OLEH : DR. KAMARULNIZAM ABDULLAH
NAMPAKNYA nasib umat Islam
Rohingya di Myanmar tidak terbela. Kumpulan etnik ini telah mengalami
pembersihan etnik secara bersistematik oleh kerana dasar pemerintahan Yangoon
yang enggan mengiktiraf kumpulan tersebut sebagai sebahagian daripada rakyat Myanmar.
Seorang teman yang baru pulang
dari Myanmar untuk misi kemanusiaan membawa cerita yang menyayat hati. Menurut
beliau nasib kumpulan Islam etnik Rohingya akan menjadi lebih teruk jika
dibandingkan dengan pembunuhan beramai-ramai di Bosnia sedekad yang lalu.
Kumpulan etnik Rohingya sedang
dihapuskan secara bersistematik oleh pemerintahan junta tentera dan
kumpulan-kumpulan etnik lain yang mahu menghalau mereka keluar dari bumi
Myanmar.
Yang terbaru ialah apabila
beberapa puak lain di Rakhine, negeri di wilayah barat Myanmar, melancarkan
serangan terhadap puak etnik Rohingya dengan membakar beberapa orang secara
hidup-hidup. Kanak-kanak dan orang tua menderita kebuluran kerana kekurangan
makanan terutamanya di bulan puasa ini.
Pihak tentera pula memukul, mengugut
dan membunuh kumpulan etnik ini tanpa sebab. Ada juga laporan mengatakan bahawa
wanita dan perempuan muda dirogol oleh tentera dan kumpulan etnik lain.
Di bulan Ramadan yang mulia ini
sesuatu harus dilakukan untuk membela nasih puak Islam Rohingya ini. Pencabulan
hak asasi yang melampau sudah tidak dapat diterima. Menurut Pertubuhan
Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), puak Rohingya merupakan kumpulan etnik yang paling
tertindas di dunia.
Malangnya masyarakat antarabangsa
dan dunia Islam seperti sukar untuk melakukan sesuatu bagi membela nasib
mereka. Ini mungkin kerana tidak banyak berita mengenai konflik dan kes
penindasan etnik Rohingya yang dilaporkan kepada media antarabangsa sehinggakan
sukar untuk memastikan nasib yang melanda kumpulan etnik tersebut.
Sumber utama adalah dari mereka
yang baru pulang dari kawasan konflik tersebut ataupun melalui kumpulan bukan
kerajaan (NGO) yang melakukan misi kemanusiaan.
Apa yang lebih menyedihkan
perubahan dan transformasi politik yang melanda Myanmar setakat ini tidak
diterjemahkan kepada kehidupan yang lebih baik untuk puak Rohingya.
Malahan pemimpin pembangkang
utama dan ikon hak asasi manusia Myanmar, Aung San Suu Kyi dilaporkan mengelak
untuk membicarakan pembunuhan sistematik terhadap puak Islam Rohingya. Beliau
gagal untuk mengkritik kerajaan Thein Sein yang dilaporkan akan menghantar
lebih 800,000 puak etnik ke kem-kem pelarian di sempadan Bangladesh.
Kuasa-kuasa besar barat dan
negara jiran pula lebih menumpukan kepada peluang-peluang pelaburan di Myanmar
setelah perubahan politik yang melanda. Bagi Barack Obama, apa yang lebih
penting ialah bagaimana untuk mengatasi pengaruh China yang telah berakar umbi
sewaktu Myanmar dipulaukan oleh masyarakat antarabangsa sebelum ini.
India sebagai kuasa besar terdekat
juga gagal untuk menyuarakan kebimbangannya terhadap isu hak asasi manusia puak
Rohingya kerana mahu memelihara hubungan yang terjalin terutamanya apabila
Delhi mahu mengambil kesempatan dari keterbukaan ekonomi Myanmar.
Pergerakan negara-negara Islam
(OIC) tidak mempunyai taring membangkitkan hal ini. Tiada satu resolusi atau
sidang khas untuk membincangkan nasib puak Rohingya. Setakat ini hanya Iran
sahaja di kalangan negara Islam yang menyuarakan pendiriannya.
Di Malaysia, nasib puak Rohingya
memang telah lama menarik perhatian masyarakat Islam di Malaysia. Dianggarkan
lebih kurang 15,000 orang Rohingya tinggal di Malaysia yang mana kebanyakan
dari mereka berstatuskan pelarian di bawah kawalan Suruhanjaya Tinggi PBB
mengenai Pelarian (UNHCR).
Mereka hidup dalam penuh kedaifan
dan tidak mempunyai pekerjaan yang tetap akibat dari status pelarian tersebut.
Sebagai pelarian mereka tidak dibenarkan berkerja dan anak-anak tidak
bersekolah kerana tidak mempunyai dokumen sah. Malahan, mereka ini sering "diganggu"
oleh pihak penguat kuasa keselamatan kerana status yang diragui.
Peranan Malaysia walaupun
demikian, agak terhad di dalam membantu etnik Rohingya. Ini mungkin kerana
sebagai negara anggota Pertubuhan Negara-negara Asia Tenggara (ASEAN), tangan
Kuala Lumpur diikat dengan prinsip tiada campur tangan di dalam hal ehwal dalaman
negara anggota.
Tetapi kerajaan sebenarnya boleh
memainkan peranan yang lebih proaktif dan konstruktif dengan mengiktiraf
pelarian Rohingya dan membenarkan mereka memulakan kehidupan di negara ini.
Seharusnya mereka diberi
kebenaran sementara untuk bekerja dan dibantu seperti mana yang telah dilakukan
terhadap pelarian Bosnia dahulu. Kerajaan tidak seharusnya membiarkan kumpulan
NGO tempatan untuk memainkan peranan mereka bersendirian.
Pada saya, isu puak Rohingya
tidak boleh disuarakan secara dua hala terutamanya yang membabitkan
negara-negara jiran Myanmar kecuali jika ia dilakukan oleh kuasa-kuasa besar
seperti AS, China mahu pun India. Negara-negara kuasa besar ini berupaya
memberi tekanan politik dan ekonomi terhadap junta tentera Myanmar.
Mereka boleh melakukan perkara
ini jika satu resolusi dibentangkan di Majlis Keselamatan PBB. Malangnya mereka
ini tidak berminat melakukannya kerana bagi mereka apa yang penting ialah
bagaimana hendak mengeksploitasi kekayaan Myanmar.
Oleh itu, cara lain ialah
penyelesaian isu puak Rohingya ini dilakukan secara diplomasi pelbagai hala
serantau (regional multilateral diplomatic approach) kerana kesensitifan isu
itu sendiri. PBB mungkin sukar untuk menyelesaikannya walaupun pernah diseret
oleh junta tentera untuk melakukan sesuatu.
Kerajaan Myanmar telah
mencadangkan kepada PBB untuk mengambil alih tanggungjawab penyelesaian masalah
puak Rohingya. Pendirian tersebut sudah tentu ditolak mentah-mentah oleh PBB
kerana puak Rohingya dilihat adalah masalah sosiopolitik Myanmar.
Hanya ASEAN sahajalah setakat ini
yang boleh melakukan sesuatu untuk mengembalikan hak puak Rohingya di Myanmar.
Pembunuhan beramai ramai dan penafian hak asasi puak Rohingya telah mula
mencalarkan imej ASEAN di mata masyarakat antarabangsa.
Oleh itu ASEAN harus lebih
proaktif di dalam mencari penyelesaian konflik tersebut. Jika kita lihat
perkembangan konflik antarabangsa sejak akhir-akhir ini, pergerakan atau
pertubuhan serantau semakin memainkan peranan yang lebih efektif di dalam
menyelesaikan konflik dan perbalahan di rantau mereka.
Tetapi persoalannya adakah ASEAN
akan terus melakukan Pendekatan Membina (Constructive Engagement) terhadap
Myanmar seperti sebelum ini ataupun lebih berani merangka pendekatan Campur
Tangan Berlandaskan Kemanusiaan (Humanitarian Intervention).
Konsep Campur Tangan Kemanusiaan
di sini tidak semestinya mengikuti pendekatan yang digunakan oleh Eropah
terhadap Bosnia tetapi boleh dilakukan dengan "Cara ASEAN' yang
tersendiri. Campur Tangan Kemanusian bukan bermaksud penghantaran tentera
negara ASEAN ke kawasan yang bergolak kerana ASEAN tidak mempunyai mandat ke
arah itu.
Setiausaha Agung ASEAN, Dr Surin
Pitsuwan harus menghantar misi mencari fakta di kawasan yang bergolak di Arakan
bagi mencari kebenaran tentang apa yang telah berlaku. Setakat ini ASEAN
seolah-olah membiarkan Myanmar untuk melakukan apa saja terhadap puak Rohingya.
Adakah ASEAN mahu melihat satu lagi the killing field seperti mana yang
dilakukan oleh rejim Pol Pot di Kemboja satu waktu dahulu?
Seharusnya tragedi Kemboja tidak
boleh berulang di rantau ini kerana ia amat memalukan. Apa yang ditakuti nanti
ialah masyarakat antarabangsa akan membawa isu puak Rohingya ke peringkat
global dan seterusnya menjadi satu agenda utama kumpulan hak asasi manusia.
Apabila ini berlaku, masyarakat antarabangsa akan mempertikaikan peranan ASEAN
untuk menyelesaikan konflik secara konstruktif yang sebenarnya berlaku "di
belakang rumah mereka sendiri".
Penulis ialah Profesor Pengajian Keselamatan
Antarabangsa di Pusat Pengajian Antarabangsa, Kolej Undang-undang, Kerajaan,
dan Pengajian Antarabangsa, Universiti Utara Malaysia.
Sumber : http : //www.utusan.com.my/