah, manusia hanya berasa insaf tatkala dilanda kesusahan tetapi ujian paling besar adalah sama ada kita bersyukur menikmati kemewahan yang dikurniakan oleh Allah SWT. Kejatuhan kerajaan Islam yang terdahulu disebabkan kelalaian umatnya tatkala menikmati pelbagai kemewahan. Kelalaian mensyukuri kemewahan yang dinikmati seolah-olah kemewahan ini akan dinikmati selama-lamanya, walhal kemewahan itu hanya sekadar pinjaman sementara oleh Yang Maha Esa.

Kemewahan ini boleh ditarik Allah SWT pada bila-bila masa. Adakah selepas berlakunya bala barulah kita sedar betapa besarnya nikmat dan kemewahan diberikan oleh Allah SWT?

Justeru, sempena Ramadan ini, marilah kita memanjatkan dan membanyakkan doa ke hadrat Allah SWT agar umat Islam seluruh dunia bertambah kuat, manakala umat Islam Malaysia sentiasa bersatu tidak kira masa mahupun berbeza fahaman politik. Semoga kehidupan dan nasib umat Islam bertambah baik pada masa akan datang. Amin.

PENULIS ialah Pensyarah Kanan Perakaunan dan Kewangan, Pusat Pengajian Perakaunan,  Kolej Perniagaan, Universiti Utara Malaysia.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/