TULISAN kali ini mungkin tidak
banyak berkait dengan ulasan konsep psikologikal yang kompleks. Ia hanya
berkait dengan dua hal yang ada pada manusia. Adakalanya ia sangat sukar untuk
diubah, malah membahayakan negara.
Secara umumnya manusia
dibahagikan kepada dua, iaitu manusia yang optimis dan pesimis. Tatkala manusia
optimis sering kali yakin dengan apa yang mereka lakukan, manusia pesimis
selalu memandang dengan penuh curiga bagi apa sahaja yang berlaku.
Manusia pesimis melihat sesuatu
dari sudut yang negatif. Hanya mereka sahajalah yang benar, tetapi pihak lain
akan selalu salah.
Walaupun berfikiran optimis
tidaklah selalu menguntungkan, tetapi pesimis biasanya akan merosakkan.
Sigmund Frued, tokoh psikologi
psiko analisis dilaporkan pernah berkata, bagaimana manusia yang teruk
cenderung menilai orang lain sebagai buruk. Mereka akan menyatakan bahawa orang
lain tidak akan sebaik mereka.
Hakikat yang sering diabaikan
adalah mereka itulah yang teruk dan bukan orang yang mereka sangka sebagai
buruk tadi.
Kita dapati inilah hal yang
sedang terjadi dalam masyarakat kita hari ini. Tatkala penduduk di beberapa
kawasan di Lahad Datu, Tawau dan Semporna dalam keadaan cemas kerana sedang
menghadapi hari yang buruk kerana pendudukan pengganas, mereka yang pesimis ini
masih lagi memandang dengan penuh sinis menyatakan apa yang berlaku itu
hanyalah sandiwara.
Bahkan, tatkala ada anggota
keselamatan kita dibunuh secara kejam, ada segelintir yang seolah-olahnya masih
tidak lagi percaya apa yang sedang berlaku. Kononnya ia tidak lebih daripada
sebuah lakonan sahaja.
Masih ada yang mempertikaikan
kenapa anggota tentera dibawa dengan pesawat komersial dan bukan pesawat
tentera. Ada pula yang bertanya mengapa kelengkapan tentera diangkut dengan
lori perdagangan ke tempat pertempuran dan bukan bergerak sendiri?
Beri sokongan
Alangkah indahnya kalau kita
bertanya apakah yang dapat kita lakukan bagi membantu menguatkan moral anggota
keselamatan atau membantu penduduk menghadapi hari yang penuh trauma.
Kita mungkin tidak dilatih untuk
menghadapi penjenayah. Bagaimanapun, membantu memberikan sokongan moral kepada
mereka yang terlibat akan mampu melemahkan musuh.
Komen dan kritikan bukan sahaja
menyukarkan keadaan, tetapi melukakan hati pihak lain. Bayangkan bagaimana perasaan
balu anggota keselamatan kita yang kehilangan suami kerana mempertahankan nyawa
kita semua.
Apa pula perasaan penduduk yang
sedang kebimbangan kerana berada dalam keadaan sukar dan bahaya? Lebih
membimbangkan, ia membantu meningkatkan moral pihak musuh untuk menjatuhkan
kita.
Mengapa ada segelintir individu
yang masih tidak percaya dengan apa yang sedang berlaku? Dalam tulisan yang
lalu, kita pernah membincangkan fenomena pemikiran kelompok.
Selain daripada warga tua,
sebahagian besar daripada kita adalah warga merdeka. Kita tidak pernah merasai
hidup dalam situasi yang sukar. Sebab itu, apabila tiba-tiba kita diserang oleh
pengganas, ada yang merasakan ia bukan hal yang nyata.
Mereka seolah-olahnya percaya
bahawa peperangan dan keganasan hanya boleh berlaku di negara lain dan bukan di
negara kita.
Kepercayaan segelintir masyarakat
ini bukan sahaja melemahkan moral anggota keselamatan, tetapi juga membahayakan
negara.
Justeru kita juga jarang
berhadapan dengan situasi perang dan serangan seperti ini, kita juga mungkin
tidak terbiasa dengan perang psikologi yang sering dimainkan oleh musuh.
Perang saraf
Sebab itu, apabila tersiar
berita-berita negatif mengenai pasukan keselamatan atau pemimpin negara di
media massa luar negara, ramai daripada kita mempercayainya. Malah ramai yang
mengeyakannya dan menyebarkan pula kepada pihak lain.
Perang saraf inilah yang biasanya
boleh melemahkan kesatuan kita. Kita mungkin mampu menang dengan pengganas dalam
perang terbuka. Bagaimanapun, sekiranya masyarakat masih tidak bersatu, kerana
terpedaya dengan perang psikologi pihak musuh, ia hanya akan membuka jalan
untuk musuh terus mengancam kestabilan negara.
Percayalah, dengan bersatu
sahajalah kita mampu mengatasi suasana yang sukar seperti ini.
Kita semua boleh berbeza fahaman
politik dan pandangan, tetapi kita semua tidak boleh berbeza untuk percaya
bahawa inilah satu-satunya negara yang kita miliki.
Sayangilah negara kita. Bagi
memenangi peperangan ini, kita semua perlu terlebih dahulu untuk tidak
dikalahkan dalam perang psikologi.
Ia adalah kemenangan terbesar
dalam semua jenis peperangan. Tidak salah sesekali mempunyai sikap yang
pesimis, tetapi dalam keadaan tertentu optimis adalah terlebih baik untuk kita
semua.
Sumber : http : //www.kosmo.com.my/